3.0 Pendahuluan
Rasulullah SAW merupakan seorang yang amat menyayangi sesama
insan. Tergambar dalam sejarah kehidupan baginda SAW lebih kepada melayani
manusia, lebih-lebih lagi tugas utamanya berdakwah yang melibatkan hubungan
sesama manusia.
Kejayaan dakwah baginda SAW adalah bergantung kepada layanan
yang baik yang diberikan kepada manusia (pelanggannya). Tanpa layanan yang
baik, tidak mungkin Islam dapat berkembang.
Oleh itu dalam tajuk ini dibawa beberapa peristiwa diyafah
Rasulullah SAW dan sahabat terhadap tetamu mereka yang dapat dijadikan panduan
kepada pembaca. Di samping itu dipaparkan juga beberapa potong ayat al-Qur’an
yang ada hubungan dengan tajuk ini yang boleh dijadikan asas kepada hospitaliti
Islam seperti mana yang dipraktikkan oleh baginda Rasulullah SAW terhadap
sahabat.
3.1 Hospitaliti menurut wahyu
Perkara pokok dalam aktiviti seharian bergantung kepada niat
yang merupakan suatu yang penting dalam melakukan pekerjaan sama ada pekerjaan
itu dikategorikan sebagai amal ikhlas kepada Allah SWT atau sebalikya.
Rasulullah SAW mengingatkan para sahabat supaya memperbaik niat. Sabda
Rasulullah SAW;
Terjemahan: Dari ‘Umar bin al-Khattab, berkata : Rasulullah
SAW bersabda “Sesungguhnya setiap pekerjaan itu dengan niat, dan sesungguhnya
bagi seseorang itu mengikut apa yang diniatkan.” (Hadith diriwayatkan oleh
al-Bukhari dan Muslim).
Allah SWT tidak menilai bentuk paras rupa seseorang dan
kemewahan harta benda yang ada, tetapi lebih menumpukan kepada niat hati
seseorang itu dan melihat dan menilai apa yang dilakukan oleh mereka. Firman
Allah SWT;
Terjemahan: "Katakanlah: Sesungguhnya aku diperintahkan
menyembah Allah dengan tulus ikhlas beragama keranaNya semata-mata".
(Surah al-Zumar 39:11).
Terjemahan: "Pada hal mereka tidak diperintahkan
melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya, lagi
tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan sembahyang dan memberi
zakat; dan yang demikian itulah agama yang benar. (Surah al-Bayyinah 98:5).
Islam mengajar umatnya supaya memahami semua persoalan
daripada akar umbinya iaitu bermula dari hati, dengan niat atau tujuan sesuatu
pekerjaan itu dilakukan. Tidak ada yang mengetahui isi hati seseorang itu
melainkan dirinya sendiri dan Allah SWT sahaja.
Sebelum persoalan hati itu dinilai oleh Allah SWT pada hari
akhirat, maka setiap individu itu diminta supaya memperbetulkan niat pada hati
mereka sesuai dengan perintahNya.
Semua persoalan kehidupan di dunia ini tidak luput begitu
sahaja, tetapi apa saja dilakukan akan dinilai semula untuk diberi pembalasan
dengan sewajarnya terhadap segala yang dikerjakan bergantung kepada niat
masing-masing. Banyak juga daripada amal kebaikan menjadi musnah kerana
rosaknya niat. Oleh itu menjaga hati supaya sentiasa mempunyai niat yang ikhlas
kepada Allah SWT adalah amat penting.
Dalam aktiviti melayani tetamu, yang perlu ialah sentiasa
membulatkan hati niat kerana Allah SWT dengan mengikut sunnah Rasulullah SAW.
Tanpa niat yang ikhlas, amalan itu akan menjadi sis-sia seperti memberi layanan
baik terhadap manusia secara pura-pura (hypocrite). Sebagai akibatnya mereka
tidak memperoleh apa-apa balasan pahala pada hari akhirat.
Sebaliknya seseorang pelayan atau penyambut tetamu yang
benar-benar ikhlas seperti yang diperintahkan, maka mereka akan tetap berada di
atas landasan Islam walaupun dalam apa jua keadaan. Terutamanya apabila mereka
ditimpa musibah, sikap itu tidak akan berubah. Mereka tetap dapat
menyembunyikan segala masalah itu, dapat mengukirkan senyuman, dapat
menyenangkan tetamu mereka.
Penderitaan itu hanya untuk dirinya, bukan untuk ditanggung
bersama tetamunya atau orang lain. Menyusahkan dan membebankan tetamu dengan
masalah peribadi adalah sesuatu yang dilarang dan bercanggah dengan konsep
hospitaliti Islam.
Layanan baik yang diberikan itu merupakan suatu bukti keimanan
kepada Allah SWT. Semakin tinggi keimanan seseorang di sisi Allah SWT maka
banyaklah pengorbanan yang dapat diberikan kepada tetamu, bukan sahaja
berbentuk hospitaliti malah berbentuk jamuan yang melibatkan harta benda dan
wang ringgit yang banyak. Walau bagaimanapun apa sahaja yang dilakukan itu akan
dikira sebagai amal kebajikan di sisi Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW;
Terjemahan: Dari Abdullah bin ‘Umar (RA), Rasulullah SAW
bersabda: "Orang Islam itu saudara orang Islam; ia tidak menganiayanya dan
tidak pula membiarkannya teraniaya. Siapa yang menolong keperluan saudaranya,
Allah akan menolong keperluannya pula. Siapa yang menghilangkan kesusahan orang
Islam, Allah akan menghilangkan kesusahannya pada hari kiamat. Siapa yang
menutup rahsia orang Islam, Allah akan menutup rahsianya pada hari kiamat
nanti". (Hadith diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim).
Terdapat pelbagai jenis golongan manusia yang biasanya
menjadi tetamu Rasulullah SAW seperti keluarga sendiri, keluarga terdekat,
fakir miskin, anak yatim, Muslimin, Muslimat dan seterusnya seluruh manusia.
Tidak dapat dinafikan, kadang-kadang ibu bapa sendiri juga menjadi tetamu.
Rasulullah SAW sering kali menjadi tetamu kepada anaknya Fatimah (R.anha).
Manakala Fatimah (R.anha) juga sering menjadi tetamu kepada ayahandanya. Hal
ini dirakamkan dalam sebuah hadith;
Terjemahan: Dari Aisyah (R.anha) katanya: "Aku tidak
pernah melihat seseorang pun yang lebih menyerupai Rasulullah SAW dari segi
percakapan, kata-kata dan duduk ketika bersama Fatimah (R.anha). Apabila
Rasulullah SAW melihat Fatimah (R.anha) datang, baginda akan melapangkan tempat
duduk dengan mengalu-alukan kedatangnnya, maka dikucupnya (di dahi), kemudian
memimpin tangan Fatimah hingga duduk di tempat duduknya. Dan demikianlah
apabila Nabi SAW datang mengunjunginya, Fatimah akan menyambutnya maka dia
mengucup (di dahi) Rasulullah SAW. (Hadith diriwayatkan oleh al-Bukhari).
Jika ibu bapa menjadi tetamu, maka mereka berhak dilayan
sebagai tetamu dan sebagai ibu bapa. Jika anak sendiri menjadi tetamu, maka
mereka berhak dilayan sebagai tetamu dan juga sebagai anak. Demikian juga fakir
miskin yang menjadi tetamu, mereka berhak dilayan sebagai tetamu dan sebagai
fakir miskin. Jika pemerintah menjadi tetamu, mereka berhak dilayan sebagai
tetamu dan berhak dilayan sebagai pemerintah. Jika mereka tidak dikenali
menjadi tetamu, maka haknya ialah dilayan sebagai tetamu sahaja seperti layanan
yang diberikan oleh Nabi Ibrahim (AS) terhadap tetamunya yang tidak dikenali
itu. Firman Allah SWT;
Terjemahan: Tatkala mereka masuk mendapatkannya lalu memberi
salam dengan berkata: "selamat sejahtera kepadamu!". Ia menjawab:
"selamat sejahtera kepada kamu!". (Sambil berkata kepada dirinya):
mereka ini orang-orang yang tidak dikenali. (Surah al-Dhariyat 51: 25).
Daripada ayat di atas menjelaskan berkenaan beberapa orang
malaikat yang menyamar seperti manusia datang bertemu Nabi Ibrahim (AS) di
kediamannya sebagai tetamu. Oleh itu Nabi Ibrahim (AS) pun berusaha
menyempurnakan hak tetamu dengan menyiapkan dengan segera makanan yang terbaik
kepada tetamunya itu.
Selanjutnya sebelum membincangkan dengan lebih mendalam
berkenaan hospitaliti Islam, terlebih dahulu berikut dipaparkan berkenaan
layanan yang diberikan oleh Rasul dan sahabat seperti yang digambarkan di dalam
al-Qur’an al-Hadith. Hal ini bartujuan melihat konsep layanan secara
menyeluruh, yang menjadi asas kepada perbincangan seterusnya.
2.1.0 Adab melayani Ibu bapa
Di dalam al-Qur’an terdapat perintah yang mewajibkan manusia
supaya memberikan layanan kepada kedua-dua ibu bapa. Sesungguhnya memberi
layanan baik kepada kedua-dua ibu bapa merupakan amal yang paling utama yang
wajib diberi perhatian. Firman Allah SWT;
Terjemahan: Dan berbuat baiklah kepada kedua-dua ibu bapa,
dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, serta orang miskin, dan katakanlah
kepada sesama manusia (dengan) perkataan-perkataan yang baik; dan dirikanlah
sembahyang serta keluarkanlah zakat". (Surah al-Baqarah 2: 83).
Daripada ayat di atas, terdapat susunan keutamaan mengenai
mereka yang patut diberi layanan. Layanan kepada ibu bapa, kemudian kaum
kerabat terdiri daripada isteri, anak dan saudara mara, selepas itu anak-anak
yatim, diikuti golongan fakir miskin, akhir sekali kepada semua manusia.
Diperkukuh lagi oleh hadith Rasulullah SAW yang menjelaskan
bahawa untuk memasuki syurga, seseorang itu mestilah mendapat keredaan daripada
ibu, seperti sabda baginda SAW;
Terjemahan: "Syurga itu di bawah telapak kaki
ibu-ibu". (Hadith diriwayatkan oleh al-Quda‘i, Khatib di dalam al-Jami‘,
kedua-dua mereka mengamil dari Anas. Hadith ini adalah hasan).
Untuk menyenangkan hati dan perasaan dan mencapai kerelaan
mereka, Allah SWT telah menunjukkan bagaimana cara bergaul, antaranya apabila
berbicara dengan mereka hendaklah bersopan santun serta menjauhi daripada
bahasa-bahasa yang menyebabkan tersinggung. Firman Allah SWT;
Terjemahan: Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau
tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat
baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya
sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah
engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ah!",
dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada
mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun). (Surah al-Isra’ 17: 23).
Antara bentuk-bentuk layanan terhadap ibu bapa ialah
melakukan sesuatu yang disuruhnya selagi tidak bercanggah dengan ajaran Islam.
Demikianlah pesanan Rasulullah SAW bahawa ketaatan itu hanyalah kepada perkara
yang baik-baik dan yang tidak ada unsur- unsur maksiat kepada Allah SWT. Sabda
Rasulullah SAW;
Terjemahan: "Tidak ada ketaatan kepada seseorang itu
dalam melakukan maksiat kepada Allah SWT. Sesungguhnya ketaatan itu hanya ke
arah kebaikan". (Hadith diriwayatkan oleh al Bukhari dan Muslim).
Seterusnya hendaklah menghormati kedua-duanya, sentiasa
merendah diri kepada mereka, sentiasalah memuliakan mereka dan janganlah
panggil mereka dengan nama mereka tetapi panggillah “Wahai ayah” atau “Wahai
ibu”, jangan bermusafir sebelum meminta keizinan dan keredaan mereka.
Seterusnya sentiasa mendoakan kebahagiaan untuk mereka, memohon keampunan untuk
mereka dan memuliakan sahabat-sahabat mereka. Dalam hubungan ini Rasulullah SAW
bersabda;
Terjemahan: Dan datang seorang lelaki dari Ansar, maka dia
telah berkata, wahai Rasulullah, adakah boleh aku lakukan kebaikan kepada dua
ibu bapaku selepas kematian keduanya?. Kata baginda: ya!. Empat perkara:
Sembahyang untuk mereka, mohon keampunan kepada mereka, melaksanakan perjanjian
mereka dan memuliakan sahabat-sahabat mereka dan hubungkan kasih sayang dengan
mereka yang tidak berkasihg sayang dengan engkau yang terhenti setelah kematian
mereka. Maka itulah sisa kebaikan yang boleh engkau lakukan untuk kebaikan
mereka selepas kematian mereka. (Hadith diriwayatkan oleh Abu Daud).
2.1.1 Adab melayani suami atau isteri
Antara suami dan isteri, selain hubungan sebagai suami
isteri, mereka juga boleh menjadi tetamu antara satu sama lain. Tidak dapat
dinafikan suami atau isteri yang menjalankan tugas di sesuatu sektor, mungkin
didatangi oleh pasangannya, maka mereka merupakan tetamu yang patut diberi
layanan. Dalam sebuah hadith menceritakan berkenaan layanan Rasulullah SAW
terhadap isterinya yang menjadi tetamu;
Terjemahan: Diriwayatkan daripada Sofiah binti Huyai
(R.anha) katanya: Pada suatu malam ketika Nabi SAW sedang ber‘iktikaf aku
datang menziarahi baginda. Setelah puas berbual-bual dengan baginda, akupun
berdiri untuk pulang. Rasulullah SAW ikut berdiri untuk menghantarku. (Hadith
diriwayatkan oleh Ahmad ibn Hanbal).
Hadith di atas telah menjelaskan dalam keadaan-keadaan
tertentu suami atau isteri boleh menjadi tetamu antara mereka. Antara layanan
yang diberikan oleh Rasulullah SAW seperti bangun dari tempat duduknya dan
mengiringi kepulangan tetamunya yang juga sebagai isterinya. Sekali pandang
aksi mengiringi tetamu ke pintu ketika kepulangannya tidak begitu penting
difikirkan, tetapi bagi seseorang tetamu itu tinggi nilainya seperti Sofiah
binti Huyai (R.anha) sendiri yang berasa dihargai.
Dalam sudut yang lain al-Qur’an telah menjelaskan hak dan
tanggungjawab masing-masing sebagai suami atau isteri saling melayani antara
satu sama lain. Al-Qur’an telah menjelaskan berkenaan perintah layanan suami
terhadap isteri, dan perintah layanan isteri terhadap suami. Dalam memberi
layanan dianjurkan supaya bergaul dengan cara yang baik. Firman Allah SWT;
Terjemahan: Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri
kamu itu) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu (merasai) benci kepada
mereka (disebabkan tingkah lakunya, janganlah pula kamu terburu-buru
menceraikannya), kerana boleh jadi kamu benci sesuatu, sedang Allah hendak
menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebajikan yang banyak (untuk kamu).
(Surah al-Nisa’ 4: 19).
Terhadap isteri itu hendaklah dilayan mereka dengan
menyediakan makanan, pakaian dan tempat tinggal. Ajarkanlah kepada mereka
dengan adab kesopanan yang boleh mengelakkan mereka dari berakhlak buruk dalam
keluarga. Antara bentuk pengajaran yang diperkenalkan, firman Allah SWT;
Terjemahan: Dan perempuan yang kamu bimbang melakukan
derhaka hendaklah kamu menasihati mereka. (Surah al-Nisa’ 4:34).
Rasulullah SAW telah menunjukkan cara pergaulan yang paling
baik terhadap isteri-isterinya. Demikianlah Rasulullah SAW telah menjelaskan
berkenaan layanan terhadap suami iaitu isteri hendaklah sentiasa mentaati
suaminya selagi tidak bercanggah dengan kehendak Islam. Baginda Rasulullah SAW
mengingatkan kepada isteri-isteri berkenaan tingginya kedudukan suami di sisi mereka
sehingga jika dibenarkan sujud kepada selain dari Allah SWT tentulah disuruh
supaya isteri sujud kepada suaminya. Sabda Rasulullah SAW;
Terjemahan: Jika seseorang itu dibolehkan sujud kepada
seorang yang lain, nescaya wajar isteri itu sujud kepada suaminya. (Hadith
diriwayatkan oleh Ibn Majah dan Ahmad).
Antara lain layanan yang patut diberikan oleh isteri ialah
sentiasa tinggal di rumah suaminya, untuk keluar rumah hendaklah dengan izin
suaminya, melembutkan suara. Sama ada suami atau isteri masing-masing ditegah
daripada melakukan kejahatan dan dilarang daripada mengucapkan perkatan yang
keji antara mereka, kerana Allah SWT tidak menyukai perkataan-perkataan yang
keji, walaupun yang diucapkan itu benar. Firman Allah SWT;
Terjemahan: Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan
buruk yang dikatakan dengan berterus terang (untuk mendedahkan kejahatan
orang), kecuali oleh orang yang dianiayai dan (ingatlah) Allah sentiasa
mendengar, lagi amat mengetahui. (Surah al-Nisa’ 4:148).
2.1.2 Adab melayani kanak-kanak
Kanak-kanak merupakan penyambung generasi yang akan datang.
Mereka akan mewarisi segala yang diajarkan kepada mereka oleh kedua-dua orang
tua mereka. Oleh itu melayani mereka dengan cara yang baik adalah amat penting.
Hal ini telah dijelaskan di dalam sebuah hadith Rasulullah SAW;
Terjemahan: Setiap kanak-kanak yang dilahirkan itu berada
dalam keadaan fitrah (semula jadi) hinggalah lidahnya fasih berkata-kata, maka
kedua-dua ibu bapanyalah yang bertanggungjawab meyahudikan, mengkristiankan
atau memajusikannya. (Hadith diriwayatkan oleh al-Tabrani di dalam al-Kabir dan
al-Baihaqi di dalam al-Sunan. Hadith ini adalah sahih).
Sebagai ibu bapa, melayani kanak-kanak mempunyai kaedah
tersendiri. Mereka diibaratkan bagai kain yang putih, yang boleh dicorak
mengikut apa juga warna. Jika diwarnai dengan nilai-nilai Islam, maka nilai
itulah yang dibawanya hingga ke akhir hayat mereka. Melayani mereka ialah
dengan memberi pendidikan terutamanya pendidikan sembahyang. Rasulullah SAW
bersabda;
Terjemahan: Dan baginda SAW bersabda: Ajarkanlah kanak-kanak
supaya sembahyang ketika berusia tujuh tahun dan pukullah jika berusia sepuluh
tahun (jika mereka ingkar), dan pisahkanlah mereka dari tempat tidur. (Hadith
diriwayatkan oleh al-Tirmidhi, Abu Daud dan Al-Darimi).
Kesemua yang dilakukan ini adalah untuk kepentingan manusia
sendiri iaitu dalam rangka menjaga dirinya dan kaum keluarganya daripada
siksaan Allah SWT di hari akhirat. Firman Allah SWT;
Terjemahan: Hai orang-orang yang beriman! Peliharalah dirimu
dan keluargamu daripada api neraka, kayu bakarnya adalah manusia dan batu-batu
(berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras
kasar (layanannya), mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang
diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang
diperintahkan. (Surah al-Tahrim 66: 6).
Ayat di atas menjelaskan kepada kita bahawa menjadi
tanggungjawab seorang bapa untuk menyelamatkan kaum keluarganya daripada api
neraka. Untuk keselamatan daripada bahaya api neraka itu maka mereka
diperintahkan supaya mendidik isteri dan anak-anaknya supaya beradab sopan,
mendirikan sembahyang dan sebagainya, sesuai dengan kedudukan mereka sebagai
pemimpin seperti firman Allah SWT;
Terjemahan: Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal
yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan. Oleh sebab Allah telah
melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang
perempuan dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberikan
nafaqah) sebahagian dari harta mereka. (Surah al-Nisa’ 4:34).
2.1.3 Adab melayani masyarakat
Golongan masyarakat terdiri daripada jiran, fakir miskin,
anak yatim dan sebagainya. Jika mereka jiran, maka mereka mempunyai hak jiran.
Begitulah jika mereka yang miskin, maka mereka mampunyai hak yang tersendiri.
Apabila mereka menjadi tetamu, maka suatu hak lain pula wajib terhadap mereka.
Jika tidak ada sesuatu yang hendak diberi, suatu kewajipan lain iaitu melayani
mereka dengan baik. Menyakiti hati jiran adalah merupakan suatu kesalahan besar
di dalam Islam. Sabda Rasulullah SAW
Terjemahan: Demi Allah dia tidak beriman, demi Allah dia
tidak beriman, maka dikatakan kepada Rasulullah, siapa wahai Rasulullah?.
Baginda menjawab: Orang yang tidak mententeramkan jirannya daripada
gangguannya. (Hadith diriwayatkan oleh al Bukhari dan Muslim).
Oleh itu sebagai umat Islam yang berjiran maka mereka saling
mempunyai hak yang tersendiri. Mereka patut diberi layanan sebagai jiran.
Antaranya memberi pertolongan jika mereka meminta pertolongan. Menziarahi jika
mereka sakit. Memberi ucapan tahniah di atas kejayaan dan kegembiraan mereka.
Jika mereka ditimpa kemalangan atau musibah hendaklah mengucapkan takziah.
Memulakan pertemuan dan perpisahan dengan mengucapkan salam kepada mereka.
Melembutkan perkataan terhadap mereka. Menunjukkan jalan yang baik kepada
mereka sama ada dalam urusan agama ataupun dunia. Janganlah mengintai sesuatu
yang mereka sembunyikan. Janganlah mengganggu keselesaan tempat tinggal mereka.
Segala perkara yang dilakukan oleh jiran yang menyakitkan hati dan perasaan
hendaklah bersabar.
Bagi mereka yang benar-benar beriman kepada Allah SWT,
inilah jalan untuk melakukan kebaikan terhadap jiran tetangga. Rasulullah SAW
bersabda;
Terjemahan: "Barang siapa yang beriman kepada Allah SWT
dan hari akhirat maka hendaklah melakukan kebaikan kepada jirannya".
(Hadith diriwayatkan oleh Muslim).
Selain jiran, hendaklah sentiasa saling menghormati terhadap
sesama Muslim. Islam mengajar mereka supaya sentiasa menyebarkan salam, serta
berjabat tangan. Seseorang Muslim yang diucapkan salam hendaklah membalasnya
dengan yang terbaik atau sama dengannya. Firman Allah SWT;
Terjemahan: "Apabila ada orang memberi hormat (salam)
kepada kamu, balaslah hormat (salamnya) dengan cara yang lebih baik, atau balas
penghormatan itu (serupa dengan penghormatannya); sesungguhnya Allah SWT itu
menghitung segala sesuatu." (Surah al-Nisa’ 4: 86).
Dari segi etiket mengucapkan salam, Rasulullah SAW
menggalakkan orang yang berkenderaan memberi salam kepada pejalan kaki. Orang
yang berjalan kaki memberi salam kepada orang yang duduk. Kumpulan yang sedikit
memberi salam kepada kumpulan yang ramai. Sabda Rasulullah SAW;
Terjemahan: Dari Abu Hurairah (RA) berkata: bersabda
Rasulullah SAW: "Orang yang menunggang kenderaan itu memberi salam kepada
yang berjalan kaki, yang berjalan kaki memberi salam kepada yang duduk dan yang
sedikit memberi salam kepada yang ramai". (muttafaq ‘alaih). Dari Abu
Hurairah (RA) berkata: bersabda Rasulullah SAW: Yang muda memberi salam kepada
yang tua, yang berjalan memberi salam kepada yang duduk, yang sedikit memberi
salam kepada yang ramai. (Hadith diriwayatkan oleh al Bukhari dan Muslim).
Tidak kira orang yang diucapkan salam itu sama ada dikenali
atau tidak, sama ada lelaki ataupun perempuan, seperti dalam sebuah hadith yang
merakamkan berkenaan ucapan salam Rasulullah SAW terhadap kaum wanita;
Terjemahan: Dari Ibn Abi Husain, dia mendengar dari Syahr
bin Hausyab; dia berkata : Diceritakan oleh Asma’ binti Yazid; katanya:
Rasulullah SAW berjalan melalui kami kaum wanita, maka baginda mengucapkan
salam ke atas kami. (Hadith diriwayatkan oleh Abu Daud).
Hadith di atas menjelaskan berkenaan Rasulullah SAW
mengucapkan salam kepada kaum wanita, bukanlah bererti semua lelaki
sewenang-wenangnya menyebarkan salam ke atas wanita-wanita. Perlu juga kita
melihat kedudukan baginda dalam masyarakat, selain dari sebagai utusan Allah
SWT baginda juga sebagai pemimpin atau ketua negara. Oleh itu salam yang diucapkan
itu tidaklah mengandungi unsur-unsur fitnah. Sebaliknya jika salam itu
digunakan oleh pemuda-pemuda ke atas pemudi-pemudi secara sekehendaknya maka
akan menimbulkan gejala-gejala yang tidak diingini, walaupun niat mereka baik.
Dalam erti kata yang lain keadaan ini telah memperlihatkan unsur pergaulan
bebas yang terlarang di dalam Islam.
Selain itu Rasulullah SAW juga mengajar supaya menziarahi
mereka yang jatuh sakit dan mendoakan kesembuhan kepada mereka. Jika mereka
meminta dinasihati hendaklah menasihati mereka. Cintailah mereka seperti
menyintai diri sendiri. Janganlah menjatuhkan maruah mereka. Janganlah bersikap
sombong, demikianlah firman Allah SWT;
Terjemahan: Dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan
berlagak sombong, kerana sesungguhnya engkau tidak akan dapat menembusi bumi,
dan engkau tidak akan dapat menyamai setinggi gunung ganang. (Surah al-Isra’
17: 37).
Sebaliknya hendaklah sentiasa merendah diri antara satu sama
lain. Apabila berlaku perselisihan antara kalangan Muslimin tidak boleh
melebihi daripada tiga hari dan berbaik-baiklah semula sebelum menjelang tiga
hari dengan memulakan salam. Ini bukanlah bererti Islam menggalakkan supaya melakukan
pergaduhan satu hingga tiga hari. Peraturan di atas berlaku kepada mereka yang
tersalah atau terlanjur dalam kancah perkelahian. Allah SWT sentiasa
mengingatkan orang yang beriman supaya sentiasalah bersangka baik terhadap
sesama sendiri, elakkanlah daripada menuduh dan mengumpat. Firman Allah SWT;
Terjemahan: Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah
kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang),
kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa, dan janganlah
kamu mencari-cari kesalahan dan keaifan orang, dan janganlah sesetengah kamu
mengumpat akan sesetengahnya yang lain. Sukakah seseorang dari kamu memakan
daging saudaranya yang telah mati? (jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah
tentu kamu jijik kepadanya. (oleh itu, patuhilah larang-larang yang tersebut)
dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah penerima taubat, lagi amat
mengasihani. (Surah al-Hujurat 49:12).
Selain dari itu Rasulullah SAW juga telah menunjukkan
cara-cara untuk melayani masyarakat bukan Muslim. Perkara pokok yang utama
adalah hendaklah menguatkan Akidah pada hati bahawa selain agama Islam adalah
ditolak. Hendaklah meyakini bahawa Islam adalah agama untuk manusia seluruh
alam ini. Allah SWT tidak menerima selain agama Islam. Oleh itu untuk melayani
mereka hendaklah jangan meredai agama mereka dan janganlah sekali-kali
menjadikan mereka sebagai pemimpin, kerana ia boleh membahayakan umat Islam
sendiri. Namun begitu dari segi lain seperti memberi makan kepada yang lapar,
memberi minum kepada mereka yang dahaga adalah digalakkan. Di samping itu dalam
pergaulan dengan mereka biarlah dapat membezakan antara orang Islam dengan
orang bukan Islam, kerana Rasulullah SAW mengajarkan supaya adakan perbezaan
agar dapat dikenali antara Muslim dengan bukan Muslim.
Setelah mengkaji beberapa ayat al-Quran dan al-Hadith
berkenaan layanan, maka dapat dibuat kesimpulan bahawa setiap individu yang ada
di sekeliling kita mempunyai hak yang tersendiri. Mereka yang utama patut
diberi layanan ialah ibu bapa. Kemudian dalam keluarga sendiri seperti suami,
isteri, anak, orang gaji, jiran dan sebagainya. Setelah itu terhadap golongan
masyarakat yang memerlukan seperti anak yatim, golongan fakir miskin, saudara
mara yang terdekat dan sebagainya. Akhir sekali terhadap semua lapisan
masyarakat sama ada Muslim atau sebaliknya.
2.1.4 Hospitaliti Nabi Ibrahim as
Untuk meneruskan perbincangan berkenaan hospitaliti Islam
menurut al-Quran adalah dengan merujuk kepada kesah Nabi Ibrahim (AS) yang
telah melayani tetamunya. Walaupun tetamunya itu tidak dikenali, baginda (AS)
tetap melayani bersungguh-sungguh.
Mengikut peraturan al-Quran, seperti yang telah disebutkan
dalam kisah berkenaan, baginda (AS) menyambut kedatangan tetamunya itu dengan
menjawab salam dan mempersilakan kedatangan mereka. Setelah itu dengan
diam-diam baginda telah pergi kepada keluarganya untuk menyiapkan makanan
sebagai jamuan kepada tetamu yang baru tiba itu.
Cara melayani tetamu yang telah ditunjukkan oleh Nabi
Ibrahim (AS) yang diceritakan di dalam al-Quran itu adalah sebagai pengajaran
kepada seluruh umat Islam. Ayat berkenaan tidak menyentuh dengan jelas
berkenaan hukum menyambut tetamu, tetapi mengisahkan hospitaliti Nabi Ibrahim
terhadap tetamunya.
Hospitalti itu patut dijadikan teladan kepada semua umat
Islam. Etiket melayani tetamu dapat diambil daripada ayat berkenaan
sekurang-kurangnya enam peringkat layanan;
1) Menyambut baik kedatangan tetamu.
2) Salam yang diucapkan oleh tetamu dibalas dengan salam.
3) Tetamu dipersilakan masuk / mengambil tempat.
4) Tetamu diberi peluang untuk rehat.
5) Menyediakan makanan yang terbaik baginya.
6) Melayan di meja makan.
Di dalam hadith Rasulullah SAW banyak menyentuh supaya
memuliakan tetamu atau ikram al-daif. Oleh sebab tabiat manusia yang terlalu
mementingkan diri sendiri, untuk mengajak mereka supaya memuliakan tetamu maka
dijadikan suatu persoalan, ingatkan Allah dan ingatkan hari pembalasan itu
sebagai pemecah kebakhilan. Rasulullah SAW mengingatkan dalam sebuah hadith;
Terjemahan: Dari Abu Hurairah (RA), bahwasanya Nabi SAW
bersabda: "Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir, maka
hendaklah memuliakan tetamunya dan barang siapa yang beriman kepada Allah dan
hari akhir, maka hendaklah mempererat hubungan kekeluargaannya dan barang siapa
yang beriman kepada Allah dan hari akhir, maka hendaklah mengucapkan yang baik
ataupun berdiam. (Hadith diriwayatkan oleh al-Bukhari).
Hadith di atas menjelaskan hubungan keimanan kepada Allah
SWT dan hari pembalasan dengan memuliakan tetamu itu amat erat. Dengan kekuatan
keimanan kepada kedua-duanya mengajak seseorang itu meningkatkan lagi prestasi
mereka dalam melayani tetamu. Dalam erti kata yang lain, kepuasan layanan yang
diterima oleh seseorang tetamu itu bergantung kepada kualiti keimanan tuan
rumah terhadap keimanan mereka kepada Allah SWT dan hari pembalasan.
Kesimpulannya Islam mengajar penganutnya supaya melayani
secara bersopan santun kepada ibu bapa, suami isteri, jiran, masyarakat Islam
dan seterusnya kepada semua manusia. Layanan yang baik bermula daripada
keluarga, seterusnya diperluas skopnya kepada seluruh masyarakat.
3.2 Pendidikan Rasulullah SAW dalam Hospitaliti
Rasulullah SAW adalah merupakan contoh atau ikutan kepada
seluruh manusia dalam semua hal sebagaimana firman Allah SWT:
Terjemahan: Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri
Rasulullah itu contoh ikutan Yang baik, Iaitu bagi orang Yang sentiasa
mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula
menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)
(Surah al Ahzab: 21)
3.2.0 Draf pendidikan Rasulullah SAW
Masyarakat Arab Jahiliah terkenal dengan sifat hospitaliti
(ikra al daif), tetapi konsep dan pelaksanaannya sempit dan terbatas. Mereka
lebih menumpukan kepada membela suku kabilah dan keluarga sendiri semata-mata
tanpa mengambil kira benar atau salah.
Antara lain sikap masyarakat Arab Jahiliah suka memandang
rendah kepada kelompok lain serta menghina antara satu sama lain. Sikap
jahiliah ini masih terbawa-bawa ke dalam masyarakat awal Islam yang sedang
dipimpin oleh baginda Rasulullah SAW. Rasulullah SAW sentiasa mendidik
masyarakat Arab Jahiliah ini menjadi manusia yang benar-benar berkualiti
memiliki sifat menghormati antara satu sama lain.
Sikap memandang rendah terhadap sesama masyarakat Islam
masih wujud iaitu semasa peringkat pertama mereka menganut agama Islam. Sifat
jahiliah masih terbawa-bawa dalam kehidupan harian, sedangkan Rasulullah SAW
begitu sibuk dan bergiat memperbaik akhlak para sahabat. Apabila mereka
berpindah ke Madinah, maka masalah akhlak buruk kian pupus sebagai hasil
pendidikan Rasulullah SAW. Namun begitu bagi mereka yang baru menganut agama
Islam masih lagi mempunyai akhlak-akhlak buruk.
Sementara masyarakat Arab yang masih belum menganut Islam,
keadaan akhlak mereka teramat buruk. Orang Yahudi yang menerima al-Kitab tidak
terlepas daripada berakhlak demikian terhadap sesama manusia. Pada umumnya
masyarakat Arab jahiliah amat bakhil untuk memberikan sumbangan kepada tetamu
mereka, lebih-lebih lagi tetamu yang hadir itu dianggap tidak berguna kepada
mereka. Dalam satu peristiwa pernah diceritakan berkenaan satu rombongan yang
terdiri daripada beberapa orang Islam telah melalui satu perkampungan dan
memohon sedikit bantuan makanan, tetapi malangnya masyarakat kampung berkenaan
tidak mahu menunaikan permintaan mereka.
Setelah Rasulullah SAW mendidik mereka berkenaan akhlak
selama 13 tahun di Makkah dan 10 tahun di Madinah maka sikap mereka telah
banyak berubah khususnya dalam hospitaliti. Mereka berlumba-lumba untuk menjamu
dan berlumba-lumba untuk melakukan kebaikan kepada sesama insan, sama ada
mereka terdiri daripada golongan lelaki ataupun wanita, sama ada peringkat
sahabat atau pun selepas sahabat (tabi‘in).
Sepanjang dakwah Rasulullah SAW di Mekah selama 13 tahun
dari tahun 610-622M lebih menekankan kepada soal keimanan dan akhlak.
Rasulullah SAW mendidik para sahabat (RAnhum) dengan akhlak yang mulia dengan
menjaga kebersihan rohaniah dan jasmaniah, melayani manusia dengan cara yang
terbaikbaik seperti berlemah lembut terhadap golongan peminta dan anak yatim.
Rasulullah SAW sendiri pernah merasai hidup tanpa kasih
sayang daripada ibu bapa. Pengalaman yang merupakan pendidikan akhlak yang
langsung dari Allah SWT itu amat berharga.
Pendidikan ini menjadikan Nabi Muhammad SAW menjadi insan
yang benar-benar lemah lembut dan beradab sopan. Baginda telah menjelaskan
pendidikan akhlaknya diterima terus daripada Allah SWT seperti sabda baginda
SAW;
Terjemahan: Tuhanku yang mendidikku, maka Dia memperbaiki
perangaiku. (Hadith diriwayatkan oleh Ibn al-Sam‘ani di dalam adab al-imla’ ,
dari Ibn Mas‘ud. Hadith ini adalah sahih).
Melalui pendidikan daripada Allah SWT telah menjadikan
baginda SAW seorang yang amat pemurah. Ibn ‘Abbas (RA) menggambarkan pemurahnya
baginda Rasulullah SAW dalam membuat kebaikan itu lebih murah daripada angin
berhembus lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan.
Kesempurnaan akhlak baginda Rasulullah SAW itu telah diakui
oleh Allah SWT dan ini merupakan persediaan untuk membawa ajaran Islam.
Pengakuan Allah SWT berkenaan kesempurnaan akhlak Rasulullah SAW telah
diungkapkan di dalam firmanNya;
Terjemahan: Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak
yang sangat-sangat mulia. (Surah al-Qalam : 4).
Bentuk pendidikan Islam yang diperkenalkan kepada para
sahabat oleh Rasulullah SAW adalah lebih bercorak praktikal, sebagai contoh
cara-cara baginda mengajar sembahyang kepada sahabat iaitu baginda SAW meminta
mereka melakukan seperti yang mereka lihat baginda Rasulullah SAW melakukannya.
Daripada beberapa peristiwa yang berkaitan dengan pelayanan
telah membuktikan kepada kita bahawa teknik pengajaran Rasulullah SAW adalah
lebih kepada bentuk amali jika dibandingkan dengan bentuk teori. Sahabat
mentaati baginda SAW adalah berdasarkan perkara yang baginda SAW lakukan.
Amalan baginda SAW dari segi akhlak seperti amanah, adil, pemurah, rendah diri,
memuliakan tetamu dan sebagainya telah menjadi contoh untuk diikuti oleh
sahabat. Oleh itu tidak hairanlah baginda SAW melakukan sebaik-baik layanan
terhadap mereka yang mendatanginya telah menjadi ikutan hingga hari ini.
Baginda SAW telah mempraktikkan cara menyambut tetamu, melayani dan menghormati
mereka.
Dalam pada itu baginda Rasulullah SAW juga mendidik mereka
teknik memberi penghormatan iaitu jangan sampai menyerupai Yahudi dan Nasrani.
Orang Yahudi memberi penghormatan dengan mengisyaratkan dengan jari, manakala
orang Nasrani memberi ucapan hormat dengan tapak tangan. Sabda Rasulullah SAW;
Terjemahan: Dan diriwayatkan dari ‘Amr bin Syu‘aib dari
bapanya dari datuknya (RA): Rasulullah SAW bersabda: Tidaklah dari golongan
kami orang yang tidak menyerupai kami. Janganlah menyerupai Yahudi dan Nasrani.
Maka salam cara Yahudi ialah mengisyaratkan dengan jari, dan sesungguhnya salam
Nasrani dengan tapak tangan. (Hadith diriwayatkan oleh al-Tirmidhi).
Pada hal dalam Islam menghormat sesama mereka adalah dengan
mengucapkan salam. Salam yang dianjurkan ialah; “al-salam ‘alaikum” dan
hendaklah dijawab dengan yang lebih sempurna atau yang setanding dengannya
seperti “wa ‘alai kum al-salam wa rahmat Allah”.
Seterusnya Rasulullah SAW mendidik para sahabat (RAnhum)
supaya mempraktikkan sendiri hospitaliti. Walaupun sahabat baginda tidak
mempunyai kemampuan harta benda yang mencukupi, maka ini adalah satu cabaran
kepada mereka supaya melakukannya mengikut kemampuan yang ada. Hospitaliti yang
baik bukanlah bergantung kepada kuantiti makanan yang banyak, tetapi kualiti
layanan. Dalam perkataan yang lain, tidak memberi makan itu lebih baik daripada
memberi makan tetapi mengeluarkan kata-kata yang tidak baik atau memberi
layanan yang buruk.
Bilal bin Rabah (RA) pernah diperintahkan oleh Rasulullah
SAW supaya melayani utusan yang datang dari Tajiba dengan baik. Rasulullah SAW
juga memerintahkan beliau (RA) supaya membekalkan hadiah-hadiah yang baik
seperti mana yang baginda SAW pernah berikan kepada utusan sebelum dari itu.
Selain itu Rasulullah SAW telah mendidik para sahabat
(RAnhum) supaya memberanikan diri dalam melayani tetamu yang jumlahnya besar.
Walaupun kemampuan terhad, namun menyambut dan melayani tetamu lebih utama.
Diceritakan dalam satu peristiwa, Rasulullah SAW
memerintahkan ‘Umar al-Khattab (RA) supaya melayani tetamu dari Muzainah
seramai empat ratus orang lelaki, iaitu dengan membekalkan mereka dengan
bekalan makanan untuk perjalanan pulang. ‘Umar al-Khattab (RA) telah menjemput
mereka datang ke rumah dan membenarkan mereka masuk. Nu‘man bin al-Muqarrin
adalah salah seorang daripada ahli rombongan itu mengatakan terdapat selonggok
tamar di dalam rumah ‘Umar al-Khattab. ‘Umar al-Khattab mempelawa mereka
mengambilnya, sehingga empat ratus orang mengambilnya, namun kata Nu‘man bin
al-Muqarrin, tamar itu masih banyak lagi bakinya.
Hal ini menunjukkan bahawa melayani tetamu itu mempunyai
keberkatannya yang tersendiri dan tidak dapat dinafikan juga mu‘jizat baginda
Rasulullah SAW mencukupkan makanan yang sedikit untuk jemuan kepada tetamu yang
ramai.
Kebiasaannya setelah baginda Rasulullah SAW menyambut dan
melayani tetamu yang hadir, semasa kepulangan mereka dibekalkan pula dengan
hadiah. Hadiah merupakan perkara yang penting bagi Rasulullah SAW. Dengan
hadiah itu juga memberi kesan pada hati mereka dan keluarga mereka terhadap
Islam. Melalui hadiah juga dapat menghubungkan dan mengeratkan tali
persaudaraan sesama umat Islam. Dalam sebuah hadith menyebutkan;
Terjemahan: Adalah baginda sentiasa menyuruh memberikan
hadiah sebagai menghubungkan sesama manusia. (Hadith diriwayatkan oleh Ibn
‘Asakir dari Anas. Hadith ini adalah hasan).
Pada umumnya apa yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW kepada
para sahabat berkenaan hospitaliti itu adalah sebagai hasil pendidikan akhlak
daripada Allah SWT sendiri. Dalam erti kata yang lain, Nabi Muhammad SAW
bukanlah mencipta sendiri berkenaan budi pekerti dan adab sopan santun itu.
Oleh sebab pendidikan akhlak datang daripada Allah SWT dan
merupakan syari‘at kepada umat Islam, serta bersifat universal, maka ia dapat
diterima dengan baik oleh bangsa Arab semasa itu.
Jika pengetahuan berkenaan sampai kepada semua manusia di
dunia ini, sudah tentulah ia dapat dipelajari dan diamalkan dalam kehidupan
mereka.
3.2.1 Pendekatan hospitaliti Rasulullah SAW
Menyambut, melayani dan memberikan makan kepada tetamu
merupakan amalan nabi-nabi dan rasul-rasul. Nabi Ibrahim (AS) adalah merupakan
nabi pertama dikisahkan memuliakan tetamunya.
Seterusnya sifat yang mulia ini diteruskan oleh nabi-nabi
berikutnya. Nabi Muhammad SAW pula melengkapkan lagi hospitaliti ini yang bukan
sahaja menyambut dan melayani tetamu, malah diberikan pula hadiah atau bekalan
untuk perjalanan pulang sama ada berupa makanan, pakaian atau pun wang.
Pernah satu ketika utusan Salaman datang ke Madinah untuk
menganut agama Islam. Mereka terdiri daripada tujuh orang. Di samping bertujuan
menganut agama Islam, mereka memohon kepada Rasulullah SAW supaya mendoakan
negeri mereka yang kemarau supaya dituruni hujan. Rasulullah SAW pun mendoakan.
Apabila tiba masa keberangkatan pulang, maka Rasulullah SAW telah membekalkan
bersama hadiah-hadiah. Setelah sampai di negeri mereka, di khabarkan kepada
mereka hujan telah turun pada hari Rasulullah SAW mendoakan.
Suatu teknik hospitaliti yang diperkenalkan oleh Rasulullah
SAW ialah menggembirakan hati tetamu ketika kepulangan mereka dengan memberikan
tanda kenangan kepada tetamu dan perkara ini dapat memberi kesan yang mendalam
kepada hati setiap pengunjung. Jenis-jenis pemberian dan nilainya tidaklah
penting, tetapi yang penting ialah menggembirakan mereka.
Selain memuliakan tetamu dari luar negeri, Rasulullah SAW
amat memuliakan para sahabat (RAnhum) terutamanya daripada golongan yang lemah
seperti Ahl al-Suffah, yang merupakan tetamu dalam negeri. Rasulullah SAW
begitu memahami perasaan golongan yang lemah ini kerana baginda SAW sendiri
merasa demikian melalui cara hidup yang sederhana.
Sering kali apabila baginda SAW bertemu dengan mereka
dijemputnya mereka datang ke rumah untuk diberi jamuan mengikut apa yang ada.
Golongan yang lemah seperti Ahl al-Suffah ini digelar oleh baginda SAW sebagai
tetamu umat Islam yang berhak mendapat layanan. Dalam suatu hadith ada
menceritakan;
Terjemahan: Dari Abu Hurairah (RA) katanya: Rasulullah SAW
telah melewati aku dan bersabda: "Ya Abu Hir!". Aku menjawab:
"Baik ya Rasulullah". Baginda pun bersabda: "Temuilah Ahli
al-Suffah dan panggillah mereka". Abu Hurairah berkata: Ahli al-Suffah
adalah tetamu-tetamu umat Islam. (Hadith diriwayatkan oleh Abu Na‘in di dalam
al-Hilyah).
Pengalaman sebagai anak yatim telah mendidik baginda
menyintai mereka. Sehingga Rasulullah SAW mengingatkan kita bahawa Allah SWT
amat menyintai rumah yang ada anak yatim di dalamnya yang dilayani dengan
sebaik-baiknya. Sabda Rasulullah SAW;
Terjemahan: Sabda Rasulullah SAW: Rumah-rumah kamu yang
dicintai Allah ialah rumah yang di dalamnya terdapat anak yatim yang
dimuliakan. (Hadith diriwayatkan oleh al-Baihaqi di dalam Syu‘ab al-iman dari
‘Umar).
Selain itu Rasulullah SAW juga memberi layanan terhadap
kanak-kanak. Kebiasaannya baginda SAW menyambut kelahiran kanak-kanak itu
dengan memberi sedikit kurma serta menamakan mereka dengan nama yang baik-baik.
Seterusnya baginda SAW mendoakan semoga anak itu mendapat berkat dan mendapata
kebahagiaan dari Allah SWT.
Apabila Rasulullah SAW lalu pada kumpulan kanak-kanak
baginda sentiasa mengucapkan salam, seperti yang diceritakan oleh Anas bin
Malik (RA);
Terjemahan: Dari Anas (RA) berkata: Sesungguhnya Rasulullah
SAW telah melalui kanak-kanak, maka baginda SAW mengucapkan salam ke atas
mereka. (Hadith diriwayatkan oleh al Bukhari dan Muslim).
Kesimpulannya, Rasulullah SAW telah memperlihatkan kepada
sahabat dan seluruh manusia berkenaan layanan baik baginda terhadap keluarga,
fakir, miskin, anak yatim, pengunjung dan sebagainya. Layanan bermula daripada
kanak-kanak yang baru dilahirkan sehinggalah menghantar jenazah ke pusara.
Layanan berkenaan adalah bersifat sempurna dan menyeluruh yang dapat dijadikan
contoh untuk diteladani khususnya dalam industri hospitaliti.
3.3 Hospitaliti dalam Sejarah Sahabat
Peribadi baginda Rasulullah SAW yang mulia itu amat berkesan
kepada jiwa para sahabat (RAnhum), hingga membudaya dalam diri mereka berkenaan
apa saja yang diucapkan dan apa saja yang diamalkan oleh Rasulullah SAW semasa
melayani tetamu.
Sebenarnya tidak dapat disenaraikan nama sahabat yang
terlibat secara langsung dalam melayani tetamu, kerana ruang tidak mengizinkan.
Dapat dikatakan semua sahabat baginda SAW pernah melibatkan
diri dalam melayani tetamu. Namun begitu berikut dibawakan beberapa contoh
hospitaliti sahabat terhadap tetamu mereka.
3.3.0 Salman al-Farisi
Suatu ketika Salman al-Farisi masuk bertemu Nabi Muhammad
SAW. Ketika itu baginda SAW sedang bersandar pada sebuah bantal yang berisi pelepah
tamar. Lalu baginda SAW telah mencampakkan bantal itu kepada Salman al-Farisi
sebagai menghormati kedatangannya itu. Lalu baginda SAW memberi tahu bahawa
perbuatan menghormati tetamu seperti memberi bantal kepada tetamu sebagai
penghormatan itu mendapat keampunan daripada Allah SWT. Dengan itu Salman
al-Farisi telah mempraktikkan amalan itu kepada sesiapa sahaja yang datang
menemuinya sebagai tanda menghormati tetamu.
Terjemahan: Dari Anas bin Malik (RA). katanya: "‘Umar
telah masuk menemui Salman al-Farisi (RA) di mana Salman telah mengeluarkan
sebiji bantal untuknya. ‘Umar (RA). pun bertanya kepada Salman: "Apa ini
ya Salman?" Salman pun berkata: "Aku telah mendengar Rasulullah SAW
bersabda: "Tiadalah seorang Muslim itu masuk menemui saudaranya kemudian
mencampakkan sebiji bantal kepada saudaranya dengan tujuan untuk memuliakannya
melainkan Allah mengampunkan dosanya." (Hadith diriwayatkan oleh
al-Tabrani di dalam al-saghir).
3.3.1 Umar al-Khattab
Umar al-Khattab juga melakukan penghormatan yang sama ketika
Salman al-Farisi datang menziarahinya seperti yang tercatat dalam Hayat
al-sahabah;
Terjemahan: Dari Anas bin Malik (RA) berkata: Salman
al-Farisi telah masuk menemui ‘Umar al-Khattab, dan dia sedang bersandar pada
sebuah bantal, maka dicampaknya bantal itu kepada Salman. Maka Salman berkata:
“Benarlah Allah dan RasulNya”, ‘Umar berkata: “Ceritakanlah kepada kami wahai
bapa Abdullah”. Salman berkata: “Aku telah masuk menemui Rasulullah SAW, dan
dia sedang bersandar kepada sebuah bantal sandar, lalu dicampakkan kepadaku,
kemudian baginda bersabda: “Wahai Salman, tidaklah dari kalangan seorang Muslim
yang masuk menemui saudaranya maka dicampakkan kepadanya bantal sandar dalam
keadaan memuliakannya, kecuali Allah memberi keampunan kepadanya. (Hadith
diriwayatkan oleh al-Hakim).
Dalam peristiwa yang lain ‘Umar al-Khattab telah
membelanjakan sebahagian daripada hartanya untuk menjamu tetamunya seperti
dalam sebuah athar;
Terjemahan: Diriwayatkan daripada Ibnu ‘Umar (RA) katanya:
‘Umar telah mendapat sebidang tanah di Khaibar kemudian dia datang mengadap
Nabi SAW untuk minta tunjuk ajar berkenaan cara pengelolaannya, katanya: Wahai
Rasulullah! Saya telah mendapat sebidang tanah di Khaibar. Belum pernah saya
memperolehi harta yang lebih baik daripada ini. Apakah cadangan kamu mengenai
perkara ini? Baginda bersabda: Jika kamu suka, jaga tanah itu dan kamu
sedekahkan manfaatnya. Lalu ‘Umar mengeluarkan sedekah hasil tanah itu dengan
syarat tanahnya tidak boleh dijual dan dibeli serta diwarisi atau dihadiahkan.
‘Umar mengeluar sedekah hasilnya kepada fakir miskin, kaum kerabat dan untuk
memerdekakan hamba juga untuk orang yang berjihad di jalan Allah serta untuk
bekal orang yang sedang dalam perjalanan dan menjadi hidangan untuk tetamu.
Orang yang mengurusnya boleh makan sebahagian hasilnya dengan cara yang baik
dan boleh memberi makan kepada temannya dengan sekadarnya. (Hadith diriwayatkan
oleh al-Bukhari).
Daripada kenyataan di atas telah menggambarkan kepada kita
bahawa hospitaliti yang ada pada ‘Umar al-Khattab dan sahabat-sahabat lain
terhadap tetamu sudah menjadi sebahagian daripada cara hidup mereka, sehingga
‘Umar sendiri tidak menyedari perlakuannya terhadap Salman adalah merupakan
satu penghormatan atau kemesraan terhadap tetamu. Hal ini membuktikan bahawa
pengajaran Rasulullah SAW dalam bidang hospitaliti terhadap sahabat, dianggap
amat berjaya dan mencapai matlamatnya.
3.3.2 Anas bin Malik
Para sahabat amat mengutamakan hospitaliti dalam semua
keadaan, sama ada ketika mereka senang atau susah, sama ada ketika mereka sihat
atau pun sakit, kerana amalan menghormati tetamu ini adalah daripada akhlak
yang baik dan merupakan amalan kebaktian yang dijanjikan oleh Allah SWT pahala
pada hari akhirat.
Para sahabat (RAnhum) sering dikunjungi tetamu untuk
bertanyakan soal-soal agama dan sebagainya, khususnya ketika sakit ramailah
tetamu yang hadir untuk menziarahi.
Dalam keadaan sakit pun para sahabat (RAnhum) masih dapat
melayani tetamu. Demikianlah diceritakan berkenaan layanan seorang sahabat yang
sedang sakit terhadap tetamunya;
Terjemahan: Dan dari Humaid al-Tawil, dari Anas bin Malik
(RA) berkata: Telah masuklah satu kumpulan penziarahnya semasa sakitnya, lalu
beliau berkata: "Wahai jariah silalah melayani sahabat-sahabatku walaupun
dengan sedikit roti, maka sesungguhnya aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:
Kemuliaan akhlak adalah dari amalan syurga". (Hadith diriwayatkan oleh
al-Tabrani di dalam al-ausat dengan sanad jayyid).
3.3.3 Abu Usaid al-Sa‘idi
Diceritakan dalam sebuah athar berkenaan layanan Abu Usaid
dan isterinya terhadap tetamu yang datang mengunjungi semasa hari perkahwinan
mereka;
Terjemahan: Diriwayatkan daripada Sahl bin Saad (RA)
katanya: Abu Usaid as-Sa‘idi telah mengundang Rasulullah SAW untuk menghadiri
majlis perkahwinannya. Pada hari itu isterinya sendiri, iaitu pengantin
perempuan melayani para tamu. Selepas itu Sahl berkata: Tahukah kamu apa yang
telah diberikan oleh isteriku kepada Rasulullah SAW sebagai minuman? Dia
(isteriku) telah merendam beberapa biji kurma pada malamnya dalam mangkuk.
Ketika Rasulullah SAW makan dia memberikan kurma yang direndam itu sebagai
minuman baginda SAW. (Hadith diriwayatkan oleh al Bukhari dan Muslim).
Dalam memberi layanan, sesuatu keluarga sama ada isteri atau
suami perlu sama-sama memberi sumbangan dalam melayani tetamu mereka. Mereka
telah memuliakan Rasulullah SAW sebagai tetamu mereka yang terhormat dengan
memberikan makanan yang istimewa terhadap tetamunya itu.
3.3.4 AbdulLah bin al-Harith bin Jaz’i al-Zubaidi
Terdapat dalam sebuah athar berkenaan penghormatan Abdullah
bin al-Harith terhadap tetamunya dengan menyediakan tempat duduk yang selesa
untuk mereka;
Terjemahan: Dikeluarkan oleh Ibnu Jarir daripada Ibrahim bin
Syaiban daripada seorang lelaki katanya: Dua orang lelaki telah masuk menemui
Abdullah bin al-Harith bin Jazi al-Zubaidi (RA). Abdullah pun mengambil bantal
yang disandarinya lalu mencampakkannya kepada kedua-dua orang lelaki tersebut.
Merekapun berkata kepada Abdullah: Kami tidak mahu yang ini. Adapun apa yang
kami mahu hanya mendengar sesuatu darimu yang boleh kami manfaati. Abdullah
berkata: Sesungguhnya barangsiapa yang tidak memuliakan tetamunya, maka beliau
bukanlah dari kalangan umat Muhammad ataupun Ibrahim.
Yang dapat difahami daripada athar di atas adalah berkenaan
kelakuan sahabat terhadap tetamu mereka apabila menyambut kedatangan tetamu.
Walaupun tetamunya tidak memerlukan layanan, namun layanan wajib diutamakan
daripada perkara-perkara lain.
3.3.5 Para pengusaha
Tidak kurang juga para pengusaha seperti tukan jahit
daripada kalangan sahabat banyak mengadakan majlis jamuan untuk tujuan
memuliakan tetamu. Dalam sebuah hadith ada menyebut;
Terjemahan: Diriwayatkan daripada Anas bin Malik (RA)
katanya: Seorang tukang jahit telah mengundang Rasulullah SAW untuk menghadiri
suatu jamuan makan. Anas bin Malik berkata: Aku pergi bersama Rasulullah SAW
menghadiri jamuan makan tersebut. Dia menghampiri Rasulullah SAW dan
menghidangkan roti dari barli serta kuah berisi buah labu dan daging bakar.
Anas berkata: Aku melihat Rasulullah SAW mencari-cari buah labu dari dalam
sahfah. (Hadith diriwayatkan oleh Ahmad ibn Hanbal).
Daripada hadith di atas telah menjelaskan berkenaan
keinginan seorang peniaga tukang jahit yang kehidupannya sibuk dengan
tugas-tugas harian telah mempunyai kesempatan untuk mengadakan satu majlis
jamuan untuk mengundang Rasulullah SAW sebagai tetamunya untuk dilayani.
3.3.6 Sukarelawan wanita
Pengaruh untuk menghormati dan melayani tetamu ini bukan
sahaja terdiri daripada golongan Muslim dan sahabat Rasulullah SAW sahaja,
malah ia juga meresap ke dalam jiwa wanita Islam. Diceritakan emak Hasan bin
Hakim sering kali memasak roti setiap pagi dan memberikannya kepada anak yatim,
orang miskin dan janda-janda, sebagaimana diceritakan;
Terjemahan: Dari Hasan bin Hakim daripada ibunya,
sesungguhnya ibunya akan memasak setiap pagi sebekas penuh tharid (roti) untuk
dibahagikan kepada janda-janda, anak-anak yatim dan orang-orang miskin. (Hadith
diriwayatkan oleh Ibn Sa‘ad).
Juga ada daripada kalangan wanita Islam yang menyediakan
makanan untuk para sahabat (RAnhum) yang balik daripada menunaikan sembahyang,
sebagai menghormati tetamu yang sudi singgah di rumahnya. Diceritakan dalam
sebuah athar;
Terjemahan: Diberitakan dari Sahl (RA). katanya: "Ada
seorang wanita menanam saldari di tepi parit kebunnya. Bila tiba hari Jumaat
dicabutnya batang saldari itu dan direbuskannya dalam periuk serta dicampurnya
dengan segenggam barli. Maka batang saldari itu merupakan daging. Apabila kami
kembali dari solat Jumaat, kami datang mengucapkan salam kepadanya, lalu
dihidangkannya makanan tadi kepada kami dan kami mengambilnya dengan senduk.
Kami ingin supaya hari Jumaat cepat datang, kerana hidangan wanita itu. (Hadith
diriwayatkan oleh al-Bukhari).
Oleh sebab pendidikan yang diberikan oleh Rasulullah SAW
dalam melayani tetamu ini melalui praktikal dan mudah diamalkan maka umat Islam
pada zaman awal dapat melaksanakan dengan baik.
Kesedaran melayani tetamu ini telah membudaya dalam
kehidupan mereka dan semangat berlumba-lumba dalam melayani tetamu ini telah
mencapai tahap yang tinggi, sehingga setiap individu Muslim adalah bersedia
menjadi pelayan sama ada mereka lelaki, perempuan ataupun mereka yang sedang
berada dalam situasi kegeringan.
3.4 Rumusan hospitaliti menurut wahyu
Berdasarkan al-Qur’an dan al-Hadith maka dapatlah diambil
daripadanya beberapa peraturan untuk dijadikan pedoman kepada tuan rumah atau
hos. Rasulullah SAW selaku hos telah meletakkan satu garis panduan untuk
sahabat melayani tetamu.
Antara pengajaran baginda SAW yang dapat dirumuskan
termasuklah teknik menyambut tetamu, melayani mereka, penyediaan kemudahan,
etiket penyediaan makan dan minuman, teknik melayani di meja makan, penyediaan
tempat penginapan, menjamin keselamatan tetamu, mengelakkan tetamu daripada
sebarang gangguan dan akhir sekali layanan pada saat perpisahan.
3.4.0 Adab Menyambut tetamu
Rasulullah SAW telah menjelaskan berkenaan dua insan yang
bertemu supaya mereka memulakan dengan ucapan salam. Walaupun etiket salam mengarahkan,
yang datang sepatutnya mengucapkan salam terlebih dahulu kepada tuan rumah,
tetapi boleh juga tuan rumah memberi salam kepada tetamu, kerana berlumba-lumba
mengucapkan salam adalah digalakkan seperti hadith;
Terjemahan: Dari Abu Umamah berkata: Ditanyakan, wahai
Rasulullah dua orang bertemu siapakah di antara mereka yang mendahului salam?.
Beliau bersabda: Orang yang lebih dekat terhadap (rahmat) Allah itulah orang
memulai salam. (Hadith diriwayatkan oleh al-Tirmidhi, ista’dhan : hadith ini adalah
hasan).
Mengikut keadaan biasa, tetamulah yang memulakan salam,
seperti telah disebutkan sebelum ini berkenaan tetamu Nabi Ibrahim (AS) datang
bertemunya dengan mengucapkan salam.
Daripada ayat di atas telah menjelaskan cara Nabi Ibrahim
(AS) menyambut kedatangan tetamunya. Setelah tetamunya masuk bertemu Nabi
Ibrahim (AS) dengan mengucapkan salam, lalu salam mereka dijawab olehnya.
Berkenaan cara menjawab salam, telah diterangkan oleh Allah SWT sebagaimana
firmanNya;
Terjemahan: "Apabila ada orang memberi hormat (salam)
kepada kamu, balaslah hormat (salamnya) dengan cara yang lebih baik, atau balas
penghormatan itu (serupa dengan penghormatannya); sesungguhnya Allah SWT itu
menghitung segala sesuatu." (Surah al-Nisa’ 4:86).
Ayat di atas menjelaskan berkenaan cara penghormatan
dibalas. Setiap ucapan salam yang diberikan hendaklah dibalas pula dengan
penghormatan yang sama atau lebih baik daripada itu. Walau bagaimanapun
terdapat sebuah hadith Rasulullah SAW berkenaan baginda pernah menjawab salam
terlalu ringkas;
Terjemahan: Dari Abu Hurairah berkata: Seorang masuk ke
dalam masjid sedangkan Rasulullah SAW duduk di sudut masjid kemudian beliau
sembahyang, kemudian orang itu datang dan mengucapkan salam atas beliau,
kemudian beliau bersabda: “Waalaika, (kembalilah ke atas kamu), pergilah
sembahyang kerana sesungguhnya kamu belum sembahyang…. (Hadith diriwayatkan
oleh al-Tirmidhi, hadith ini adalah hasan).
Daripada hadith di atas tidaklah diketahui mengapa sesingkat
itu dijawab oleh Rasulullah SAW. Kebiasaannya jawapan sedemikian itu hanya
untuk orang kafir atau ahli kitab yang memberi salam kepada baginda. Sesuai
pula dengan sembahyang lelaki itu yang tidak sempurna, lalu baginda memintanya
supaya mengulangi sembahyang itu. Ada kemungkinan juga salam yang diucapkan
oleh lelaki itu terhadap Rasulullah tidak sempurna, seperti tidak sempurnanya
beliau melakukan sembahyang. Jika sebutan salam itu tidak dijaga dari segi
makhraj hurufnya, ia akan membawa erti yang lain seperti “Al-samu alaikum”
ertinya “Mudah-mudahan kematian ke atas kamu”. Oleh itu tidak hairanlah baginda
menjawab demikian, kerana jawapan demikian adalah berbentuk sederhana.
Setelah tetamu itu memberi salam, maka barulah mereka
dipersilakan masuk, seterusnya Rasulullah SAW mengajarkan kepada kita supaya
berjabat tangan. Dengan berjabat tangan ini akan menambahkan dan mengeratkan
lagi tali persahabatan antara sesama Muslim. Selain itu, berjabat tangan juga
Allah SWT menjanjikan keampunan kepada mereka. Rasulullah SAW bersabda;
Terjemahan: Rasulullah SAW bersabda: Dua orang Muslim yang
bertemu, maka mereka berjabat tangan, maka Allah mengampuni keduanya sebelum
mereka berpisah. (Hadith diriwayatkan oleh Ahmad ibn Hanbal di dalam musnadnya
dan al-Tirmidhi, mereka mengambil dari al-Barra’. Hadith ini adalah hasan).
Dalam anjuran supaya berjabat tangan ini hanya digalakkan
antara sesama jenis. Manakala berjabat tangan yang berlainan jenis bukanlah
digalakkan oleh Rasulullah SAW dan tidak termasuk di dalam sunnahnya. Oleh itu
dinasihatkan kepada masyarakat Islam supaya elakkanlah diri daripada berjabat
tangan dengan mereka yang berlainan jenis. Rasulullah SAW bersabda;
Terjemahan: Sesungguhnya aku tidak menjabat tangan
orang-orang perempuan. (Hadith diriwayatkan oleh al-Tirmidhi, al-Nasa’i dan Ibn
Majah).
Demikianlah juga Rasulullah SAW melarang daripada berjabat
tangan dengan orang musyrik yang memusuhi Islam dan musuh umat Islam, seperti
di dalam hadithnya;
Terjemahan: Rasulullah SAW menegah berjabat tangan dengan
orang-orang musyrik . (Hadith diriwayatkan oleh Abu Na‘im di dalam al-Hilyah
dari Jabir).
Terdapat beberapa peraturan lain bagi penyambut tetamu,
iaitu ketika tetamu datang adalah dilarang bangun bagi menghormati kedatangan
mereka. Sebaliknya hendaklah duduk di tempat masing-masing. Teguran itu
dimuatkan dalam sebuah hadith;
Terjemahan: Dari Abu Majlaz berkata: bahawa Mu‘awiyyah (RA)
telah keluar dan Abdullah bin ‘A.mir dan Abdullah bin al-Zubir (RAnhum) sedang
duduk. Maka Ibn ‘A.mir (Abdullah bin ‘A.mir) pun bangun menyambut kedatangannya
manakala Ibn Zubir (Abdullah bin Zubir) duduk. Mu‘awiyyah berkata: Rasulullah
SAW bersabda: "Barangsiapa yang bangun untuk menyambut hamba-hamba Allah,
maka dia menyediakan rumahnya di dalam neraka". (Hadith diriwayatkan oleh
al-Bukhari).
Rasulullah SAW pernah menegah para sahabat (RAnhum) bangun
bagi menghormati kedatangannya. Baginda SAW menerangkan bahawa hanya
orang-orang ‘ajam sahaja yang bangun menghormati antara satu sama lain. Di
dalam Islam tidak diajar supaya membesar-besarkan antara satu sama lain. Sabda
baginda SAW;
Terjemahan: Dari Abu Umamah (RA) katanya: "Rasulullah
SAW telah keluar untuk menemui kami dengan bertongkat, lalu kami bangun untuk
menyambutnya. Rasulullah SAW bersabda: "Janganlah kamu bangun sebagaimana
orang-orang ajam membesar-besarkan antara satu sama lain". (Hadith
diriwayatkan oleh Ibn Jarir).
Terdapat dalam masyarakat kini yang masih menghormati
tetamunya dengan membongkokkan badan mereka. Keadaan ini juga ditegah dalam
Islam. Rasulullah SAW pernah melarang daripada memberi penghormatan dengan cara
membongkokkan badan.
Terjemahan: Dari Anas (RA), katanya: "Ada seorang
lelaki berkata: "Ya Rasulullah, ada seseorang di antara kita bertemu
dengan saudaranya atau sahabatnya, apakah ia boleh membongkokkan badan untuk
menghormatinya itu" Beliau SAW menjawab: "Tidak boleh." Orang
itu bertanya lagi: "Apakah boleh ia merangkulnya dan mencium
tubuhnya?" Beliau SAW menjawab: "Tidak boleh." Orang itu berkata
lagi: "Apakah boleh ia mengambil tangan saudara atau sahabatnya itu lalu
berjabat tangan dengannya?" Beliau SAW menjawab: "Ya, boleh."
(Hadith diriwayatkan oleh al-Tirmidhi, hadith ini adalah hasan).
Begitulah juga dilarang merangkul tubuh atau mencium
tubuhnya, kecualilah jika lama tidak berjumpa, baru balik dari mengerjakan haji
atau baru balik dari perjalanan yang jauh, seperti yang dirakamkan dalam sebuah
hadith;
Terjemahan: Dari Aisyah (RA.ha), katanya: “Zaid bin Harithah
datang di Madinah dan beliau SAW sedang ada dalam rumahku. Zaid mendatanginya
lalu mengetuk pintu, kemudian Nabi SAW berdiri untuk menyambutnya (kerana Zaid
baru datang dari berpergian) lalu beliau SAW menarik bajunya terus merangkul
serta menciumnya.” (Hadith diriwayatkan oleh Al-Tirmidhi, katanya hadith ini
adalah hasan).
Rasulullah SAW mengajarkan kepada sahabat (RAnhum) semasa
menyambut tetamu itu hendaklah dengan muka yang berseri-seri serta disusun pula
dengan kata-kata yang lembut serta mempersilakan mereka mengambil tempat duduk.
Walaupun tempat masih luas, baginda Rasulullah SAW masih mengesak-ngesak
sebagai tanda memberi ruang kepada tetamu yang hadir. Dalam sebuah hadith ada
menyebut;
Terjemahan: Dari Wathilah bin al-Khattab al-Qursyi (RA)
berkata: "Seorang lelaki telah memasuki masjid, dan ketika itu Nabi SAW
bersendirian, maka baginda SAW pun bergerak (memberi tempat duduk)
untuknya". Lelaki itu berkata: "Ya Rasulullah tempat ini masih
luas". Maka Rasulullah SAW Bersabda: "Sesungguhnya orang mukmin itu
mempunyai hak, jika dia melihat kedatangan saudaranya, maka hendaklah dia
melapangkan tempat duduk untuk saudaranya itu". (Hadith diriwayatkan oleh
al-Baihaqi dan Ibn ‘Asakir).
Baginda Rasulullah SAW sentiasa berkelakuan yang sama
terhadap semua orang, walaupun dengan anakandanya sendiri. Diceritakan baginda
SAW memuliakan anakandanya Fatimah (R.anha) dengan menyambut kedatangnya dan
memimpin tangan lalu mengucup di dahinya, demikianlah pula dilakukan oleh
anakandanya terhada Rasulullah SAW.
Terjemahan: Dari Aisyah (R.anha) katanya: "Aku tidak
pernah melihat seseorangpun yang lebih menyerupai Rasulullah SAW dari segi
percakapan, kata-kata dan duduk dari Fatimah (R.anha). Apabila Rasulullah SAW
melihat Fatimah (R.anha) datang, baginda akan melapangkan tempat duduk dengan
mengalu-alukan kedatangnnya, maka dikucupnya, kemudian memimpin tangan Fatimah
hingga duduk ditempat duduknya. Dan demikianlah apabila Nabi SAW datang
mengunjunginya, Fatimah akan menyambutnya maka dia mengucup Rasulullah SAW.
(Hadith diriwayatkan oleh al-Bukhari).
Rasulullah SAW mengajarkan kepada sahabat supaya memberi
perhatian terhadap pembesar-pembesar negara yang lebih semasa menghormati
mereka. Ketua sesuatu kaum amat berpengaruh kepada kaumnya. Oleh sebab itu,
jika layanan yang buruk diterima oleh ketua kaum itu maka gambaran buruklah
yang digambarkan oleh seluruh pengikutnya. Sebaliknya jika layanan yang baik
diterima oleh ketua kaum itu, maka ia menggambarkan berkenaan kebaikan
keseluruhan berkenaan layanan yang diterimanya. Oleh itu orang yang berpengaruh
patut diberi perhatian yang lebih semasa menyambut kedatangan dan melayani
mereka. Sabda Rasulullah SAW;
Terjemahan: Apabila datang kepadamu orang terhormat dari
satu kaum maka hormatilah dia. (Hadith diriwayatkan oleh Ibn Majah dari Ibn
‘Umar, diriwayatkan oleh al-Bazar dari Abu Hurairan. Hadith ini adalah sahih).
Rasulullah SAW pernah menyambut kedatangan Jarir (RA) yang
merupakan orang yang mulia daripada kaumnya. Jarir (RA) telah dipersilakan
masuk dan Rasulullah SAW menghamparkan kain selepangnya sebagai tempat duduk
tetamunya itu.
Terjemahan: Dari Jarir bin Abdullah al-Bajalli (RA). bahawa
beliau telah datang menemui Nabi SAW yang berada di rumahnya. Ketika itu
terdapat satu perhimpunan yang besar di sana. Beliaupun berdiri di pintu. Nabi
SAW telah melihat akan kedatangannya itu. Baginda SAW telah melihat kiri dan
kanan tetapi baginda SAW tidak mendapati tempat yang luas untuk diduduki oleh
Jarir, Rasulullah SAW pun mengambil kain selepangnya, kemudian melipatnya lalu
mencampakkannya kepada Jarir bin Abdullah (RA). seraya berkata kepadanya:
"Duduklah di atasnya". Jarir pun mengambil kain tersebut lalu mengulungnya
kemudian menciumnya, dan mencampakkannya kembali kepada Rasulullah SAW sambil
berkata: "Allah memuliakan kamu yang Rasulullah sebagaimana kamu
memuliakanku." Rasulullah SAW pun bersabda: "Sekiranya orang yang
mulia di dalam satu kaum datang menemuimu maka hendaklah kamu
memuliakannya." (Hadith diriwayatkan oleh al-Tabrani di dalam al-saghir
dan al-ausat).
Ketika baginda SAW hampir wafat, yang diulang-ulang pesanan
kepada para sahabat (RAnhum) antara lain supaya mereka menyambut kedatang
perutusan seperti yang dilakukan oleh baginda SAW.
Terjemahan: Dari Ibn ‘Abbas (RA).Rasulullah SAW berwasiat
ketika beliau hampir wafat dengan tiga perkataan: Pertama: Keluarkanlah orang
musyrik dari semenanjung Arab, kedua: sambutlah perutusan sebagaimana saya pernah
menyambut mereka, dan yang ketiga saya (Ibn ‘Abbas) lupa." (Hadith
diriwayatkan oleh al-Bukhari).
Antara cara yang dilakukan oleh baginda SAW ketika menyambut
kedatangan mereka adalah dengan mempersilakan mereka, memberi ruang untuk
duduk, melayani keperluan hajat mereka, menyediakan kemudahan penginapan, makan
dan minum seterusnya membekalkan kepada mereka hadiah dan bekalan makanan untuk
perjalanan pulang para perutusan itu.
Kesemua ini adalah merupakan peraturan akhlak baik yang
digalakkan kepada setiap penyambut tetamu atau tuan rumah melakukannya. Namun
begitu peraturan ini bukanlah bererti satu kewajipan, kerana tidak ada dalil
atau nas yang menunjukkan kutukan dan kemurkaan Allah SWT kepada mereka yang
tidak malakukan demikian.
3.4.1 Adab Melayani tetamu
Setelah seseorang tetamu disambut dengan penuh penghormatan
seperti yang dianjurkan oleh ajaran Islam, maka peringkat kedua-dua ialah
mereka dilayani mengikut keperluan mereka. Dalam melayani manusia, ia
memberlukan kesabaran dan kegigihan sepenuhnya.
Pihak tuan rumah sewajarnya memahami bahawa tetamu yang
hadir itu sedang mengalami kepenatan dalam perjalanan, tentulah memerlukan
layanan yang cukup. Segala kerenah tetamu itu sewajarnyalah dihadapi oleh
penyambut tetamu dengan penuh ketabahan.
Sebaliknya layanan yang diberikan kepada mereka itu
dijanjikan oleh Allah SWT dengan kebaikan. Sebenarnya tidak ada yang
menguntungkan langsung bagi mereka yang bongkak dan enggan melayani tetamu.
Rasulullah SAW bersabda;
Terjemahan: Dan dari ‘Uqbah bin ‘A.mir (RA) dari Nabi SAW
bersabda: "Tidak ada kebaikan bagi mereka yang tidak melayani
tetamu". (Hadith diriwayatkan oleh Ahmad ibn Hanbal di dalam musnadnya dan
al-Baihaqi di dalam al-sunan al-kubra, mereka berdua mengambil dari ‘Uqbah bin
‘A.mir. Hadith ini adalah hasan).
Melayani tetamu tidaklah bererti memberat-beratkan diri
dengan menyediakan keperluan mereka. Hanya cukup dengan apa yang ada. Mereka
hanya dituntut supaya melayani tetamu itu pada hari yang pertama sahaja.
Sementara hari berikutnya dikirakan sedekah. Apabila menjelang hari yang
ketiga, terpulanglah kepada tuan rumah, sama ada ingin mengenakan bayaran
ataupun tidak. Yang penting dalam menyambut tetamu itu ialah memperlihatkan
kesungguhan menerima kedatangan mereka dan kesungguhan dalam memberi layanan.
Suatu perkara yang patut menjadi ingatan kepada umat Islam
apabila melayani tetamu bukanlah bererti mereka mengalami kerugian apa-apa yang
diberikan oleh Allah SWTkepada mereka, tetapi lebih jauh daripada itu, bagi
mereka yang melayani tetamu itu dikaitkan dengan ketinggian nilai keimanan
seseorang itu disisi Allah SWT pada hari akhirat. Melalui khidmat melayani
tetamu itu, ia dapat memperbaik dan merapatkan hubungan persaudaraan sesama
umat Islam.
Hubungan yang baik antara sesama umat Islam itu amat penting
ke arah kekuatan perpaduan masyarakat Islam dan khidmat layanan diberikan hanya
kepada perkara-perkara yang diperlukan oleh pelanggan atau tetamu sahaja. Jika
mereka memerlukan makanan dan minuman, maka sediakanlah makanan dan minuman.
Jika tidak dapat disediakan makanan dan minuman yang
dipinta, janganlah berkata-kata yang menyakitkan hati mereka. Sebaliknya lebih
baik diam. Demikian juga jika mereka memerlukan khidmat tenaga, maka berilah
bantuan yang berupa tenaga sahaja. Jika mereka memerlukan bantuan yang berupa
nasihat, maka berikanlah nasihat kepada mereka. Sabda Rasulullah SAW;
Terjemahan: Dari Abu Hurairah (RA), bahwasanya Nabi SAW
bersabda: "Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir, maka
hendaklah memuliakan tetamunya dan barang siapa yang beriman kepada Allah dan
hari akhir, maka hendaklah mempererat hubungan kekeluargaannya dan barangsiapa
yang beriman kepada Allah dan hari akhir, maka hendaklah mengucapkan yang baik
ataupun berdiam. (Disepakati oleh al-Bukhari dan Muslim).
Mereka yang memerlukan khidmat layanan terdiri daripada
berbagai-bagai jenis lapisan masyarakat manusia. Maka Rasulullah SAW melayani
para tetamunya itu mengikut kedudukan tetamu itu dan mengikut pandangan mata
masyarakatnya, kerana ia dapat memberi gambaran keseluruhan berkenaan diri
penyambut tetamu oleh seluruh masyarakatnya itu. Hal ini bukanlah bererti
membeza-bezakan layanan antara orang kaya dengan miskin, dan tidak bererti
mengabaikan tetamu yang berkedudukan rendah. Yang dimaksudkan adalah cuba
memberi layanan yang sebaik-baiknya kepada semua lapisan masyarkat yang menjadi
tetamu, sementara orang yang terhormat hendaklah diberi layanan yang lebih.
Perkara ini, terdapat di dalam sebuah hadith athar;
Terjemahan: Ali (RA) telah memberikan seorang lelaki dengan
seratus dinar dan sepasang pakaian. Seseorang telah bertanya kepadanya mengenai
perbuatannya itu. Ali (RA) pun berkata: "Aku telah mendenganr Rasulullah
SAW bersabda: "Layanilah orang ramai mengikut kedudukan mereka. Maka
inilah kedudukan lelaki ini di sisiku". (Hadith diriwayatkan oleh
al-Hakim).
Nabi Ibrahim (AS) melayani tetamunya dengan menyediakan
makanan yang terbaik. Apa yang perlu diambil kira ialah berkenaan kedatangan
tetamunya itu yang sopan santun dan disusuli pula dengan ucapan salam
membesarkan tuan rumah. Walau pun Nabi Ibrahim (AS) tidak mengenali mereka,
namun begitu baginda (AS) tetap menjalankan perintah berakhlak mulia dalam
melayani tetamu. Sebagai mana hadith menyebut;
Terjemahan: Orang yang mula-mula memuliakan tetamu ialah
Nabi Ibrahim. (Hadith diriwayatkan oleh Ibn Abu al-Dunya di dalam qara al-daif
dari Abu Hurairah. Hadith ini adalah da‘if).
Dalam memberi layanan, pihak penyambut tetamu perlulah
mempelajari cara melayani tetamu. Kadang-kadang membiarkan mereka bersendirian
juga dianggap sebagai melayani, seperti Nabi Ibrahim (AS) melayani tetamu
dengan memberi peluang kepada mereka untuk rehat, dalam kesempatan itu baginda
(AS) menyiapkan makanan. Dalam perkataan yang lain ialah melayani tetamu itu
hendaklah ketika mereka bersedia untuk dilayani.
Demikianlah dalam memberi layanan, janganlah sampai
mengganggu mereka ketika mereka hendak atau sedang tidur, ketika mereka di
bilik air, ketika mereka sedang membaca al-Qur’an, ketika mereka sedang
sembahyang dan sebagainya.
Dalam kehidupan zaman ini, kalau ditinjau dari segi tempoh
layanan, tetamu yang dilayan itu dapat dikategorikan kepada beberapa bahagian.
Ada yang datang hanya sebentar untuk mendapat khidmat layanan seperti datang ke
kaunter-kaunter perkhidmatan awam untuk mendapatkan khidmat tertentu, ada yang
datang ke klinik untuk mendapatkan rawatan dan ada yang datang untuk berurusan
jual beli. Mereka ini lebih dikenali sebagai pelanggan.
Selain itu terdapat juga kehadiran tetamu yang mengambil
masa agak panjang, memerlukan tempat penginapan, makanan dan minuman dan
keperluan-keperluan lain. Mereka ini dapat dibahagikan kepada dua golongan.
1) Menjadi tetamu di bandar.
2) Menjadi tetamu di desa (pedalaman).
Bagi mereka yang menjadi tetamu di kawasan bandar, segala
keperluan makanan dan tempat penginapan telah disediakan oleh pihak hotel dan
restoran. Dengan demikian kewajipan menyediakan tempat penginapan berbeza
dengan kewajipan di luar bandar.
Manakala mereka yang menjadi tetamu di desa atau luar
bandar, maka menjadi tanggungjawab umat Islam yang berada di sana menerima
mereka sebagai tetamu untuk satu hari, dengan maksimum sampai tiga hari. Jika
lebih daripada itu terpulanglah kepada tuan rumah, sama ada untuk mengenakan
bayaran atau pun menasihatinya mencari tempat lain. Sabda Rasulullah SAW;
Terjemahan: Dari Abu Hurairah (RA). bahawa Rasulullah SAW
bersabda: "Menerima tetamu itu selama tiga hari. Maka yang lebih dari itu,
dikirakan sedekah. (Hadith diriwayatkan oleh Abu Daud).
Seterusnya Rasulullah SAW bersabda;
Terjemahan: Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari
akhir maka hendaklah memuliakan tetamu, pemberian itu satu hari satu malam, dan
pelayanan itu selama tiga hari, jika lebih dari itu dianggap sedekah. Tidak
halal dia terus menetap di situ hingga menyulitkan tuan rumah. (Hadith
diriwayatkan oleh al-Bukhari dari Abu Syuraih al-Ka‘bi).
Sudah menjadi kebiasaan, apabila Rasulullah SAW didatangi
tetamu, baginda SAW akan memuliakan mereka dengan yang ada pada dirinya. Pernah
baginda SAW sedang bersandar pada bantal sandar, apabila baginda didatangi
tetamu, terus bantal itu dihulurkan kepada tetamunya, seperti sebuah Hadith
menyebut mengenainya;
Terjemahan: Dikeluarkan oleh Ahmad daripada Ibn ‘Umar
(RA.huma), bahawa beliau telah masuk menemui Rasulullah SAW Ketika itu, beliau
mendapati baginda Rasulullah SAW sedang berbaring di atas sebuah bantal yang
diisikan dengan pelepah pokok tamar. Beliau telah mencampakkan bantal tersebut
kepadaku, tetapi aku tidak duduk di atasnya. Bantal itu terletak di antara aku
dan baginda SAW. (Hadith diriwayatkan oleh Ahmad ibn Hanbal).
Setelah tetamunya duduk, maka baginda SAW akan melayani pula
mereka bergantung kepada keperluan mereka. Layanan yang lemah lembut dan
penggunaan perkataan yang baik-baik, merupakan teknik utama yang digunakan.
Apabila ada sesuatu yang melucukan, baginda SAW hanya
tersenyum. Tidak sekali-kali baginda SAW melahirkan kegembiraannya dengan
ketawa terbahak-bahak. Ketawa yang berlebihan boleh menjadikan tetamu rasa
tersinggung dan mengurangkan haibah (hormat) seseorang. Dinyatakan sikap
Rasulullah SAW dalam hal ini seperti berikut;
Terjemahan: Dari Aisyah (R.anha) berkata: "Aku tidak
pernah melihat Rasulullah SAW ketawa terbahak-bahak kerana kegembiraan, tetapi
baginda hanya tersenyum". (Hadith diriwayatkan oleh al-Bukhari di dalam
al-sahih dari Yahya bin Sulaiman dan diriwayatkan oleh Muslim dari Harun bin
Ma‘ruf dan diriwayatkan oleh al-Baihaqi di dalam al-sunan al-kubra dari
Aisyah).
Dalam melayani tetamu dengan juadah, kebiasaannya baginda
SAW lebih dahulu menjamu tetamu, manakala untuk dirinya sendiri sentiasa
dikemudiankan. Yang penting ialah sentiasa memberi layanan, seperti yang
digambarkan dalam Hadith;
Terjemahan: Dari Abu Qatadah (RA). dari Nabi SAW, sabdanya:
"Orang yang bertugas memberi minum kepada suatu kaum adalah orang yang
paling akhir minumnya.” (Hadith diriwayatkan oleh al-Tirmidhi, asyrabah :
beliau berkata hadith ini adalah hasan sahih).
Terjemahan: Dari Jafar bin Muhammad dari bapanya berkata,
adalah Rasulullah SAW apabila makan bersama orang ramai, adalah baginda orang
yang terakhir (menghabiskan) makan. (Hadith diriwayatkan oleh al-Baihaqi).
3.4.2 Adab dalam menyediakan kemudahan
Kepada para pengunjung atau tetamu hendaklah disediakan
kemudahan asas untuk mereka mengikut tujuan dan keperluan mereka datang. Jika
mereka datang hanyalah memerlukan khidmat nasihat, khidmat perubatan dan
sebagainya apa yang perlu disediakan adalah sesuatu yang menjadikan mereka
selesa semasa berurusan.
Apabila datang seorang sahabat untuk sesuatu urusan, pada
kebiasaan mereka dijemput oleh Rasulullah SAW dan diberi kemudahan tempat duduk
untuk tetamu, seperti dalam sebuah hadith;
Terjemahan: Dari Wathilah bin al-Khattab Qursyi (RA)
berkata: "Seorang lelaki telah memasuki masjid, dan ketika itu Nabi SAW
bersendirian, maka baginda SAW pun bergerak (memberi tempat duduk)
untuknya". Lelaki itu berkata: "Ya Rasulullah tempat ini masih
luas". Maka Rasulullah SAW Bersabda: "Sesungguhnya orang mukmin itu
mempunyai hak, jika dia melihat kedatangan saudaranya, maka hendaklah dia melapangkan
tempat duduk untuk saudaranya itu". (Hadith diriwayatkan oleh al-Baihaqi
dan Ibn ‘Asakir).
Baginda tidak menetapkan suatu peralatan yang tertentu untuk
melayan tetamu, tetapi sudah mencukupi dengan sikap bersedia mengorbankan
sesuatu keselesaan yang ada pada dirinya demi keselesaan tetamu.
Jika kehadiran tetamu mengambil masa yang agak panjang, maka
demi keselesaan mereka disediakan peralatan yang lebih baik. Sebagai contoh
seorang tabi‘in iaitu Imam Malik pernah melayani pelajarnya juga sebagai
tetamunya iaitu Imam Syafi‘i. Imam Malik telah menyediakan bilik untuk Imam
Syafi‘i. Setelah itu dilengkapkan dengan peralatan yang sesuai seperti tikar
sembahyang dan ditunjukkan arah kiblat. Peristiwa ini dirakamkan oleh Madani
Abbasi di dalam buku Islamic Manners.
Langkah pertama dalam penyediaan kemudahan adalah dengan
menempatkan mereka di suatu tempat yang selesa supaya mereka dapat berehat di
sana buat seketika. Sementara itu tuan rumah hendaklah memastikan bilik mandi
sesuai digunakan. Pastikan bilik mandi bersih dan selesa digunakan. Sediakan
air dan kelengkapan lain seperti tuala, kain dan sebagainya mengikut kemampuan
tuan rumah.
Setelah bilik mandi berada dalam keadaan yang sesuai,
segeralah pula memastikan tandas dalam keadaan baik dan selesa digunakan
seperti menyediakan air, memastikan dinding tandas berada dalam keadaan
benar-benar memelihara aurat, memastikan tandas selamat digunakan dan
sebagainya.
Apabila keadaan bilik mandi dan tandas berada dalam keadaan
baik, maka persilakanlah tetamu untuk menggunakannya. Seterusnya sediakanlah
makanan mengikut kemampuan yang ada. Persilakanlah mereka makan walaupun bukan
masa makan. Mungkin mereka amat memerlukannya kerana perjalanan jauh yang
mereka tempuhi.
Akhir sekali kemaskanlah bilik tidur untuk mereka dan
persilakanlah mereka untuk tinggal di sana. Dalam pada itu seperti pernah
dilakukan oleh Imam Malik, sediakanlah dengan segera bilik sembahyang untuk
mereka. Sediakanlah dalamnya peralatan sembahyang seperti sejadah dan tunjukkan
arah kiblat kepada mereka.
Di samping itu sediakanlah pula hamparan untuk memberikan
keselesaan kepada mereka untuk rehat dan berbaring. Demikian yang huraikan oleh
Madani Abbasi berkenaan layanan terhadap tetamu.
Selain menyediakan tetamu dengan bilik tidur dan sebagainya,
mungkin mereka ingin menggunakan kenderaan untuk melaksanakan tujuan-tujuan
mereka seperti untuk pergi ke masjid dan sebagainya. Maka tuan rumah digalakkan
supaya menyediakan kenderaan kepada mereka.
Diceritakan bahawa Abdullah bin ‘Amr bin al-‘A.s telah
menyediakan 200 ekor unta untuk menjadi tunggangan para tetamunya yang datang
dari berbagai-bagai negara semasa mereka mengerjakan haji. Dalam hubungan ini,
terdapat laporan antara lain;
Terjemahan: Mereka berkata, adapun 100 ekor unta untuk
tunggangan saudara-saudaranya dan 200 ekor yang lain untuk tetamunya yang
datang dari berbagai-bagai bandar. Kami merasa hairan. Mereka berkata:
Janganlah kamu hairan, sesungguhnya Abdullah bin ‘Amr bin al-‘A.s itu adalah
seorang lelaki yang kaya. (Hadith diriwayatkan oleh Abu Na‘im dari Sulaiman bin
Rabi‘ah).
3.4.3 Menyediakan makanan dan minuman
Lebih daripada empat puluh anjuran yang terdapat di dalam
al-Qur’an yang menyebut berkenaan galakan supaya memberi makan. Antaranya
galakan memberikan makanan kepada fakir, miskin, anak yatim dan mereka yang
memerlukan. Demikianlah banyak daripada perbelanjaan yang dikeluarkan oleh
Rasulullah SAW untuk memberi makan kepada golongan yang fakir dan miskin ini.
Sabda Rasulullah SAW;
Terjemahan: Dari Abu Musa al-Asyari (RA), Rasulullah SAW
bersabda: "Beri makanlah orang yang lapar, kunjungilah orang yang sakit
dan bebaskanlah orang yang tertawan dan menderita." (Hadith diriwayatkan
oleh al-Bukhari).
Sabda Rasulullah SAW;
Terjemahan: Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa yang ada belas
kasihan walaupun dengan menyembelih seekor burung, Allah akan belas kasihan
kepadanya pada hari Kiamat. (Hadith diriwayatkan oleh al-Bukhari di dalam
al-adab dari Aisyah. Hadith ini adalah sahih).
Semoga pahala menjamu tetamu itu menjadi tebusan daripada
api neraka. Sabda Rasul SAW;
Terjemahan: Sesiapa yang menyembelih binatang untuk
tetamunya, maka menjadi tebusannya dari api neraka. (Hadith diriwayatkan oleh
al-Hakim di dalam tarikhnya dari Jabir. Hadith ini adalah da‘if).
Jika ada kemampuan dalam menyediakan makanan kepada tetamu
digalakkan supaya menyediakan makanan untuk para tetamu mereka itu hendaklah
dibuat agak lebih sedikit, kerana kemungkinan semasa menjamu tetamu itu,
tiba-tiba datang tetamu lain yang boleh memalukan tuan rumah jika makanan yang
disediakan itu sedikit. Tetapi jika makanan yang disediakan agak lebih,
tentulah semua pihak akan merasa senang hati dan tenteram.
3.4.4 Layanan dalam majlis jamuan
Dalam memberi layanan terhadap tetamu ketika makanan
disajikan terdapat beberapa teknik yang telah ditunjukkan oleh baginda
Rasulullah SAW yang dapat dijadikan contoh teladan kepada kita ketika melayani
tetamu di meja makan.
Pertama sekali yang perlu dibuat oleh pelayan atau tuan rumah,
sebelum melayan tetamunya di meja makan, terlebih dahulu hendaklah membersihkan
kedua-dua belah tangannya. Setelah itu barulah menghampiri tetamu dan membantu
tetamu membasuh tangan mereka. Seterusnya mempersilakan tetamunya menjamah
makanan.
Kata Imam Malik terhadap Imam Syafi‘i, yang semasa itu Imam
Syafi‘i menjadi pelajarnya juga menjadi tetamunya, dengan berkata bahawa
sebelum makan, tangan tuan rumah hendaklah dibasuh pertama sekali, kemudian
bantulah tetamu untuk membasuh tangan mereka. Apabila selesai makan, basuhlah
tangan tetamu terlebih dahulu. Akhir sekali, barulah tangan tuan rumah dibasuh.
Di dalam majlis jamuan yang diadakan oleh Rasulullah SAW
pada kebiasaannya Rasulullah SAW sendiri yang melayani tetamu. Demikianlah
dalam majlis-majlis yang diadakan oleh sahabat, sering kali baginda menawarkan
diri kepada tuan rumah untuk memberi perkhidmatan layanan. Diceritakan
berkenaan Rasulullah SAW menjadi pelayan di rumah Jabir (RA), seperti berikut;
Terjemahan: Dari Jabir (RA) berkata: Sesungguhnya kami pada
hari peperangan Khandaq telah menggali parit. Apabila baginda SAW (dijemput
oleh Jabir dan) mengetahui jumlah makanan yang ada pada Jabir, baginda SAW
menyeru kepada semua kaum Muslimin dengan kata: "Bangunlah kamu dan
pergilah ke rumah Jabir". Baginda bersabda: "Masuklah dan jangan
menyempitkan tempat duduk". Maka Rasulullah SAW masuk ke dalam rumah Jabir
dan bersabda: "Khidmat untukku dan tinggalkanlah daging itu
kepadaku". Rasul SAW pun mula membahagi roti dan mecedok daging. (Hadith
diriwayatkan oleh al-Bukhari).
Memberi perkhidmatan layanan merupakan sifat yang mulia dan
dengannya boleh menghilangkan sifat-sifat sombong dan menyemaikan dalam diri
dengan sifat-sifat rendah diri.
Dalam melayani tetamu, perkara yang juga perlu difikirkan
oleh tuan rumah adalah berkenaan perasaan sebagai seorang tetamu. Jika tetamu
itu merasa malu bersendirian, maka tuan rumah hendaklah menemani mereka untuk
makan bersama. Sebagai yang terdapat dalam sebuah hadith menyebut;
Terjemahan: Wakilkanlah (temanilah) untuk tetamu kamu, maka
sesungguhnya tetamu itu malu untuk makan sendirian. (Hadith diriwayatkan oleh
al-Baihaqi di dalam Syu‘ab al-iman dari Thauban. Hadith ini adalah da‘if).
Demikianlah jika tetamu itu wanita, maka biarlah mereka
bersendirian dengan dilayani oleh isteri sahaja. Elakkanlah daripada lelaki
melayani wanita yang ajnabiah, selain ia merupakan suatu maksiat, ia juga boleh
memalukan tetamu dan berpegang kepada hukum dan fitrah, ia dapat memberi
layanan yang baik kepada tetamu, kerana hukum Islam adalah mengikut fitrah
manusia yang sihat. Kecualilah dalam suasana yang tidak menimbulkan fitnah
seperti dalam majlis-majlis tertentu, iaitu dengan merujuk kepada hadith yang
lalu iaitu dari Sahl bin Sa‘ad (RA) katanya: Abu Usaid as-Sa‘idi telah mengundang
Rasulullah SAW untuk menghadiri majlis perkahwinannya. Pada hari itu isterinya
sendiri yang melayani Rasulullah SAW juga tetamu-tetamu lain.
Sebagai tuan rumah dan juga sebagai seorang pelayan,
Rasulullah SAW telah menunjukkan siapakah yang berhak mendapat layanan terlebih
dahulu. Rasulullah SAW akan melayani mereka yang berada di sebelah kanannya
terlebih dahulu, walaupun yang berada di sebelah kanannya itu kanan-kanak atau
pun badwi, sedang di sebelah kirinya sahabat yang rapat seperti Abu Bakr
al-Siddiq dan ‘Umar al-Khattab.
Terjemahan: Dari Sahl bin Saad katanya: Sebuah gelas
dihidangkan kepada Rasul SAW dan beliau minum dari situ. Di sebelah kanan
beliau ada seorang anak kecil dan di sebelah kiri beliau ada seorang orang tua.
Beliau bersabda: "Hai anak kecil, relakah engkau kalau sisa saya ini saya
berikan kepada orang tua ini?" Anak itu menjawab: Ya Rasulullah! Sayalah
yang paling berhak mendapat sisa anda. Lalu Rasulullah SAW memberikan
kepadanya. (Hadith diriwayatkan oleh al-Bukhari).
Dalam peristiwa yang lain dirakamkan bahawa;
Terjemahan: Dari Anas bin Malik (RA), diperah untuk
Rasulullah SAW seekor kambing jinak di tempatku, lalu susu itu dicamprkan
dengan air sumur yang terdapat di sana. Orang memberikan sebuah gelas kepada
Rasul dan beliau minum dari situ. Ketika beliau selesai minum, di sebelah kiri
beliau ada Abu Bakr, sedangkan di sebelah kanan beliau seorang Badwi. Kerana
kuatir kalau-kalau Rasul memberikan gelas itu kepada orang Badwi itu, ‘Umar
berkata: Berikanlah gelas anda itu kepada Abu Bakr, hai Rasulullah. Tetapi
Rasul memberikan gelas itu kepada orang Badwi yang duduk di sebelah kanannya .
. . (Hadith diriwayatkan oleh al-Bukhari).
Dalam menjamu makanan hendaklah pihak tuan rumah
mengutamakan makanan yang berfaedah kepada tetamunya, seperti tidak menjamu makanan
yang terlalu panas, kotor, tercemar dan sebagainya kerana ia boleh membahayakan
kesihatan, sehingga meniup-niup makanan dan bernafas sewaktu menghirup minuman
pun tidak dibenarkan oleh Rasul SAW;
Terjemahan: Adalah Rasulullah SAW tidak menghembus pada
makanan dan tidak pada minuman dan tidak bernafas ketika menghirup minuman.
(Hadith diriwayatkan oleh Ibn Majah dari Ibn ‘Abbas. Hadith ini adalah hasan).
Selain itu terdapat beberapa larangan yang patut dijadikan
panduan, iaitu dilarang menyajikan makanan dengan bercampur antara meja-meja
arak dengan yang tidak ada arak. Dalam hubungan ini terdapat hadith yang
melarangkan berbuat demikian;
Terjamahannya: Rasulullah SAW menegah dari duduk di tempat
makan yang di situ diminum arak padanya, dan dilarang makan sambil meniarap.
(Hadith diriwayatkan oleh Abu Daud, Ibn Majah dan al-Hakim di dalam
mustadraknya. Hadith ini adalah sahih).
3.4.5 Adab menyediakan tempat penginapan
Di dalam ajaran Islam, penginapan yang disediakan secara
percuma itu hanyalah satu malam sahaja. Hal ini berdasarkan sebuah hadith;
Terjemahan: Dari Abu Karimah atau Miqdam bin Ma‘dikariba
al-Kindi, katanya: "Telah bersabda Rasulullah SAW: "Malam bertamu itu
hak atas setiap Muslim, tetapi jika ia masih berada di lingkungan rumah itu sampai
pagi, maka dia memikul hutang. Jika ia tuan rumah menghendaki, maka ia dapat
menagihnya, dan jika tidak, maka dibiarkannya." (Hadith diriwayatkan oleh
Abu Daud).
Selepas tempoh itu, tetamu yang menginap di situ hendaklah
membayar segala perbelanjaan makan minum dan tempat penginapan atau dengan
kemurahan hati tuan rumah dibiarkan sahaja sebagai sedekah. Walau bagaimanapun
mengikut al-Laith bin Sa‘ad dan Imam Ahmad, kewajipan menyediakan kemudahan
makanan dan minuman kepada tetamu itu hanyalah di desa pedalaman sahaja, tetapi
jika di bandar tidaklah wajib, hanya sunat sahaja kerana di sana sudah tersedia
rumah penginapa atau hotel.
Seperti yang telah disebutkan sebelum ini Imam Malik pernah
menyediakan tempat penginapan untuk tetamunya iaitu Imam Syafi‘i. Selain
menyediakan tempat penginapan, beliau telah memberikan perkhidmatan yang
memuaskan, contohnya apabila hampir fajar menjelang, Imam Malik mengetuk pintu
biliknya dengan suara yang lembut memberi salam, serta di tangannya sebekas
air. Keadaan ini menjadikan Imam Syafi‘i merasa malu dengan layanan yang
sungguh baik itu. Lalu Imam Malik berkata bahawa tetamu itu patut diberi
layanan.
Rasulullah SAW pernah menyediakan penginapan selama satu
bulan pada bulan Ramadan kepada lima orang perutusan dari Saqif.
Dalam masa satu bulan itu mereka diberi pelajaran agama
Islam supaya Islam benar-benar meresap ke dalam hati mereka. Oleh itu segala
urusan bersahur, berbuka dan penginapan mereka ditanggung oleh Rasulullah SAW.
3.4.6 Menjaga kesucian tetamu
Seorang tetamu yang datang akan menjadi tanggungjawab tuan
rumah untuk menjaga keselamatannya. Oleh itu tidak hairanlah mereka disediakan
makanan dan tempat tinggal adalah semata-mata untuk menjaga tetamu itu daripada
sebarang masalah.
Ketika Nabi Ibrahim (AS) menerima tetamunya lalu disediakan
makanan, tetapi apabila tetamunya itu tidak mahu makan, maka timbullah curiga
pada hati Nabi Ibrahim (AS), kerana tetamu yang tidak sudi menerima layanan
daripada tuan rumah itu dianggap bukan di bawah kawalan keselamatan tuan rumah.
Demikianlah pula yang terjadi kepada Nabi Lut (AS) ketika
tetamunya yang merupakan lelaki yang cantik datang ke rumahnya, beliau (AS) pun
merasa dukacita, kalau-kalau tetamunya itu tidak dapat diberi perlindungan
daripada perkosaan kaumnya yang gemar kepada homoseksual (hubungan luar tabii).
Terjemahan: Dan tatkala datang utusan-utusan kami kepada
Nabi Lut (AS), ia merasa dukacita dengan kedatangan mereka, dan merasa tidak
terdaya untuk mengawal mereka (dari ganggugan kaumnya), sambil berkata:
"Ini, adalah hari yang amat mencemaskan". (Surah Hud 11: 77).
Nabi Lut (AS) merupakan anak saudara Nabi Ibrahim (AS) yang
tinggal di bandar Sodōm. sentiasa menghormati tetamu, tetapi pada hari itu
baginda (AS) merasa dukacita kerana mungkin tidak dapat melayani dan mengawal
tetamunya dengan baik, akibat gangguan kaumnya. Kedatangan malaikat ke rumah
Nabi Lut dengan menyamar diri sesbagai orang lelaki yang cantik parasnya itu
menjadikan Nabi Lut (AS) berkeadaan serba salah dan cemas kalau-kalau kaumnya
yang jahat datang mengganggu tetamu-tetamunya itu, sedangkan ia tidak dapat
mengawal keselamatan tetamunya itu.
Yang diduga oleh Nabi Lut (AS) terjadi, iaitu kaumnya datang
meluru ke arah tetamu Nabi Lut (AS) itu dengan tujuan mengadakan hubungan homoseksual.
Lalu Nabi Lut (AS) cuba mempertahan keselamatan tetamunya itu supaya jangan
mengganggu tetamunya itu, tetapi tidak berjaya, seperti yang diceritakan di
dalam al-Quran;
Terjemahan: Dan kaumnya pun datanglah meluru kepadanya
(dengan tujuan hendak mengganggu tetamunya), sedang mereka sebelum itu sudah
biasa melakukan kajahatan. Nabi Lut berkata: Wahai kaumku! di sini ada
anak-anak perempuanku (wanita-wanita yang menjadi umatnya), mereka lebih suci
bagi kamu, (maka berkahwinlah dengan mereka). Oleh itu takutlah keapda Allah,
dan janganlah memberi malu kepada aku mengenai tetamu-tetamu aku. Tidak ada
antara kamu seorang lelaki yang bijak berakal (yang dapat memberi nasihat?).
Mereka menjawab: Sesungguhnya engkaupun sudah mengetahui bahawa kami tidak ada
sebarang hajat kepada anak-anak perempuanmu, dan sebenarnya engkau sedia
mengetahui akan apa yang kami kehendaki!. Nabi Lut berkata: kalaulah aku ada
kekuatan untuk menentang kamu, atau aku dapat bertumpu kepada sesuatu
pertahanan yang kuat (tentulah aku akan binasakan kamu). (Mendengan yang
demikian), tetamunya berkata: "Wahai Lut! sesungguhnya kami adalah
(malaikat) utusan Tuhan." (Surah Hud 11: 78-81).
Di sini menjelaskan bahawa tuan rumah atau penyambut tetamu
adalah bertanggungjawab kepada keselamatan dan keselesaan tetamunya itu.
Oleh sebab Islam menegaskan bahawa keselamatan tetamu itu
wajib dipelihara seperti tuan rumah itu menjaga keselamatan mereka sendiri.
Bagi mereka yang cuai terhadap keselamatan tetamu adalah
dianggap sebagai keimanan mereka telah rosak, seperti sabda Rasul SAW;
Terjemahan: Hadith Anas dari Nabi SAW bersabda: Tidak
beriman seseorang kamu hingga kamu mengasihani saudaranya seperti dia mengasihi
dirinya sendiri. (Hadith diriwayatkan oleh al Bukhari dan Muslim).
Maka hilanglah kebanggaan atau maruah sebagai tuan rumah
atau sebagai penyambut tetamu, jika tetamunya itu diganggu dengan
sewenang-wenangnya tanpa usaha pihak tuan rumah mempertahan keselamaan mereka.
Demikianlah perasaan Nabi Lut (AS) apabila tetamunya diganggu oleh kaumnya,
sebagai yang diceritakan di dalam al-Quran;
Terjemahan: Dan (semasa kedatangan mereka) datanglah
penduduk bandar itu dengan gembira. Nabi Lut berkata: "Sesungguhnya mereka
ini tetamuku, maka janganlah kamu memberi malu kepadaku. "Dan takutlah kamu
kepada Allah, serta janganlah kamu menghina aku". (Surah al-Hijr 15:
67-69).
3.4.7 Mengelakkan tetamu daripada sebarang masalah
Dengan kedatangan tetamu, secara tidak langsung tuan rumah
atau penyambut tetamu dengan sendirinya menjadi pemimpin kepada tetamunya itu.
Menjadi pemimpin dalam mengendalikan makan dan minum mereka, tempat tinggal dan
sebagainya. Kepemimpinannya itu akan ditanya di hadapan Allah SWT pada hari
akhirat, sebagaimana dalam sebuah hadith menyebutkan;
Terjemahan: Setiap pemimpin akan disoal berkenaan apa yang
dipimpinnya. (Hadith diriwayatkan oleh al-Khatib di dalam al-Tarikh dari Anas.
Hadith ini adalah sahih).
Demi menjaga tetamu supaya tidak mendatangkan masalah kepada
mereka hendaklah sediakan masa rehat untuk mereka, terutamanya pada waktu
malam.
Lebih jauh daripada itu adalah dilarang sekali-kali
memberikan tugas kepada tetamu dengan tugas-tugas tertentu sehingga menyusahkan
dan menimbukan masalah kepada tetamu itu.
Begitulah juga janganlah sekali-kali memberi ceramah-ceramah
yang boleh membebankan fikiran tetamu atau meminta tetamu menyelesaikan masalah
mereka. Sebaliknya jadikanlah tetamu itu selesa, tidak terganggu dari segi
fizikal atau spiritual. Supaya tidak terganggu emosi, perasaan dan fikiran
mereka dengan masalah-masalah tuan rumah.
Rasulullah SAW amat mengambil berat berkenaan keselesaan
tetamunya. Pada malam hari baginda Rasulullah SAW akan melawat tetamu-tetamunya
yang sedang tidur.
Semasa melalui mereka, baginda SAW akan memberi salam dengan
lemah lembut, yang sekira-kira kedengaran kepada orang yang tidak tidur sahaja,
dan tidak akan membangunkan orang yang sedang tidur dengan ucapan salamnya itu.
Selepas melihat suasana tetamunya, baginda SAW akan terus ke
masjid untuk menunaikan sembahyang. Demikian al-Miqdad menceritakan di dalam
sebuah hadith yang panjang;
Terjemahan: Dari al-Miqdad bin al-Aswad .beliau berkata:
Pada waktu malam Nabi Muhammad SAW datang lalu memberi salam dengan suara yang
tak sampai membangunkan orang yang sedang tidur, tetapi kedengaran oleh orang
yang sedang bangun. Lalu baginda pergi ke masjid, maka baginda bersembahyang.
(Hadith diriwayatkan oleh Muslim).
3.4.8 Saat perpisahan
Suatu keistimewaan dalam hospitaliti Islam adalah pada saat
kepulangan tetamu dibekalkan hadiah kenang-kenangan. Kebiasaan apabila tetamu
memohon diri daripada Rasulullah SAW untuk pulang, mereka akan dibekalkan
makanan untuk perjalanan pulang dan diberikan hadiah yang berupa pakaian dan
wang emas atau perak.
Walaupun hidup dalam keadaan serba kekurangan, namun begitu
baginda SAW akan berusaha sedaya upaya untuk memberikan hadiah kepada mereka
yang hendak berangkat pulang.
Mengikut pengajaran Rasulullah SAW, hadiah yang diberikan
itu besar ertinya kepada diri yang menerima hadiah itu dan kaum keluarganya,
yang merasakan satu penghormatan besar kepada mereka dan keluarga mereka.
Seterusnya hadiah itu akan menjadi kenang-kenangan pada
kemudaian hari bagi diri penerima dan keluarga mereka. Maka ia amat berperanan
dalam merangsang mereka dan kaum keluarga mereka ke arah mendekati dan
menghayati Islam.
Oleh itu tidak hairanlah Rasulullah SAW amat
bersungguh-sungguh menyediakan hadiah-hadiah untuk tetamunya itu.
Sifat pemurahnya Rasulullah SAW dalam menyediakan hadiah
kepada tetamu baginda SAW itu menjadi satu pengajaran kepada masyarakat luar
berkenaan besarnya pengaruh hadiah, maka utusan-utusan yang dikirimkan ke
Madinah sering membawa hadiah untuk Rasulullah SAW.
Apabila mereka kembali ke tempat mereka, maka Rasulullah SAW
akan memberikan hadiah-hadiah kepada mereka, walaupun berada dalam kesempitan,
namun Rasulullah SAW berusaha dengan sungguh-sungguh mendapatkan hadiah untuk
tetamunya. Aisyah (R.anha) menerangkan dalam hal ini;
Terjemahan: Dari Aisyah (R.anha) katanya: Rasulullah SAW
sering menerima hadiah dan membalasnya. (Hadith diriwayatkan oleh al-Bukhari).
Bagi sesetengah masyarakat mereka berasa keberatan dan
sering merasa bimbang kalau-kalau rezeki mereka akan terjejas jika tetamu
sentiasa dilayan. Kedatangan tetamu dianggap suatu yang menyusahkan atau bala,
sementara kepulangan mereka itu adalah suatu saat yang ditunggu-tunggu. Pada
hal Allah SWT tidak pernah lupa untuk memberi rezeki kepada makhluknya.
Sebenarnya kedatang mereka adalah dengan rezeki yang ditetapkan oleh Allah SWT
kepada mereka, dan kepulangan mereka dengan keampunan daripada Allah SWT.
Terjemahan: Sabda Rasulullah SAW: Apabila datang tetamu ke
atas sesuatu kaum adalah dengan rezeki mereka, dan apabila kembali mereka,
kembali dengan keampunan dosa-dosa mereka. (Hadith diriwayatkan oleh al-Dailami
di dalam musnad al-firdaus dari Anas. Hadith ini adalah da‘if).
3.5 Kesimpulan
Daripada yang telah dibentangkan di atas dapatlah dirumuskan
bahawa Akhlak Islam amat berperanan dalam membentuk disiplin hospitaliti Islam.
Daripada praktik hospitaliti Rasulullah SAW, sahabat dan tabi‘in terhadap
tetamu telah memperlihatkan dua perkara pokok iaitu akhlak mereka terhadap
tetamu dan adab mereka dalam melayani tetamu.
Dalam bab ini juga menjelaskan secara umum berkenaan akhlak
sebagai pelayan tetamu. Maka berdasarkan bab ini juga akan dihuraikan dalam bab
empat berkenaan akhlak yang perlu ada bagi setiap pelayan tetamu iaitu dengan
membahagikan kepada dua bahagian, iaitu sifat-sifat al-Targhib dan sifat
al-Tarhib.