KONSEP HOSPITALITI ISLAM


2.0 Definisi Hospitaliti

Perkataan hospitaliti dipinjam daripada bahasa Inggeris iaitu hospitality yang bererti layanan baik terhadap tetamu atau layanan baik terhadap orang asing. Ia juga bermaksud segala kemudahan yang disediakan oleh sesuatu organisasi dari segi makanan, minuman dan kemudahan-kemudahan lain untuk pelawat atau pelanggan. Hospitaliti ini berfungsi menjadikan tetamu, pelanggan atau hadirin merasa dialu-alukan dan merasa selesa.

Industri hospitaliti pula menekankan kepada penyediaan keperluan kelengkapan untuk melayani tetamu seperti industri hospitaliti mengandungi perkhidmatan penginapan, makanan dan senaman.

Pengertian hospitaliti sebenarnya lebih menekankan kepada cara melayani tetamu berdasarkan kepada etika atau akhlak tertentu. Ia mengandungi pengertian bahawa pelayan hendaklah bersifat boleh melakukan dan tidak ada keberatan untuk melayani tetamu dengan rasa persahabatan, gembira, senyuman dan ikhlas di hati. Dengan kata lain: “Kamu berada di dalam rumah kami, kamu sentiasa benar dan sentiasa berhubung dengan kami”.

Etika pelayan dalam industri hospitaliti ini memerlukan kepada kesungguhan memperbaiki akhlak. Untuk membina akhlak yang baik terpaksa mengambil masa yang panjang dan memerlukan pengorbanan dari pelayan berkenaan. Lebih-lebih lagi mereka tidak tahu apakah ganjarangnya di sebalik melakukan akhlak yang baik terhadap tetamu.

Oleh itu perlu beberapa ganjaran diberikan kepada pelayan seperti:-
1. secara tidak rasmi pengurus memberi pujian kepada mereka kerana menunjukkan budi pekerti yang baik.
2. Memasukkan etika hospitaliti sebagai sebahagian daripada penilaian pekerja.
3. Memberi kupon kepada mereka yang membolehkan mereka melancong ke luar negara, memberi pakaian, barangan elektrik dan sebagainya.

Perkara yang menjadi masalah kepada konsep hospitaliti konvensional adalah dari segi hubungan dengan Allah SWT dan hubungan dengan manusia. Oleh sebab hospitaliti konvensional tidak ada rujukan yang khusus untuk disiplin hospitaliti, maka etika yang baik hanyalah mengikut yang dipelajari daripada ibu bapa mereka. Dari segi ganjaran hanyalah yang berbentuk hadiah-hadiah dan pujian daripada majikan. Maka ia tidak ada kekuatan untuk mengajak mereka beretika mulia secara menyeluruh. Dalam erti kata yang lain apabila putus hubungan dengan Allah SWT, hubungan sesama manusia akan terputus walau sekuat mana hubungan perjanjian sesama mereka.

Oleh sebab konsep hospitaliti Islam perlu diberikan perhatian dan konsepnya hendaklah sesuai dengan pandangan Islam. Di sini kita juga dapat mengatakan bahawa hospitaliti Islam itu termasuklah di dalamnya berkenaan cara-cara menghormati tetamu, sifat ramah tamah, menyediakan suasana selesa, menggembirakan mereka dalam pergaulan serta memperkenalkan mereka kepada sahabat-sahabat lain, seterusnya memberi khidmat secara sendirian. Kesemua ini disebut sebagai ikram al-daif (memuliakan tetamu). Dalam al-Qur’an merakamkan kisah tetamu Nabi Ibrahim (AS). Allah SWT berfirman:

Terjemahan: Sudahkah sampai kepadamu (wahai Muhammad) perihal tetamu Nabi Ibrahim yang dimuliakan. Tatkala mereka masuk mendapatkannya lalu memberi salam dengan berkata: “selamat sejahtera kepadamu!”. Ia menjawab: “selamat sejahtera kepada kamu!”. (Sambil berkata kepada dirinya): mereka ini orang-orang yang tidak dikenali. Kemudian ia masuk kepada ahli rumahnya serta dibawanya keluar seekor anak lembu gemuk (yang dipanggang). Lalu dihidangkannya kepada mereka sambil berkata: “silalah makan”. (Surah al-Dhariyat 51:24.)

Daripada ayat al-Qur’an di atas telah menjelaskan berkenaan definisi hospitaliti Islam ialah menyambut tetamu dengan penuh hormat, ucapan salam, mempersilakan duduk, serta menyajikan makanan yang istimewa. Kesemuanya ini dilakukan dengan kadar segera.

Pengertian hospitaliti Islam dapat dilihat dengan lebih meluas, malah penggunaannya umum kepada melayani sesiapa sahaja yang memerlukan khidmat layanan.

Hospitaliti baginda Rasulullah SAW bukan sahaja tertumpu kepada melayani orang Islam sahaja, malah kepada sesiapa sahaja, sama ada mereka itu Muslim atau tidak. Diceritakan apabila seorang wakil dari Habsyah yang beragama Kristian datang ke Madinah baginda membawanya ke rumah dan melayaninya selama dia berada di sana. Pada suatu ketika, ada seorang musyrik menjadi tetamu baginda SAW. Baginda memberikannya minum susu daripada seekor kambing, lalu dihabiskannya. Baginda memberi pula susu daripada seekor kambing lagi, juga dihabiskannya. Dengan cara yang sama dia meminum susu daripada kesemua tujuh ekor kambing tetapi Rasulullah SAW terus menawarkan susu itu kepadanya sehingga dia kenyang.

Manakala istilah tetamu pula dapat diertikan sesiapa saja yang datang dan menempati rumah saudaranya (yang didatangi), sama ada mereka itu terdiri dari keluarga atau orang asing, mereka datang dari luar atau berada di dalam satu kampung (balad). Mereka yang mendapat layanan itu disebut juga sebagai pengunjung, pelancong, pelawat, penziarah, pelanggan atau dif.

Tetamu atau dif itu termasuklah mereka yang memerlukan pertolongan seperti para musafir, fakir, miskin, janda, anak yatim dan mereka yang mempunyai urusan, malah tetamu yang menetap tinggal di Madinah juga yang memerlukan pertolongan maka dimasukkan dalam kategori tetamu yang berhak dilayani. Dalam hubungan ini, ahl al-suffah (fakir miskin yang menginap di masjid Nabi) merupakan tetamu tetap kepada orang-orang Islam. Mereka terdiri dari orang-orang Islam yang paling miskin dan mempunyai keperluan hidup yang paling sedikit.

Antara perkataan lain yang sama erti dengan ikram al-daif ini seperti perkataan husn al-diyafah. Antara hadith yang menggunakan perkataan diyafah seperti sabda Rasulullah SAW;

Terjemahan: Dari Abu Syuraih al-Khuza‘i, Rasulullah SAW bersabda: Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka muliakanlah tetamu. Dan pemberian itu satu hari satu malam. Dan tidak halal baginya tetap menjadi tetamu hingga menyusah saudaranya. Jamuan itu tiga hari. Sesuatu yang dibelanjakan selepas dari tiga hari itu dikirakan sedekah. (Hadith diriwayatkan oleh al-Bukhari).

Oleh itu diyafah dan husn al-diyafah adalah dua perkara yang berbeza tetapi berkait rapat. Diyafah ialah penyediaan makan, minuman, tempat tinggal dan keperluan-keperluan lain untuk tetamu. Husn al-diyafah pula ertinya diyafah dengan cara yang baik, itulah yang dimaksudkan dengan hospitaliti Islam.

Dengan merujuk kepada al-Qur’an, hadith Rasulullah SAW dan sumber-sumber lain maka kita dapati hospitaliti Islam itu ialah memberikan layanan kepada tetamu sesuai dengan tuntutan Akhlak Islam.

Dari segi objektif hospitaliti Islam ialah memastikan tata cara layanan yang diberikan kepada tetamu itu tidak bercanggah dengan asas-asas Islam, dengan memastikan peralatan yang digunakan untuk melayani tetamu itu diharuskan dan memastikan layanan yang diberikan itu benar-benar menepati kehendak Syariah Islam berdasarkan keimanannya kepada Allah SWT.

Hospitaliti Islam dalam pengertian yang tersebut di atas merupakan perkhidmatan percuma yang tidak memerlukan bayaran atau sanjungan, kerana hospitaliti itu adalah satu kewajipan individu yang diwajibkan oleh Allah SWT supaya berakhlak mulia terhadap sesama manusia sama ada mereka itu bergelar tetamu ataupun tidak. Namun hospitaliti perlu diamalkan di dalam hubungan yang melibatkan perniagaan atau perusahaan, khususnya dalam industri perkhidmatan yang memberi pulangan untung rugi.

Berakhlak mulia terhadap tetamu merupakan satu daripada kaedah atau pendekatan dakwah yang berkesan dalam sejarah dakwah Islamiyah.

Islam lebih menggalakkan supaya memberikan perkhidmatan melayani tetamu secara ikhlas, sederhana dan percuma. Namun begitu keadaan masa telah berubah, maka suatu pendekatan baru dalam jamuan patut dikaji berkenaan keperluan tetamu yang maksimum, kemampuan tuan rumah, kemudahan yang sedia ada dan sebagainya. Sabda Rasulullah SAW;

Terjemahan: Rasulullah SAW menegah dari membebankan diri kerana tetamu. (Hadith diriwayatkan olehAl-Hakim di dalam mustadraknya dari Salman. Hadith ini adalah sahih).

Hadith di atas telah melarang daripada menyusah-nyusah diri dalam melayani tetamu. Berilah perkhidmatan kepada mereka secara sederhana. Jika mereka menyusah-nyusahkan diri dalam melayani tetamu, mungkin akan menyebabkan kebencian pada hati. Sementara tetamu pula hendaklah juga bertanggungjawab agar kehadirannya itu tidak menyusahkan pihak yang lain. Rasulullah SAW bersabda;

Terjemahan: Dari Abu Karimah atau Miqdam bin Ma‘dikariba al-Kindi, katanya: "Telah bersabda Rasulullah SAW: "Malam bertamu itu hak atas setiap muslim, tetapi jika ia masih berada di lingkungan rumah itu sampai pagi, maka dia memikul hutang. Jika ia tuan rumah menghendaki, maka ia dapat menagihnya, dan jika tidak, maka dibiarkannya." (Hadith diriwayatkan oleh Abu Daud dan Ahmad Hanbal).

Namun begitu dari segi hospitaliti ia tetap diwajibkan bagi setiap umat Islam terhadap tetamunya, sejak dari turunnya ajaran Islam hinggalah ke hari akhirat. Kewajipannya seiring dengan kewajipan akhlak Islam, kerana ia sebahagian daripada akhlak Islam.

Sejarah memuliakah tetamu atau ikram al-daif dimulakan oleh Nabi Ibrahim (AS) seperti yang terdapat dalam al-Qur’an surah al-Dhariyat 51: 24, kemudian budaya yang mulia itu diteruskan oleh orang Arab, sehingga orang Arab jahiliah terkenal sebagai bangsa yang terlalu memuliakan tetamu. Oleh kerana tempoh masa begitu panjang serta faktor-faktor lain maka berlakulah beberapa perubahan terhadap konsep dan amalan hospitaliti Nabi Ibrahim (AS). Bagi tujuan memperbaik kesilapan itu maka Allah SWT telah memberi amanah dan tanggungjawab kepada Rasulullah SAW untuk memperbaik dalam beberapa aspek hospitaliti agar selaras dengan tuntutan Syara‘.

Dalam sejarah diyafah Rasulullah SAW, baginda sering melayani tetamu dengan menyediakan penginapan, makanan dan segala keperluan tetamu mengikut kemampuan yang ada. Walau bagaimanapun peralatan dan kelengkapan yang digunakan untuk melayani tetamu tidaklah secanggih seperti zaman ini. Hal ini adalah disebabkan oleh keadaan sosio-ekonomi pada masa itu yang tidak mengizinkan. Namun begitu suatu yang maha penting baginda lakukan adalah sentiasa bersedia menerima kedatangan mereka dengan berlapang dada serta memperlihatkan rasa kasih sayang, sama ada tetamu itu dari jauh atau dekat. Sifat kasih sayang tergambar kepada sikap baginda dalam memberi makanan dan minuman, sentiasa memberi senyuman, penggunaan kata-kata yang baik dan terpilih, tidak ada tersirat nilai-nilai kasta, menyambut dan memuliakan tetamu mengikut kesesuaian pangkat dan kedudukan mereka dalam masyarakat. Kesemua sifat-sifat di atas terangkum di dalam sebuah hadith Rasulullah SAW:

Terjemahan: Dari Abu Hurairah (RA), bahwasanya Nabi SAW bersabda: "Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir, maka hendaklah memuliakan tetamunya dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir, maka hendaklah mempereratkan hubungan kekeluargaannya dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir, maka hendaklah mengucapkan yang baik ataupun berdiam. (Hadith diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim).

Sesungguhnya menghidupkan kembali hospitaliti Islam seperti yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW adalah suatu keperluan kepada masyarakat Islam kini, lebih-lebih lagi dunia kini pesat berkembang dalam industri komunikasi, perkhidmatan awam, perdagangan dan sebagainya.

Konsep dan amalan hospitaliti Islam bertitik tolak daripada tujuan kelahiran manusia di muka bumi ini sebagai khalifah dan hamba Allah SWT. Allah SWT telah menjadikan manusia sebaik-baik kejadian dan melebihkan manusia berbanding dengan makhluk-makhluk lain.

Allah SWT telah menjadikan manusia itu bersih daripada sebarang dosa dan kesalahan. Kehadiran mereka ke muka bumi tidak membawa apa-apa dosa. Mereka dilantik sebagai khalifah di muka bumi untuk melaksanakan tanggungjawab mereka memakmurkan muka bumi sesuai dengan perintah Allah SWT. Firman Allah SWT;

Terjemahan: Dia lah yang menjadikan kamu dari bahan-bahan bumi, serta menghendaki kamu memakmurkannya. (Surah Hud 11: 61).

Di samping tanggungjawab manusia mengabdikan diri kepadaNya mereka dituntut supaya sentiasa memakmurkan muka bumi selaras dengan Syariah. Tuntutan pengabdian diri kepada Allah SWT bukan hanya tertumpu kepada program ibadah tertentu, malah mencakupi ruang lingkup yang lebih umum dan luas. Ia bukan hanya merupakan program amal ibadah yang berbentuk khusus seperti sembahyang dan zakat, malah mereka dituntut supaya mengerjakan amal ibadat yang lebih umum seperti menghubungkan kasih sayang sesama insan. Sesungguhnya menghubungkan persaudaraan dan kasih sayang sesama insan merupakan salah satu amal ibadah atau pengabdian diri kepada Allah SWT.

Allah SWT memerintahkan kepada semua manusia yang mengaku beriman kepada Allah SWT supaya sentiasa menghubungkan tali persaudaraan dan kasih sayang antara sesama mereka dengan berlandaskan kepada dasar Akidah dan Syariah Islam.

Kesemua perintah ini adalah semata-mata merupakan satu ujian untuk manusia bagi menentukan kedudukan mereka di sisi Allah SWT. Dengan ujian-ujian demikian maka ia dapat membentuk akhlak peribadi Muslim dalam hubungan sesama mereka, seperti firman Allah SWT;

Terjemahan: Dia-lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat); (Surah al-Mulk 67: 2).

Daripada yang dipaparkan di atas dapatlah dibuat kesimpulan bahawa hospitaliti Islam ialah mengutamakan sifat-sifat positif (al-targhib) dan menghindarkan diri daripada sifat-sifat negatif (al-tarhib), bertatasusila, sopan santun serta dengan penuh kemesraan dalam menyambut dan melayani tetamu dengan berpandu kepada Syari‘at Islam, dilakukan semata-mata kerana kesedaran Akidah kepada Allah SWT.

2.1 Asas-asas Hospitaliti Islam

Islam merupakan agama yang lengkap dan mencakupi dalam semua lapangan kehidupan. Ia bermula daripada soal-soal diri, keluarga, negara seterusnya ke peringkat antarabangsa. Menekankan persoalan ruhaniyyah dan jasmaniyyah secara seimbang.

Islam tidak dapat didirikan jika diamalkan secara terpisah-pisah. Dalam erti kata lain, Islam menolak cara hidup sekularism yang memisah-misahkan antara urusan-urusan keduniaan daripada urusan keagamaan. Firman Allah SWT;

Terjemahan: Wahai orang-orang yang beriman! masuklah kamu ke dalam agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumNya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan, sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata. (Surah al-Baqarah 2: 208).

Apabila seseorang itu menerima Islam sebagai agama, wajiblah ia mengamalkan kesemua isi kandungan ajaran Islam. Jika mereka memilih-milih untuk menerima pakai sesuatu yang disukainya dan meninggalkan sesuatu yang difikirnya kurang sesuai, maka pada hakikatnya mereka memilih jalan syaitan yang membawa kemunduran untuk diri sendiri.

Keterikatan asas Islam pada setiap individu dan masyarakat Muslim itu satu kemestian yang wajib. Ia merangkumi keterikatan asas Akidah dan Syariah. Asas inilah yang menentukan corak dan haluan aktiviti umat Islam.

2.1.0 Asas Akidah

Akidah bererti simpulan keyakinan atau kepercayaan berkenaan kewujudan Allah SWT sebagai Pencipta, Pemerintah dan Sembahan. Perkara pokok yang dibincangkan dalam Ilmu Akidah ialah berkenaan asas keimanan.yang terdiri daripada keimanan kepada Allah SWT, malaikatNya, kitab-kitabNya, rasul-rasulNya, Hari Qiyamah dan Qada dan Qadar. Sabda Rasulullah SAW;

Terjemahan: Dari Abu Hurairah berkata adalah Nabi SAW pada satu hari bersama manusia, datanglah seorang lelaki berkata: Apakah dia iman?. Berkata Rasulullah SAW: Iman ialah engkau percaya kepada Allah, malaikat-malaikatNya, hari perhimpunanNya (padang mahsyar), rasulNya dan engkau percaya kepada hari kiamat. (Hadith diriwayatkan oleh al-Bukhari).

Di dalam hadith Rasulullah SAW yang lain menyebutkan:

Terjemahan: Jibril (AS) berkata: Beri tahu kepadaku mengenai iman. Rasulullah SAW bersabda: Bahawa engkau berimana kepada Allah , dan malaikat-malaikatNya, dan kitab-kitabNya, dan rasul-rasulNya dan hari akhirat. Dan engkau percaya kepada qada dan qadar sama ada yang baik atau yang tidak baik semuanya daripada Allah . (Hadith diriwayatkan oleh Muslim).

Enam perkara yang menjadi asas keimanan ini memainkan peranan yang amat penting dalam menentukan keredaan Allah SWT. Rasulullah SAW telah menghubungkan konsep hospitaliti ini dengan dua rukun iman iaitu keimanan kepada Allah SWT dan keimanan kepada hari Qiyamah, iaitu di antara tanda-tanda kesempurnaan keimanan seseorang itu ialah mereka yang memuliakan tetamu seperti di dalam hadith dari Abu Syuraih al-Khuza‘i yang lalu.

Menghubungkan hospitaliti antara keimanan kepada Allah SWT dan hari pembalasan itu merupakan suatu perkara yang tidak boleh dipandang ringan oleh umat Islam. Keengganan manusia melayani tetamu adalah datang daripada perasaan mementingkan diri sendiri. Sebagai ekorannya sifat-sifat negatif yang lain akan berkembang dengan cabang-cabangnya, sedangkan bagi mereka yang subur rasa keimanan dalam hati akan melaksanakan perintah Allah SWT dalam rangka mengatasi segala hajat keperluan tetamu. Sebenarnya apa jua pengorbanan yang dilakukan itu adalah semata-mata menyahut ujian daripada Allah SWT dalam proses mendidik mereka. Firman Allah SWT;

Terjemahan: Mereka juga memberi makan makanan yang dihajatinya dan disukainya, kepada orang miskin dan anak yatim serta orang tawanan. (Sambil berkata dengan lidah atau dengan hati): "Sesungguhnya kami memberi makan kepada kamu, semata-mata kerana Allah ; kami tidak berkehendak sebarang balasan daripada kamu atau ucapan terima kasih. (Surah al-Insan 76: 8-9).

Oleh itu tidak hairanlah apa yang berlaku dalam masyarakat yang tidak mengamalkan ajaran Islam, berkenaan terlalu kurangnya unsur memberikan layanan kepada tetamu. Ada daripada kalangan mereka yang tidak mengetahui berkenaan mengapakah perlunya beretika mulia terhadap tetamu dan masih bertanya-tanya berkenaan ganjarannya.

Kekuatan hospitaliti yang diperkenalkan oleh Islam adalah berasaskan kepada kekuatan Akidah dan Syariah. Daripada kekuatan itu seluruh masyarakat Islam pada zaman awal kedatangan Islam dapat melakukannya dengan baik, melalui tunjuk ajar Rasulullah SAW.

2.1.1 Asas Syariah

Syariah ertinya peraturan atau undang-undang, iaitu peraturan yang patut dipatuhi dan dilaksanakan. Dari segi pengertian umum, ia bererti seluruh ketentuan ajaran Islam yang bersumberkan al-Qur’an dan al- Hadith, sama ada Akidah atau ‘Ibadah.

Dari segi disiplin ilmu, lazimnya ia dibahaskan dalam Ilmu Fiqh dengan pengertian yang lebih khusus iaitu peraturan agama Islam yang hanya mencakupi bidang amalan sahaja yang tidak termasuk persoalan Akidah dan dalamnya termasuklah urusan-urusan ‘ibadah, mu‘amalah, undang-undang jenayah, kekeluargaan, politik dan kemasyarakatan. Syariat Diyafah lazimnya dibahaskan dalam Ilmu Akhlak. Pada hakikatnya Syariah itu sendiri bertujuan menegakkan akhlak yang mulia. Sendi tertinggi adalah Akhlak al-karimah.

Disiplin Husnu al-Diyafah atau hospitaliti ini sama seperti disiplin-disiplin lain dalam ajaran Islam. Rasulullah SAW tidak pernah mengajar mata pelajaran Ilmu Tasauf, Ilmu Fiqih, Ilmu Tauhid, Ilmu Tajwid, Ilmu Tafsir, Ilmu Mustalah al-Hadith dan sebagainya. Kesemua disiplin ilmu berkenaan lahir mengikut keperluan semasa, sebagai hasil kajian terhadap ayat-ayat al-Qur’an dan al-Hadith yang berkait dengannya. Demikianlah pula disiplin hospitaliti yang amat diperlukan untuk zaman kini apabila industri perhotelan, restoran, perkhidmatan dan sebagainya berkembang dengan pesatnya.

Daripada kajian Imam Nawawi beliau mengatakan bahawa umat Islam telah sepakat mengenai wajibnya menjamu dan melayani tetamu kerana hal ini merupakan amalan baik yang sangat diberi perhatian oleh Islam. Menurut Syafi‘i Malik, Abu Hanifah serta jumhur ‘ulama bahawa menjamu tetamu itu sunat dan bukan wajib. Al-Kandahlawi memetik kata-kata al-Qari yang mengatakan al-diyafah ini adalah daripada kecantikan Syariah dan kemuliaan Akhlak. Menurut al-Laith bin Sa‘ad dan Ahmad Hanbal kewajipan melayan tetamu itu untuk satu hari satu malam atas penduduk kampung dan yang berada di pelusuk desa, tetapi tidak wajib atas mereka yang berada di bandar.

Demikianlah pula kata Malik, tidak ada diyafah kepada penduduk bandar. Bengitulah juga al-Kandahlawi ‎memetik pendapat Sahnun, bahawa diyafah itu hanyalah wajib kepada penduduk desa sahaja, sedangkan kepada penduduk bandar tidak wajib kerana di bandar sudah terdapat hotel atau rumah-rumah tumpangan yang disediakan untuk para musafir. Pendapat tersebut mungkin mengambil kira kadar keperluan yang berbeza antara bandar dengan desa.

Kesimpulannya diyafah adalah suatu peraturan yang telah disyariatkan oleh Allah SWT melalui al-Qur’an dan al-Hadith dari segi perintah menjamu dan melayani tetamu. Walaupun menjamu tetamu itu terdapat beberapa perbezaan pendapat ulamak, tetapi hospitaliti adalah wajib sebagaimana wajibnya berakhlak mulia.

2.1.2 Asas Akhlak

Lanjutan dari Akidah dan Syariah, terdapat pula asas Akhlak. Akhlak adalah sebagai sendi penghubung kepada Akidah dan Syariah. Tanpa Akhlak, Akidah dan Syariah tidak bermakna.

Maka setiap individu atau masyarakat yang melaksanakannya dengan baik, maka secara tidak langsung tabiat peribadi mereka akan berubah dari tabiat yang buruk kepada tabiat yang baik, dari tabiat yang baik kepada tabiat yang lebih baik. Dalam erti kata yang lain, semakin tinggi kualiti Akidah dan Syariah yang dimiliki, maka tinggi pula kualiti Akhlak mereka.

Dari segi pengertian, Akhlak ertinya budi pekerti, kelakuan, pertuturan atau tabiat yang lahir daripada sikap mental seseorang itu. Sikap mental yang sempurna dan agung yang telah dikurniakan kepada baginda Rasulullah SAW telah menjadi contoh dan teladan kepada seluruh manusia. Firman Allah SWT;

Terjemahan: Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang sangat-sangat mulia. (Surah al-Qalam 68: 4).

Oleh sebab itu manusia diperintahkan supaya mengambil contoh daripada tingkah laku baginda Rasulullah SAW dalam apa jua aktiviti harian. Firman Allah SWT;

Terjemahan: Dan sesungguhnya Rasulullah itu menjadi ikutan (teladan) yang baik untuk kamu dan untuk orang yang mengharapkan menemui Allah dan hari kemudian dan yang mengingati Allah sebanyak-banyaknya. (Surah al-Ahzab 33: 21).

Baginda SAW telah melaksanakan akhlak yang amat baik terhadap keluarganya, sahabat dan kepada semua lapisan masyarakat manusia, sama ada mereka itu kaya ataupun miskin, mulia ataupun hina, sahabat ataupun musuh, Muslim atau bukan Muslim dan walaupun mereka pernah mengecewakannya seperti yang berlaku dalam peperangan Uhud, ketika tentera pemanah yang diamanahkan berada di tempat strategi di atas bukit. Oleh sebab mereka melihat kemenangan sudah berada pada pihak Islam, mereka telah melupakan perintah Rasulullah SAW itu lalu turun untuk mendapatkan harta rampasan perang. Kecuaian itu menyebabkan pihak musuh mengambil kesempatan untuk menyerang balas dari belakang. Sebagai akibatnya seramai 70 orang daripada pihak Islam gugur syahid. Namun demikian baginda tetap juga bersikap lembut dengan mereka. Dengan sikap demikian menyebabkan pengikut-pengikutnya tetap setia di sisinya. Firman Allah SWT;

Terjemahan: Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepada mu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu, maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan soal-soal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakkallah kepada Allah , kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertawakkal kepadaNya. (Surah Ali ‘Imran 3: 159).

Sifat lemah-lembut ini menyebabkan masyarakat Islam semasa itu begitu menyintai baginda Rasulullah SAW. Sifat yang mulia ini merupakan rahmah daripada Allah SWT kepada baginda Rasulullah SAW. Melalui pimpinan Allah SWT ini, para sahabat telah mengikuti dan menteladani sifat peribadai baginda SAW. Para sahabat dapat mempelajari sifat-sifat yang agung yang asing bagi mereka, kerana baginda SAW amat berlemah-lembut terhadap mereka.

Antara sifat baginda Rasulullah SAW ialah layanan yang amat baik kepada sesama manusia, sama ada mereka itu keluarga, sahabat atau tetamu. Sering kali baginda Rasulullah SAW melayani Ahl al-suffah.

Ahl al-suffah merupakan tetamu umat Islam. Mereka tinggal di masjid yang tidak mempunyai sanak saudara dan tidak mempunyai harta benda. Mereka hanya mengharapkan keredaan Allah SWT. Rasulullah SAW sentiasa melayani mereka ini tanpa jemu walaupun selama-lamanya. Mereka sentiasa diundang oleh baginda Rasulullah SAW datang ke rumah untuk jamuan sekadar apa yang ada. Kadang-kadang mereka diberi jamuan berupa susu, roti dan sebagainya.

Sifat melayani tetamu dengan baik dan sopan santun adalah amalan Islam yang diwarisi daripada Nabi Ibrahim (AS) hinggalah Nabi Muhammad SAW seterusnya hingga hari ini. Namun begitu dengan pesatnya pembangunan kebendaan pada masa ini, sifat yang murni ini hampir dilupakan oleh umat Islam.

2.2 Sumber Utama

Industri hospitaliti kini sedang pesat berkembang dan beroperasi terutamanya dalam sektor perhotelan dan restoran. Namun begitu umat Islam masih bertuah kerana mereka tidak menghadapi sebarang masalah apabila berhadapan dengan situasi yang baru ini, kerana ajaran Islam sendiri telah membekalkan kepada mereka ilmu pengetahuan mengenai hospitaliti Islam yang tulen berpandu kepada dua sumber utama ajaran Islam iaitu al-Qur’an dan al-Hadith Rasulullah SAW.

2.2.0 Al-Qur’an

Al-Qur’an ialah kitab yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW, bermula dengan iqra’ bismi rabbika al-ladhi khalaq, khala al-insana min ‘alaq, iqra’ wa rabbuka al-akram, al-ladhi ‘allama bil qalam, ‘allamal insana ma lam ya‘lam (1. bacalah (Wahai Muhammad) Dengan nama Tuhanmu Yang menciptakan (sekalian makhluk), 2. ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; 3. Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, - 4. Yang mengajar manusia melalui Pena dan tulisan, 5. ia mengajarkan manusia apa Yang tidak diketahuinya -). (Surah al ‘Alaq ayat 1-5).

Hospitaliti Islam dimulakan dengan menyentuh berkenaan kepentingan ilmu pengetahuan iaitu menyeru kepada berilmu pengetahuan, tanpa ilmu pengetahuan manusia tidak akan sampai kepada tahap yang tinggi.

Al-Qur’an diakhiri dengan al-yauma akmaltu lakum dinakum wa atmamtu ‘alaikum ni‘mati wa raditu lakum al-islama dinan. Ia menunjukkan dengan berakhirnya ayat berkenaan maka bererti sempurnalah seluruh ajaran Islam keseluruhannya. (Surah al Maidah ayat 3)

Al-Qur’an diturunkan secara beransur-ansur selama 32 tahun iaitu 13 tahun diturunkan di Makkah dan selebihnya diturunkan di Madinah. Kebanyakan ayat-ayat yang diturunkan di Makkah adalah menyentuh berkenaan Akidah dan Akhlak. Iaitu keimanan kepada keesaan Allah SWT, keimanan kepada nabi dan hari akhirat. Keimanan berkenaan mengajak manusia membebaskan fikiran dari terbelenggu dengan pemikiran bapa-bapa dan nenek-nenek mereka. Serta berakhlak mulia dengan mengutamakan sifat mahmudah (terpuji) dan meniggalkan sifat mazmumah (tercela).

Penurunan ayat-ayat al-Qur’an di Madinah kebanyakkannya adalah menyentuh berkenaan hukum-hukum fiqh, peraturan pemerintahan, undang-undang kekeluargaan dan peraturan hubungan sesama manusia sama ada hubungan sesama Muslim ataupun hubungan dengan yang bukan Muslim. Namu ayat berkenaan Akhlak juga masih diturunkan di Madinah.

Pada keseluruhannya al-Qur’an mengandungi tiga cabang peraturan iaitu; Pertama: peraturan yang berkaitan dengan Akidah yang menyentuh berkenaan kepercayaan kepada Allah SWT, malaikat, kitab, rasul dan hari akhirat. Kedua: Peraturan yang berhubung dengan perkataan atau perbuatan, sama ada bercorak ‘ibadah ataupun mu‘amalah. Ketiga: Peraturan yang berkaitan dengan akhlak yang mewajibkan setiap mukallaf supaya sentiasa menghiasi diri dengan sifat yang murni serta menjauhkan daripada sifat tercela.

Tuntutan menghiaskan diri dengan sifat-sifat yang murni bukanlah perkara baru, malah sejak dari manusia yang pertama Nabi Adam (AS) telah menganjurkan dengan sifat-sifat demikian.

Pada umumnya setiap nabi dan rasul yang diutuskan membawa tiga perkara pokok iaitu iman, ibadah dan akhlak. Banyak dari ayat-ayat al-Qur’an menceritakan kesah nabi-nabi dan rasul-rasul terdahulu berkenaan ketinggian nilai akhlak mereka.

Antara ketinggian akhlak yang diabadikan di dalam al-Qur’an ialah berkenaan layanan yang mereka lakukan terhadap tetamu, seperti menyambut dan melayani tetamu yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim (AS), Nabi Lut (AS), Nabi Yusuf (AS), Nabi Khaidir (AS) dan dilengkapkan oleh Nabi Muhammad SAW seperti yang terkandung di dalam al-Qur’an.

Al-Qur’an adalah satu daripada kitab yang diturunkan oleh Allah SWT kepada umat manusia. Umat terdahulu juga menerima kitab seperti kitab Taurah, Zabur dan Injil, tetapi setelah rasul-rasul mereka wafat serta melalui beberapa waktu yang panjang, secara sengaja atau tidak mereka telah meminda dan menafsirkan isi kandungan kitab berkenaan menurut hawa nafsu mereka sendiri sehingga mencetuskankan perselisihan dan perbalahan yang amat hebat dalam agama mereka. Oleh hal yang demikian Allah SWT telah menurunkan malapetaka yang dahsyat kepada mereka dan menjanjikan ‘adhab di hari akhirat kelak lantaran perbuatan meminda-minda peraturan Allah SWT. Hasil dari perbuatan itu menyebabkan mereka meninggalkan agama Allah SWT dan melakukan syirik kepadaNya.

Kini al-Qur’an berada pada tangan umat Islam, yang menjadi tanggungjawab umat Islam untuk mempelajari, mengkaji dan mengamalkannya. Sesungguhnya sesuatu yang terkandung di dalam al-Qur’an itu hanyalah untuk faedah dan kegunaan manusia. Sesiapa mengamalkan selain yang dikehendaki oleh Islam maka ia tidaklah diterima sebagai amal kebaikan di sisi Allah SWT. FirmanNya;

Terjemahan: Dan siapa yang mencari agama selain dari Islam, maka tidaklah akan diterima daripadanya, dan dia di hari akhirat termasuk orang-orang yang mendapat kerugian. (Surah Ali Imran 3:85).

Al-Qur’an yang diturunkan oleh Allah SWT kepada seluruh umat manusia bukanlah sebagai perhiasan atau sekadar memenuhi kekosongan, tetapi kehadirah al-Qur’an itu adalah untuk diamalkan secara sungguh-sungguh oleh manusia. Ia merupakan peraturan yang mutlaq untuk diterima dan dilaksanakan, tanpa memberi kebebasan kepada manusia menentukan peraturan hidup berdasarkan kepada keinginan nafsu. Firman Allah SWT;

Terjemahan: Pada kesudahannya Kami jadikan engkau (wahai Muhammad dan utuskan engkau) menjadikan satu jalan yang cukup lengkap dari hukum-hukum agama; maka turutlah akan jalan itu, dan janganlah engkau menurut hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui (perkara yang benar). (Surah al-Jasyiah 45:18).

Ayat di atas telah menjelaskan berkenaan peringatan Allah SWT kepada Rasulullah SAW supaya memilih agama Islam semata-mata sebagai sistem hidup serta sentiasa peka terhadap perubahan semasa agar manusia sentiasa berada di atas landasan Syara‘.

2.2.1 Al-Sunnah

Al-Sunnah atau al-Hadith dapat didefinisikan sebagai sesuatu yang lahir atau terbit dari Rasulullah SAW sama ada perkataan, perbuatan atau pengakuan. Dimaksudkan dengan sunnah perkataan ialah ucapan yang lahir dari Rasulullah SAW yang membawa maksud dan tujuan tertentu. Sunnah perbuatan pula ialah kelakuan baginda dalam menunaikan sembahyang, menunaikan haji dan sebagainya. Sementara sunnah pengakuan ialah sesuatu yang didiamkan oleh Rasulullah SAW berkenaan perkataan dan perbuatan sahabat.

Hadith atau sunnah Rasulullah SAW berfungsi menjelaskan isi kandungan al-Qur’an secara terperinci, sama ada menjelaskan isi kandungan dengan perkataan atau secara amal perbuatan, untuk diteladani oleh umat Islam. Sesuatu yang dihuraikan oleh perkataan dan perbuatan baginda itu pada hakikatnya adalah termasuk di dalam urusan wahyu, kerana Allah SWT telah memberi jaminan bahawa penyampaian baginda itu sekali-kali tidak bercampur aduk dengan keinginan nafsunya. Firman Allah SWT;

Terjemahan: Dan ia tidak memperkatakan (sesuatu yang berhubung dengan agama Islam) menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri. Segala yang diperkatakannya itu (sama ada Al-Qur’an atau hadith) tidak lain melainkan wahyu yang diwahyukan kepadanya. (Surah al-Najm 53:3-4).

Oleh itu apa saja yang diperintahkan oleh Rasulullah SAW hendaklah dituruti tanpa ada sebarang bantahan, kerana baginda Rasulullah SAW hanyalah sebagai utusan daripada Allah SWT bertugas sebagai penyampai berita tanpa ada kepentingan diri sendiri. Firman Allah SWT;

Terjemahan: Apa yang diberikan oleh Rasul kepada kamu, hendaklah kamu terima, dan apa yang dilarangnya, hendaklah kamu hentikan. Dan patuhlah kepada Allah , sesungguhnya Allah itu amat keras hukumanNya. (Surah al-Hasyar 59:7).

Di dalam tafsir al-Qurtubi menyebutkan bahawa turunnya ayat di atas adalah untuk menegur sikap sesetengah kalangan masyarakat Islam pada zaman itu yang kurang setuju dengan ajaran yang disampaikan oleh Rasulullah SAW dengan memberi beberapa cadangan lain sebagai pilihan. Ayat di atas juga menjelaskan berkenaan tugas umat Islam kini hanyalah melaksanakan yang telah diperintahkan dan meninggalkan suatu yang ditegah oleh Rasulullah SAW.

Sejak kebangkitan baginda SAW menjadi rasul pada tahun 610M hinggalah kewafatan baginda SAW pada tahun 632M iaitu selama 23 tahun baginda menyampaikan agama Islam kepada masyarakat Arab, sesuatu yang amat terserlah kepada peribadi baginda ialah ketinggian, keagongan dan kemurnian nilai berakhlak.

Sesuatu yang membanggakan ketinggian nilai akhlak baginda ialah menyentuh berkenaan persoalan hospitaliti, sehingga al-Hadith atau Sunnah Rasulullah SAW merupakan sumber hospitaliti Islam yang utama. Segala cara hidup baginda SAW di dalam melayan manusia boleh dijadikan contoh dan teladan dalam hospitaliti Islam.

Keistimewaan yang terdapat kepada peribadi baginda ialah selagi ada tetamu, maka selagi itulah baginda SAW melayaninya, yang semata-mata bertujuan dakwah serta mendekatkan manusia kepada agama Islam. Melayani mereka dengan menggunakan ucapan yang baik-baik, disajikan makanan dan minuman mengikut kemampuan yang ada, disediakan tempat penginapan jika diperlukan, kawalan keselamatan, hadiah dan sebagainya itu telah menambat hati mereka kepada agama Islam. Secara tidak langsung Islam dapat berkembang melalui layanan yang istimewa daripada baginda Rasulullah SAW.

Segala sikap yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dalam melayani tetamu amat wajar dijadikan contoh dan teladan oleh semua kalangan umat Islam, sekali gus ia menjadi suatu peraturan yang wajib dipelajari dan dihayati oleh umat Islam terutamanya ke arah mengembangkan dakwah Islam.

Sebagai umat Islam, mentaati segala perintah Allah SWT dan RasulNya adalah wajib dan merupakan budaya Islam. Firman Allah SWT;

Terjemahan: Patuhlah kepada Allah dan patuhlah kepada Rasul, dan berhati-hatilah, tetapi kalau kamu tidak menurut, ketahuilah bahawa kewajipan Rasul Kami hanyalah menyampaikan dengan terang. (Surah al-Ma’idah 5:92).

Rasulullah SAW telah menyampai ajaran Islam dengan jelas dan terang berdasarkan dua sumber rujukan dan itulah juga yang diwariskan oleh Rasulullah SAW kepada umatnya iaitu Al-Qur’an dan al-Sunnah Rasulullah SAW. Rasulullah SAW mengingatkan bahawa ada dua perkara yang menjadi harta peninggalannya yang diwarisi kepada seluruh manusia sebagai pembimbing mereka ke arah jalan yang benar yang diredai Allah SWT iaitu al-Qur’an dan al-Sunnah Rasulullah SAW. Sabda Rasulullah SAW;

Terjemahan: Dari Malik bin Anas berkata: berkata Rasulullah SAW “Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang kamu tidak akan sesat selamanya dengan berpegang kepada keduanya iaitu al-Qur’an dan Sunnah RasulNya. (Hadith diriwayatkan oleh Abu Daud dan Ahmad Hanbal).

Apabila timbul perkembangan baru dalam industri hospitaliti, maka konsep, prinsip dan sistem perlu dirujuk kepada dua sumber utama seperti yang telah disebutkan di atas iaitu al-Qur’an dan al-Sunnah. Seterusnya digunakan sumber-sumber iringan seperti al-Ijma‘, al-Qiyas, al-Istihsan, al-Masalih al-Mursalah, Sad al-Dharai‘, Madhhab al-Sahabi, al-Istishab, al-‘Urf dan sebagainya.