AKHLAK DAN HOSPITALITI


3.0 Pendahuluan

Rasulullah SAW merupakan seorang yang amat menyayangi sesama insan. Tergambar dalam sejarah kehidupan baginda SAW lebih kepada melayani manusia, lebih-lebih lagi tugas utamanya berdakwah yang melibatkan hubungan sesama manusia.

Kejayaan dakwah baginda SAW adalah bergantung kepada layanan yang baik yang diberikan kepada manusia (pelanggannya). Tanpa layanan yang baik, tidak mungkin Islam dapat berkembang.

Oleh itu dalam tajuk ini dibawa beberapa peristiwa diyafah Rasulullah SAW dan sahabat terhadap tetamu mereka yang dapat dijadikan panduan kepada pembaca. Di samping itu dipaparkan juga beberapa potong ayat al-Qur’an yang ada hubungan dengan tajuk ini yang boleh dijadikan asas kepada hospitaliti Islam seperti mana yang dipraktikkan oleh baginda Rasulullah SAW terhadap sahabat.

3.1 Hospitaliti menurut wahyu

Perkara pokok dalam aktiviti seharian bergantung kepada niat yang merupakan suatu yang penting dalam melakukan pekerjaan sama ada pekerjaan itu dikategorikan sebagai amal ikhlas kepada Allah SWT atau sebalikya. Rasulullah SAW mengingatkan para sahabat supaya memperbaik niat. Sabda Rasulullah SAW;

Terjemahan: Dari ‘Umar bin al-Khattab, berkata : Rasulullah SAW bersabda “Sesungguhnya setiap pekerjaan itu dengan niat, dan sesungguhnya bagi seseorang itu mengikut apa yang diniatkan.” (Hadith diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim).

Allah SWT tidak menilai bentuk paras rupa seseorang dan kemewahan harta benda yang ada, tetapi lebih menumpukan kepada niat hati seseorang itu dan melihat dan menilai apa yang dilakukan oleh mereka. Firman Allah SWT;

Terjemahan: "Katakanlah: Sesungguhnya aku diperintahkan menyembah Allah dengan tulus ikhlas beragama keranaNya semata-mata". (Surah al-Zumar 39:11).

Terjemahan: "Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat; dan yang demikian itulah agama yang benar. (Surah al-Bayyinah 98:5).

Islam mengajar umatnya supaya memahami semua persoalan daripada akar umbinya iaitu bermula dari hati, dengan niat atau tujuan sesuatu pekerjaan itu dilakukan. Tidak ada yang mengetahui isi hati seseorang itu melainkan dirinya sendiri dan Allah SWT sahaja.

Sebelum persoalan hati itu dinilai oleh Allah SWT pada hari akhirat, maka setiap individu itu diminta supaya memperbetulkan niat pada hati mereka sesuai dengan perintahNya.

Semua persoalan kehidupan di dunia ini tidak luput begitu sahaja, tetapi apa saja dilakukan akan dinilai semula untuk diberi pembalasan dengan sewajarnya terhadap segala yang dikerjakan bergantung kepada niat masing-masing. Banyak juga daripada amal kebaikan menjadi musnah kerana rosaknya niat. Oleh itu menjaga hati supaya sentiasa mempunyai niat yang ikhlas kepada Allah SWT adalah amat penting.

Dalam aktiviti melayani tetamu, yang perlu ialah sentiasa membulatkan hati niat kerana Allah SWT dengan mengikut sunnah Rasulullah SAW. Tanpa niat yang ikhlas, amalan itu akan menjadi sis-sia seperti memberi layanan baik terhadap manusia secara pura-pura (hypocrite). Sebagai akibatnya mereka tidak memperoleh apa-apa balasan pahala pada hari akhirat.

Sebaliknya seseorang pelayan atau penyambut tetamu yang benar-benar ikhlas seperti yang diperintahkan, maka mereka akan tetap berada di atas landasan Islam walaupun dalam apa jua keadaan. Terutamanya apabila mereka ditimpa musibah, sikap itu tidak akan berubah. Mereka tetap dapat menyembunyikan segala masalah itu, dapat mengukirkan senyuman, dapat menyenangkan tetamu mereka.

Penderitaan itu hanya untuk dirinya, bukan untuk ditanggung bersama tetamunya atau orang lain. Menyusahkan dan membebankan tetamu dengan masalah peribadi adalah sesuatu yang dilarang dan bercanggah dengan konsep hospitaliti Islam.

Layanan baik yang diberikan itu merupakan suatu bukti keimanan kepada Allah SWT. Semakin tinggi keimanan seseorang di sisi Allah SWT maka banyaklah pengorbanan yang dapat diberikan kepada tetamu, bukan sahaja berbentuk hospitaliti malah berbentuk jamuan yang melibatkan harta benda dan wang ringgit yang banyak. Walau bagaimanapun apa sahaja yang dilakukan itu akan dikira sebagai amal kebajikan di sisi Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW;

Terjemahan: Dari Abdullah bin ‘Umar (RA), Rasulullah SAW bersabda: "Orang Islam itu saudara orang Islam; ia tidak menganiayanya dan tidak pula membiarkannya teraniaya. Siapa yang menolong keperluan saudaranya, Allah akan menolong keperluannya pula. Siapa yang menghilangkan kesusahan orang Islam, Allah akan menghilangkan kesusahannya pada hari kiamat. Siapa yang menutup rahsia orang Islam, Allah akan menutup rahsianya pada hari kiamat nanti". (Hadith diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim).

Terdapat pelbagai jenis golongan manusia yang biasanya menjadi tetamu Rasulullah SAW seperti keluarga sendiri, keluarga terdekat, fakir miskin, anak yatim, Muslimin, Muslimat dan seterusnya seluruh manusia. Tidak dapat dinafikan, kadang-kadang ibu bapa sendiri juga menjadi tetamu. Rasulullah SAW sering kali menjadi tetamu kepada anaknya Fatimah (R.anha). Manakala Fatimah (R.anha) juga sering menjadi tetamu kepada ayahandanya. Hal ini dirakamkan dalam sebuah hadith;

Terjemahan: Dari Aisyah (R.anha) katanya: "Aku tidak pernah melihat seseorang pun yang lebih menyerupai Rasulullah SAW dari segi percakapan, kata-kata dan duduk ketika bersama Fatimah (R.anha). Apabila Rasulullah SAW melihat Fatimah (R.anha) datang, baginda akan melapangkan tempat duduk dengan mengalu-alukan kedatangnnya, maka dikucupnya (di dahi), kemudian memimpin tangan Fatimah hingga duduk di tempat duduknya. Dan demikianlah apabila Nabi SAW datang mengunjunginya, Fatimah akan menyambutnya maka dia mengucup (di dahi) Rasulullah SAW. (Hadith diriwayatkan oleh al-Bukhari).

Jika ibu bapa menjadi tetamu, maka mereka berhak dilayan sebagai tetamu dan sebagai ibu bapa. Jika anak sendiri menjadi tetamu, maka mereka berhak dilayan sebagai tetamu dan juga sebagai anak. Demikian juga fakir miskin yang menjadi tetamu, mereka berhak dilayan sebagai tetamu dan sebagai fakir miskin. Jika pemerintah menjadi tetamu, mereka berhak dilayan sebagai tetamu dan berhak dilayan sebagai pemerintah. Jika mereka tidak dikenali menjadi tetamu, maka haknya ialah dilayan sebagai tetamu sahaja seperti layanan yang diberikan oleh Nabi Ibrahim (AS) terhadap tetamunya yang tidak dikenali itu. Firman Allah SWT;

Terjemahan: Tatkala mereka masuk mendapatkannya lalu memberi salam dengan berkata: "selamat sejahtera kepadamu!". Ia menjawab: "selamat sejahtera kepada kamu!". (Sambil berkata kepada dirinya): mereka ini orang-orang yang tidak dikenali. (Surah al-Dhariyat 51: 25).

Daripada ayat di atas menjelaskan berkenaan beberapa orang malaikat yang menyamar seperti manusia datang bertemu Nabi Ibrahim (AS) di kediamannya sebagai tetamu. Oleh itu Nabi Ibrahim (AS) pun berusaha menyempurnakan hak tetamu dengan menyiapkan dengan segera makanan yang terbaik kepada tetamunya itu.

Selanjutnya sebelum membincangkan dengan lebih mendalam berkenaan hospitaliti Islam, terlebih dahulu berikut dipaparkan berkenaan layanan yang diberikan oleh Rasul dan sahabat seperti yang digambarkan di dalam al-Qur’an al-Hadith. Hal ini bartujuan melihat konsep layanan secara menyeluruh, yang menjadi asas kepada perbincangan seterusnya.

2.1.0 Adab melayani Ibu bapa

Di dalam al-Qur’an terdapat perintah yang mewajibkan manusia supaya memberikan layanan kepada kedua-dua ibu bapa. Sesungguhnya memberi layanan baik kepada kedua-dua ibu bapa merupakan amal yang paling utama yang wajib diberi perhatian. Firman Allah SWT;

Terjemahan: Dan berbuat baiklah kepada kedua-dua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, serta orang miskin, dan katakanlah kepada sesama manusia (dengan) perkataan-perkataan yang baik; dan dirikanlah sembahyang serta keluarkanlah zakat". (Surah al-Baqarah 2: 83).

Daripada ayat di atas, terdapat susunan keutamaan mengenai mereka yang patut diberi layanan. Layanan kepada ibu bapa, kemudian kaum kerabat terdiri daripada isteri, anak dan saudara mara, selepas itu anak-anak yatim, diikuti golongan fakir miskin, akhir sekali kepada semua manusia.

Diperkukuh lagi oleh hadith Rasulullah SAW yang menjelaskan bahawa untuk memasuki syurga, seseorang itu mestilah mendapat keredaan daripada ibu, seperti sabda baginda SAW;

Terjemahan: "Syurga itu di bawah telapak kaki ibu-ibu". (Hadith diriwayatkan oleh al-Quda‘i, Khatib di dalam al-Jami‘, kedua-dua mereka mengamil dari Anas. Hadith ini adalah hasan).

Untuk menyenangkan hati dan perasaan dan mencapai kerelaan mereka, Allah SWT telah menunjukkan bagaimana cara bergaul, antaranya apabila berbicara dengan mereka hendaklah bersopan santun serta menjauhi daripada bahasa-bahasa yang menyebabkan tersinggung. Firman Allah SWT;

Terjemahan: Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ah!", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun). (Surah al-Isra’ 17: 23).

Antara bentuk-bentuk layanan terhadap ibu bapa ialah melakukan sesuatu yang disuruhnya selagi tidak bercanggah dengan ajaran Islam. Demikianlah pesanan Rasulullah SAW bahawa ketaatan itu hanyalah kepada perkara yang baik-baik dan yang tidak ada unsur- unsur maksiat kepada Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW;

Terjemahan: "Tidak ada ketaatan kepada seseorang itu dalam melakukan maksiat kepada Allah SWT. Sesungguhnya ketaatan itu hanya ke arah kebaikan". (Hadith diriwayatkan oleh al Bukhari dan Muslim).

Seterusnya hendaklah menghormati kedua-duanya, sentiasa merendah diri kepada mereka, sentiasalah memuliakan mereka dan janganlah panggil mereka dengan nama mereka tetapi panggillah “Wahai ayah” atau “Wahai ibu”, jangan bermusafir sebelum meminta keizinan dan keredaan mereka. Seterusnya sentiasa mendoakan kebahagiaan untuk mereka, memohon keampunan untuk mereka dan memuliakan sahabat-sahabat mereka. Dalam hubungan ini Rasulullah SAW bersabda;

Terjemahan: Dan datang seorang lelaki dari Ansar, maka dia telah berkata, wahai Rasulullah, adakah boleh aku lakukan kebaikan kepada dua ibu bapaku selepas kematian keduanya?. Kata baginda: ya!. Empat perkara: Sembahyang untuk mereka, mohon keampunan kepada mereka, melaksanakan perjanjian mereka dan memuliakan sahabat-sahabat mereka dan hubungkan kasih sayang dengan mereka yang tidak berkasihg sayang dengan engkau yang terhenti setelah kematian mereka. Maka itulah sisa kebaikan yang boleh engkau lakukan untuk kebaikan mereka selepas kematian mereka. (Hadith diriwayatkan oleh Abu Daud).

2.1.1 Adab melayani suami atau isteri

Antara suami dan isteri, selain hubungan sebagai suami isteri, mereka juga boleh menjadi tetamu antara satu sama lain. Tidak dapat dinafikan suami atau isteri yang menjalankan tugas di sesuatu sektor, mungkin didatangi oleh pasangannya, maka mereka merupakan tetamu yang patut diberi layanan. Dalam sebuah hadith menceritakan berkenaan layanan Rasulullah SAW terhadap isterinya yang menjadi tetamu;

Terjemahan: Diriwayatkan daripada Sofiah binti Huyai (R.anha) katanya: Pada suatu malam ketika Nabi SAW sedang ber‘iktikaf aku datang menziarahi baginda. Setelah puas berbual-bual dengan baginda, akupun berdiri untuk pulang. Rasulullah SAW ikut berdiri untuk menghantarku. (Hadith diriwayatkan oleh Ahmad ibn Hanbal).

Hadith di atas telah menjelaskan dalam keadaan-keadaan tertentu suami atau isteri boleh menjadi tetamu antara mereka. Antara layanan yang diberikan oleh Rasulullah SAW seperti bangun dari tempat duduknya dan mengiringi kepulangan tetamunya yang juga sebagai isterinya. Sekali pandang aksi mengiringi tetamu ke pintu ketika kepulangannya tidak begitu penting difikirkan, tetapi bagi seseorang tetamu itu tinggi nilainya seperti Sofiah binti Huyai (R.anha) sendiri yang berasa dihargai.

Dalam sudut yang lain al-Qur’an telah menjelaskan hak dan tanggungjawab masing-masing sebagai suami atau isteri saling melayani antara satu sama lain. Al-Qur’an telah menjelaskan berkenaan perintah layanan suami terhadap isteri, dan perintah layanan isteri terhadap suami. Dalam memberi layanan dianjurkan supaya bergaul dengan cara yang baik. Firman Allah SWT;

Terjemahan: Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu (merasai) benci kepada mereka (disebabkan tingkah lakunya, janganlah pula kamu terburu-buru menceraikannya), kerana boleh jadi kamu benci sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebajikan yang banyak (untuk kamu). (Surah al-Nisa’ 4: 19).

Terhadap isteri itu hendaklah dilayan mereka dengan menyediakan makanan, pakaian dan tempat tinggal. Ajarkanlah kepada mereka dengan adab kesopanan yang boleh mengelakkan mereka dari berakhlak buruk dalam keluarga. Antara bentuk pengajaran yang diperkenalkan, firman Allah SWT;

Terjemahan: Dan perempuan yang kamu bimbang melakukan derhaka hendaklah kamu menasihati mereka. (Surah al-Nisa’ 4:34).

Rasulullah SAW telah menunjukkan cara pergaulan yang paling baik terhadap isteri-isterinya. Demikianlah Rasulullah SAW telah menjelaskan berkenaan layanan terhadap suami iaitu isteri hendaklah sentiasa mentaati suaminya selagi tidak bercanggah dengan kehendak Islam. Baginda Rasulullah SAW mengingatkan kepada isteri-isteri berkenaan tingginya kedudukan suami di sisi mereka sehingga jika dibenarkan sujud kepada selain dari Allah SWT tentulah disuruh supaya isteri sujud kepada suaminya. Sabda Rasulullah SAW;

Terjemahan: Jika seseorang itu dibolehkan sujud kepada seorang yang lain, nescaya wajar isteri itu sujud kepada suaminya. (Hadith diriwayatkan oleh Ibn Majah dan Ahmad).

Antara lain layanan yang patut diberikan oleh isteri ialah sentiasa tinggal di rumah suaminya, untuk keluar rumah hendaklah dengan izin suaminya, melembutkan suara. Sama ada suami atau isteri masing-masing ditegah daripada melakukan kejahatan dan dilarang daripada mengucapkan perkatan yang keji antara mereka, kerana Allah SWT tidak menyukai perkataan-perkataan yang keji, walaupun yang diucapkan itu benar. Firman Allah SWT;

Terjemahan: Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus terang (untuk mendedahkan kejahatan orang), kecuali oleh orang yang dianiayai dan (ingatlah) Allah sentiasa mendengar, lagi amat mengetahui. (Surah al-Nisa’ 4:148).

2.1.2 Adab melayani kanak-kanak

Kanak-kanak merupakan penyambung generasi yang akan datang. Mereka akan mewarisi segala yang diajarkan kepada mereka oleh kedua-dua orang tua mereka. Oleh itu melayani mereka dengan cara yang baik adalah amat penting. Hal ini telah dijelaskan di dalam sebuah hadith Rasulullah SAW;

Terjemahan: Setiap kanak-kanak yang dilahirkan itu berada dalam keadaan fitrah (semula jadi) hinggalah lidahnya fasih berkata-kata, maka kedua-dua ibu bapanyalah yang bertanggungjawab meyahudikan, mengkristiankan atau memajusikannya. (Hadith diriwayatkan oleh al-Tabrani di dalam al-Kabir dan al-Baihaqi di dalam al-Sunan. Hadith ini adalah sahih).

Sebagai ibu bapa, melayani kanak-kanak mempunyai kaedah tersendiri. Mereka diibaratkan bagai kain yang putih, yang boleh dicorak mengikut apa juga warna. Jika diwarnai dengan nilai-nilai Islam, maka nilai itulah yang dibawanya hingga ke akhir hayat mereka. Melayani mereka ialah dengan memberi pendidikan terutamanya pendidikan sembahyang. Rasulullah SAW bersabda;

Terjemahan: Dan baginda SAW bersabda: Ajarkanlah kanak-kanak supaya sembahyang ketika berusia tujuh tahun dan pukullah jika berusia sepuluh tahun (jika mereka ingkar), dan pisahkanlah mereka dari tempat tidur. (Hadith diriwayatkan oleh al-Tirmidhi, Abu Daud dan Al-Darimi).

Kesemua yang dilakukan ini adalah untuk kepentingan manusia sendiri iaitu dalam rangka menjaga dirinya dan kaum keluarganya daripada siksaan Allah SWT di hari akhirat. Firman Allah SWT;

Terjemahan: Hai orang-orang yang beriman! Peliharalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka, kayu bakarnya adalah manusia dan batu-batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya), mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan. (Surah al-Tahrim 66: 6).

Ayat di atas menjelaskan kepada kita bahawa menjadi tanggungjawab seorang bapa untuk menyelamatkan kaum keluarganya daripada api neraka. Untuk keselamatan daripada bahaya api neraka itu maka mereka diperintahkan supaya mendidik isteri dan anak-anaknya supaya beradab sopan, mendirikan sembahyang dan sebagainya, sesuai dengan kedudukan mereka sebagai pemimpin seperti firman Allah SWT;

Terjemahan: Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan. Oleh sebab Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberikan nafaqah) sebahagian dari harta mereka. (Surah al-Nisa’ 4:34).

2.1.3 Adab melayani masyarakat

Golongan masyarakat terdiri daripada jiran, fakir miskin, anak yatim dan sebagainya. Jika mereka jiran, maka mereka mempunyai hak jiran. Begitulah jika mereka yang miskin, maka mereka mampunyai hak yang tersendiri. Apabila mereka menjadi tetamu, maka suatu hak lain pula wajib terhadap mereka. Jika tidak ada sesuatu yang hendak diberi, suatu kewajipan lain iaitu melayani mereka dengan baik. Menyakiti hati jiran adalah merupakan suatu kesalahan besar di dalam Islam. Sabda Rasulullah SAW

Terjemahan: Demi Allah dia tidak beriman, demi Allah dia tidak beriman, maka dikatakan kepada Rasulullah, siapa wahai Rasulullah?. Baginda menjawab: Orang yang tidak mententeramkan jirannya daripada gangguannya. (Hadith diriwayatkan oleh al Bukhari dan Muslim).

Oleh itu sebagai umat Islam yang berjiran maka mereka saling mempunyai hak yang tersendiri. Mereka patut diberi layanan sebagai jiran. Antaranya memberi pertolongan jika mereka meminta pertolongan. Menziarahi jika mereka sakit. Memberi ucapan tahniah di atas kejayaan dan kegembiraan mereka. Jika mereka ditimpa kemalangan atau musibah hendaklah mengucapkan takziah. Memulakan pertemuan dan perpisahan dengan mengucapkan salam kepada mereka. Melembutkan perkataan terhadap mereka. Menunjukkan jalan yang baik kepada mereka sama ada dalam urusan agama ataupun dunia. Janganlah mengintai sesuatu yang mereka sembunyikan. Janganlah mengganggu keselesaan tempat tinggal mereka. Segala perkara yang dilakukan oleh jiran yang menyakitkan hati dan perasaan hendaklah bersabar.

Bagi mereka yang benar-benar beriman kepada Allah SWT, inilah jalan untuk melakukan kebaikan terhadap jiran tetangga. Rasulullah SAW bersabda;

Terjemahan: "Barang siapa yang beriman kepada Allah SWT dan hari akhirat maka hendaklah melakukan kebaikan kepada jirannya". (Hadith diriwayatkan oleh Muslim).

Selain jiran, hendaklah sentiasa saling menghormati terhadap sesama Muslim. Islam mengajar mereka supaya sentiasa menyebarkan salam, serta berjabat tangan. Seseorang Muslim yang diucapkan salam hendaklah membalasnya dengan yang terbaik atau sama dengannya. Firman Allah SWT;

Terjemahan: "Apabila ada orang memberi hormat (salam) kepada kamu, balaslah hormat (salamnya) dengan cara yang lebih baik, atau balas penghormatan itu (serupa dengan penghormatannya); sesungguhnya Allah SWT itu menghitung segala sesuatu." (Surah al-Nisa’ 4: 86).

Dari segi etiket mengucapkan salam, Rasulullah SAW menggalakkan orang yang berkenderaan memberi salam kepada pejalan kaki. Orang yang berjalan kaki memberi salam kepada orang yang duduk. Kumpulan yang sedikit memberi salam kepada kumpulan yang ramai. Sabda Rasulullah SAW;

Terjemahan: Dari Abu Hurairah (RA) berkata: bersabda Rasulullah SAW: "Orang yang menunggang kenderaan itu memberi salam kepada yang berjalan kaki, yang berjalan kaki memberi salam kepada yang duduk dan yang sedikit memberi salam kepada yang ramai". (muttafaq ‘alaih). Dari Abu Hurairah (RA) berkata: bersabda Rasulullah SAW: Yang muda memberi salam kepada yang tua, yang berjalan memberi salam kepada yang duduk, yang sedikit memberi salam kepada yang ramai. (Hadith diriwayatkan oleh al Bukhari dan Muslim).

Tidak kira orang yang diucapkan salam itu sama ada dikenali atau tidak, sama ada lelaki ataupun perempuan, seperti dalam sebuah hadith yang merakamkan berkenaan ucapan salam Rasulullah SAW terhadap kaum wanita;

Terjemahan: Dari Ibn Abi Husain, dia mendengar dari Syahr bin Hausyab; dia berkata : Diceritakan oleh Asma’ binti Yazid; katanya: Rasulullah SAW berjalan melalui kami kaum wanita, maka baginda mengucapkan salam ke atas kami. (Hadith diriwayatkan oleh Abu Daud).

Hadith di atas menjelaskan berkenaan Rasulullah SAW mengucapkan salam kepada kaum wanita, bukanlah bererti semua lelaki sewenang-wenangnya menyebarkan salam ke atas wanita-wanita. Perlu juga kita melihat kedudukan baginda dalam masyarakat, selain dari sebagai utusan Allah SWT baginda juga sebagai pemimpin atau ketua negara. Oleh itu salam yang diucapkan itu tidaklah mengandungi unsur-unsur fitnah. Sebaliknya jika salam itu digunakan oleh pemuda-pemuda ke atas pemudi-pemudi secara sekehendaknya maka akan menimbulkan gejala-gejala yang tidak diingini, walaupun niat mereka baik. Dalam erti kata yang lain keadaan ini telah memperlihatkan unsur pergaulan bebas yang terlarang di dalam Islam.

Selain itu Rasulullah SAW juga mengajar supaya menziarahi mereka yang jatuh sakit dan mendoakan kesembuhan kepada mereka. Jika mereka meminta dinasihati hendaklah menasihati mereka. Cintailah mereka seperti menyintai diri sendiri. Janganlah menjatuhkan maruah mereka. Janganlah bersikap sombong, demikianlah firman Allah SWT;

Terjemahan: Dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, kerana sesungguhnya engkau tidak akan dapat menembusi bumi, dan engkau tidak akan dapat menyamai setinggi gunung ganang. (Surah al-Isra’ 17: 37).

Sebaliknya hendaklah sentiasa merendah diri antara satu sama lain. Apabila berlaku perselisihan antara kalangan Muslimin tidak boleh melebihi daripada tiga hari dan berbaik-baiklah semula sebelum menjelang tiga hari dengan memulakan salam. Ini bukanlah bererti Islam menggalakkan supaya melakukan pergaduhan satu hingga tiga hari. Peraturan di atas berlaku kepada mereka yang tersalah atau terlanjur dalam kancah perkelahian. Allah SWT sentiasa mengingatkan orang yang beriman supaya sentiasalah bersangka baik terhadap sesama sendiri, elakkanlah daripada menuduh dan mengumpat. Firman Allah SWT;

Terjemahan: Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang), kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa, dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan dan keaifan orang, dan janganlah sesetengah kamu mengumpat akan sesetengahnya yang lain. Sukakah seseorang dari kamu memakan daging saudaranya yang telah mati? (jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (oleh itu, patuhilah larang-larang yang tersebut) dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah penerima taubat, lagi amat mengasihani. (Surah al-Hujurat 49:12).

Selain dari itu Rasulullah SAW juga telah menunjukkan cara-cara untuk melayani masyarakat bukan Muslim. Perkara pokok yang utama adalah hendaklah menguatkan Akidah pada hati bahawa selain agama Islam adalah ditolak. Hendaklah meyakini bahawa Islam adalah agama untuk manusia seluruh alam ini. Allah SWT tidak menerima selain agama Islam. Oleh itu untuk melayani mereka hendaklah jangan meredai agama mereka dan janganlah sekali-kali menjadikan mereka sebagai pemimpin, kerana ia boleh membahayakan umat Islam sendiri. Namun begitu dari segi lain seperti memberi makan kepada yang lapar, memberi minum kepada mereka yang dahaga adalah digalakkan. Di samping itu dalam pergaulan dengan mereka biarlah dapat membezakan antara orang Islam dengan orang bukan Islam, kerana Rasulullah SAW mengajarkan supaya adakan perbezaan agar dapat dikenali antara Muslim dengan bukan Muslim.

Setelah mengkaji beberapa ayat al-Quran dan al-Hadith berkenaan layanan, maka dapat dibuat kesimpulan bahawa setiap individu yang ada di sekeliling kita mempunyai hak yang tersendiri. Mereka yang utama patut diberi layanan ialah ibu bapa. Kemudian dalam keluarga sendiri seperti suami, isteri, anak, orang gaji, jiran dan sebagainya. Setelah itu terhadap golongan masyarakat yang memerlukan seperti anak yatim, golongan fakir miskin, saudara mara yang terdekat dan sebagainya. Akhir sekali terhadap semua lapisan masyarakat sama ada Muslim atau sebaliknya.

2.1.4 Hospitaliti Nabi Ibrahim as

Untuk meneruskan perbincangan berkenaan hospitaliti Islam menurut al-Quran adalah dengan merujuk kepada kesah Nabi Ibrahim (AS) yang telah melayani tetamunya. Walaupun tetamunya itu tidak dikenali, baginda (AS) tetap melayani bersungguh-sungguh.

Mengikut peraturan al-Quran, seperti yang telah disebutkan dalam kisah berkenaan, baginda (AS) menyambut kedatangan tetamunya itu dengan menjawab salam dan mempersilakan kedatangan mereka. Setelah itu dengan diam-diam baginda telah pergi kepada keluarganya untuk menyiapkan makanan sebagai jamuan kepada tetamu yang baru tiba itu.

Cara melayani tetamu yang telah ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim (AS) yang diceritakan di dalam al-Quran itu adalah sebagai pengajaran kepada seluruh umat Islam. Ayat berkenaan tidak menyentuh dengan jelas berkenaan hukum menyambut tetamu, tetapi mengisahkan hospitaliti Nabi Ibrahim terhadap tetamunya.

Hospitalti itu patut dijadikan teladan kepada semua umat Islam. Etiket melayani tetamu dapat diambil daripada ayat berkenaan sekurang-kurangnya enam peringkat layanan;

1) Menyambut baik kedatangan tetamu.
2) Salam yang diucapkan oleh tetamu dibalas dengan salam.
3) Tetamu dipersilakan masuk / mengambil tempat.
4) Tetamu diberi peluang untuk rehat.
5) Menyediakan makanan yang terbaik baginya.
6) Melayan di meja makan.

Di dalam hadith Rasulullah SAW banyak menyentuh supaya memuliakan tetamu atau ikram al-daif. Oleh sebab tabiat manusia yang terlalu mementingkan diri sendiri, untuk mengajak mereka supaya memuliakan tetamu maka dijadikan suatu persoalan, ingatkan Allah dan ingatkan hari pembalasan itu sebagai pemecah kebakhilan. Rasulullah SAW mengingatkan dalam sebuah hadith;

Terjemahan: Dari Abu Hurairah (RA), bahwasanya Nabi SAW bersabda: "Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir, maka hendaklah memuliakan tetamunya dan barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir, maka hendaklah mempererat hubungan kekeluargaannya dan barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir, maka hendaklah mengucapkan yang baik ataupun berdiam. (Hadith diriwayatkan oleh al-Bukhari).

Hadith di atas menjelaskan hubungan keimanan kepada Allah SWT dan hari pembalasan dengan memuliakan tetamu itu amat erat. Dengan kekuatan keimanan kepada kedua-duanya mengajak seseorang itu meningkatkan lagi prestasi mereka dalam melayani tetamu. Dalam erti kata yang lain, kepuasan layanan yang diterima oleh seseorang tetamu itu bergantung kepada kualiti keimanan tuan rumah terhadap keimanan mereka kepada Allah SWT dan hari pembalasan.

Kesimpulannya Islam mengajar penganutnya supaya melayani secara bersopan santun kepada ibu bapa, suami isteri, jiran, masyarakat Islam dan seterusnya kepada semua manusia. Layanan yang baik bermula daripada keluarga, seterusnya diperluas skopnya kepada seluruh masyarakat.

3.2 Pendidikan Rasulullah SAW dalam Hospitaliti

Rasulullah SAW adalah merupakan contoh atau ikutan kepada seluruh manusia dalam semua hal sebagaimana firman Allah SWT:

Terjemahan: Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan Yang baik, Iaitu bagi orang Yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang) (Surah al Ahzab: 21)

3.2.0 Draf pendidikan Rasulullah SAW

Masyarakat Arab Jahiliah terkenal dengan sifat hospitaliti (ikra al daif), tetapi konsep dan pelaksanaannya sempit dan terbatas. Mereka lebih menumpukan kepada membela suku kabilah dan keluarga sendiri semata-mata tanpa mengambil kira benar atau salah.

Antara lain sikap masyarakat Arab Jahiliah suka memandang rendah kepada kelompok lain serta menghina antara satu sama lain. Sikap jahiliah ini masih terbawa-bawa ke dalam masyarakat awal Islam yang sedang dipimpin oleh baginda Rasulullah SAW. Rasulullah SAW sentiasa mendidik masyarakat Arab Jahiliah ini menjadi manusia yang benar-benar berkualiti memiliki sifat menghormati antara satu sama lain.

Sikap memandang rendah terhadap sesama masyarakat Islam masih wujud iaitu semasa peringkat pertama mereka menganut agama Islam. Sifat jahiliah masih terbawa-bawa dalam kehidupan harian, sedangkan Rasulullah SAW begitu sibuk dan bergiat memperbaik akhlak para sahabat. Apabila mereka berpindah ke Madinah, maka masalah akhlak buruk kian pupus sebagai hasil pendidikan Rasulullah SAW. Namun begitu bagi mereka yang baru menganut agama Islam masih lagi mempunyai akhlak-akhlak buruk.

Sementara masyarakat Arab yang masih belum menganut Islam, keadaan akhlak mereka teramat buruk. Orang Yahudi yang menerima al-Kitab tidak terlepas daripada berakhlak demikian terhadap sesama manusia. Pada umumnya masyarakat Arab jahiliah amat bakhil untuk memberikan sumbangan kepada tetamu mereka, lebih-lebih lagi tetamu yang hadir itu dianggap tidak berguna kepada mereka. Dalam satu peristiwa pernah diceritakan berkenaan satu rombongan yang terdiri daripada beberapa orang Islam telah melalui satu perkampungan dan memohon sedikit bantuan makanan, tetapi malangnya masyarakat kampung berkenaan tidak mahu menunaikan permintaan mereka.

Setelah Rasulullah SAW mendidik mereka berkenaan akhlak selama 13 tahun di Makkah dan 10 tahun di Madinah maka sikap mereka telah banyak berubah khususnya dalam hospitaliti. Mereka berlumba-lumba untuk menjamu dan berlumba-lumba untuk melakukan kebaikan kepada sesama insan, sama ada mereka terdiri daripada golongan lelaki ataupun wanita, sama ada peringkat sahabat atau pun selepas sahabat (tabi‘in).

Sepanjang dakwah Rasulullah SAW di Mekah selama 13 tahun dari tahun 610-622M lebih menekankan kepada soal keimanan dan akhlak. Rasulullah SAW mendidik para sahabat (RAnhum) dengan akhlak yang mulia dengan menjaga kebersihan rohaniah dan jasmaniah, melayani manusia dengan cara yang terbaikbaik seperti berlemah lembut terhadap golongan peminta dan anak yatim.

Rasulullah SAW sendiri pernah merasai hidup tanpa kasih sayang daripada ibu bapa. Pengalaman yang merupakan pendidikan akhlak yang langsung dari Allah SWT itu amat berharga.

Pendidikan ini menjadikan Nabi Muhammad SAW menjadi insan yang benar-benar lemah lembut dan beradab sopan. Baginda telah menjelaskan pendidikan akhlaknya diterima terus daripada Allah SWT seperti sabda baginda SAW;

Terjemahan: Tuhanku yang mendidikku, maka Dia memperbaiki perangaiku. (Hadith diriwayatkan oleh Ibn al-Sam‘ani di dalam adab al-imla’ , dari Ibn Mas‘ud. Hadith ini adalah sahih).

Melalui pendidikan daripada Allah SWT telah menjadikan baginda SAW seorang yang amat pemurah. Ibn ‘Abbas (RA) menggambarkan pemurahnya baginda Rasulullah SAW dalam membuat kebaikan itu lebih murah daripada angin berhembus lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan.

Kesempurnaan akhlak baginda Rasulullah SAW itu telah diakui oleh Allah SWT dan ini merupakan persediaan untuk membawa ajaran Islam. Pengakuan Allah SWT berkenaan kesempurnaan akhlak Rasulullah SAW telah diungkapkan di dalam firmanNya;

Terjemahan: Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang sangat-sangat mulia. (Surah al-Qalam : 4).

Bentuk pendidikan Islam yang diperkenalkan kepada para sahabat oleh Rasulullah SAW adalah lebih bercorak praktikal, sebagai contoh cara-cara baginda mengajar sembahyang kepada sahabat iaitu baginda SAW meminta mereka melakukan seperti yang mereka lihat baginda Rasulullah SAW melakukannya.

Daripada beberapa peristiwa yang berkaitan dengan pelayanan telah membuktikan kepada kita bahawa teknik pengajaran Rasulullah SAW adalah lebih kepada bentuk amali jika dibandingkan dengan bentuk teori. Sahabat mentaati baginda SAW adalah berdasarkan perkara yang baginda SAW lakukan. Amalan baginda SAW dari segi akhlak seperti amanah, adil, pemurah, rendah diri, memuliakan tetamu dan sebagainya telah menjadi contoh untuk diikuti oleh sahabat. Oleh itu tidak hairanlah baginda SAW melakukan sebaik-baik layanan terhadap mereka yang mendatanginya telah menjadi ikutan hingga hari ini. Baginda SAW telah mempraktikkan cara menyambut tetamu, melayani dan menghormati mereka.

Dalam pada itu baginda Rasulullah SAW juga mendidik mereka teknik memberi penghormatan iaitu jangan sampai menyerupai Yahudi dan Nasrani. Orang Yahudi memberi penghormatan dengan mengisyaratkan dengan jari, manakala orang Nasrani memberi ucapan hormat dengan tapak tangan. Sabda Rasulullah SAW;

Terjemahan: Dan diriwayatkan dari ‘Amr bin Syu‘aib dari bapanya dari datuknya (RA): Rasulullah SAW bersabda: Tidaklah dari golongan kami orang yang tidak menyerupai kami. Janganlah menyerupai Yahudi dan Nasrani. Maka salam cara Yahudi ialah mengisyaratkan dengan jari, dan sesungguhnya salam Nasrani dengan tapak tangan. (Hadith diriwayatkan oleh al-Tirmidhi).

Pada hal dalam Islam menghormat sesama mereka adalah dengan mengucapkan salam. Salam yang dianjurkan ialah; “al-salam ‘alaikum” dan hendaklah dijawab dengan yang lebih sempurna atau yang setanding dengannya seperti “wa ‘alai kum al-salam wa rahmat Allah”.

Seterusnya Rasulullah SAW mendidik para sahabat (RAnhum) supaya mempraktikkan sendiri hospitaliti. Walaupun sahabat baginda tidak mempunyai kemampuan harta benda yang mencukupi, maka ini adalah satu cabaran kepada mereka supaya melakukannya mengikut kemampuan yang ada. Hospitaliti yang baik bukanlah bergantung kepada kuantiti makanan yang banyak, tetapi kualiti layanan. Dalam perkataan yang lain, tidak memberi makan itu lebih baik daripada memberi makan tetapi mengeluarkan kata-kata yang tidak baik atau memberi layanan yang buruk.

Bilal bin Rabah (RA) pernah diperintahkan oleh Rasulullah SAW supaya melayani utusan yang datang dari Tajiba dengan baik. Rasulullah SAW juga memerintahkan beliau (RA) supaya membekalkan hadiah-hadiah yang baik seperti mana yang baginda SAW pernah berikan kepada utusan sebelum dari itu.

Selain itu Rasulullah SAW telah mendidik para sahabat (RAnhum) supaya memberanikan diri dalam melayani tetamu yang jumlahnya besar. Walaupun kemampuan terhad, namun menyambut dan melayani tetamu lebih utama.

Diceritakan dalam satu peristiwa, Rasulullah SAW memerintahkan ‘Umar al-Khattab (RA) supaya melayani tetamu dari Muzainah seramai empat ratus orang lelaki, iaitu dengan membekalkan mereka dengan bekalan makanan untuk perjalanan pulang. ‘Umar al-Khattab (RA) telah menjemput mereka datang ke rumah dan membenarkan mereka masuk. Nu‘man bin al-Muqarrin adalah salah seorang daripada ahli rombongan itu mengatakan terdapat selonggok tamar di dalam rumah ‘Umar al-Khattab. ‘Umar al-Khattab mempelawa mereka mengambilnya, sehingga empat ratus orang mengambilnya, namun kata Nu‘man bin al-Muqarrin, tamar itu masih banyak lagi bakinya.

Hal ini menunjukkan bahawa melayani tetamu itu mempunyai keberkatannya yang tersendiri dan tidak dapat dinafikan juga mu‘jizat baginda Rasulullah SAW mencukupkan makanan yang sedikit untuk jemuan kepada tetamu yang ramai.

Kebiasaannya setelah baginda Rasulullah SAW menyambut dan melayani tetamu yang hadir, semasa kepulangan mereka dibekalkan pula dengan hadiah. Hadiah merupakan perkara yang penting bagi Rasulullah SAW. Dengan hadiah itu juga memberi kesan pada hati mereka dan keluarga mereka terhadap Islam. Melalui hadiah juga dapat menghubungkan dan mengeratkan tali persaudaraan sesama umat Islam. Dalam sebuah hadith menyebutkan;

Terjemahan: Adalah baginda sentiasa menyuruh memberikan hadiah sebagai menghubungkan sesama manusia. (Hadith diriwayatkan oleh Ibn ‘Asakir dari Anas. Hadith ini adalah hasan).

Pada umumnya apa yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW kepada para sahabat berkenaan hospitaliti itu adalah sebagai hasil pendidikan akhlak daripada Allah SWT sendiri. Dalam erti kata yang lain, Nabi Muhammad SAW bukanlah mencipta sendiri berkenaan budi pekerti dan adab sopan santun itu.

Oleh sebab pendidikan akhlak datang daripada Allah SWT dan merupakan syari‘at kepada umat Islam, serta bersifat universal, maka ia dapat diterima dengan baik oleh bangsa Arab semasa itu.

Jika pengetahuan berkenaan sampai kepada semua manusia di dunia ini, sudah tentulah ia dapat dipelajari dan diamalkan dalam kehidupan mereka.

3.2.1 Pendekatan hospitaliti Rasulullah SAW

Menyambut, melayani dan memberikan makan kepada tetamu merupakan amalan nabi-nabi dan rasul-rasul. Nabi Ibrahim (AS) adalah merupakan nabi pertama dikisahkan memuliakan tetamunya.

Seterusnya sifat yang mulia ini diteruskan oleh nabi-nabi berikutnya. Nabi Muhammad SAW pula melengkapkan lagi hospitaliti ini yang bukan sahaja menyambut dan melayani tetamu, malah diberikan pula hadiah atau bekalan untuk perjalanan pulang sama ada berupa makanan, pakaian atau pun wang.

Pernah satu ketika utusan Salaman datang ke Madinah untuk menganut agama Islam. Mereka terdiri daripada tujuh orang. Di samping bertujuan menganut agama Islam, mereka memohon kepada Rasulullah SAW supaya mendoakan negeri mereka yang kemarau supaya dituruni hujan. Rasulullah SAW pun mendoakan. Apabila tiba masa keberangkatan pulang, maka Rasulullah SAW telah membekalkan bersama hadiah-hadiah. Setelah sampai di negeri mereka, di khabarkan kepada mereka hujan telah turun pada hari Rasulullah SAW mendoakan.

Suatu teknik hospitaliti yang diperkenalkan oleh Rasulullah SAW ialah menggembirakan hati tetamu ketika kepulangan mereka dengan memberikan tanda kenangan kepada tetamu dan perkara ini dapat memberi kesan yang mendalam kepada hati setiap pengunjung. Jenis-jenis pemberian dan nilainya tidaklah penting, tetapi yang penting ialah menggembirakan mereka.

Selain memuliakan tetamu dari luar negeri, Rasulullah SAW amat memuliakan para sahabat (RAnhum) terutamanya daripada golongan yang lemah seperti Ahl al-Suffah, yang merupakan tetamu dalam negeri. Rasulullah SAW begitu memahami perasaan golongan yang lemah ini kerana baginda SAW sendiri merasa demikian melalui cara hidup yang sederhana.

Sering kali apabila baginda SAW bertemu dengan mereka dijemputnya mereka datang ke rumah untuk diberi jamuan mengikut apa yang ada. Golongan yang lemah seperti Ahl al-Suffah ini digelar oleh baginda SAW sebagai tetamu umat Islam yang berhak mendapat layanan. Dalam suatu hadith ada menceritakan;

Terjemahan: Dari Abu Hurairah (RA) katanya: Rasulullah SAW telah melewati aku dan bersabda: "Ya Abu Hir!". Aku menjawab: "Baik ya Rasulullah". Baginda pun bersabda: "Temuilah Ahli al-Suffah dan panggillah mereka". Abu Hurairah berkata: Ahli al-Suffah adalah tetamu-tetamu umat Islam. (Hadith diriwayatkan oleh Abu Na‘in di dalam al-Hilyah).

Pengalaman sebagai anak yatim telah mendidik baginda menyintai mereka. Sehingga Rasulullah SAW mengingatkan kita bahawa Allah SWT amat menyintai rumah yang ada anak yatim di dalamnya yang dilayani dengan sebaik-baiknya. Sabda Rasulullah SAW;

Terjemahan: Sabda Rasulullah SAW: Rumah-rumah kamu yang dicintai Allah ialah rumah yang di dalamnya terdapat anak yatim yang dimuliakan. (Hadith diriwayatkan oleh al-Baihaqi di dalam Syu‘ab al-iman dari ‘Umar).

Selain itu Rasulullah SAW juga memberi layanan terhadap kanak-kanak. Kebiasaannya baginda SAW menyambut kelahiran kanak-kanak itu dengan memberi sedikit kurma serta menamakan mereka dengan nama yang baik-baik. Seterusnya baginda SAW mendoakan semoga anak itu mendapat berkat dan mendapata kebahagiaan dari Allah SWT.

Apabila Rasulullah SAW lalu pada kumpulan kanak-kanak baginda sentiasa mengucapkan salam, seperti yang diceritakan oleh Anas bin Malik (RA);

Terjemahan: Dari Anas (RA) berkata: Sesungguhnya Rasulullah SAW telah melalui kanak-kanak, maka baginda SAW mengucapkan salam ke atas mereka. (Hadith diriwayatkan oleh al Bukhari dan Muslim).

Kesimpulannya, Rasulullah SAW telah memperlihatkan kepada sahabat dan seluruh manusia berkenaan layanan baik baginda terhadap keluarga, fakir, miskin, anak yatim, pengunjung dan sebagainya. Layanan bermula daripada kanak-kanak yang baru dilahirkan sehinggalah menghantar jenazah ke pusara. Layanan berkenaan adalah bersifat sempurna dan menyeluruh yang dapat dijadikan contoh untuk diteladani khususnya dalam industri hospitaliti.

3.3 Hospitaliti dalam Sejarah Sahabat

Peribadi baginda Rasulullah SAW yang mulia itu amat berkesan kepada jiwa para sahabat (RAnhum), hingga membudaya dalam diri mereka berkenaan apa saja yang diucapkan dan apa saja yang diamalkan oleh Rasulullah SAW semasa melayani tetamu.

Sebenarnya tidak dapat disenaraikan nama sahabat yang terlibat secara langsung dalam melayani tetamu, kerana ruang tidak mengizinkan.

Dapat dikatakan semua sahabat baginda SAW pernah melibatkan diri dalam melayani tetamu. Namun begitu berikut dibawakan beberapa contoh hospitaliti sahabat terhadap tetamu mereka.

3.3.0 Salman al-Farisi

Suatu ketika Salman al-Farisi masuk bertemu Nabi Muhammad SAW. Ketika itu baginda SAW sedang bersandar pada sebuah bantal yang berisi pelepah tamar. Lalu baginda SAW telah mencampakkan bantal itu kepada Salman al-Farisi sebagai menghormati kedatangannya itu. Lalu baginda SAW memberi tahu bahawa perbuatan menghormati tetamu seperti memberi bantal kepada tetamu sebagai penghormatan itu mendapat keampunan daripada Allah SWT. Dengan itu Salman al-Farisi telah mempraktikkan amalan itu kepada sesiapa sahaja yang datang menemuinya sebagai tanda menghormati tetamu.

Terjemahan: Dari Anas bin Malik (RA). katanya: "‘Umar telah masuk menemui Salman al-Farisi (RA) di mana Salman telah mengeluarkan sebiji bantal untuknya. ‘Umar (RA). pun bertanya kepada Salman: "Apa ini ya Salman?" Salman pun berkata: "Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Tiadalah seorang Muslim itu masuk menemui saudaranya kemudian mencampakkan sebiji bantal kepada saudaranya dengan tujuan untuk memuliakannya melainkan Allah mengampunkan dosanya." (Hadith diriwayatkan oleh al-Tabrani di dalam al-saghir).

3.3.1 Umar al-Khattab

Umar al-Khattab juga melakukan penghormatan yang sama ketika Salman al-Farisi datang menziarahinya seperti yang tercatat dalam Hayat al-sahabah;

Terjemahan: Dari Anas bin Malik (RA) berkata: Salman al-Farisi telah masuk menemui ‘Umar al-Khattab, dan dia sedang bersandar pada sebuah bantal, maka dicampaknya bantal itu kepada Salman. Maka Salman berkata: “Benarlah Allah dan RasulNya”, ‘Umar berkata: “Ceritakanlah kepada kami wahai bapa Abdullah”. Salman berkata: “Aku telah masuk menemui Rasulullah SAW, dan dia sedang bersandar kepada sebuah bantal sandar, lalu dicampakkan kepadaku, kemudian baginda bersabda: “Wahai Salman, tidaklah dari kalangan seorang Muslim yang masuk menemui saudaranya maka dicampakkan kepadanya bantal sandar dalam keadaan memuliakannya, kecuali Allah memberi keampunan kepadanya. (Hadith diriwayatkan oleh al-Hakim).

Dalam peristiwa yang lain ‘Umar al-Khattab telah membelanjakan sebahagian daripada hartanya untuk menjamu tetamunya seperti dalam sebuah athar;

Terjemahan: Diriwayatkan daripada Ibnu ‘Umar (RA) katanya: ‘Umar telah mendapat sebidang tanah di Khaibar kemudian dia datang mengadap Nabi SAW untuk minta tunjuk ajar berkenaan cara pengelolaannya, katanya: Wahai Rasulullah! Saya telah mendapat sebidang tanah di Khaibar. Belum pernah saya memperolehi harta yang lebih baik daripada ini. Apakah cadangan kamu mengenai perkara ini? Baginda bersabda: Jika kamu suka, jaga tanah itu dan kamu sedekahkan manfaatnya. Lalu ‘Umar mengeluarkan sedekah hasil tanah itu dengan syarat tanahnya tidak boleh dijual dan dibeli serta diwarisi atau dihadiahkan. ‘Umar mengeluar sedekah hasilnya kepada fakir miskin, kaum kerabat dan untuk memerdekakan hamba juga untuk orang yang berjihad di jalan Allah serta untuk bekal orang yang sedang dalam perjalanan dan menjadi hidangan untuk tetamu. Orang yang mengurusnya boleh makan sebahagian hasilnya dengan cara yang baik dan boleh memberi makan kepada temannya dengan sekadarnya. (Hadith diriwayatkan oleh al-Bukhari).

Daripada kenyataan di atas telah menggambarkan kepada kita bahawa hospitaliti yang ada pada ‘Umar al-Khattab dan sahabat-sahabat lain terhadap tetamu sudah menjadi sebahagian daripada cara hidup mereka, sehingga ‘Umar sendiri tidak menyedari perlakuannya terhadap Salman adalah merupakan satu penghormatan atau kemesraan terhadap tetamu. Hal ini membuktikan bahawa pengajaran Rasulullah SAW dalam bidang hospitaliti terhadap sahabat, dianggap amat berjaya dan mencapai matlamatnya.

3.3.2 Anas bin Malik

Para sahabat amat mengutamakan hospitaliti dalam semua keadaan, sama ada ketika mereka senang atau susah, sama ada ketika mereka sihat atau pun sakit, kerana amalan menghormati tetamu ini adalah daripada akhlak yang baik dan merupakan amalan kebaktian yang dijanjikan oleh Allah SWT pahala pada hari akhirat.

Para sahabat (RAnhum) sering dikunjungi tetamu untuk bertanyakan soal-soal agama dan sebagainya, khususnya ketika sakit ramailah tetamu yang hadir untuk menziarahi.

Dalam keadaan sakit pun para sahabat (RAnhum) masih dapat melayani tetamu. Demikianlah diceritakan berkenaan layanan seorang sahabat yang sedang sakit terhadap tetamunya;

Terjemahan: Dan dari Humaid al-Tawil, dari Anas bin Malik (RA) berkata: Telah masuklah satu kumpulan penziarahnya semasa sakitnya, lalu beliau berkata: "Wahai jariah silalah melayani sahabat-sahabatku walaupun dengan sedikit roti, maka sesungguhnya aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Kemuliaan akhlak adalah dari amalan syurga". (Hadith diriwayatkan oleh al-Tabrani di dalam al-ausat dengan sanad jayyid).

3.3.3 Abu Usaid al-Sa‘idi

Diceritakan dalam sebuah athar berkenaan layanan Abu Usaid dan isterinya terhadap tetamu yang datang mengunjungi semasa hari perkahwinan mereka;

Terjemahan: Diriwayatkan daripada Sahl bin Saad (RA) katanya: Abu Usaid as-Sa‘idi telah mengundang Rasulullah SAW untuk menghadiri majlis perkahwinannya. Pada hari itu isterinya sendiri, iaitu pengantin perempuan melayani para tamu. Selepas itu Sahl berkata: Tahukah kamu apa yang telah diberikan oleh isteriku kepada Rasulullah SAW sebagai minuman? Dia (isteriku) telah merendam beberapa biji kurma pada malamnya dalam mangkuk. Ketika Rasulullah SAW makan dia memberikan kurma yang direndam itu sebagai minuman baginda SAW. (Hadith diriwayatkan oleh al Bukhari dan Muslim).

Dalam memberi layanan, sesuatu keluarga sama ada isteri atau suami perlu sama-sama memberi sumbangan dalam melayani tetamu mereka. Mereka telah memuliakan Rasulullah SAW sebagai tetamu mereka yang terhormat dengan memberikan makanan yang istimewa terhadap tetamunya itu.

3.3.4 AbdulLah bin al-Harith bin Jaz’i al-Zubaidi

Terdapat dalam sebuah athar berkenaan penghormatan Abdullah bin al-Harith terhadap tetamunya dengan menyediakan tempat duduk yang selesa untuk mereka;

Terjemahan: Dikeluarkan oleh Ibnu Jarir daripada Ibrahim bin Syaiban daripada seorang lelaki katanya: Dua orang lelaki telah masuk menemui Abdullah bin al-Harith bin Jazi al-Zubaidi (RA). Abdullah pun mengambil bantal yang disandarinya lalu mencampakkannya kepada kedua-dua orang lelaki tersebut. Merekapun berkata kepada Abdullah: Kami tidak mahu yang ini. Adapun apa yang kami mahu hanya mendengar sesuatu darimu yang boleh kami manfaati. Abdullah berkata: Sesungguhnya barangsiapa yang tidak memuliakan tetamunya, maka beliau bukanlah dari kalangan umat Muhammad ataupun Ibrahim.

Yang dapat difahami daripada athar di atas adalah berkenaan kelakuan sahabat terhadap tetamu mereka apabila menyambut kedatangan tetamu. Walaupun tetamunya tidak memerlukan layanan, namun layanan wajib diutamakan daripada perkara-perkara lain.

3.3.5 Para pengusaha

Tidak kurang juga para pengusaha seperti tukan jahit daripada kalangan sahabat banyak mengadakan majlis jamuan untuk tujuan memuliakan tetamu. Dalam sebuah hadith ada menyebut;

Terjemahan: Diriwayatkan daripada Anas bin Malik (RA) katanya: Seorang tukang jahit telah mengundang Rasulullah SAW untuk menghadiri suatu jamuan makan. Anas bin Malik berkata: Aku pergi bersama Rasulullah SAW menghadiri jamuan makan tersebut. Dia menghampiri Rasulullah SAW dan menghidangkan roti dari barli serta kuah berisi buah labu dan daging bakar. Anas berkata: Aku melihat Rasulullah SAW mencari-cari buah labu dari dalam sahfah. (Hadith diriwayatkan oleh Ahmad ibn Hanbal).

Daripada hadith di atas telah menjelaskan berkenaan keinginan seorang peniaga tukang jahit yang kehidupannya sibuk dengan tugas-tugas harian telah mempunyai kesempatan untuk mengadakan satu majlis jamuan untuk mengundang Rasulullah SAW sebagai tetamunya untuk dilayani.

3.3.6 Sukarelawan wanita

Pengaruh untuk menghormati dan melayani tetamu ini bukan sahaja terdiri daripada golongan Muslim dan sahabat Rasulullah SAW sahaja, malah ia juga meresap ke dalam jiwa wanita Islam. Diceritakan emak Hasan bin Hakim sering kali memasak roti setiap pagi dan memberikannya kepada anak yatim, orang miskin dan janda-janda, sebagaimana diceritakan;

Terjemahan: Dari Hasan bin Hakim daripada ibunya, sesungguhnya ibunya akan memasak setiap pagi sebekas penuh tharid (roti) untuk dibahagikan kepada janda-janda, anak-anak yatim dan orang-orang miskin. (Hadith diriwayatkan oleh Ibn Sa‘ad).

Juga ada daripada kalangan wanita Islam yang menyediakan makanan untuk para sahabat (RAnhum) yang balik daripada menunaikan sembahyang, sebagai menghormati tetamu yang sudi singgah di rumahnya. Diceritakan dalam sebuah athar;

Terjemahan: Diberitakan dari Sahl (RA). katanya: "Ada seorang wanita menanam saldari di tepi parit kebunnya. Bila tiba hari Jumaat dicabutnya batang saldari itu dan direbuskannya dalam periuk serta dicampurnya dengan segenggam barli. Maka batang saldari itu merupakan daging. Apabila kami kembali dari solat Jumaat, kami datang mengucapkan salam kepadanya, lalu dihidangkannya makanan tadi kepada kami dan kami mengambilnya dengan senduk. Kami ingin supaya hari Jumaat cepat datang, kerana hidangan wanita itu. (Hadith diriwayatkan oleh al-Bukhari).

Oleh sebab pendidikan yang diberikan oleh Rasulullah SAW dalam melayani tetamu ini melalui praktikal dan mudah diamalkan maka umat Islam pada zaman awal dapat melaksanakan dengan baik.

Kesedaran melayani tetamu ini telah membudaya dalam kehidupan mereka dan semangat berlumba-lumba dalam melayani tetamu ini telah mencapai tahap yang tinggi, sehingga setiap individu Muslim adalah bersedia menjadi pelayan sama ada mereka lelaki, perempuan ataupun mereka yang sedang berada dalam situasi kegeringan.

3.4 Rumusan hospitaliti menurut wahyu

Berdasarkan al-Qur’an dan al-Hadith maka dapatlah diambil daripadanya beberapa peraturan untuk dijadikan pedoman kepada tuan rumah atau hos. Rasulullah SAW selaku hos telah meletakkan satu garis panduan untuk sahabat melayani tetamu.

Antara pengajaran baginda SAW yang dapat dirumuskan termasuklah teknik menyambut tetamu, melayani mereka, penyediaan kemudahan, etiket penyediaan makan dan minuman, teknik melayani di meja makan, penyediaan tempat penginapan, menjamin keselamatan tetamu, mengelakkan tetamu daripada sebarang gangguan dan akhir sekali layanan pada saat perpisahan.

3.4.0 Adab Menyambut tetamu

Rasulullah SAW telah menjelaskan berkenaan dua insan yang bertemu supaya mereka memulakan dengan ucapan salam. Walaupun etiket salam mengarahkan, yang datang sepatutnya mengucapkan salam terlebih dahulu kepada tuan rumah, tetapi boleh juga tuan rumah memberi salam kepada tetamu, kerana berlumba-lumba mengucapkan salam adalah digalakkan seperti hadith;

Terjemahan: Dari Abu Umamah berkata: Ditanyakan, wahai Rasulullah dua orang bertemu siapakah di antara mereka yang mendahului salam?. Beliau bersabda: Orang yang lebih dekat terhadap (rahmat) Allah itulah orang memulai salam. (Hadith diriwayatkan oleh al-Tirmidhi, ista’dhan : hadith ini adalah hasan).

Mengikut keadaan biasa, tetamulah yang memulakan salam, seperti telah disebutkan sebelum ini berkenaan tetamu Nabi Ibrahim (AS) datang bertemunya dengan mengucapkan salam.

Daripada ayat di atas telah menjelaskan cara Nabi Ibrahim (AS) menyambut kedatangan tetamunya. Setelah tetamunya masuk bertemu Nabi Ibrahim (AS) dengan mengucapkan salam, lalu salam mereka dijawab olehnya. Berkenaan cara menjawab salam, telah diterangkan oleh Allah SWT sebagaimana firmanNya;

Terjemahan: "Apabila ada orang memberi hormat (salam) kepada kamu, balaslah hormat (salamnya) dengan cara yang lebih baik, atau balas penghormatan itu (serupa dengan penghormatannya); sesungguhnya Allah SWT itu menghitung segala sesuatu." (Surah al-Nisa’ 4:86).

Ayat di atas menjelaskan berkenaan cara penghormatan dibalas. Setiap ucapan salam yang diberikan hendaklah dibalas pula dengan penghormatan yang sama atau lebih baik daripada itu. Walau bagaimanapun terdapat sebuah hadith Rasulullah SAW berkenaan baginda pernah menjawab salam terlalu ringkas;

Terjemahan: Dari Abu Hurairah berkata: Seorang masuk ke dalam masjid sedangkan Rasulullah SAW duduk di sudut masjid kemudian beliau sembahyang, kemudian orang itu datang dan mengucapkan salam atas beliau, kemudian beliau bersabda: “Waalaika, (kembalilah ke atas kamu), pergilah sembahyang kerana sesungguhnya kamu belum sembahyang…. (Hadith diriwayatkan oleh al-Tirmidhi, hadith ini adalah hasan).

Daripada hadith di atas tidaklah diketahui mengapa sesingkat itu dijawab oleh Rasulullah SAW. Kebiasaannya jawapan sedemikian itu hanya untuk orang kafir atau ahli kitab yang memberi salam kepada baginda. Sesuai pula dengan sembahyang lelaki itu yang tidak sempurna, lalu baginda memintanya supaya mengulangi sembahyang itu. Ada kemungkinan juga salam yang diucapkan oleh lelaki itu terhadap Rasulullah tidak sempurna, seperti tidak sempurnanya beliau melakukan sembahyang. Jika sebutan salam itu tidak dijaga dari segi makhraj hurufnya, ia akan membawa erti yang lain seperti “Al-samu alaikum” ertinya “Mudah-mudahan kematian ke atas kamu”. Oleh itu tidak hairanlah baginda menjawab demikian, kerana jawapan demikian adalah berbentuk sederhana.

Setelah tetamu itu memberi salam, maka barulah mereka dipersilakan masuk, seterusnya Rasulullah SAW mengajarkan kepada kita supaya berjabat tangan. Dengan berjabat tangan ini akan menambahkan dan mengeratkan lagi tali persahabatan antara sesama Muslim. Selain itu, berjabat tangan juga Allah SWT menjanjikan keampunan kepada mereka. Rasulullah SAW bersabda;

Terjemahan: Rasulullah SAW bersabda: Dua orang Muslim yang bertemu, maka mereka berjabat tangan, maka Allah mengampuni keduanya sebelum mereka berpisah. (Hadith diriwayatkan oleh Ahmad ibn Hanbal di dalam musnadnya dan al-Tirmidhi, mereka mengambil dari al-Barra’. Hadith ini adalah hasan).

Dalam anjuran supaya berjabat tangan ini hanya digalakkan antara sesama jenis. Manakala berjabat tangan yang berlainan jenis bukanlah digalakkan oleh Rasulullah SAW dan tidak termasuk di dalam sunnahnya. Oleh itu dinasihatkan kepada masyarakat Islam supaya elakkanlah diri daripada berjabat tangan dengan mereka yang berlainan jenis. Rasulullah SAW bersabda;

Terjemahan: Sesungguhnya aku tidak menjabat tangan orang-orang perempuan. (Hadith diriwayatkan oleh al-Tirmidhi, al-Nasa’i dan Ibn Majah).

Demikianlah juga Rasulullah SAW melarang daripada berjabat tangan dengan orang musyrik yang memusuhi Islam dan musuh umat Islam, seperti di dalam hadithnya;

Terjemahan: Rasulullah SAW menegah berjabat tangan dengan orang-orang musyrik . (Hadith diriwayatkan oleh Abu Na‘im di dalam al-Hilyah dari Jabir).

Terdapat beberapa peraturan lain bagi penyambut tetamu, iaitu ketika tetamu datang adalah dilarang bangun bagi menghormati kedatangan mereka. Sebaliknya hendaklah duduk di tempat masing-masing. Teguran itu dimuatkan dalam sebuah hadith;

Terjemahan: Dari Abu Majlaz berkata: bahawa Mu‘awiyyah (RA) telah keluar dan Abdullah bin ‘A.mir dan Abdullah bin al-Zubir (RAnhum) sedang duduk. Maka Ibn ‘A.mir (Abdullah bin ‘A.mir) pun bangun menyambut kedatangannya manakala Ibn Zubir (Abdullah bin Zubir) duduk. Mu‘awiyyah berkata: Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa yang bangun untuk menyambut hamba-hamba Allah, maka dia menyediakan rumahnya di dalam neraka". (Hadith diriwayatkan oleh al-Bukhari).

Rasulullah SAW pernah menegah para sahabat (RAnhum) bangun bagi menghormati kedatangannya. Baginda SAW menerangkan bahawa hanya orang-orang ‘ajam sahaja yang bangun menghormati antara satu sama lain. Di dalam Islam tidak diajar supaya membesar-besarkan antara satu sama lain. Sabda baginda SAW;

Terjemahan: Dari Abu Umamah (RA) katanya: "Rasulullah SAW telah keluar untuk menemui kami dengan bertongkat, lalu kami bangun untuk menyambutnya. Rasulullah SAW bersabda: "Janganlah kamu bangun sebagaimana orang-orang ajam membesar-besarkan antara satu sama lain". (Hadith diriwayatkan oleh Ibn Jarir).

Terdapat dalam masyarakat kini yang masih menghormati tetamunya dengan membongkokkan badan mereka. Keadaan ini juga ditegah dalam Islam. Rasulullah SAW pernah melarang daripada memberi penghormatan dengan cara membongkokkan badan.

Terjemahan: Dari Anas (RA), katanya: "Ada seorang lelaki berkata: "Ya Rasulullah, ada seseorang di antara kita bertemu dengan saudaranya atau sahabatnya, apakah ia boleh membongkokkan badan untuk menghormatinya itu" Beliau SAW menjawab: "Tidak boleh." Orang itu bertanya lagi: "Apakah boleh ia merangkulnya dan mencium tubuhnya?" Beliau SAW menjawab: "Tidak boleh." Orang itu berkata lagi: "Apakah boleh ia mengambil tangan saudara atau sahabatnya itu lalu berjabat tangan dengannya?" Beliau SAW menjawab: "Ya, boleh." (Hadith diriwayatkan oleh al-Tirmidhi, hadith ini adalah hasan).

Begitulah juga dilarang merangkul tubuh atau mencium tubuhnya, kecualilah jika lama tidak berjumpa, baru balik dari mengerjakan haji atau baru balik dari perjalanan yang jauh, seperti yang dirakamkan dalam sebuah hadith;

Terjemahan: Dari Aisyah (RA.ha), katanya: “Zaid bin Harithah datang di Madinah dan beliau SAW sedang ada dalam rumahku. Zaid mendatanginya lalu mengetuk pintu, kemudian Nabi SAW berdiri untuk menyambutnya (kerana Zaid baru datang dari berpergian) lalu beliau SAW menarik bajunya terus merangkul serta menciumnya.” (Hadith diriwayatkan oleh Al-Tirmidhi, katanya hadith ini adalah hasan).

Rasulullah SAW mengajarkan kepada sahabat (RAnhum) semasa menyambut tetamu itu hendaklah dengan muka yang berseri-seri serta disusun pula dengan kata-kata yang lembut serta mempersilakan mereka mengambil tempat duduk. Walaupun tempat masih luas, baginda Rasulullah SAW masih mengesak-ngesak sebagai tanda memberi ruang kepada tetamu yang hadir. Dalam sebuah hadith ada menyebut;

Terjemahan: Dari Wathilah bin al-Khattab al-Qursyi (RA) berkata: "Seorang lelaki telah memasuki masjid, dan ketika itu Nabi SAW bersendirian, maka baginda SAW pun bergerak (memberi tempat duduk) untuknya". Lelaki itu berkata: "Ya Rasulullah tempat ini masih luas". Maka Rasulullah SAW Bersabda: "Sesungguhnya orang mukmin itu mempunyai hak, jika dia melihat kedatangan saudaranya, maka hendaklah dia melapangkan tempat duduk untuk saudaranya itu". (Hadith diriwayatkan oleh al-Baihaqi dan Ibn ‘Asakir).

Baginda Rasulullah SAW sentiasa berkelakuan yang sama terhadap semua orang, walaupun dengan anakandanya sendiri. Diceritakan baginda SAW memuliakan anakandanya Fatimah (R.anha) dengan menyambut kedatangnya dan memimpin tangan lalu mengucup di dahinya, demikianlah pula dilakukan oleh anakandanya terhada Rasulullah SAW.

Terjemahan: Dari Aisyah (R.anha) katanya: "Aku tidak pernah melihat seseorangpun yang lebih menyerupai Rasulullah SAW dari segi percakapan, kata-kata dan duduk dari Fatimah (R.anha). Apabila Rasulullah SAW melihat Fatimah (R.anha) datang, baginda akan melapangkan tempat duduk dengan mengalu-alukan kedatangnnya, maka dikucupnya, kemudian memimpin tangan Fatimah hingga duduk ditempat duduknya. Dan demikianlah apabila Nabi SAW datang mengunjunginya, Fatimah akan menyambutnya maka dia mengucup Rasulullah SAW. (Hadith diriwayatkan oleh al-Bukhari).

Rasulullah SAW mengajarkan kepada sahabat supaya memberi perhatian terhadap pembesar-pembesar negara yang lebih semasa menghormati mereka. Ketua sesuatu kaum amat berpengaruh kepada kaumnya. Oleh sebab itu, jika layanan yang buruk diterima oleh ketua kaum itu maka gambaran buruklah yang digambarkan oleh seluruh pengikutnya. Sebaliknya jika layanan yang baik diterima oleh ketua kaum itu, maka ia menggambarkan berkenaan kebaikan keseluruhan berkenaan layanan yang diterimanya. Oleh itu orang yang berpengaruh patut diberi perhatian yang lebih semasa menyambut kedatangan dan melayani mereka. Sabda Rasulullah SAW;

Terjemahan: Apabila datang kepadamu orang terhormat dari satu kaum maka hormatilah dia. (Hadith diriwayatkan oleh Ibn Majah dari Ibn ‘Umar, diriwayatkan oleh al-Bazar dari Abu Hurairan. Hadith ini adalah sahih).

Rasulullah SAW pernah menyambut kedatangan Jarir (RA) yang merupakan orang yang mulia daripada kaumnya. Jarir (RA) telah dipersilakan masuk dan Rasulullah SAW menghamparkan kain selepangnya sebagai tempat duduk tetamunya itu.

Terjemahan: Dari Jarir bin Abdullah al-Bajalli (RA). bahawa beliau telah datang menemui Nabi SAW yang berada di rumahnya. Ketika itu terdapat satu perhimpunan yang besar di sana. Beliaupun berdiri di pintu. Nabi SAW telah melihat akan kedatangannya itu. Baginda SAW telah melihat kiri dan kanan tetapi baginda SAW tidak mendapati tempat yang luas untuk diduduki oleh Jarir, Rasulullah SAW pun mengambil kain selepangnya, kemudian melipatnya lalu mencampakkannya kepada Jarir bin Abdullah (RA). seraya berkata kepadanya: "Duduklah di atasnya". Jarir pun mengambil kain tersebut lalu mengulungnya kemudian menciumnya, dan mencampakkannya kembali kepada Rasulullah SAW sambil berkata: "Allah memuliakan kamu yang Rasulullah sebagaimana kamu memuliakanku." Rasulullah SAW pun bersabda: "Sekiranya orang yang mulia di dalam satu kaum datang menemuimu maka hendaklah kamu memuliakannya." (Hadith diriwayatkan oleh al-Tabrani di dalam al-saghir dan al-ausat).

Ketika baginda SAW hampir wafat, yang diulang-ulang pesanan kepada para sahabat (RAnhum) antara lain supaya mereka menyambut kedatang perutusan seperti yang dilakukan oleh baginda SAW.

Terjemahan: Dari Ibn ‘Abbas (RA).Rasulullah SAW berwasiat ketika beliau hampir wafat dengan tiga perkataan: Pertama: Keluarkanlah orang musyrik dari semenanjung Arab, kedua: sambutlah perutusan sebagaimana saya pernah menyambut mereka, dan yang ketiga saya (Ibn ‘Abbas) lupa." (Hadith diriwayatkan oleh al-Bukhari).

Antara cara yang dilakukan oleh baginda SAW ketika menyambut kedatangan mereka adalah dengan mempersilakan mereka, memberi ruang untuk duduk, melayani keperluan hajat mereka, menyediakan kemudahan penginapan, makan dan minum seterusnya membekalkan kepada mereka hadiah dan bekalan makanan untuk perjalanan pulang para perutusan itu.

Kesemua ini adalah merupakan peraturan akhlak baik yang digalakkan kepada setiap penyambut tetamu atau tuan rumah melakukannya. Namun begitu peraturan ini bukanlah bererti satu kewajipan, kerana tidak ada dalil atau nas yang menunjukkan kutukan dan kemurkaan Allah SWT kepada mereka yang tidak malakukan demikian.

3.4.1 Adab Melayani tetamu

Setelah seseorang tetamu disambut dengan penuh penghormatan seperti yang dianjurkan oleh ajaran Islam, maka peringkat kedua-dua ialah mereka dilayani mengikut keperluan mereka. Dalam melayani manusia, ia memberlukan kesabaran dan kegigihan sepenuhnya.

Pihak tuan rumah sewajarnya memahami bahawa tetamu yang hadir itu sedang mengalami kepenatan dalam perjalanan, tentulah memerlukan layanan yang cukup. Segala kerenah tetamu itu sewajarnyalah dihadapi oleh penyambut tetamu dengan penuh ketabahan.

Sebaliknya layanan yang diberikan kepada mereka itu dijanjikan oleh Allah SWT dengan kebaikan. Sebenarnya tidak ada yang menguntungkan langsung bagi mereka yang bongkak dan enggan melayani tetamu. Rasulullah SAW bersabda;

Terjemahan: Dan dari ‘Uqbah bin ‘A.mir (RA) dari Nabi SAW bersabda: "Tidak ada kebaikan bagi mereka yang tidak melayani tetamu". (Hadith diriwayatkan oleh Ahmad ibn Hanbal di dalam musnadnya dan al-Baihaqi di dalam al-sunan al-kubra, mereka berdua mengambil dari ‘Uqbah bin ‘A.mir. Hadith ini adalah hasan).

Melayani tetamu tidaklah bererti memberat-beratkan diri dengan menyediakan keperluan mereka. Hanya cukup dengan apa yang ada. Mereka hanya dituntut supaya melayani tetamu itu pada hari yang pertama sahaja. Sementara hari berikutnya dikirakan sedekah. Apabila menjelang hari yang ketiga, terpulanglah kepada tuan rumah, sama ada ingin mengenakan bayaran ataupun tidak. Yang penting dalam menyambut tetamu itu ialah memperlihatkan kesungguhan menerima kedatangan mereka dan kesungguhan dalam memberi layanan.

Suatu perkara yang patut menjadi ingatan kepada umat Islam apabila melayani tetamu bukanlah bererti mereka mengalami kerugian apa-apa yang diberikan oleh Allah SWTkepada mereka, tetapi lebih jauh daripada itu, bagi mereka yang melayani tetamu itu dikaitkan dengan ketinggian nilai keimanan seseorang itu disisi Allah SWT pada hari akhirat. Melalui khidmat melayani tetamu itu, ia dapat memperbaik dan merapatkan hubungan persaudaraan sesama umat Islam.

Hubungan yang baik antara sesama umat Islam itu amat penting ke arah kekuatan perpaduan masyarakat Islam dan khidmat layanan diberikan hanya kepada perkara-perkara yang diperlukan oleh pelanggan atau tetamu sahaja. Jika mereka memerlukan makanan dan minuman, maka sediakanlah makanan dan minuman.

Jika tidak dapat disediakan makanan dan minuman yang dipinta, janganlah berkata-kata yang menyakitkan hati mereka. Sebaliknya lebih baik diam. Demikian juga jika mereka memerlukan khidmat tenaga, maka berilah bantuan yang berupa tenaga sahaja. Jika mereka memerlukan bantuan yang berupa nasihat, maka berikanlah nasihat kepada mereka. Sabda Rasulullah SAW;

Terjemahan: Dari Abu Hurairah (RA), bahwasanya Nabi SAW bersabda: "Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir, maka hendaklah memuliakan tetamunya dan barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir, maka hendaklah mempererat hubungan kekeluargaannya dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir, maka hendaklah mengucapkan yang baik ataupun berdiam. (Disepakati oleh al-Bukhari dan Muslim).

Mereka yang memerlukan khidmat layanan terdiri daripada berbagai-bagai jenis lapisan masyarakat manusia. Maka Rasulullah SAW melayani para tetamunya itu mengikut kedudukan tetamu itu dan mengikut pandangan mata masyarakatnya, kerana ia dapat memberi gambaran keseluruhan berkenaan diri penyambut tetamu oleh seluruh masyarakatnya itu. Hal ini bukanlah bererti membeza-bezakan layanan antara orang kaya dengan miskin, dan tidak bererti mengabaikan tetamu yang berkedudukan rendah. Yang dimaksudkan adalah cuba memberi layanan yang sebaik-baiknya kepada semua lapisan masyarkat yang menjadi tetamu, sementara orang yang terhormat hendaklah diberi layanan yang lebih. Perkara ini, terdapat di dalam sebuah hadith athar;

Terjemahan: Ali (RA) telah memberikan seorang lelaki dengan seratus dinar dan sepasang pakaian. Seseorang telah bertanya kepadanya mengenai perbuatannya itu. Ali (RA) pun berkata: "Aku telah mendenganr Rasulullah SAW bersabda: "Layanilah orang ramai mengikut kedudukan mereka. Maka inilah kedudukan lelaki ini di sisiku". (Hadith diriwayatkan oleh al-Hakim).

Nabi Ibrahim (AS) melayani tetamunya dengan menyediakan makanan yang terbaik. Apa yang perlu diambil kira ialah berkenaan kedatangan tetamunya itu yang sopan santun dan disusuli pula dengan ucapan salam membesarkan tuan rumah. Walau pun Nabi Ibrahim (AS) tidak mengenali mereka, namun begitu baginda (AS) tetap menjalankan perintah berakhlak mulia dalam melayani tetamu. Sebagai mana hadith menyebut;

Terjemahan: Orang yang mula-mula memuliakan tetamu ialah Nabi Ibrahim. (Hadith diriwayatkan oleh Ibn Abu al-Dunya di dalam qara al-daif dari Abu Hurairah. Hadith ini adalah da‘if).

Dalam memberi layanan, pihak penyambut tetamu perlulah mempelajari cara melayani tetamu. Kadang-kadang membiarkan mereka bersendirian juga dianggap sebagai melayani, seperti Nabi Ibrahim (AS) melayani tetamu dengan memberi peluang kepada mereka untuk rehat, dalam kesempatan itu baginda (AS) menyiapkan makanan. Dalam perkataan yang lain ialah melayani tetamu itu hendaklah ketika mereka bersedia untuk dilayani.

Demikianlah dalam memberi layanan, janganlah sampai mengganggu mereka ketika mereka hendak atau sedang tidur, ketika mereka di bilik air, ketika mereka sedang membaca al-Qur’an, ketika mereka sedang sembahyang dan sebagainya.

Dalam kehidupan zaman ini, kalau ditinjau dari segi tempoh layanan, tetamu yang dilayan itu dapat dikategorikan kepada beberapa bahagian. Ada yang datang hanya sebentar untuk mendapat khidmat layanan seperti datang ke kaunter-kaunter perkhidmatan awam untuk mendapatkan khidmat tertentu, ada yang datang ke klinik untuk mendapatkan rawatan dan ada yang datang untuk berurusan jual beli. Mereka ini lebih dikenali sebagai pelanggan.

Selain itu terdapat juga kehadiran tetamu yang mengambil masa agak panjang, memerlukan tempat penginapan, makanan dan minuman dan keperluan-keperluan lain. Mereka ini dapat dibahagikan kepada dua golongan.

1) Menjadi tetamu di bandar.
2) Menjadi tetamu di desa (pedalaman).

Bagi mereka yang menjadi tetamu di kawasan bandar, segala keperluan makanan dan tempat penginapan telah disediakan oleh pihak hotel dan restoran. Dengan demikian kewajipan menyediakan tempat penginapan berbeza dengan kewajipan di luar bandar.

Manakala mereka yang menjadi tetamu di desa atau luar bandar, maka menjadi tanggungjawab umat Islam yang berada di sana menerima mereka sebagai tetamu untuk satu hari, dengan maksimum sampai tiga hari. Jika lebih daripada itu terpulanglah kepada tuan rumah, sama ada untuk mengenakan bayaran atau pun menasihatinya mencari tempat lain. Sabda Rasulullah SAW;

Terjemahan: Dari Abu Hurairah (RA). bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Menerima tetamu itu selama tiga hari. Maka yang lebih dari itu, dikirakan sedekah. (Hadith diriwayatkan oleh Abu Daud).

Seterusnya Rasulullah SAW bersabda;

Terjemahan: Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir maka hendaklah memuliakan tetamu, pemberian itu satu hari satu malam, dan pelayanan itu selama tiga hari, jika lebih dari itu dianggap sedekah. Tidak halal dia terus menetap di situ hingga menyulitkan tuan rumah. (Hadith diriwayatkan oleh al-Bukhari dari Abu Syuraih al-Ka‘bi).

Sudah menjadi kebiasaan, apabila Rasulullah SAW didatangi tetamu, baginda SAW akan memuliakan mereka dengan yang ada pada dirinya. Pernah baginda SAW sedang bersandar pada bantal sandar, apabila baginda didatangi tetamu, terus bantal itu dihulurkan kepada tetamunya, seperti sebuah Hadith menyebut mengenainya;

Terjemahan: Dikeluarkan oleh Ahmad daripada Ibn ‘Umar (RA.huma), bahawa beliau telah masuk menemui Rasulullah SAW Ketika itu, beliau mendapati baginda Rasulullah SAW sedang berbaring di atas sebuah bantal yang diisikan dengan pelepah pokok tamar. Beliau telah mencampakkan bantal tersebut kepadaku, tetapi aku tidak duduk di atasnya. Bantal itu terletak di antara aku dan baginda SAW. (Hadith diriwayatkan oleh Ahmad ibn Hanbal).

Setelah tetamunya duduk, maka baginda SAW akan melayani pula mereka bergantung kepada keperluan mereka. Layanan yang lemah lembut dan penggunaan perkataan yang baik-baik, merupakan teknik utama yang digunakan.

Apabila ada sesuatu yang melucukan, baginda SAW hanya tersenyum. Tidak sekali-kali baginda SAW melahirkan kegembiraannya dengan ketawa terbahak-bahak. Ketawa yang berlebihan boleh menjadikan tetamu rasa tersinggung dan mengurangkan haibah (hormat) seseorang. Dinyatakan sikap Rasulullah SAW dalam hal ini seperti berikut;

Terjemahan: Dari Aisyah (R.anha) berkata: "Aku tidak pernah melihat Rasulullah SAW ketawa terbahak-bahak kerana kegembiraan, tetapi baginda hanya tersenyum". (Hadith diriwayatkan oleh al-Bukhari di dalam al-sahih dari Yahya bin Sulaiman dan diriwayatkan oleh Muslim dari Harun bin Ma‘ruf dan diriwayatkan oleh al-Baihaqi di dalam al-sunan al-kubra dari Aisyah).

Dalam melayani tetamu dengan juadah, kebiasaannya baginda SAW lebih dahulu menjamu tetamu, manakala untuk dirinya sendiri sentiasa dikemudiankan. Yang penting ialah sentiasa memberi layanan, seperti yang digambarkan dalam Hadith;

Terjemahan: Dari Abu Qatadah (RA). dari Nabi SAW, sabdanya: "Orang yang bertugas memberi minum kepada suatu kaum adalah orang yang paling akhir minumnya.” (Hadith diriwayatkan oleh al-Tirmidhi, asyrabah : beliau berkata hadith ini adalah hasan sahih).

Terjemahan: Dari Jafar bin Muhammad dari bapanya berkata, adalah Rasulullah SAW apabila makan bersama orang ramai, adalah baginda orang yang terakhir (menghabiskan) makan. (Hadith diriwayatkan oleh al-Baihaqi).

3.4.2 Adab dalam menyediakan kemudahan

Kepada para pengunjung atau tetamu hendaklah disediakan kemudahan asas untuk mereka mengikut tujuan dan keperluan mereka datang. Jika mereka datang hanyalah memerlukan khidmat nasihat, khidmat perubatan dan sebagainya apa yang perlu disediakan adalah sesuatu yang menjadikan mereka selesa semasa berurusan.

Apabila datang seorang sahabat untuk sesuatu urusan, pada kebiasaan mereka dijemput oleh Rasulullah SAW dan diberi kemudahan tempat duduk untuk tetamu, seperti dalam sebuah hadith;

Terjemahan: Dari Wathilah bin al-Khattab Qursyi (RA) berkata: "Seorang lelaki telah memasuki masjid, dan ketika itu Nabi SAW bersendirian, maka baginda SAW pun bergerak (memberi tempat duduk) untuknya". Lelaki itu berkata: "Ya Rasulullah tempat ini masih luas". Maka Rasulullah SAW Bersabda: "Sesungguhnya orang mukmin itu mempunyai hak, jika dia melihat kedatangan saudaranya, maka hendaklah dia melapangkan tempat duduk untuk saudaranya itu". (Hadith diriwayatkan oleh al-Baihaqi dan Ibn ‘Asakir).

Baginda tidak menetapkan suatu peralatan yang tertentu untuk melayan tetamu, tetapi sudah mencukupi dengan sikap bersedia mengorbankan sesuatu keselesaan yang ada pada dirinya demi keselesaan tetamu.

Jika kehadiran tetamu mengambil masa yang agak panjang, maka demi keselesaan mereka disediakan peralatan yang lebih baik. Sebagai contoh seorang tabi‘in iaitu Imam Malik pernah melayani pelajarnya juga sebagai tetamunya iaitu Imam Syafi‘i. Imam Malik telah menyediakan bilik untuk Imam Syafi‘i. Setelah itu dilengkapkan dengan peralatan yang sesuai seperti tikar sembahyang dan ditunjukkan arah kiblat. Peristiwa ini dirakamkan oleh Madani Abbasi di dalam buku Islamic Manners.

Langkah pertama dalam penyediaan kemudahan adalah dengan menempatkan mereka di suatu tempat yang selesa supaya mereka dapat berehat di sana buat seketika. Sementara itu tuan rumah hendaklah memastikan bilik mandi sesuai digunakan. Pastikan bilik mandi bersih dan selesa digunakan. Sediakan air dan kelengkapan lain seperti tuala, kain dan sebagainya mengikut kemampuan tuan rumah.

Setelah bilik mandi berada dalam keadaan yang sesuai, segeralah pula memastikan tandas dalam keadaan baik dan selesa digunakan seperti menyediakan air, memastikan dinding tandas berada dalam keadaan benar-benar memelihara aurat, memastikan tandas selamat digunakan dan sebagainya.

Apabila keadaan bilik mandi dan tandas berada dalam keadaan baik, maka persilakanlah tetamu untuk menggunakannya. Seterusnya sediakanlah makanan mengikut kemampuan yang ada. Persilakanlah mereka makan walaupun bukan masa makan. Mungkin mereka amat memerlukannya kerana perjalanan jauh yang mereka tempuhi.

Akhir sekali kemaskanlah bilik tidur untuk mereka dan persilakanlah mereka untuk tinggal di sana. Dalam pada itu seperti pernah dilakukan oleh Imam Malik, sediakanlah dengan segera bilik sembahyang untuk mereka. Sediakanlah dalamnya peralatan sembahyang seperti sejadah dan tunjukkan arah kiblat kepada mereka.

Di samping itu sediakanlah pula hamparan untuk memberikan keselesaan kepada mereka untuk rehat dan berbaring. Demikian yang huraikan oleh Madani Abbasi berkenaan layanan terhadap tetamu.

Selain menyediakan tetamu dengan bilik tidur dan sebagainya, mungkin mereka ingin menggunakan kenderaan untuk melaksanakan tujuan-tujuan mereka seperti untuk pergi ke masjid dan sebagainya. Maka tuan rumah digalakkan supaya menyediakan kenderaan kepada mereka.

Diceritakan bahawa Abdullah bin ‘Amr bin al-‘A.s telah menyediakan 200 ekor unta untuk menjadi tunggangan para tetamunya yang datang dari berbagai-bagai negara semasa mereka mengerjakan haji. Dalam hubungan ini, terdapat laporan antara lain;

Terjemahan: Mereka berkata, adapun 100 ekor unta untuk tunggangan saudara-saudaranya dan 200 ekor yang lain untuk tetamunya yang datang dari berbagai-bagai bandar. Kami merasa hairan. Mereka berkata: Janganlah kamu hairan, sesungguhnya Abdullah bin ‘Amr bin al-‘A.s itu adalah seorang lelaki yang kaya. (Hadith diriwayatkan oleh Abu Na‘im dari Sulaiman bin Rabi‘ah).

3.4.3 Menyediakan makanan dan minuman

Lebih daripada empat puluh anjuran yang terdapat di dalam al-Qur’an yang menyebut berkenaan galakan supaya memberi makan. Antaranya galakan memberikan makanan kepada fakir, miskin, anak yatim dan mereka yang memerlukan. Demikianlah banyak daripada perbelanjaan yang dikeluarkan oleh Rasulullah SAW untuk memberi makan kepada golongan yang fakir dan miskin ini. Sabda Rasulullah SAW;

Terjemahan: Dari Abu Musa al-Asyari (RA), Rasulullah SAW bersabda: "Beri makanlah orang yang lapar, kunjungilah orang yang sakit dan bebaskanlah orang yang tertawan dan menderita." (Hadith diriwayatkan oleh al-Bukhari).

Sabda Rasulullah SAW;

Terjemahan: Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa yang ada belas kasihan walaupun dengan menyembelih seekor burung, Allah akan belas kasihan kepadanya pada hari Kiamat. (Hadith diriwayatkan oleh al-Bukhari di dalam al-adab dari Aisyah. Hadith ini adalah sahih).

Semoga pahala menjamu tetamu itu menjadi tebusan daripada api neraka. Sabda Rasul SAW;

Terjemahan: Sesiapa yang menyembelih binatang untuk tetamunya, maka menjadi tebusannya dari api neraka. (Hadith diriwayatkan oleh al-Hakim di dalam tarikhnya dari Jabir. Hadith ini adalah da‘if).

Jika ada kemampuan dalam menyediakan makanan kepada tetamu digalakkan supaya menyediakan makanan untuk para tetamu mereka itu hendaklah dibuat agak lebih sedikit, kerana kemungkinan semasa menjamu tetamu itu, tiba-tiba datang tetamu lain yang boleh memalukan tuan rumah jika makanan yang disediakan itu sedikit. Tetapi jika makanan yang disediakan agak lebih, tentulah semua pihak akan merasa senang hati dan tenteram.

3.4.4 Layanan dalam majlis jamuan

Dalam memberi layanan terhadap tetamu ketika makanan disajikan terdapat beberapa teknik yang telah ditunjukkan oleh baginda Rasulullah SAW yang dapat dijadikan contoh teladan kepada kita ketika melayani tetamu di meja makan.

Pertama sekali yang perlu dibuat oleh pelayan atau tuan rumah, sebelum melayan tetamunya di meja makan, terlebih dahulu hendaklah membersihkan kedua-dua belah tangannya. Setelah itu barulah menghampiri tetamu dan membantu tetamu membasuh tangan mereka. Seterusnya mempersilakan tetamunya menjamah makanan.

Kata Imam Malik terhadap Imam Syafi‘i, yang semasa itu Imam Syafi‘i menjadi pelajarnya juga menjadi tetamunya, dengan berkata bahawa sebelum makan, tangan tuan rumah hendaklah dibasuh pertama sekali, kemudian bantulah tetamu untuk membasuh tangan mereka. Apabila selesai makan, basuhlah tangan tetamu terlebih dahulu. Akhir sekali, barulah tangan tuan rumah dibasuh.

Di dalam majlis jamuan yang diadakan oleh Rasulullah SAW pada kebiasaannya Rasulullah SAW sendiri yang melayani tetamu. Demikianlah dalam majlis-majlis yang diadakan oleh sahabat, sering kali baginda menawarkan diri kepada tuan rumah untuk memberi perkhidmatan layanan. Diceritakan berkenaan Rasulullah SAW menjadi pelayan di rumah Jabir (RA), seperti berikut;

Terjemahan: Dari Jabir (RA) berkata: Sesungguhnya kami pada hari peperangan Khandaq telah menggali parit. Apabila baginda SAW (dijemput oleh Jabir dan) mengetahui jumlah makanan yang ada pada Jabir, baginda SAW menyeru kepada semua kaum Muslimin dengan kata: "Bangunlah kamu dan pergilah ke rumah Jabir". Baginda bersabda: "Masuklah dan jangan menyempitkan tempat duduk". Maka Rasulullah SAW masuk ke dalam rumah Jabir dan bersabda: "Khidmat untukku dan tinggalkanlah daging itu kepadaku". Rasul SAW pun mula membahagi roti dan mecedok daging. (Hadith diriwayatkan oleh al-Bukhari).

Memberi perkhidmatan layanan merupakan sifat yang mulia dan dengannya boleh menghilangkan sifat-sifat sombong dan menyemaikan dalam diri dengan sifat-sifat rendah diri.

Dalam melayani tetamu, perkara yang juga perlu difikirkan oleh tuan rumah adalah berkenaan perasaan sebagai seorang tetamu. Jika tetamu itu merasa malu bersendirian, maka tuan rumah hendaklah menemani mereka untuk makan bersama. Sebagai yang terdapat dalam sebuah hadith menyebut;

Terjemahan: Wakilkanlah (temanilah) untuk tetamu kamu, maka sesungguhnya tetamu itu malu untuk makan sendirian. (Hadith diriwayatkan oleh al-Baihaqi di dalam Syu‘ab al-iman dari Thauban. Hadith ini adalah da‘if).

Demikianlah jika tetamu itu wanita, maka biarlah mereka bersendirian dengan dilayani oleh isteri sahaja. Elakkanlah daripada lelaki melayani wanita yang ajnabiah, selain ia merupakan suatu maksiat, ia juga boleh memalukan tetamu dan berpegang kepada hukum dan fitrah, ia dapat memberi layanan yang baik kepada tetamu, kerana hukum Islam adalah mengikut fitrah manusia yang sihat. Kecualilah dalam suasana yang tidak menimbulkan fitnah seperti dalam majlis-majlis tertentu, iaitu dengan merujuk kepada hadith yang lalu iaitu dari Sahl bin Sa‘ad (RA) katanya: Abu Usaid as-Sa‘idi telah mengundang Rasulullah SAW untuk menghadiri majlis perkahwinannya. Pada hari itu isterinya sendiri yang melayani Rasulullah SAW juga tetamu-tetamu lain.

Sebagai tuan rumah dan juga sebagai seorang pelayan, Rasulullah SAW telah menunjukkan siapakah yang berhak mendapat layanan terlebih dahulu. Rasulullah SAW akan melayani mereka yang berada di sebelah kanannya terlebih dahulu, walaupun yang berada di sebelah kanannya itu kanan-kanak atau pun badwi, sedang di sebelah kirinya sahabat yang rapat seperti Abu Bakr al-Siddiq dan ‘Umar al-Khattab.

Terjemahan: Dari Sahl bin Saad katanya: Sebuah gelas dihidangkan kepada Rasul SAW dan beliau minum dari situ. Di sebelah kanan beliau ada seorang anak kecil dan di sebelah kiri beliau ada seorang orang tua. Beliau bersabda: "Hai anak kecil, relakah engkau kalau sisa saya ini saya berikan kepada orang tua ini?" Anak itu menjawab: Ya Rasulullah! Sayalah yang paling berhak mendapat sisa anda. Lalu Rasulullah SAW memberikan kepadanya. (Hadith diriwayatkan oleh al-Bukhari).

Dalam peristiwa yang lain dirakamkan bahawa;

Terjemahan: Dari Anas bin Malik (RA), diperah untuk Rasulullah SAW seekor kambing jinak di tempatku, lalu susu itu dicamprkan dengan air sumur yang terdapat di sana. Orang memberikan sebuah gelas kepada Rasul dan beliau minum dari situ. Ketika beliau selesai minum, di sebelah kiri beliau ada Abu Bakr, sedangkan di sebelah kanan beliau seorang Badwi. Kerana kuatir kalau-kalau Rasul memberikan gelas itu kepada orang Badwi itu, ‘Umar berkata: Berikanlah gelas anda itu kepada Abu Bakr, hai Rasulullah. Tetapi Rasul memberikan gelas itu kepada orang Badwi yang duduk di sebelah kanannya . . . (Hadith diriwayatkan oleh al-Bukhari).

Dalam menjamu makanan hendaklah pihak tuan rumah mengutamakan makanan yang berfaedah kepada tetamunya, seperti tidak menjamu makanan yang terlalu panas, kotor, tercemar dan sebagainya kerana ia boleh membahayakan kesihatan, sehingga meniup-niup makanan dan bernafas sewaktu menghirup minuman pun tidak dibenarkan oleh Rasul SAW;

Terjemahan: Adalah Rasulullah SAW tidak menghembus pada makanan dan tidak pada minuman dan tidak bernafas ketika menghirup minuman. (Hadith diriwayatkan oleh Ibn Majah dari Ibn ‘Abbas. Hadith ini adalah hasan).

Selain itu terdapat beberapa larangan yang patut dijadikan panduan, iaitu dilarang menyajikan makanan dengan bercampur antara meja-meja arak dengan yang tidak ada arak. Dalam hubungan ini terdapat hadith yang melarangkan berbuat demikian;

Terjamahannya: Rasulullah SAW menegah dari duduk di tempat makan yang di situ diminum arak padanya, dan dilarang makan sambil meniarap. (Hadith diriwayatkan oleh Abu Daud, Ibn Majah dan al-Hakim di dalam mustadraknya. Hadith ini adalah sahih).

3.4.5 Adab menyediakan tempat penginapan

Di dalam ajaran Islam, penginapan yang disediakan secara percuma itu hanyalah satu malam sahaja. Hal ini berdasarkan sebuah hadith;

Terjemahan: Dari Abu Karimah atau Miqdam bin Ma‘dikariba al-Kindi, katanya: "Telah bersabda Rasulullah SAW: "Malam bertamu itu hak atas setiap Muslim, tetapi jika ia masih berada di lingkungan rumah itu sampai pagi, maka dia memikul hutang. Jika ia tuan rumah menghendaki, maka ia dapat menagihnya, dan jika tidak, maka dibiarkannya." (Hadith diriwayatkan oleh Abu Daud).

Selepas tempoh itu, tetamu yang menginap di situ hendaklah membayar segala perbelanjaan makan minum dan tempat penginapan atau dengan kemurahan hati tuan rumah dibiarkan sahaja sebagai sedekah. Walau bagaimanapun mengikut al-Laith bin Sa‘ad dan Imam Ahmad, kewajipan menyediakan kemudahan makanan dan minuman kepada tetamu itu hanyalah di desa pedalaman sahaja, tetapi jika di bandar tidaklah wajib, hanya sunat sahaja kerana di sana sudah tersedia rumah penginapa atau hotel.

Seperti yang telah disebutkan sebelum ini Imam Malik pernah menyediakan tempat penginapan untuk tetamunya iaitu Imam Syafi‘i. Selain menyediakan tempat penginapan, beliau telah memberikan perkhidmatan yang memuaskan, contohnya apabila hampir fajar menjelang, Imam Malik mengetuk pintu biliknya dengan suara yang lembut memberi salam, serta di tangannya sebekas air. Keadaan ini menjadikan Imam Syafi‘i merasa malu dengan layanan yang sungguh baik itu. Lalu Imam Malik berkata bahawa tetamu itu patut diberi layanan.

Rasulullah SAW pernah menyediakan penginapan selama satu bulan pada bulan Ramadan kepada lima orang perutusan dari Saqif.

Dalam masa satu bulan itu mereka diberi pelajaran agama Islam supaya Islam benar-benar meresap ke dalam hati mereka. Oleh itu segala urusan bersahur, berbuka dan penginapan mereka ditanggung oleh Rasulullah SAW.

3.4.6 Menjaga kesucian tetamu

Seorang tetamu yang datang akan menjadi tanggungjawab tuan rumah untuk menjaga keselamatannya. Oleh itu tidak hairanlah mereka disediakan makanan dan tempat tinggal adalah semata-mata untuk menjaga tetamu itu daripada sebarang masalah.

Ketika Nabi Ibrahim (AS) menerima tetamunya lalu disediakan makanan, tetapi apabila tetamunya itu tidak mahu makan, maka timbullah curiga pada hati Nabi Ibrahim (AS), kerana tetamu yang tidak sudi menerima layanan daripada tuan rumah itu dianggap bukan di bawah kawalan keselamatan tuan rumah.

Demikianlah pula yang terjadi kepada Nabi Lut (AS) ketika tetamunya yang merupakan lelaki yang cantik datang ke rumahnya, beliau (AS) pun merasa dukacita, kalau-kalau tetamunya itu tidak dapat diberi perlindungan daripada perkosaan kaumnya yang gemar kepada homoseksual (hubungan luar tabii).

Terjemahan: Dan tatkala datang utusan-utusan kami kepada Nabi Lut (AS), ia merasa dukacita dengan kedatangan mereka, dan merasa tidak terdaya untuk mengawal mereka (dari ganggugan kaumnya), sambil berkata: "Ini, adalah hari yang amat mencemaskan". (Surah Hud 11: 77).

Nabi Lut (AS) merupakan anak saudara Nabi Ibrahim (AS) yang tinggal di bandar Sodōm. sentiasa menghormati tetamu, tetapi pada hari itu baginda (AS) merasa dukacita kerana mungkin tidak dapat melayani dan mengawal tetamunya dengan baik, akibat gangguan kaumnya. Kedatangan malaikat ke rumah Nabi Lut dengan menyamar diri sesbagai orang lelaki yang cantik parasnya itu menjadikan Nabi Lut (AS) berkeadaan serba salah dan cemas kalau-kalau kaumnya yang jahat datang mengganggu tetamu-tetamunya itu, sedangkan ia tidak dapat mengawal keselamatan tetamunya itu.

Yang diduga oleh Nabi Lut (AS) terjadi, iaitu kaumnya datang meluru ke arah tetamu Nabi Lut (AS) itu dengan tujuan mengadakan hubungan homoseksual. Lalu Nabi Lut (AS) cuba mempertahan keselamatan tetamunya itu supaya jangan mengganggu tetamunya itu, tetapi tidak berjaya, seperti yang diceritakan di dalam al-Quran;

Terjemahan: Dan kaumnya pun datanglah meluru kepadanya (dengan tujuan hendak mengganggu tetamunya), sedang mereka sebelum itu sudah biasa melakukan kajahatan. Nabi Lut berkata: Wahai kaumku! di sini ada anak-anak perempuanku (wanita-wanita yang menjadi umatnya), mereka lebih suci bagi kamu, (maka berkahwinlah dengan mereka). Oleh itu takutlah keapda Allah, dan janganlah memberi malu kepada aku mengenai tetamu-tetamu aku. Tidak ada antara kamu seorang lelaki yang bijak berakal (yang dapat memberi nasihat?). Mereka menjawab: Sesungguhnya engkaupun sudah mengetahui bahawa kami tidak ada sebarang hajat kepada anak-anak perempuanmu, dan sebenarnya engkau sedia mengetahui akan apa yang kami kehendaki!. Nabi Lut berkata: kalaulah aku ada kekuatan untuk menentang kamu, atau aku dapat bertumpu kepada sesuatu pertahanan yang kuat (tentulah aku akan binasakan kamu). (Mendengan yang demikian), tetamunya berkata: "Wahai Lut! sesungguhnya kami adalah (malaikat) utusan Tuhan." (Surah Hud 11: 78-81).

Di sini menjelaskan bahawa tuan rumah atau penyambut tetamu adalah bertanggungjawab kepada keselamatan dan keselesaan tetamunya itu.

Oleh sebab Islam menegaskan bahawa keselamatan tetamu itu wajib dipelihara seperti tuan rumah itu menjaga keselamatan mereka sendiri.

Bagi mereka yang cuai terhadap keselamatan tetamu adalah dianggap sebagai keimanan mereka telah rosak, seperti sabda Rasul SAW;

Terjemahan: Hadith Anas dari Nabi SAW bersabda: Tidak beriman seseorang kamu hingga kamu mengasihani saudaranya seperti dia mengasihi dirinya sendiri. (Hadith diriwayatkan oleh al Bukhari dan Muslim).

Maka hilanglah kebanggaan atau maruah sebagai tuan rumah atau sebagai penyambut tetamu, jika tetamunya itu diganggu dengan sewenang-wenangnya tanpa usaha pihak tuan rumah mempertahan keselamaan mereka. Demikianlah perasaan Nabi Lut (AS) apabila tetamunya diganggu oleh kaumnya, sebagai yang diceritakan di dalam al-Quran;

Terjemahan: Dan (semasa kedatangan mereka) datanglah penduduk bandar itu dengan gembira. Nabi Lut berkata: "Sesungguhnya mereka ini tetamuku, maka janganlah kamu memberi malu kepadaku. "Dan takutlah kamu kepada Allah, serta janganlah kamu menghina aku". (Surah al-Hijr 15: 67-69).

3.4.7 Mengelakkan tetamu daripada sebarang masalah

Dengan kedatangan tetamu, secara tidak langsung tuan rumah atau penyambut tetamu dengan sendirinya menjadi pemimpin kepada tetamunya itu. Menjadi pemimpin dalam mengendalikan makan dan minum mereka, tempat tinggal dan sebagainya. Kepemimpinannya itu akan ditanya di hadapan Allah SWT pada hari akhirat, sebagaimana dalam sebuah hadith menyebutkan;

Terjemahan: Setiap pemimpin akan disoal berkenaan apa yang dipimpinnya. (Hadith diriwayatkan oleh al-Khatib di dalam al-Tarikh dari Anas. Hadith ini adalah sahih).

Demi menjaga tetamu supaya tidak mendatangkan masalah kepada mereka hendaklah sediakan masa rehat untuk mereka, terutamanya pada waktu malam.

Lebih jauh daripada itu adalah dilarang sekali-kali memberikan tugas kepada tetamu dengan tugas-tugas tertentu sehingga menyusahkan dan menimbukan masalah kepada tetamu itu.

Begitulah juga janganlah sekali-kali memberi ceramah-ceramah yang boleh membebankan fikiran tetamu atau meminta tetamu menyelesaikan masalah mereka. Sebaliknya jadikanlah tetamu itu selesa, tidak terganggu dari segi fizikal atau spiritual. Supaya tidak terganggu emosi, perasaan dan fikiran mereka dengan masalah-masalah tuan rumah.

Rasulullah SAW amat mengambil berat berkenaan keselesaan tetamunya. Pada malam hari baginda Rasulullah SAW akan melawat tetamu-tetamunya yang sedang tidur.

Semasa melalui mereka, baginda SAW akan memberi salam dengan lemah lembut, yang sekira-kira kedengaran kepada orang yang tidak tidur sahaja, dan tidak akan membangunkan orang yang sedang tidur dengan ucapan salamnya itu.

Selepas melihat suasana tetamunya, baginda SAW akan terus ke masjid untuk menunaikan sembahyang. Demikian al-Miqdad menceritakan di dalam sebuah hadith yang panjang;

Terjemahan: Dari al-Miqdad bin al-Aswad .beliau berkata: Pada waktu malam Nabi Muhammad SAW datang lalu memberi salam dengan suara yang tak sampai membangunkan orang yang sedang tidur, tetapi kedengaran oleh orang yang sedang bangun. Lalu baginda pergi ke masjid, maka baginda bersembahyang. (Hadith diriwayatkan oleh Muslim).

3.4.8 Saat perpisahan

Suatu keistimewaan dalam hospitaliti Islam adalah pada saat kepulangan tetamu dibekalkan hadiah kenang-kenangan. Kebiasaan apabila tetamu memohon diri daripada Rasulullah SAW untuk pulang, mereka akan dibekalkan makanan untuk perjalanan pulang dan diberikan hadiah yang berupa pakaian dan wang emas atau perak.

Walaupun hidup dalam keadaan serba kekurangan, namun begitu baginda SAW akan berusaha sedaya upaya untuk memberikan hadiah kepada mereka yang hendak berangkat pulang.

Mengikut pengajaran Rasulullah SAW, hadiah yang diberikan itu besar ertinya kepada diri yang menerima hadiah itu dan kaum keluarganya, yang merasakan satu penghormatan besar kepada mereka dan keluarga mereka.

Seterusnya hadiah itu akan menjadi kenang-kenangan pada kemudaian hari bagi diri penerima dan keluarga mereka. Maka ia amat berperanan dalam merangsang mereka dan kaum keluarga mereka ke arah mendekati dan menghayati Islam.

Oleh itu tidak hairanlah Rasulullah SAW amat bersungguh-sungguh menyediakan hadiah-hadiah untuk tetamunya itu.

Sifat pemurahnya Rasulullah SAW dalam menyediakan hadiah kepada tetamu baginda SAW itu menjadi satu pengajaran kepada masyarakat luar berkenaan besarnya pengaruh hadiah, maka utusan-utusan yang dikirimkan ke Madinah sering membawa hadiah untuk Rasulullah SAW.

Apabila mereka kembali ke tempat mereka, maka Rasulullah SAW akan memberikan hadiah-hadiah kepada mereka, walaupun berada dalam kesempitan, namun Rasulullah SAW berusaha dengan sungguh-sungguh mendapatkan hadiah untuk tetamunya. Aisyah (R.anha) menerangkan dalam hal ini;

Terjemahan: Dari Aisyah (R.anha) katanya: Rasulullah SAW sering menerima hadiah dan membalasnya. (Hadith diriwayatkan oleh al-Bukhari).

Bagi sesetengah masyarakat mereka berasa keberatan dan sering merasa bimbang kalau-kalau rezeki mereka akan terjejas jika tetamu sentiasa dilayan. Kedatangan tetamu dianggap suatu yang menyusahkan atau bala, sementara kepulangan mereka itu adalah suatu saat yang ditunggu-tunggu. Pada hal Allah SWT tidak pernah lupa untuk memberi rezeki kepada makhluknya. Sebenarnya kedatang mereka adalah dengan rezeki yang ditetapkan oleh Allah SWT kepada mereka, dan kepulangan mereka dengan keampunan daripada Allah SWT.

Terjemahan: Sabda Rasulullah SAW: Apabila datang tetamu ke atas sesuatu kaum adalah dengan rezeki mereka, dan apabila kembali mereka, kembali dengan keampunan dosa-dosa mereka. (Hadith diriwayatkan oleh al-Dailami di dalam musnad al-firdaus dari Anas. Hadith ini adalah da‘if).

3.5 Kesimpulan

Daripada yang telah dibentangkan di atas dapatlah dirumuskan bahawa Akhlak Islam amat berperanan dalam membentuk disiplin hospitaliti Islam. Daripada praktik hospitaliti Rasulullah SAW, sahabat dan tabi‘in terhadap tetamu telah memperlihatkan dua perkara pokok iaitu akhlak mereka terhadap tetamu dan adab mereka dalam melayani tetamu.

Dalam bab ini juga menjelaskan secara umum berkenaan akhlak sebagai pelayan tetamu. Maka berdasarkan bab ini juga akan dihuraikan dalam bab empat berkenaan akhlak yang perlu ada bagi setiap pelayan tetamu iaitu dengan membahagikan kepada dua bahagian, iaitu sifat-sifat al-Targhib dan sifat al-Tarhib.