ETIKA ISLAM DALAM HOSPITALITI


4.0 Pendahuluan

Etika ertinya akhlak, iaitu ilmu yang mempelajari segala soal kebaikan dan keburukan di dalam hidup manusia semuanya, teristimewa yang mengenai gerak-geri fikiran dan rasa yang dapat merupakan pertimbangan dan perasaan.

Di dalam bab tiga yang lalu telah diketengahkan beberapa hadith yang berhubung dengan layanan yang diberikan oleh Rasulullah SAW kepada tetamunya.

Namun begitu apa yang dipaparkan itu merupakan suatu pendedahan umum tanpa melihat akhlak sebagai pelayan tetamu secara meluas dan mendalam.

Oleh itu bagi pelayan tetamu, untuk mencapai tahap atau kualiti hospitaliti yang unggul, aspek-aspek akhlak di sebalik perlakuan Rasulullah SAW terhadap tetamu perlu diteliti.

Untuk itu dalam bab ini perlu kepada satu kesimpulan yang merumuskan hadith-hadith berkenaan dari sudut akhlak hospitaliti, serta mengasingkan bentuk-bentuk yang berupa etika dan etiket, supaya kita benar-benar dapat melihat perbezaannya.

Tujuan pengasingan berkenaan semata-mata untuk penerapan nilai etika dan etiket dalam pentadbiran pelayanan terhadap tetamu.

Di dalam bab ini akan ditumpukan kepada etika Islam, dalam melayani tetamu, iaitu dengan membahagikan kepada dua bahagian, tabiat-tabiat yang digemari (al-Targhib) dan beberapa amaran yang patut diberi perhatian serius oleh pelayan tetamu (al-Tarhib).

Terdapat dalam masyarakat kita banyak orang yang tidak belajar ilmu akhlak tetapi ia boleh menghukum perbuatannyn itu baik atau jahat.

Namun pemikiran berkenaan etika bikinan manusia ini dapat kita saksikan berbagai-bagai idea dan pandangan yang tidak berkesudahan dan akhirnya tidak membawa asas akhlak yang kukuh.

Semakin jauh kita mengkaji berkenaan pemikiran etika ini, semakin sulit untuk menentukan kebenaran berkenaan kesusilaan.

Maka untuk mengambil jalan yang ringkas dan tepat adalah dengan kembali kepada ajaran al-Qur’an dan al-Hadith, yang telah menjelaskan etika hospitaliti ini.

4.1 AL-TARGHIB

Al-Targhib ertinya sifat-sifat yang digalakkan. Bagi para penyambut tetamu hendaklah mempunyai sifat-sifat yang baik semasa melayani tetamu, agar tetamu berasa selesa dan selamat. Sebenarnya banyak sifat yang baik yang terdapat di dalam al-Qur’an dan al-Hadith, tetapi di dalam bab ini telah dirumuskan beberapa etika Islam untuk kegunaan para penyambut tetamu.

Berikut disenaraikan sifat-sifat yang murni sebagai hasil rumusan daripada akhlak Rasulullah SAW ketika baginda menyambut dan melayani tetamu, seperti yang terkandung dalam bab tiga yang lalu.

4.1.0 Senyuman.

Sebagai seorang penyambut tetamu, senyuman amat penting diukirkan. Mereka yang datang dengan membawa seribu masalah, disambut dengan senyuman, maka betapa gembiranya hati mereka. Senyuman adalah satu pemberian, hadiah atau sedekah, demikianlah Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud;

Terjemahan: Senyuman kamu terhadap saudara kamu adalah sedekah. (Hadith diriwayatkan oleh al-Tirmidhi).

Harapan tetamu terhadap hos atau tuan rumah amatlah tinggi. Mereka harapkan kehadiran mereka sentiasa dinanti-nantikan. Mereka mengharapkan supaya kedatang mereka disambut dengan senyuman manis tanda gembira dengan kedatangan mereka. Rasulullah SAW sentiasa senyum manis ketika menyambut tetamu dan dalam semua keadaan ketika berhadapan dengan manusia, hal ini diceritakan oleh Abdullah bin al-Harith bin Jaz’i;

Terjemahan: Dari Abdullah bin al-Harith bin Jaz’i (RA) berkata: Aku tidak nampak seorang pun yang membanyakkan senyum, melainkan Rasulullah SAW. (Hadith diriwayatkan oleh al-Tirmidhi).

Selain itu, bermuka manis juga termasuk dalam kategori melakukan kebaikan terhadap tetamu. Demikian diterangkan oleh baginda Rasul SAW;

Terjemahan: Dari Jabir bin Abdullah, berkata: Rasulullah SAW bersabda: setiap kebaikan itu adalah sedekah dan termasuklah kebaikan itu bahawa apabila kamu bertemu saudara kamu dengan muka yang manis dan bahawa kamu menuangkan air dari timba kamu ke dalam bekas air saudara kamu. (Hadith diriwayatkan oleh Muslim).

Rasulullah SAW mengingatkan umatnya supaya mengambil berat dan memandang serius terhadap semua kebajikan, walaupun sesetengah kalangan menganggap sesetengah kebajikan itu merupakan perkara yang kecil faedahnya seperti senyuman, bermuka manis dan sebagainya. Jika umat Islam memandang serius kepada semua kebajikan sama ada yang kecil atau besar, tentulah masyarakat Islam tidak ketinggalan. Peringatan Rasulullah SAW supaya jangan memandang rendah terhadap sesuatu kebaikan, terungkap dalam sebuah hadith;

Terjemahan: Dari Abu Dhar, dia berkata: Nabi SAW pernah bersabda: Janganlah kamu merendahkan masalah kebajikan barang sedikitpun, walaupun dengan cuma memperlihatkan wajah berseri-seri ketika kamu bertemu dengan saudaramu. (Hadith diriwayatkan oleh Muslim).

Daripada keterangan di atas maka dapatlah dibuat kesimpulan bahawa apabila menyambut tetamu, hendaklah menyambut mereka dengan senyuman, wajah yang berseri-seri dengan tulus ikhlas daripada hati kerana rasa gembira menyambut kehadiran mereka. Yang dilakukan ini merupakan suatu kebaikan yang tidak dapat dinilai harganya, hanya Allah SWT sahaja yang dapat membalasnya. Demikianlah yang dilakukan oleh baginda Rasulullah SAW apabila menyambut kehadiran tetamunya dengan senyuman.

4.1.1 Cepat Bertindak

Cepat bertindak bukanlah bererti bertindak secara tergopoh-gapah, tetapi ia bererti tidak melengah-lengahkan, iaitu memberikan layanan kepada tetamu dengan segera tanpa bertangguh-tangguh.

Segera menyambut kedatangan mereka dan melayani keperluan mereka. Bersegera menyelesaikan segala permasalahan mereka dan mengambil tindakan terhadap aduan-aduan mereka, sehingga mereka merasai benar-benar bahawa bahawa mereka diberi perhatian.

Diceritakan di dalam al-Qur’an berkenaan tetamu Nabi Ibrahim (AS) yang datang ke rumahnya. Setelah mereka dipersilakan, Nabi Ibrahim (AS) segera pergi berjumpa dengan keluarganya dan menceritakan tetamu telah datang. Maka dengan segera seisi keluarga memilih anak lembu yang gemuk untuk disembelih.

Menguruskan seekor anak lembu bermula dari sembelih sehingga kepada memanggangnya memerlukan masa yang lama, tetapi apabila ia dilakukan dengan cepat dan pantas, tidaklah memerlukan masa yang panjang. Setelah makanan itu disiapkan, dengan pantas pula makanan itu dibawa untuk jamuan kepada tetamunya itu. Firman Allah SWT;

Terjemahan: Dan sesungguhnya telah datang malaikat utusan-utusan Kami kepada Nabi Ibrahim, dengan membawa berita yang menggembirakan. Lalu mereka memberi salam dengan berkata “Selamat sejahtera kepadamu”. Nabi Ibrahim menjawab: “Salam sejahtera kepada kamu”. Maka tidak berapa lama selepas itu, ia membawa jamuan untuk mereka; seekor anak lembu yang dipanggang. (Surah Hud 11: 69).

Perkataan “tidak berapa lama selepas itu” menunjukkan tidak lama menunggu, iaitu persiapan untuk menyediakan makanan itu tidaklah mengambil masa yang lama. Hal ini bermakna Nabi Ibarahim (AS) berserta keluarganya dengan pantas dan bersungguh-sungguh menyediakan hidangan untuk tetamu.

Segera melakukan kebaikan amatlah dituntut di dalam Islam, seperti perintah Allah SWT kepada umat Islam supaya menyegerakan melakukan kebaikan, menyegerakan melaksanakan sembahyang dan sebagainya.

Terjemahan: Berlumba-lumbalah kamu membuat kebaikan. (Surah al-Ma’idah 5: 48).

Terjemahan: Dari Abu Hurairah (RA), aku tidak pernah melihat seorang pun yang begitu pantas berjalan selain dari Rasulullah SAW. (Hadith diriwayatkan oleh al-Tirmidhi).

Hadith di atas menjelaskan kepada kita bahawa tingkah laku atau tindak tanduk Rasulullah SAW adalah pantas dan segera dalam melakukan sesuatu. Aksi baginda ketika berjalan memperlihatkan kepantasan baginda dalam semua aktiviti harian.

Di samping itu bukan sahaja pantas dalam melakukan tugas, malah baginda melakukan sesuatu pekerjaan dengan segera. Kita dapat melihat baginda melatih sahabat dalam bersegera mengerjakan sembahyang seperti dalam sebuah hadith;

Terjemahan: Sebaik-baik amalan sembahyang ialah dilakukan di awal-awal waktunya. (Hadith diriwayatkan oleh al Bukhari dan Muslim).

Hadith di atas bukan sekadar mengajar umat Islam bersegera di dalam melakukan sembahyang dalam waktunya, malah ia mengajar dan melatih umat Islam agar sentiasa bersegera melakukan sesuatu pekerjaan pada awal-awal waktu tanpa berlengah-lengah.

Daripada kenyataan di atas dapatlah dirumuskan bahawa cepat bertindak dalam melayani tetamu merupakan salah satu cara memuliakan tetamu. Sudah menjadi tabiat manusia suka kepada segera.

Oleh itu bersegera dalam melayani mereka dianggap sebagai salah satu daripada amalan kebaikan yang patut diberi perhatian utama oleh setiap Muslim.

4.1.2 Pemurah

Di dalam bab tiga yang lalu ada menyentuh berkenaan kesungguhan Rasulullah SAW dalam melayani tetamunya seperti memberi makanan, minuman, tempat tinggal serta memberi hadiah untuk dibawa pulang ke negeri masing-masing. Kesemua ini adalah sebagai kesan sifat pemurah yang terdapat pada diri baginda SAW.

Dalam peristiwa lain Malik bin al-Huwairith menceritakan berkenaan sifat pemurahnya Rasulullah SAW terhadap tetamunya;

Diriwayatkan daripada Malik bin al-Huwairis (RA) katanya: Kami datang menemui Rasulullah SAW, pada waktu itu kami masih sama-sama muda dan usia kami tidak banyak perbezaanya. Kami tinggal bersama baginda selama dua puluh malam. Rasulullah SAW adalah seorang yang sangat pemurah dan lembut sekali. (Hadith diriwayatkan oleh al Bukhari dan Muslim).

Pada pandangan umum, pemurah itu terhad kepada pemberian yang berbentuk wang ringgit, tetapi dalam Islam pemurah itu termasuklah senyuman, bercakap baik, menolong, memudahkan urusan dan sebagainya, seperti dalam sebuah hadith;

Diriwayatkan daripada Abu Musa (RA) katanya: Nabi SAW telah bersabda: Pada setiap orang Muslim terdapat sedekah. Baginda ditanya: Apa pendapat kamu jika seseorang itu tidak mempunyai apa-apa untuk disedekahkan? Rasulullah SAW bersabda: Dia berusaha mengunakan kedua tangannya, sehingga dia dapat memberi manfaat untuk dirinya dan bersedekah. Baginda ditanya lagi: Apa pendapat kamu jika dia tidak mampu? Rasulullah SAW bersabda: Dia mampu membantu orang yang memerlukan pertolongan. Baginda ditanya lagi: Apa pendapat kamu jika dia juga tidak mampu? Rasulullah SAW bersabda: Dia mampu melakukan kebaikan. Baginda ditanya lagi: Apa pendapat kamu jika dia tidak mampu melakukannya juga? Rasulullah SAW bersabda: Dia menahan diri dari melakukan keburukan, maka itu juga dikira sebagai sedekah. (Hadith diriwayatkan oleh al Bukhari dan Muslim).

Namun begitu pemurah Rasulullah SAW ada had dan kadarnya iaitu tidaklah mencapai kepada tahap membazir, kerana dalam Islam perbuatan membazair itu adalah ditegah, seperti dinyatakan dalam hadith;

Diriwayatkan daripada al-Mughirah bin Syubah (RA) katanya: Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya Allah SWT telah mengharamkan ke atas kamu menderhaka kepada ibu, menanam anak perempuan hidup-hidup, tidak mahu memberi miliknya tetapi meminta-minta milik orang lain dan ditegahkan ke atas kamu tiga perkara, iaitu mengada-ngadakan cerita, banyak bertanya dan membazirkan harta. (Hadith diriwayatkan oleh al Bukhari dan Muslim).

Daripada hadith di atas telah menjelaskan bahawa dalam melayani tetamu, Rasulullah SAW mengutamakan sifat pemurah. Namun begitu sifat pemurah baginda tidaklah sampai kepada tahap membazir harta benda yang diamanahkan oleh Allah SWT kepada hambanya. Selain dari pemurah dengan memberi makanan dan minuman, Rasulullah SAW telah menjelaskan termasuk juga dalam kategori pemurah adalah apabila seseorang itu menyenangkan tetamunya dengan memberi bantuan dan pertolongan yang berupa tenaga tulang empat kerat, bimbingan nasihat dan apa juga bentuk kebaikan.

4.1.3 Kasih Sayang

Sebagai penyambut tetamu, mereka seharusnya mempunyai perasaan kasih sayang. Sifat kasih sayang itu akan mendorong mereka ke arah melayani tetamu. Kasih sayang antara pelayan dengan tetamu akan terjalin apabila hati mereka dibekalkan keimanan. Firman Allah SWT;

Terjemahan: Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, Allah yang melimpah-limpah rahmatnya akan menanamkan bagi mereka dalam hati orang ramai perasaan kasih sayang. (Surah Mariam 19: 96).

Sebagai pelayan Muslim yang beriman, memberi layanan yang baik kepada tetamunya, bukanlah kerana tetamunya itu seorang yang istimewa atau mempunyai kedudukan yang tinggi atau mempunyai kelebihan, tetapi adalah semata-mata menyahut seruan Allah SWT supaya mengasihi sesama insan. Dalam erti kata yang lain, mereka berkasih sayang kepada tetamu mereka adalah kerana Allah SWT semata-mata seperti dalam sebuah hadith;

Terjemahan: Diriwayatkan daripada Anas (RA) katanya: Nabi SAW bersabda: Tiga perkara, jika terdapat di dalam diri seseorang maka dengan perkara itulah dia akan memperolehi kemanisan iman: Seseorang yang mencintai Allah dan RasulNya lebih daripada selain keduanya, mencintai seorang hanya kerana Allah, tidak suka kembali kepada kekafiran setelah Allah menyelamatkannya dari kekafiran itu, sebagaimana dia juga tidak suka dicampakkan ke dalam Neraka. (Hadith diriwayatkan oleh al Bukhari dan Muslim).

Hadith di atas menyentuh berkenaan seseorang itu akan merasai kenikmatan beriman kepada Allah SWT apabila mereka berkasih sayang sesama manusia adalah semata-mata kerana Allah, bukanlah disebabkan mempunyai kepentingan tertentu. Oleh yang demikian, sebagai pelayan yang bertakwa kepada Allah SWT, mereka melayani tetamunya itu sesuai dengan perintah Allah SWT dan ingin mencari keredaanNya.

4.1.4 Belas Kasihan

Belas kasihan merupakan satu sifat yang baik yang perlu diutamakan oleh tuan rumah terhadap tetamu mereka. Tetamu yang datang dari jauh mungkin mengalami keletihan, kepenatan, lapar dan dahaga dan perlu diberi pertolongan. Perasaan belas kasihan terhadap penderitaan yang mereka tanggung itu akan menjadikan tetamu berasa gembira. Demikianlah Allah SWT telah menggambarkan perasaan orang beriman dalam berkasih sayang sesama mereka. Firman Allah SWT;

Terjemahan: Nabi Muhammad SAW ialah Rasul Allah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam), dan sebaiknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan kasihan sesama sendiri (umat Islam). Engkau melihat mereka tetap beribadat rukuk dan sujud, dengan mengharapkan limpah kurnia (pahala) dari Tuhan mereka serta mengharapkan keredaanNya. Tanda yang menunjukkan mereka (sebagai orang-orang yang soleh) terdapat muka mereka - dari kesan sujud (dan ibadat mereka yang ikhlas). (Surah al-Fath 48: 29).

Daripada ayat di atas menjelaskan wujudnya kasih sayang sesama orang yang beriman. Oleh itu orang yang beriman sentiasa mempunyai perasaan kasih sayang terhadap sesama mereka, lebih-lebih lagi terhadap tetamu mereka. Di dalam sebuah hadith ada menyentuh kasihan belas Rasulullah SAW terhadap sesama manusia;

Terjemahan: Diriwayatkan daripada Usamah bin Zaid (RA) katanya: Kami sedang berada di sisi Rasulullah SAW ketika salah seorang dari puteri baginda menyuruh seseorang untuk memanggil baginda dan memberitahu bahawa anak lelaki puteri (cucu) baginda itu berada dalam keadaan nazak. Lalu Rasulullah SAW bersabda kepada orang suruhan tersebut: Kembalilah kepadanya dan katakan bahawa yang diambil oleh Allah adalah milikNya dan apa yang diberi oleh Allah juga milikNya. Segala sesuatu di sisiNya akan berakhir, mintalah supaya beliau bersabar dan berserah kepada Allah. Orang suruhan itu kemudiannya kembali mengadap Rasulullah SAW dan berkata: Dia berjanji akan menunaikan pesanan itu. Kemudian Nabi SAW berdiri diikuti oleh Sa‘ad bin ‘Ubadah dan Mu‘adh bin Jabal (RA). Akupun (Usamah bin Zaid) turut berangkat bersama-sama mereka. Lalu diangkatkan kepada Rasulullah SAW dan diserahkan anak (dari puteri baginda) yang nafasnya masih bergerak-gerak (tersekat-sekat), seolah-olah dia berada di dalam satu qirbah (bekas air) yang lusuh. Kedua-dua mata Rasulullah SAW mulai berlinangan. Sa‘ad bertanya: Apa ertinya ini wahai Rasulullah? Rasulullah SAW lalu bersabda: lni adalah rahmat (belas-kasihan) yang diletakkan oleh Allah di hati hamba-hambaNya. Sesungguhnya Allah mengasihi hamba-hambaNya yang mempunyai rasa belas kasihan. (Hadith diriwayatkan oleh al Bukhari dan Muslim).

Hadith di atas menjelaskan bahawa Rasulullah SAW mempunyai sifat belas kasihan yang amat tinggi. Demikianlah pula baginda bersikap belas kasihan kepada insan-insan lain, termasuklah tetamu baginda SAW.

Penderitaan yang ditanggung oleh tetamu sewajarnya diinsafi oleh tuan rumah. Walaupun Rasulullah SAW tidak merasai penderitaan orang lain, tetapi baginda dapat menghayati apa yang ditanggung oleh orang lain. Hal ini dapat kita ambil iktibar daripada sebuah hadith;

Terjemahan: Diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah (RA) katanya: Rasulullah SAW melarang para Sahabat dari menyambung puasa semata-mata kerana didorong oleh perasaan kasihan belas terhadap mereka. Kemudian mereka bertanya: Bukankah kamu sendiri menyambung puasa, wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Sesungguhnya aku tidak seperti kamu. Aku diberi makan dan minum oleh Tuhanku. (Hadith diriwayatkan oleh al Bukhari dan Muslim).

Dalam hadith di atas memperlihatkan Rasulullah SAW tidak menyamakan antara dirinya dengan orang lain, kerana keistimewaan yang terdapat pada dirinya. Oleh itu dengan mengambil iktibar daripada hadith di atas, walaupun pihak penyambut tetamu tidak merasai penderitaan itu, mereka patut menginsafi penderitaan yang dialami oleh tetamu mereka.

4.1.5 Adil

Islam manganjurkan umatnya bersikap adil terhadap sesama manusia. Bagi seorang penyambut tetamu hendaklah berlaku adil terhadap tetamu-tetamunya tanpa memilih kasih dalam memberi layanan. Hal ini berpandukan perintah Allah SWT kepada kita supaya berlaku adil dalam semua perkara;

Terjemahan: Katakanlah: "Tuhanku menyuruh berlaku adil (pada segala perkara), dan (menyuruh supaya kamu) hadapkan muka (dan hati) kamu (kepada Allah) dengan betul pada tiap-tiap kali mengerjakan sembahyang, dan beribadatlah dengan mengikhlaskan amal ugama kamu kepadaNya semata-mata; (kerana) sebagaimana Ia telah menjadikan kamu pada mulanya, (demikian pula) kamu akan kembali (kepadaNya). (Surah Al-Araf 29: 7).

Dalam hal ini Rasulullah SAW mengingatkan kepada kita supaya berlaku adil, kerana dengan berlaku adil itu merupakan satu kebaktian atau sedekah, seperti dalam sebuah hadith menyebut;

Terjemahan: Diriwayatkan daripada Abu Hurairah (RA) katanya: Nabi SAW telah bersabda: Pada setiap hari terdapat sedekah di setiap sendi manusia ketika matahari terbit. Seterusnya baginda bersabda: Berlaku adil di antara dua orang manusia adalah sedekah, membantu seseorang naik ke atas binatang tunggangannya atau mengangkatkan barang-barangnya ke atas belakang binatang tunggangannya juga adalah sedekah. Rasulullah SAW bersabda lagi: Perkataan yang baik adalah sedekah, setiap langkah menuju sembahyang adalah sedekah dan membuang sesuatu yang berbahaya di jalan adalah sedekah. (Hadith diriwayatkan oleh al Bukhari dan Muslim).

Daripada keterangan di atas, dapat diambil pengajaran supaya setiap pelayan hendaklah memberikan layanan yang adil terhadap tetamu mereka, kerana melakukan keadilan terhadap tetamu mereka itu merupakan salah satu amal kebajikan yang dituntut dalam agama Islam. Demikianlah yang dilakukan oleh Rasulullah SAW terhadap tetamunya.

4.1.6 Amanah

Setiap pelayan tetamu hendaklah mempunyai sifat amanah. Rasulullah SAW bergelar al-amin ertinya kepercayaan atau boleh dipecayai. Allah SWT memerintahkan supaya mereka yang beriman supaya sentiasa amanah terhadap apa yang diamanahkan kepada mereka. Firman Allah SWT;

Terjemahan: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan RasulNya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya). (Surah Al-Anfal 8: 27).

Dari ayat di atas terdapat dua amanah, pertama amanah Allah dan keduanya ialah amanah manusia. Melayani tetamu merupakan amanah Allah SWT supaya melayani mereka dengan sebaik-baiknya, seperti yang terdapat dalam bab dua yang lalu berkenaan hukum melayani tetamu.

Sementara amanah sesama manusia ialah amanah staf terhadap majikannya, supaya melayani tetamu. Dalam dunia kini ramai kalangan pekerja yang diamanahkan supaya melayani tetamu, telah tidak menunaikan amanah demimikian.

Oleh itu ayat di atas memerintahkan supaya mereka melakukan amanah dengan jujur. Dalam hal ini Rasulullah SAW telah memberi amaran berkenaan kedudukan mereka yang tidak menjalankan amanah, seperti dalam sebuah hadith;

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah (RA) katanya: Sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda: Tanda-tanda orang munafik ada tiga perkara, iaitu apabila bercakap dia berbohong, apabila berjanji dia mungkiri dan apabila diberi amanah dia mengkhianatinya. (Hadith diriwayatkan oleh al Bukhari dan Muslim).

Peringatan ini telah memberi kesan kepada sahabat-sahabat Rasulullah SAW, dengan itu juga diharapkan kesan pengajaran berkenaan meresapa ke dalam jiwa seluruh umat Islam kehususnya dalam jiwa para pelayan tetamu, seperti dalam sebuah athar berkenaan kesan sifat amanah yang terdapat di dalam diri para sahabat Rasulullah SAW;

Terjemahan: Diriwayatkan daripada Anas (RA) katanya: Rasulullah SAW datang menemuiku semasa aku bermain-main dengan kawan-kawan. Baginda memberi salam kepada kami, kemudian baginda mengutusi aku untuk sesuatu perkara, oleh kerana itu aku terlewat pulang ke rumah. Setelah aku pulang ibuku bertanya: Kenapa kamu pulang lewat? Aku menjawab: Rasulullah SAW menyuruhku untuk sesuatu perkara. Ibuku bertanya: Apakah dia perkara tersebut? Aku menjawab: Itu adalah rahsia. Ibuku berkata: Jangan kamu ceritakan berkenaan rahsia Rasulullah SAW kepada sesiapa pun. Anas berkata: Demi Allah, sekiranya aku menceritakannya kepada seseorang tentu aku menceritakan rahsia tersebut padamu, wahai Thabit. (Hadith diriwayatkan oleh Ahmad).

4.1.7 Sabar

Dalam menghadapi tetamu, pihak tuan rumah atau penyambut tetamu hendaklah mempunyai sifat kesabaran. Islam amat menggalakkan supaya mereka sentiasa bersabar. Kemungkinan pihak tetamu kurang mengetahui adat resam atau peraturan tempatan, yang menyebabkan pihak tuan rumah kurang senang dengan sikap tetamunya itu.

Oleh itu dalam mengatasi masalah ini, mereka hendaklah bersikap sabar. Begitulah dengan kerenah tetamu yang berbagai-bagai jenis yang amat memerlukan kesabara dalam melayani mereka. Mengenai anjuran bersabar ini Allah SWT telah berfirman;

Terjemahan: Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk. (Surah Al-Baqarah 2: 45).

Anjuran supaya mengutamakan sifat sabar ini telah dijelaskan dalam sebuah hadith yang lain;

Terjemahan: Diriwayatkan daripada Abu Said al-Khudri (RA) katanya: Orang ramai dari golongan Ansar meminta-minta daripada Rasulullah SAW. Lalu baginda memberi permintaan mereka. Kemudian mereka meminta lagi. Baginda memberi lagi permintaan mereka, sehinggalah habis apa yang ada pada baginda. Baginda bersabda: Apa pun kebaikan yang ada padaku, maka aku tidak akan menyembunyikannya dari kamu sekalian. Sesiapa yang menjaga kehormatan diri, maka Allah akan menjaga kehormatan dirinya. Sesiapa yang berpada iaitu berpuas hati dengan apa yang ada maka Allah mencukupkannya. Sesiapa yang bersabar, maka Allah akan menganugerahkannya kesabaran. Seseorang itu tidak dikurniakan sesuatu pemberian yang lebih baik dan lebih luas selain daripada sabar. (Hadith diriwayatkan oleh Muslim).

Hadith di atas telah menjelaskan berkenaan kesabaran Rasulullah SAW terhadap kerenah pengikutnya yang gelojoh dan tamak, seterusnya baginda memberi satu pelajaran terhadap mereka supaya sentiasa bersabar, elakkanlah diri daripada melayani desakan hawa nafsu. Mereka yang tidak gelojoh akan dianugerahkan oleh Allah SWT dengan kenikmatan yang besar iaitu nikmat sabar.

Semua kerenah atau musibah yang mendatang merupakan suatu ujian daripada Allah SWT supaya manusia melatih diri dengan bersifat sabar. Jika mereka tidak sabar menempuh ujian Allah SWT itu, mereka tetap juga akan berhadapan dengan ujian yang lain yang memerlukan kesabaran. Hal ini dirakamkan di dalam al-Qur’an;

Terjemahan: Maka bersabarlah (Wahai Muhammad) menerima hukum Tuhanmu (memberi tempoh kepada mereka), dan janganlah engkau bersikap seperti orang yang telah ditelan oleh ikan. (Ingatlah kisahnya) ketika ia berdoa merayu dengan keadaan sesak sebak terkurung dalam perut ikan. (Surah al-Haqqah 48: 69).

Seorang penyambut tetamu hendaklah sentiasa bersabar dalam melayani tetamu mereka. Walaupun untuk melayani mereka merupakan suatu yang memberatkan fikiran dan tenaga, jika ia dilakukan sedikit demi sedikit, dengan sabar, maka itu adalah yang terbaik serta mencapai kesempurnaan dalam kualiti khidmat pelayanan.

4.1.8 Syukur

Sentiasa berterima kasih merupakan satu sifat yang terpuji. Seseorang yang beriman akan sentiasa beriterima kasih dengan nikmat yang telah diberikan oleh Allah SWT terhadap mereka.

Firman Allah SWT;

Terjemahan: Dan sesungguhnya Kami telah memberi kepada Luqman, hikmat kebijaksanaan, (serta Kami perintahkan kepadanya): Bersyukurlah kepada Allah (akan segala nikmatNya kepadamu)". Dan sesiapa yang bersyukur maka faedahnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi Maha Terpuji. (Surah Luqman 31: 12).

Ayat di atas menjelaskan kepada kita bahawa Allah SWT memerintahkan kepada kita supaya bersyukur dengan nikmatNya. Segala nikmat yang diberikan oleh Allah SWT hendaklah disebut, seperti firman Allah SWT;

Terjemahan: Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebutkan (dan zahirkan) sebagai bersyukur kepadaNya. (Surah Al-Duha 93: 11).

Rasulullah SAW sentiasa melahirkan kesyukuran berkenaan nikmat yang diberikan oleh Allah SWT kepadanya. Baginda melahirkan rasa kesyukuran itu seperti dalam sebuah hadith;

Terjemahan: Diriwayatkan daripada al-Mughirah bin Syu‘bah (RA): Bahawa Nabi SAW telah mengerjakan sembahyang hingga pecah-pecah telapak kaki baginda. Maka baginda ditanya: Mengapa engkau menyusahkan diri dengan ini semua? Sedangkan Allah SWT telah mengampuni segala kesalahanmu sama ada yang telah lalu ataupun yang akan datang, baginda menjawab: Tidak bolehkah aku ingin menjadi seorang hamba yang bersyukur. (Hadith diriwayatkan oleh al Bukhari dan Muslim).

Daripada keterangan di atas telah memberi pengajaran kepada kita bahawa, sebagai seorang penyambut tetamu hendaklah memiliki sifat syukur di atas nikmat yang Allah SWT berikan. Oleh itu sebagai membuktikan kesyukuran itu hendaklah melakukan kebaikan kepada tetamunya.

Rasulullah SAW sentiasa melahirkan kesyukuran kepada Allah SWT dengan memperbanyak amal ibadah dan memperbanyak sedekah serta berbakti kepada semua insan.

4.1.9 Tawakkal

Tawakkal ertinya berserah kepada Qada dan Qadar Allah SWT setelah berusaha dengan sepenuh tenaga. Kehidupan orang yang bertawakkal akan sentiasa tenteram, kerana mereka selalu menerima di atas pemberian Allah SWT, serta tidak pernah menyesali apabila usaha itu gagal. Firman Allah;

Terjemahan: Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya. (Surah A.li-‘Imran 3:159).

Orang yang beriman digalakkan supaya menyerahkan segala-galanya kepada Allah SWT tanpa bergantung kepada selain daripada Allah SWT. Terdapat kalangan pengusaha industri hospitaliti terpaksa melanggar perintah Allah SWT dengan bertawakkal kepada selain daripada Allah SWT dengan membelakangkan hukum syara‘.

Oleh itu Allah SWT mengingatkan supaya ikutlah perintahNya dan sentiasalah bertawakkal kepadaNya, kerana Allah SWT itu penentu segalal-galanya, seperti firmanNya;

Terjemahan: Katakanlah (wahai Muhammad): "Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dia lah Pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakal". (Surah Al-Taubah 9: 51).

Demikianlah apabila berhadapan dengan sesuatu yang meyakinkan kita, maka Rasulullah SAW mengajarkan kepada kita supaya sentiasa bertawakkallah kepada Allah, seperti sebuah hadith yang menyebut;

Daripada kenyataan di atas dapatlah disimpulkan bahawa, sebagai tuan rumah pelayan mestilah sentiasa berserah kepada Allah dalam segala hal. Pihak tuan rumah hanya mampu menyambut dan memberi layanan, tetapi dari segi niat tetamu itu berserahlah kepada Allah SWT.

Begitulah juga bagi mereka yang terlibat dalam industri hospitaliti sewajarnya bertawakkal kepada Allah SWT semoga semua keadaan menjadi selamat dan mencapai objektif.

4.1.10 Memaafkan

Memaafkan kesalahan yang dilakukan oleh orang lain itu adalah digalakkan dalam ajaran Islam. Apabila seseorang itu menjadi tetamu kepada seseorang yang lain, namun begitu mereka tidak dapat menyempurnakan kehendaknya, maka hendaklah mereka bercakap dengan lemah lembut dengan tetamunya itu dan jika tetamunya itu tersilap atau sengaja melakukan kesilapan, maka hendaklah memberi kemaafan, seperti firman Allah SWT;

Terjemahan: (Menolak peminta-peminta sedekah) dengan perkataan yang baik dan memaafkan (kesilapan mereka) adalah lebih baik daripada sedekah (pemberian) yang diiringi (dengan perbuatan atau perkataan yang) menyakitkan hati. Dan (ingatlah), Allah Maha Kaya, lagi Maha Penyabar. (Surah al-Baqarah 2: 263).

Allah SWT amat menyukai mereka yang sentiasa memberi kemaafan kesalahan sahabatnya, seperti firman Allah SWT;

Terjemahan: Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik. (Surah A.li-‘Imran 3: 134).

Terjemahan: Jika kamu melahirkan sesuatu kebaikan, atau menyembunyikannya, atau kamu memaafkan kesalahan (yang dilakukan terhadap kamu), maka sesungguhnya Allah adalah Maha Pemaaf lagi Maha Kuasa. (Surah al-Nisa’ 4: 149).

Terjemahan: Dan (jika kamu hendak membalas maka) balasan sesuatu kejahatan ialah kejahatan yang bersamaan dengannya; dalam pada itu sesiapa yang memaafkan (kejahatan orang) dan berbuat baik (kepadanya), maka pahalanya tetap dijamin oleh Allah (dengan diberi balasan yang sebaik-baiknya). Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berlaku zalim. (Surah al-Syura 42: 40).

Terjemahan: Dan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang-orang yang menjauhi dosa-dosa besar serta perbuatan-perbuatan yang keji; dan apabila mereka marah (disebabkan perbuatan yang tidak patut terhadap mereka), mereka memaafkannya. (Surah Al-Syura 42: 37).

Daripada yang diutarakan di atas dapatlah di buat keseimpulan bahawa, sebagai seorang pelayan hendaklah memiliki sifat sentiasa memaafkan kesalahan tetamunya. Mungki tetamunya merupa orang asing yang kurang mengerti berkenaan adat setempat atau tidak mengetahui peraturan yang telah ditetapkan, maka di atas kesilapan mereka itu hendaklah didahului dengan kemaafan.

4.1.11 Keindahan Bahasa

Keindahan bahasa ialah menuturkan kata-kata menggunakan istilah dan bahasa yang betul yang tidak menyinggung perasaan orang yang mendengarnya. Rasulullah SAW sentiasa menggunakan perkataan yang menarik dalam melayani tetamunya, seperti dalam sebuah hadith;

Terjemahan: Diriwayatkan daripada Anas bin Malik (RA) katanya: Seorang wanita Ansar menemui Rasulullah SAW serta Rasulullah SAW melayaninya dan bersabda: Demi Zat ku yang berada di dalam kekuasaanNya, Sesungguhnya kamu adalah manusia yang sangat aku cintai. Baginda SAW bersabda sedemikian sebanyak tiga kali. (Hadith diriwayatkan oleh Ahmad ibn Hanbal).

Dalam hadith yang lain baginda Rasulullah SAW menegah daripada mengucapkan kata-kata yang boleh menyinggung perasaan orang lain. Sabda baginda SAW;

Terjemahan: Diriwayatkan daripada Abu Hurairah (RA) katanya Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: Janganlah kamu berbicara dengan ucapan yang buruk, janganlah kamu sindir menyindir, janganlah kamu memperdengarkan khabar orang lain dan janganlah sebahagian kamu menjual atas jualan sebahagian yang lain. Sementara itu, jadilah kamu sebagai hamba-hamba Allah yang bersaudara. (Hadith diriwayatkan oleh Ahmad ibn Hanbal).

Mengucapkan dengan kata-kata yang baik-baik merupakan salah satu daripada syari‘at Allah SWT sejak nabi-nabi terdahulu hinggalah ke hari akhirat. Firman Allah SWT;

Terjemahannya: Dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, serta orang-orang miskin, dan katakanlah kepada sesama manusia (dengan) perkataan-perkataan yang baik; dan dirikanlah sembahyang serta keluarkanlah zakat". (Surah al-Baqarah 2: 83).

Daripada ayat di atas menjelaskan berkenaan perintah Allah SWT antara lain supaya mengucapkan dengan kata-kata yang baik-baik apabila berbicara sesama manusia. Allah SWT telah memerintahkan kepada Bani Isra’il melalui Nabi Musa (AS) di dalam Kitab Taurat dan Nabi ‘Isa di dalam Kitab Injil, tetapi pengikut-pengikutnya tidak ramai yang patuh. Sering kali mereka mengucapkan dengan kata-kata yang tidak baik, sebagai contohnya telah diceritakan oleh Aisyah (RA)nha);

Terjemahan: Sekumpulan puak Yahudi datang kepada Rasulullah SAW, lalu mereka berkata: “al-samu alaika” (Mudah-mudahan kematian menimpamu). Aisyah berkata: Maka aku faham apa yang mereka kata, lalu aku menjawab: Alaika al-sam wa al-lanat (Mudah-mudahan kematian menimpamu dan terkutuk)”. Aisyah berkata: Maka Rasulullah SAW bersabda: "Pelahan-lahanlah wahai Aisyah, maka sesungguhnya Allah SWT menyukai lemah lembut di dalam semua urusan". Aku berkata, Ya Rasulullah, adakah tidak anda dengar apa yang mereka katakan?. Aisyah berkata: Rasulullah SAW bersabda: "ke atas kamu". (Hadith diriwayatkan oleh al-Baihaqi di dalam al-A.dab).

Daripada hadith di atas memperlihatkan akhlak buruk orang Yahudi dalam perkataan mereka, pada hal mereka telah menerima Kitab Taurat, dan mereka mengetahui isi kandungannya. Namun begitu Islam tetap mengajar supaya umatnya sentiasa berlemah lembut apabila berkata-kata dalam semua urusan, walaupun orang lain tidak bersikap demikian, kerana menjaga kata-kata adalah termasuk dalam amal salih. Sabda Rasulullah SAW;

Terjemahan: Amalan yang terbaik di sisi Allah ialah menjaga lidah. (Hadith diriwayatkan oleh al-Baihaqi di dalam Syu‘ab al-iman dari Abu Juhaifah. Hadith ini adalah da‘if).

Terjemahan: Kecantikan kepada seseorang lelaki itu bergantung kepada lidahnya. (Hadith diriwayatkan oleh al-Hakim di dalam mustadraknya dari ‘Ali bin al-Husin secara mursal. Hadith ini adalah sahih).

Oleh itu diseru kepada semua umat Islam supaya sentiasa menjaga lidah daripada melafazkan kata-kata yang tidak sopan. Dalam kesempatan yang lain Rasulullah SAW bersabda;

Terjemahan: Jagalah lidah kamu. (Hadith diriwayatkan oleh Ibn ‘Asakir dari Malin bin Yakhamar).

Apabila seseorang itu sentiasa mengawal lidahnya daripada mengeluarkan kata-kata yang buruk, dan sentiasa mengawasi lidahnya untuk hal-hal kebenara sahaja maka dengan sebab itu Allah SWT akan mengasihi mereka. Jika setiap individu Muslim berakhlak demikian maka seluruh umat Islam akan terjamin keharmonian dan keselamatan mereka. Sabda Rasulullah SAW;

Terjemahan: Allah mengasihi seseorang yang memperbaik lidahnya. (Hadith diriwayatkan oleh Ibn ‘Asakir dari Anas. Hadith ini adalah hasan).

Terjemahan: Sebaik-baik Muslim adalah yang mengamankan Muslim yang lain dari gangguan lidahnya dan tangannya. (Hadith diriwayatkan oleh Muslim dari Ibn ‘Umar. Hadith ini adalah sahih).

Terjemahan: Jawablah salam, tunduklah pandangan dan perbaikilah perkataan. (Hadith diriwayatkan oleh Ibn Qani‘ dari Abu Talhah).

Untuk mencapai tahap supaya sentiasa berlemah lembut di dalam pengucapan dan menjamin akhlak percakapan mereka supaya sentiasa berada di dalam keadaan baik, maka hendaklah sentiasa melatih diri dengan pengucapan-pengucapan yang baik dengan menjadikannya sebagai sebahagian daripada kehidupan. Sabda Rasulullah SAW;

Terjemahan: Lazimkanlah dengan perkataan yang baik-baik dan lazimkanlah dengan memberi jamuan makan. (Hadith diriwayatkan oleh al-Bukhari di dalam al-adab dan al-Hakim di dalam mustadraknya, mereka mengambil dari Hani’ bin Yazid).

Terjemahan: Hendaklah kamu semua menjamu makanan dan hendaklah kamu semua memperbaiki kata-kata. (Hadith diriwayatkan oleh al-Tabrani di dalam al-Kabir dan al-Hasan bin ‘Ali. Hadith ini adalah hasan).

Jika mereka diuji dengan peminta-peminta sedekah, maka peminta sedekah itu tidak boleh sekali-kali diherdek. Jika tidak ada peruntukan untuk membantu mereka maka untuk melayani mereka, gunakanlah kata-kata yang lembut dan sopan santun, kerana perkataan yang sopan santun itu lebih baik daripada bersedekah, jika sedekah itu boleh menyakitkan hati penerimanya. Firman Allah SWT;

Terjemahan: (Menolak permintaan peminta-peminta sedekah dengan) perkataan yang baik dan memaafkan (kesilapan mereka) adalah lebih baik daripada sedekah (pemberian) yang diiringi (dengan perbuatan atau perkataan yang) menyakitkan hati. Dan (ingatlah) Allah maha kaya, lagi maha menyabar". (Surah al-Baqarah 2: 263).

Daripada ayat di atas tenyata kepada kita supaya sentiasa berakhlak mulia di dalam berkomunikasi sesama manusia. Pilihlah perkataan-perkataan yang lembut dan tidak menyinggung perasaan tetamu atau peminta berkenaan. Dalam berbicara hendaklah berbicara dengan jujur dan setepat mungkin apa yang disampaikan, seperti firman Allah SWT;

Terjemahan: Wahai orang-orang yang beriman! bertakwalah kepada Allah, dan katalah perkataan yang tepat - benar (dalam segala perkara)". (Surah al-Ahzab 33: 70).

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Amru bin al-‘A.s (RA) katanya: Seseorang telah bertanya Rasulullah SAW: Apakah sifat orang Islam yang paling baik? Rasulullah SAW bersabda: Seseorang yang menyelamatkan orang-orang Islam dengan lidah dan tangannya. (Hadith diriwayatkan oleh al Bukhari dan Muslim).

Terjemahan: Pada hari lidah mereka dan tangan mereka serta kaki mereka menjadi saksi terhadap diri mereka sendiri, berkenaan segala yang mereka lakukan. (Surah Al-Nur 24: 24).

Dari yang telah dihuraikan di atas dapatlah dibuat kesimpulan bahawa memilih dan menggunakan istilah dan bahasa yang tepat dan betul adalah penting demi menjaga perasaan sesama insan. Jika orang lain mengeluarkan istilah-istilah yang boleh menyinggung perasaan kita, maka bersabarlah dan balaslah dengan perkataan yang baik-baik, kerana Allah SWT menghendaki kita berlemah lembut dalam semua urusan. Bagi penyambut tetamu, memperhalus bahasa mereka amat penting kerana pelanggan akan menilai semua sistem berdasarkan budi bahasa penyambut tetamu.

Dalam memperkatakan berkenaan industri hospitaliti, jika terdapat di sebuah hotel terkemuka dengan mempunyai 1,000 buah bilik dan dilengkapi pula dengan kemudahan seperti kolam renang, restoran, pusat rekreasi, taman yang indah, tetapi seorang daripada pelayan tetamu itu mengeluarkan perkataan yang kasar dan kesat, maka pelanggan itu akan menilai semua sistem hotel itu buruk, dan penilaian itulah yang akan disimpan dalam fikirannya untuk diiklankan kepada pengunjung-pengunjung lain.

Sebaliknya dia tidak akan tersinggung jika tiba-tiba atap bilik yang disewanya itu bocor, televisyen set tidak berfungsi atau lampu bilik air rosak. Mengikut kajian dalam industri perkhidmatan yang mendapati bahawa pelanggan yang berpuas hati hanya memberi tahu kepada purata dua orang sedangkan mereka yang tidak berpuas hati pula akan menyebar buah mulut kepada lapan orang yang lain.

4.2 AL-TARHIB

Selain membincangkan sifat-sifat positif yang perlu ada pada setiap pelayan, perlu juga mengkaji sifat-sifat negatif yang patut dihindari oleh setiap pelayan dalam melayani pelanggan.

Sebenarnya sifat-sifat yang negatif (al-Tarhib) ini telah banyak dirumuskan oleh sarjana Islam, tetapi di dalam buku ini dikumpulkan beberapa sifat al-Tarhib yang berkait dengan pelayanan terhadap tetamu, supaya para pelayan tetamu dapat mengambil pelajaran serta menghindarkan diri daripada sifat berkenaan ketika berurusan dengan tetamu.

Sifat al-Tarhib berikut merupakan rumusan daripada pemerhatian terhadap sikap Rasulullah dan para sahabat dalam pelayanan mereka terhadap tetamu dengan berdasarkan yang terkandung di dalam bab tiga yang lalu. Antara sifat berkenaan yang amat dihindari oleh Rasulullah SAW dalam melayani tetamu adalah seperti berikut;

4.2.0 Bermasam muka

Antara sifat yang yang patut dijauhi oleh penyambut tetamu adalah bermasam muka di hadapan tetamu mereka. Firman Allah SWT;

Terjemahannya: Ia memasamkan muka dan berpaling. Kerana ia didatangi orang buta. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui (wahai Muhammad akan tujuannya?) Barangkali ia mahu membersihkan hatinya (dengan pelajaran agama yang didapatinya daripadamu!). Atau pun ia mahu mendapat peringatan supaya peringatan itu memberi manfaat kepadanya. Adapun orang yang merasa keadaannya telah berkecukupan, tidak berhajat lagi (menerima ajaran al-Qur’an. Maka engkau bersungguh-sungguh melayaninya. Pada hal engkau tidak bersalah kalau ia tidak mahu membersihkan dirinya (dari keingkarannya). (Surah Abasa 80:1-7).

Ayat di atas menggambarkan pada umumnya manusia itu terlalu memberi perhatian kepada orang yang berkedudukan tinggi, sehingga apabila mereka sedang berurusan, mereka tidak mahu diganggu.

Pada hal sudah menjadi lumrah alam, orang yang berkedudukan tinggi merasakan kurang perlu kepada yang lain selain yang mereka miliki. Oleh itu tidak hairanlah Rasulullah SAW sebagai manusia biasa begitu beria-ia berdakwah terhadap orang kenamaan, sehingga apabila datang seorang yang da‘if lagi buta meminta tunjuk ajar, muka Rasulullah SAW menjadi masam kerana merasa terganggu. Menurut tafsir bahawa Ibn Ummi Maktum seorang buta yang datang untuk bertanyakan berkenaan Islam, lalu Rasulullah SAW berpaling kepadanya dengan muka yang masam, ini disebabkan baginda rasa terganggu dan sedang sibuk melayani ketua-ketua Quraisy.

Ayat di atas menjadi pengajaran kepada kita bahawa kadang-kadang kita memasamkan muka terhadap tetamu, kerana kita mempunyai urusan yang lebih penting dengan orang yang berkedudukan tinggi menurut pandangan kita atau kita terlalu banyak urusan lain. Maka terabailah layanan kepada tetamu yang baru tiba. Pada hal melakukan keadilan adalah dituntut di dalam Islam.

Di dalam Islam tidak ada orang yang lebih istimewa dari segi layanan. Kebiasaan Rasulullah SAW akan mula melayani orang yang berada di sebelah kanannya, walaupun kebetulan yang berada di sebelah kanannya itu terdiri dari kanak-kanak atau badwi, dan di sebelah kirinya Abu Bakar al-Siddiq dan ‘Umar al-Khattab yang merupakan orang kenamaan.

Terjemahan: Dari Anas bin Malik (RA), deperah untuk Rasulullah SAW seekor kambing jinak di tempatku, lalu susu itu dicamprkan dengan air sumur yang terdapat di sana. Orang memberikan sebuah gelas kepada Rasul dan beliau minum dari situ. Ketika beliau selesai minum, di sebelah kiri beliau ada Abu Bakr, sedangkan di sebelah kanan beliau seorang Badwi. Kerana kuatir kalau-kalau Rasul memberikan gelas itu kepada orang Badwi itu, ‘Umar baerkata: Berikanlah gelas anda itu kepada Abu Bakr, hai Rasulullah. Tetapi Rasul memberikan gelas itu kepada orang Badwi yang duduk di sebelah kanannya . . . (Hadith diriwayatkan oleh al-Bukhari).

Oleh itu sepanjang Rasulullah SAW melayani tetamunya itu sentiasa memperlihatkan wajah yang berseri-seri, tidak kira siapa yang menjadi tetamunya, sama ada yang mempunyai kedudukan tinggi atau rendah akan mendapat layanan yang sama. Jika mereka yang duduk di sebelah kanannya akan mendapat layanan terlebih dahulu, itulah ketentuan syari‘at Islam dengan tidak mengira tetamunya itu berkedudukan tinggi atau sebaliknya.

4.2.1 Berpaling muka

Berpaling muka ertinya berpaling daripada menghadapkan wajahnya kepada seseorang dengan sebab menghina atau kebencian. Allah SWT melarang memalingkan muka daripada berhadapan dengan seseorang. Demikian juga nasihat Luqman al-Hakim kepada anaknya, seperti yang rakamkan di dalam al-Qur’an;

Terjemahan: Wahai anak kesayanganku! Dirikanlah sembahyang, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah dari melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-prakara yang dikehendaki diambil berat melakukannya. Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri. (Surah Luqman 31: 17-18).

Untuk mendapatkan penjelasan berkenaan ayat di atas berikut sebuah hadith yang boleh dijadikan panduan.

Terjemahan: Dari Anas bin Malik berkata : Rasulullah SAW apabila ada seseorang mengadap kepada baginda maka baginda berjabat tangan dengannya dan baginda tidak mencabut tangan dari tangannya sehingga orang itu mencabut dan beliau tidak memalingkan muka beliau dari mukanya sehingga orang itu memalingkan dan beliau tidak tampak mendepankan kedua kaki beliau di hadapan orang yang sama-sama duduk dengan beliau (Hadith diriwayatkan oleh al-Tirmidhi).

Hadith di atas menjelaskan berkenaan sikap Rasulullah SAW dalam melayani tetamunya iaitu apabila baginda berbicara dengan tetamunya sentiasa baginda menghadapkan mukanya ke arah tetamu. Baginda tidak bercakap-cakap dengan seseorang sedangkan mukanya menghadap ke arah lain. Berpaling ke arah lain ketika berbicara adalah menunjukkan kesombongan atau tidak mengambil berat berkenaan apa yang dipercakapkan.

Bagi Rasulullah SAW sesuatu yang dipercakapkan adalah serius walaupun bagi pandangan orang tidak serius. Oleh itu tidak hairanlah Rasulullah SAW bersungguh-sungguh dalam berkomunikasi dan tidak mengambil sambil lewa dengan memandang-mandang ke arah lain ketika berbicara.

4.2.2 Berlengah-lengah

Islam menggalakkan supaya memberi layanan segera kepada tetamu. Berlengah-lengah adalah suatu sifat yang patut dihindari dalam melayani tetamu seperti yang dapat difahami daripada firman Allah SWT;

Terjemahan: Dan ada pun orang yang bersegera datang kepada mu. Dengan perasaan takutnya (melanggar perintah-perintah Allah). Maka engkau berlengah-lengah melayaninya. (Surah ‘Abasa 80: 8-10).

Ayat di atas menceritakan berkenaan Ibn Ummi Maktum (Abdullah bin Syarih bin Malik al-Firry) yang buta datang meminta tunjuk ajar daripada Rasulullah SAW, tetapi baginda SAW terus berpaling dan asyik melayani tokoh musyrik seperti ‘Utbah bin Rabi‘ah, Syaibah bin Rabi‘ah, Abu Jahal bin Hisyam, ‘Abbas bin ‘Abd al-Mutallib, Umayyah bin Khalaf dan al-Walid bin al-Mughirah. Ibn Ummi Maktum berkata: “Apakah yang saya katakan ini mengganggu tuan?”. Rasulullah SAW bersabda: “Tidak”. Maka turunlah ayat di atas menegur sikap Rasulullah SAW seperti ayat berkenaan.

4.2.3 Bakhil

Bakhil ertinya kikir, kedekut, lokek. Untuk lebih mengenali sifat bakhil, di bawah dibawakan beberapa nas daripada al-Qur’an dan al-Hadith berkenaan sifat berkenaan. Firman Allah SWT;

Terjemahan: Dan jangan sekali-kali orang yang bakhil dengan harta benda yang telah dikurniakan Allah kepada mereka dari kemurahanNya menyangka bahawa keadaan bakhilnya itu baik bagi mereka. Bahkan ia adalah buruk bagi mereka. Mereka akan dikalongkan (diseksa) dengan apa yang mereka bakhilkan itu pada hari kiamat kelak. Dan bagi Allah jualah hak milik segala warisan (isi) langit dan bumi. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan segala yang kamu kerjakan. (mu‘jizat) yang nyata dan dengan (korban) yang katakan, maka membunuh mereka, jika kamu orang-orang yang benar (dalam apa yang kamu dakwakan itu)?". (Surah A.li-‘Imran 3: 180).

Terjemahan: Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya. (Surah al-Taghabun 64: 16).

Terjemahan: Sebaliknya: orang yang bakhil (daripada berbuat kebajikan) dan merasa cukup dengan kekayaan dan kemewahannya, Serta ia mendustakan perkara yang baik, Maka sesungguhnya Kami akan memberikannya kemudahan untuk mendapat kesusahan dan kesengsaraan; Dan apakah pertolongan yang dapat diberi kepadanya oleh hartanya apabila ia telah terjerumus (ke dalam azab seksa hari akhirat)?. (Surah al-Lail 92: 8-11).

Terjemahan: (Ingatlah), kamu ini adalah orang-orang yang bertabiat demikian - kamu diseru supaya menderma dan membelanjakan sedikit dari harta benda kamu pada jalan Allah, maka ada di antara kamu yang berlaku bakhil, padahal sesiapa yang berlaku bakhil maka sesungguhnya ia hanyalah berlaku bakhil kepada dirinya sendiri. Dan (ingatlah) Allah Maha kaya (tidak berhajat kepada sesuatupun), sedang kamu semua orang-orang miskin (yang sentiasa berhajat kepadaNya dalam segala hal). Dan jika kamu berpaling (daripada beriman, bertaqwa dan berderma) Ia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain; setelah itu mereka tidak akan berkeadaan seperti kamu. (Surah Muhammad 47: 38).

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah (RA) katanya: Rasulullah SAW bersabda: Akan muncul suatu ketika di mana ilmu Islam dihapuskan, muncul berbagai fitnah, berleluasanya sifat kedekut dan banyak berlaku jenayah. Sahabat bertanya: Apakah jenayah yang dimaksudkan?. Rasulullah SAW bersabda: Iaitu jenayah pembunuhan. (Hadith diriwayatkan oleh Muslim).

Bagi mengatasi sifat yang amat merbahaya ini maka Rasulullah SAW telah menganjurkan kepada umat Islam agar sentiasa berdoa bermohon kepada Allah SWT supaya dihindarkan dari bersifat bakhil. Di antara doa yang diperkenalkan oleh baginda ialah;

Terjemahannya: Dari Anas berkata : Adalah Nabi SAW berdoa dengan doa ini “Ya Allah seseungguhnya aku mohon berlindung dengan Engkau dari bakhil, malas, umur nyanyuk, azab kubur, fitnah hidup dan mati. (Hadith diriwayatkan oleh Muslim).

Daripada kenyataan di atas, Islam menegah umatnya daripada bersikap bakhil dalam melakukan kebajikan. Sebagai pelayan tetamu, sewajarnya tidaklah bersikap bakhil terhadap tetamu mereka dalam memberi layanan. Rasulullah SAW tidak pernah bersikap bakhil terhadap tetamunya sama ada dari segi memberi hadiah, makanan, minuman, senyuman, berjabat tangan, mengucapkan salam dan sebagainya. Oleh itu untuk mengambil iktibar, digalakkan para pelayan tetamu melakukan sepemurah mungkin terhadap tetamunya mengikut yang ia terdaya.

4.2.4 Khianat

Sikap khianat merupakan suatu sifat yang amat ditegah di dalam Islam. Mengenai ini Allah SWT berfirman;

Terjemahan: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan RasulNya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya). (Surah al-Anfal 8: 27).

Terjemahan: (Iaitu) orang-orang yang merombak (mencabuli) perjanjian Allah sesudah diperteguhkannya, dan memutuskan perkara yang disuruh Allah supaya diperhubungkan, dan mereka pula membuat kerosakan dan bencana di muka bumi. Mereka itu ialah orang-orang yang rugi. (Surah al-Baqarah 2: 27).

Terjemahan: Sesungguhnya orang-orang yang mengutamakan keuntungan dunia yang sedikit dengan menolak janji Allah dan mencabuli sumpah mereka, mereka tidak akan mendapat bahagian yang baik pada hari akhirat, dan Allah tidak akan berkata-kata dengan mereka dan tidak akan memandang kepada mereka pada hari Kiamat, dan tidak akan membersihkan mereka (dari dosa), dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (Surah A.li ‘Imran 3: 77).

Terjemahan: Dan (sebaliknya) orang-orang yang merombak (mencabuli) perjanjian Allah sesudah diperteguhkannya dan memutuskan perkara-perkara yang disuruh oleh Allah supaya dihubungkan, serta mereka pula membuat kerosakan dan bencana di muka bumi, - mereka itu beroleh laknat, dan mereka pula beroleh balasan hari akhirat yang seburuk-buruknya. (Surah al-Ra‘du 13: 25).

Terjemahan: Diriwayatkan daripada Abdullah bin Amru (RA) katanya: Rasulullah SAW pernah bersabda: Ada empat perkara jika sesiapa yang mempunyai empat perkara tersebut, maka dia merupakan orang munafik. Sesiapa yang bersifat dengan salah satu daripadanya bererti dia bersifat kemunafikan, sehinggalah dia meninggalkannya iaitu apabila bercakap dia berbohong, apabila membuat persetujuan dia khianati, apabila berjanji dia menyalahi dan apabila berlaku pertikaian dia melampaui batas. (Hadith diriwayatkan oleh al Bukhari dan Muslim).

Terjemahan: Diriwayatkan daripada Abu Hurairah (RA) katanya: Pada suatu hari Rasulullah SAW berada bersama kami, baginda menceritakan berkenaan orang yang suka menipu dan khianat dengan begitu serius. Kemudian baginda bersabda: Pada Hari Kiamat nanti, aku akan bertemu dengan salah seorang dari kamu datang dengan memikul seekor unta yang sedang melenguh di atas tengkoknya dan berkata: Wahai Rasulullah! Tolonglah aku. Lalu aku katakan kepadanya: Aku sudah tidak mempunyai apa-apa lagi untukmu, semuanya telah aku sampaikan kepadamu. Pada Hari Kiamat nanti, aku juga akan bertemu dengan salah seorang dari kamu datang dengan memikul seekor kuda yang sedang meringik di atas tengkoknya. Dia berkata: Wahai Rasulullah! Tolonglah aku. Lalu aku katakan kepadanya: Aku sudah tidak mempunyai apa-apa lagi untukmu, semuanya sudah aku sampaikan kepadamu. Seterusnya pada Hari Kiamat nanti, aku akan bertemu dengan salah seorang dari kamu datang dengan memikul seekor kambing yang sedang mengembek di atas tengkoknya. Dia berkata: Wahai Rasulullah! Tolonglah aku. Maka aku katakan kepadanya: Aku sudah tidak mempunyai apa-apa untukmu, semuanya sudah aku sampaikan kepadamu. Begitu juga pada Hari Kiamat nanti, aku akan bertemu dengan salah seorang dari kamu datang dengan memikul seorang manusia yang sedang menjerit di atas tengkoknya. Dia berkata: Wahai Rasulullah! Tolonglah aku. Lalu aku katakan kepadanya: Aku sudah tidak mempunyai apa-apa untukmu, semuanya sudah aku sampaikan kepadamu. Pada Hari Kiamat nanti, aku juga akan bertemu dengan salah seorang dari kamu datang dengan membawa secebis pakaian yang compang-camping di atas tengkoknya dan dia berkata: Wahai Rasulullah! Tolonglah aku. Maka aku katakan kepadanya: Aku sudah tidak mempunyai apa-apa untukmu, semuanya sudah aku sampaikan kepadamu. Begitu juga pada Hari Kiamat nanti, aku akan bertemu dengan salah seorang dari kamu datang dengan memikul sejumlah harta terdiri dari emas dan perak di atas tengkoknya dan berkata: Wahai Rasulullah! Tologlah aku. Maka aku katakan kepadanya: Aku sudah tidak mempunyai apa-apa untukmu, semuanya telah aku sampaikan kepadamu. (Hadith diriwayatkan oleh al Bukhari dan Muslim).

Terjemahan: Diriwayatkan daripada Abdullah bin Masud (RA) katanya: Rasulullah SAW bersabda: Setiap pengkhianat akan diberikan sebuah bendera sebagai tanda pada Hari Kiamat kelak yang bertulis: Ini adalah tanda pengkhianatannya terhadap Si Polan. (Ahmad ibn Hanbal).

Firman Allah SWT; Terjemahan: Kecelakaan besar kepada orang-orang yang curang (dalam timbangan dan sukatan). (Iaitu) mereka yang apabila menerima sukatan (gantang - cupak) dari orang lain, mereka mengambilnya dengan cukup. Dan (sebaliknya) apabila mereka menyukat atau menimbang untuk orang lain, mereka kurangi. (Surah al-Mutaffifin 83: 1-3).

Kesimpulannya, berdasarkan beberapa ayat al-Qur’an dan al-Hadith di atas telah menerangkan dengan tegas bahawa umat Islam dilarang melakukan khianat terhadap peraturan Allah dan terhadap sesama manusia. Balasan pengkhianat adalah seksaan pada hari akhirat. Oleh itu jika dilihat sepanjang pelayanan Rasulullah SAW terhadap tetamunya sentiasa menjauhi daripada sifat berkenaan.

4.2.5 Dengki

Perasaan dengki mungkin timbul terhadap tetamu yang mempunyai kelebihan tertentu. Lebih-lebih lagi dalam industri hospitaliti yang mungkin berlaku kedengkian antara sesama mereka dalam memberikan perkhidmatan yang berbentuk komersial. Kedengkian itu dilahirkan dalam bentuk menghasut dan memfitnah, ataupun dari segi psikologi mereka menggunakan unsur-unsur khurafat untuk menakut-nakutkan antara rakan-rakan seperjuangan.

Mengenai sifat hasad ini Allah SWT telah berfirman;

Terjemahan: Atau patutkah mereka dengki kepada manusia (Nabi Muhammad dan umatnya) disebabkan nikmat (pangkat Nabi dan ugama Islam) yang telah diberikan oleh Allah kepada mereka dari limpah kurniaNya?. (Surah al-Nisa’ 4: 54).

Terjemahan: Diriwayatkan daripada Ibnu ‘Umar (RA) katanya: Rasulullah SAW pernah bersabda: Tidak boleh berhasad dengki kecuali pada dua perkara iaitu terhadap seseorang yang dianugerahkan al-Qur’an dan dia membacanya sepanjang siang dan malam. Juga terhadap seseorang yang dikurniakan oleh Allah harta kekayaan lalu dia membelanjakannya dengan baik pada waktu malam dan juga pada waktu siang. (Hadith diriwayatkan oleh al-Bukhari).

Diriwayatkan daripada Anas bin Malik (RA) katanya: Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: Janganlah kamu saling membenci, dengki mendengki dan sindir menyindir. Jadilah kamu sebagai hamba-hamba Allah yang bersaudara. Haram seseorang Muslim berkelahi dengan saudaranya lebih dari tiga hari lamanya. (Hadith diriwayatkan oleh al Bukhari dan Muslim).

Daripada beberapa nas di atas dapatlah difahami bahawa Islam melarang daripada bersikap dengki antara satu sama lain. Oleh itu sama ada tetamu atau rakan seperjuangan itu mempunyai keistimewaan atau sebaliknya, maka hubungilah mereka dengan penuh ikatan persaudaraan dan kasih sayang.

Pemarah: Mengenai sifat marah ini Allah SWT berfirman;

Terjemahan: Serta Kami katakan: Makanlah dari benda-benda yang baik yang Kami kurniakan kepada kamu, dan janganlah kamu melampaui batas padanya, kerana dengan yang demikian kamu akan ditimpa kemurkaanKu; dan sesiapa yang ditimpa kemurkaanKu, maka sesungguhnya binasalah ia. (Surah Taha 20: 81).

Terjemahan: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu jadikan teman rapat mana-mana kaum yang dimurkai Allah, mereka telah berputus asa daripada mendapat kebaikan akhirat, sebagaimana berputus asanya orang-orang kafir yang ada di dalam kubur. (Surah al-Mumtahanah 60: 13).

Ayat di atas menjelaskan kemurkaan Allah SWT terhadap mereka yang melanggar perintahNya. Diseru kepada orang yang beriman supaya tidak lagi mengadakan hubungan persahabatan dengan mereka yang telah dimurkai oleh Allah SWT.

Dalam firmanNya yang lain;

Terjemahan: Dan apabila kemarahan Nabi Musa itu reda, dia pun mengambil Lauh-lauh Taurat itu yang dalam naskhahnya terkandung petunjuk dan rahmat, bagi orang-orang yang bersungguh-sungguh takut kepada Tuhan mereka (daripada melanggar perintahNya). (Surah al-A‘raf 7: 154).

Ayat di atas menjelaskan kemurkaan Nabi Musa (AS) terhadap umatnya yang suka melanggar perintah Allah SWT, semata-mata kemarahan itu hanya untuk menegakkan hukum Allah SWT.

Demikianlah perlunya bersikap marah terhadap musuh Allah SWT dalam peperangan. Sementara sifat marah yang terlarang ialah kemarahan seseorang lantaran nafsu bukan kerana perintah Allah SWT, seperti diceritakan Allah SWT berkenaan Nabi Yunus (AS) yang marahkan umatnya lalu pergi meninggalkan mereka tanpa bimbingan lagi;

Terjemahan: Dan (sebutkanlah peristiwa) Zun-Nun, ketika ia pergi (meninggalkan kaumnya) dalam keadaan marah, yang menyebabkan ia menyangka bahawa Kami tidak akan mengenakannya kesusahan atau cubaan; . (Surah al-Anbiya’ 21: 87).

Oleh itu bagi mereka yang dicubakan oleh Allah SWT dengan berbagai-bagai ujian hendaklah menahan kemarahan mereka. Lebih-lebih lagi sikap tetamu yang tidak menyenangkan perasaan tuan rumah.

Dengan sikap mereka itu hendaklah pihak tuan rumah berlaku tenang dan menahan kemarahan mereka. Hal ini dapat diambil pengajaran daripada sepotong hadith Rasulullah SAW;

Terjemahan: Diriwayatkan daripada Abu Hurairah (RA) katanya: Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: Kekuatan itu tidak dibuktikan dengan kemenangan bertumbuk. Tetapi orang yang kuat ialah orang yang dapat mengawal dirinya ketika sedang marah. (Hadith diriwayatkan oleh al Bukhari dan Muslim).

Terjemahan: Diriwayatkan daripada Sulaiman bin Surad (RA) katanya: Dua orang lelaki sedang bercaci maki di hadapan Rasulullah SAW. Salah seorang daripada mereka matanya menjadi merah dan urat darah di lehernya timbul. Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya aku tahu suatu kalimat yang apabila ia diucapkan maka apa yang beliau derita itu menjadi hilang, iaitu bermaksud: Aku berlindung dengan Allah dari godaan syaitan yang terkutuk. Lelaki itu berkata: Apakah engkau (baginda) melihat aku gila?. (Hadith diriwayatkan oleh Abu Daud).

Hadith menjelaskan berkenaan mereka yang dilanda kemarahan hendaklah mengucapkan ta‘udh iaitu mohon berlindung dengan Allah SWT daripada godaan syaitan yang terkutuk. Walau bagaimanapun, untuk menasihati orang yang sedang marah bukannya mudah. Oleh itu bagi diri yang sedang marah lebih baik mereka mendiamkan diri, tanpa berkata-kata sesuatu, seperti dalam sabda Rasulullah SAW;

Terjemahan: Apabila seseorang dari kamu telah marah, maka hendaklah dia sentiasa diam. (Hadith diriwayatkan oleh Ahmad ibn Hanbal).

Secara keseluruhannya sebagai seorang yang setia menghambakan diri kepada Allah SWT hendaklah sentiasa mengawal diri daripada sifat marah. Apabila seseorang itu merasa marah hendaklah menahan kemarahan serta memohon perlindungan dengan Allah SWT daripada syaitan.

Terhadap tetamu yang kurang memuaskan atau yang menyebabkan pihak tuan rumah berasa marah, maka tuan rumah hendaklah menahan kemarahan itu. Rasulullah SAW mengingatkan bahawa daripada mengeluarkan kata-kata tertentu untuk melahirkan kemarahan, lebih baik diam sebagai langkah mengawal keadaan.

Membazir: Membazir merupakan sifat yang dilarang di dalam Islam. Bagi setiap penyambut tetamu hendaklah dapat memahami konsep membazir ini dengan tepat. Mereka hendaklah mengetahui konsep pembaziran supaya tidak terlibat dalam pembaziran semasa melayani tetamu. Sebuah hadith menyebut;

Diriwayatkan daripada al-Mughirah bin Syu‘bah (RA) katanya: Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya Allah SWT telah mengharamkan ke atas kamu menderhaka kepada ibu, menanam anak perempuan hidup-hidup, tidak mahu memberi miliknya tetapi meminta-minta milik orang lain dan ditegahkan ke atas kamu tiga perkara, iaitu mengada-ngadakan cerita, banyak bertanya dan membazirkan harta. (Hadith diriwayatkan oleh al Bukhari dan Muslim).

Dalam melayani tetamu hendaklah mempunyai sifat berjimat cermat, iaitu melayani sekadar yang diperlukan oleh mereka. Membazir-bazirkan harta benda adalah dilarang seperti firman Allah;

Terjemahan: Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas. (Surah al-A‘raf 7: 31).

Terjemahan: Dan berikanlah kepada kerabatmu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing; dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau. (Surah al-Isra‘ 17: 26).

Terjemahan: Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya. (Surah al-Isra’ 17: 27).

Terjemahan: Dan janganlah engkau jadikan tanganmu terbelenggu di lehermu, dan janganlah pula engkau menghulurkannya dengan sehabis-habisnya, kerana akibatnya akan tinggalah engkau dengan keadaan yang tercela serta kering keputusan. (Surah al-Isra’ 17: 29).

Terjemahan: Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut; dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu. (Surah al-Furqan 25: 67).

Daripada ayat di atas dapatlah disimpulkan bahawa sifat membazir adalah satu sifat yang amat dibenci. Manakala sifat bakhil juga dicela. Oleh itu Islam menganjurkan kepada umat Islam supaya bersederhana dalam semua urusan. Maka di dalam melayani tetamu hendaklah dilakukan secara sederhana sahaja, tanpa berlaku pembaziran dan tidak pula bersifat bakhil.

4.2.6 Bosan

Sebagai tuan rumah atau pelayan tetamu, hendaklah menghindari diri daripada merasa bosan dan jemu terhadap tetamu. Kehadiran mereka hendaklah dilayan sepanjang masa selagi mereka berada di sana. Rasulullah SAW tidak pernah merasa bosan dalam melayani tetamunya, seperti dalam sebuah hadith;

Terjemahan: Diriwayatkan daripada Malik bin al-Huwairith (RA) katanya: Kami datang menemui Rasulullah SAW, pada waktu itu kami masih sama-sama muda dan usia kami tidak banyak perbezaanya. Kami tinggal bersama baginda selama dua puluh malam. Rasulullah SAW adalah seorang yang sangat pemurah dan lembut sekali. Baginda menyangkakan bahawa aku sedang berselisih paham dengan keluargaku sehingga baginda bertanya kepadaku keadaan keluarga yang aku tinggalkan. Maka aku menceritakan kepada baginda mengenai keluargaku. Kemudian baginda bersabda: Pulanglah kepada keluargamu dan tinggallah bersama mereka. Ajarlah mereka dan perintahkanlah mereka apabila tiba waktu sembahyang. Hendaklah salah seorang daripada kamu melaungkan azan dan hendaklah orang yang paling tua dari kalangan kamu menjadi imam. (Hadith diriwayatkan oleh al-Nasa’i).

Hadith di atas menjelaskan berkenaan layanan yang diberikan oleh Rasulullah SAW terhadap tetamunya selama dua puluh hari dan dua puluh malam. Tempoh memberi layanan selama itu bukanlah singkat. Namun begitu baginda tidak pernah merasa bosan.

4.2.7 Bersikap kasar

Sifat pengasar merupakan suatu sifat yang perlu diawasi oleh tuan rumah dalam melayani tetamu mereka. Tidak kurang juga staf atau pekerja-pekerja yang ditugaskan supaya melayani tetamu, mereka memberi layanan yang buruk, menyebabkan tetamu merasa tidak selesa dan terseksa.

Sesungguhnya yang datang sebagai tetamu itu ingin memohon bantuan pertolongan, dengan perasaan rendah diri dan mengharapkan layanan baik daripada tuan rumah.

Oleh itu menyedari hakikat ini, kedatangan mereka hendaklah dilayani dengan sebaik-baiknya. Firman Allah SWT;

Terjemahan: Oleh itu, adapun anak yatim maka janganlah engkau berlaku kasar terhadapnya. Ada pun orang yang meminta (bantuan pimpinan) maka janganlah engkau tengking herdik. (Surah al-Duha 93: 9-10).

Terjemahan: Diriwayatkan daripada Aisyah (RA) isteri Nabi SAW katanya: Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: Wahai Aisyah! Sesungguhnya Allah itu Maha Lembut, Dia suka akan kelembutan. Allah akan memberikan balasan dari kelembutan yang tidak diberikan ke atas sikap keras dan kasar serta selainnya. (Hadith diriwayatkan oleh al Bukhari dan Muslim).

Daripada bab yang lalu telah dibawakan satu cerita berkenaan Rasulullah SAW pernah menerima tetamu daripada golongan Yahudi yang datang dengan mengucapkan “Semoga kematian ke atas kamu” (as samu ‘alaikum). Isteri baginda SAW menjawab “Semoga kematian dan la‘nat ke atas kamu” (wa ‘a lai ku mus saam). Lalu Rasulullah SAW menasihati isterinya supaya berlemah lembut dan jangan melakukan kekasaran dalam semua hal. Sebaliknya jawablah “Ke atas kamu demikian” (wa ‘a lai kum).

Dalam hadith lain ada menyebut;

Terjemahan: Diriwayatkan daripada Ibnu ‘Umar (RA) katanya: Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya, apabila orang Yahudi mengucapkan salam kepada kamu, mereka mengucap: “Assaamu‘alaikum” iaitu kematian tetap atas kamu. Maka jawablah kepada mereka: ke atas kamu. (Hadith diriwayatkan oleh al Bukhari dan Muslim).

Kesimpulannya bahawa Rasulullah SAW sentiasa melayani tetamu dengan lemah lembut, dan melarang umatnya daripada melayani sesiapa sahaja dengan cara yang kasar.

4.2.8 Terburu-buru

Sudah menjadi tabiat manusia bersifat terburu-buru dalam semua urusan. Namun demikian banyak berlaku kesilapan dan kerosakan adalah disebabkan tabiat ini.

Terburu-buru tetamu adalah dalam bentuk inginkan perkhidmatan segera dan mendapat giliran pertama. Terburu-buru tuan rumah adalah dalam bentuk inginkan tetamu cepat selesai urusan mereka dan cepat beredar meninggalkannya.

Oleh itu tuan rumah jangan sekali-kali menampakkan sifat terburu-buru itu pada wajah mereka. Sesuai pula dengan friman Allah SWT;

Terjemahan: Jenis manusia dijadikan bertabiat terburu-buru (dalam serba-serbinya). (Surah al-Anbiya’ 21: 37).

Untuk mengatasi sifat ini Rasulullah SAW bersabda;

Terjemahan: Dari Abdullah bin Sarjis al-Muzanni, bahawa Rasulullah SAW, bersabda: Tingkah laku yang baik, pelan-pelan dalam mengerjakan urusan dan berlaku sederhana adalah satu bahagian dari dua puluh empat bahagian sifat-sifat kenabian. (Hadith diriwayatkan oleh al-Tirmidhi, hadith ini adalah gharib).

Sabda baginda SAW lagi;

Terjemahan: Dari ‘Abd al-Muhaimin bin ‘Abbas bin Sahl bin Sa‘ad al-Sa‘idi dari bapanya dari datuknya berkata: Rasulullah SAW bersabda: Bertindak pelan-pelan adalah dari Allah, bertindak tergesa-gesa adalah dari syaitan. (Hadith diriwayatkan oleh al-Tirmidhi).

Dapatlah dibuat kesimpulan bahawa hendaklah menyambut tetamu dalam keadaan sopan santun dari segi perkataan dan perbuatan. Apabila melayani mereka hendaklah dengan teliti dan berhati-hati, supaya sifar daripada melakukan kesilapan (zero defect) sama ada dalam bentuk pertuturan atau tingkah laku.

4.2.9 Buruk sangka

Terdapat beberapa jenis tetamu dari segi tujuan kehadiran mereka. Tidak ada siapa pun yang mengetahui semua tujuan kehadiran mereka melainkan Allah SWT. Islam mengajar umatnya supaya sentiasa memandang baik terhadap sesama mereka. Sifat ragu meragui antara satu sama adalah dilarang dalam Islam. Firman Allah SWT;

Terjemahan: Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang), kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa, dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan dan keaiban orang, dan janganlah setengah kamu mengumpat akan setengahnya yang lain. Sukakah seseorang dari kamu memakan daging saudaranya yang telah mati? (jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah penerima taubat, lagi amat mengasihani. (Surah al-Hujurat 49:12).

Ayat di atas menjelaskan bahawa Islam melarang menyangka buruk terhadap seseorang, namun begitu sangkaan yang bertujuan untuk berjaga-jaga dan sebagai peringatan yang tidak menyusahkan orang lain, maka itu dibolehkan, seperti memberi amaran kepada tetamu supaya menjaga harta benda dan diri mereka daripada sebarang gangguan.

Namun begitu pihak tuan rumah hendaklah sentiasa curiga di atas keselamatan tetamunya. Rasulullah SAW sendiri curiga berkenaan keselamatannya, lalu baginda mengharapkan ada orang yang dapat mengawalnya, seperti yang terdapat dalam sebuah hadith;

Terjemahan: Diriwayatkan daripada Aisyah (R.anha) katanya: Suatu malam Rasulullah SAW tidak dapat tidur. Baginda s.a.w berkata: Mudah-mudahan pada malam ini terdapat seorang daripada Sahabatku yang soleh sudi menjagaku. Aisyah berkata: Ketika itu kami mendengar libasan pedang. Rasulullah s.a.w berkata: Siapakah itu? Sa‘ad bin Abu Waqqas menjawab: Wahai Rasulullah! Aku datang untuk menjagamu. Aisyah berkata: Selepas itu Rasulullah SAW tidur dengan nyenyaknya. (Hadith diriwayatkan oleh al Bukhari dan Muslim).

4.2.10 Buruk bicara

Islam amat memberi perhatian terhadap akhlak dalam berbicara. Berbicara dengan mengeluarkan perkataan yang tidak sopan amat dibenci oleh Allah SWT. Mencaci maki termasuk dalam sifat buruk dalam berbicara, seperti dalam firman Allah SWT terhadap para pencaci;

Terjemahan: Kecelakaan besar bagi tiap-tiap pencaci pengeji. (Surah al-Humazah 104: 1).

Begitulah juga dalam soal mencemuh sesama sendiri, amat dilarang dalam ajaran Islam, seperti firman Allah SWT;

Terjemahan: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka. (Surah al-Hujurat 49: 11).

Orang yang mencela dan mencaci ini adalah terdiri daripada mereka yang berperangai buruk dalam banyak aspek seperti suka menyebarkan fitnah, memecah-belahkan perpaduan masyarakat dan sebagainya, seperti firman Allah SWT;

Terjemahan: Dan janganlah engkau menurut kemahuan orang yang selalu bersumpah, lagi yang hina (pendapatnya dan amalannya). Yang suka mencaci, lagi yang suka menyebarkan fitnah hasutan (untuk memecahbelahkan orang ramai). (Surah al-Qalam 68: 10-11).

Oleh itu semasa berbicara dikehendaki para penyambut tetamu sentiasa menjaga kesopanan mereka, selain daripada lemah lembut dalam berbicara perlu pula memilih perkata yang sesuai untuk tetamunya. Rasulullah SAW bersabda;

Terjemahan: Kebanyakan manusia yang berdosa pada hari kiamat, ialah mereka yang membanyakkan perkataan yang tidak berguna. (Hadith diriwayatkan oleh Ibn al-Najjar dari Abu Hurairah, diriwayatkan oleh Ahmad ibn Hanbal dari Sulaiman sebagai hadith mauquf. Hadith ini adalah hasan).

Rasulullah SAW bersabada;

Terjemahan: Kebanyakan dosa kesalahan anak A.dam adalah berpunca dari lidahnya. (Hadith diriwayatkan oleh al-Tabrani dan al-Baihaqi, mereka mengambil dari Ibn Mas‘ud, hadith ini adalah hasan).

Antara lain, perkataan yang tidak sopan termasuklah kata-kata yang menyakit hati manusia seperti mengungkit pemberian. Di samping ia menyakitkan hati mereka ia boleh membatalkan pahala sedekah, seperti firman Allah SWT;

Terjemahan: Wahai orang-orang yang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan (kelakuan yang) menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal sedekah (orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (ria), dan ia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat. (Surah al-Baqarah 2:265).

4.2.11 Materialistik

Materialistik ertinya bersifat kebendaan. Mengutamakan wang ringgit. Iaitu segala-galanya diukur dengan nilai duniawi, tanpa mengira ganjaran dan pahala di sisi Allah SWT untuk hari akhirat.

Oleh itu apabila melayani manusia, mereka hanya mengukur dari sudut keuntungan duniawi tanpa bertolak ansur. Sebagai kesannya pengurusan industri hospitaliti semakin bertambah rumit. Hal ini sesuai pula dengan cabaran umat kini yang lebih bersifat kebendaan seperti Rasulullah SAW bersabda;

Terjemahan: Dari Ka‘ab bin ‘Iyad berkata, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda bahawa bagi setiap umat ada satu fitnah dan sesungguhnya fitnah umatku ialah harta. (Hadith diriwayatkan oleh Ahmad ibn Hanbal).

Lebih-lebih lagi sudah menjadi sifat tabii manusia itu yang bersifat dengan sifat bakhil, seperti firman Allah SWT;

Terjemahan: Katakanlah (wahai Muhammad): Jika kamu memiliki perbendaharaan rahmat Tuhanku, pada ketika itu tentulah kamu akan berlaku bakhil kedekut kerana takut kehabisan, dan sememangnya manusia itu bertabiat bakhil kedekut. (Surah al-Isra’ 17: 100).

Perasaan bakhil yang subur pada hati, akhirnya akan melahirkan pula perasaan-perasaan yang lain seperti dengki, khianat, bermegah-megah, tamak dan sebagainya. Firman Allah SWT;

Terjemahan: Dan janganlah engkau memberi (sesuatu, dengan tujuan hendak) mendapat lebih banyak daripadanya!. (Surah al-Muddathir 75: 60).

Oleh itu umat Islam perlulah sentiasa mengukuhkan keimanan pada hati, tanpa terpesona dengan kekayaan orang lain, yang dikurniakan kepada mereka oleh Allah SWT semata-mata untuk ujian sahaja, sama ada mereka berjaya dalam ujian itu atau tidak, seperti firman Allah SWT;

Terjemahan: Dan janganlah engkau menujukan pandangan kedua matamu dengan keinginan kepada apa yang telah kami berikan kepada beberapa golongan dari mereka yang kafir itu menikmatinya, yang merupakan keindahan kehidupan dunia ini, untuk kami menguji mereka padanya, sedang limpah kurnia Tuhanmu di akhirat lebih baik dan lebih kekal. (Surah Taha 20:131).

Sebagai lanjutannya, untuk melatih diri daripada bersifat kebendaan, maka apabila memberi sesuatu kepada tetamu hendaklah memilih daripada yang terbaik. Dilarang sama sekali memilih yang terburuk sebagai pemberian. Terdapat ayat al-Qur’an yang melarang berbuat demikian, seperti firman Allah SWT;

Terjemahan: Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik, dan sebahagian dari apa yang kami keluarkan dari bumi untuk kamu. Dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya (lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat), pada hal kamu sendiri tidak sekali-kali akan mengambil yang buruk itu (kalau diberikan kepada kamu), kecuali dengan memejamkan mata padanya. Dan ketahuilah sesungguhnya Allah maha kaya, lagi sentiasa terpuji. (Surah al-Baqarah 2: 267).

Nabi Ibrahim (AS) ketika melayani tetamunya, tanpa mementingkan keuntungan duniawi. Baginda telah memilih makanan yang terbaik untuk disajikan kepada tetamunya, seperti mana yang diceritakan di dalam al-Qur’an;

Terjemahannya: Kemudian ia masuk kepada ahli rumahnya serta dibawanya keluar seekor anak lembu gemuk (yang dipanggang). (Surah al-Dhariyat 51: 26).

4.2.12 Hipokrit

Rasulullah SAW bersabda:

Terjemahan: Dari Abu Hurairah berkata: Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya sejelek-jelek manusia di sisi Allah di hari akhirat adalah orang yang bermuka dua. (Hadith diriwayatkan oleh al Bukhari dan Muslim).

Rasulullah SAW juga bersabda;

Terjemahan: Huzaifah berkata: saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: Tidak masuk syurga pengadu domba (penyampai berita bohong). (Hadith diriwayatkan oleh al Bukhari dan Muslim).
Daripada hadith dapatlah difahami bahawa sebagai tuan rumah dilarang bermuka-muka dalam melayani tetamunya itu. Perbuatan itu boleh menyebabkan berlaku permusuhan antara satu sama lain.

4.2.13 Sombong

Satu amalan yang dilarang dalam melayani tetamu adalah bersifat sombong terhadap tetamu mereka, iaitu sentiasa memuji-muji dirinya serta melebih-lebihkan dirinya daripada orang lain. Tegahan berkenaan terdapat dalam firman Allah SWT;

Terjemahan: Dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, kerana sesungguhnya engkau tidak akan dapat menembusi bumi (dengan hentakkan kaki), dan engkau tidak akan dapat menyamai setinggi gunung ganang (dengan mendongak atau mengangkat kepala). (Surah al-Isra’ 17: 37).

Firman Allah SWT;

Terjemahan: Kehidupan dunia (dan kemewahannya) diperhiaskan (dan dijadikan amat indah) pada (pandangan) orang-orang kafir, sehingga mereka (berlagak sombong dan) memandang rendah kepada orang-orang yang beriman. Pada hal orang-orang yang bertakwa (dengan imannya itu) lebih tinggi (martabatnya) daripada mereka (yang kafir itu) pada hari kiamat kelak. Dan (ingatlah) Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendakinya dengan tidak kira-kira (menurut undang-undang peraturannya). (Surah al-Baqarah 2: 212).

Terjemahan: Diriwayatkan daripada Harithah bin Wahab (RA) katanya: Aku mendengar Nabi SAW bersabda: Inginkah kamu aku beritahu berkenaan ahli Syurga? Para Sahabat menjawab: Ya! Rasulullah SAW bersabda: Mereka semua adalah orang yang lemah dan merendah diri, seandainya mereka bersumpah kerana Allah nescaya Allah akan memperkenankannya. Kemudian baginda bersabda lagi: Inginkah kamu aku beritahu berkenaan ahli Neraka? Mereka menjawab: Ya! Baginda bersabda: Mereka semua adalah orang yang selalu diagung-agungkan dan bermegah-megah serta sombong. (Hadith diriwayatkan oleh al Bukhari dan Muslim).

Terjemahan: Diriwayatkan daripada Abu Hurairah (RA) katanya: Rasulullah SAW pernah bersabda: Neraka berdebat dengan Syurga, Neraka berkata: Aku akan dimasuki oleh orang yang zalim dan takabur (sombong). Syurga pula berkata: Aku akan dimasuki oleh orang yang lemah dan miskin. Maka Allah Azza Wa Jalla berfirman kepada Neraka: Kamu adalah siksaan Ku. Aku akan menyiksa siapa saja yang Aku kehendaki melaluimu. Allah berfirman: Aku gunakan kamu untuk menimpakan bencana terhadap siapa saja yang Aku kehendaki. Allah berfirman pula kepada Syurga: Kamu adalah rahmat Ku. Aku akan berikan rahmat Ku melalui kamu kepada siapa saja yang Aku kehendaki. Kedua-dua dari kamu Aku akan isi hingga penuh. (Hadith diriwayatkan oleh al Bukhari dan Muslim).

Rasulullah SAW ketika menyambut tetamunya adalah dengan perasaan rendah diri. Dalam satu peristiwa ketika baginda bersama sahabat dalam satu perhimpunan, tiba-tiba Jarir bin Abdullah al-Bajalli (RA) muncul, pada hal tempat duduk tidak mencukupi, lalu Rasulullah SAW mengambil selepangnya dan menghamparkan serta mempersilakannya duduk. Hadith ini telah diterangkan di dalam bab tiga yang lalu.

4.2.14 Kurang maklumat semasa

Pelayan tetamu sepatutnya mempunyai maklumat yang mencukupi berkenaan persoalan-persoalan yang biasanya diajukan oleh tetamu.

Mereka dikehendaki memperkemaskan diri dengan maklumat yang terkini supaya maklumat yang mereka sampaikan kepada tetamu itu tepat. Firman Allah SWT;

Terjemahan: Binasalah orang-orang yang sentiasa mengeluarkan pendapat dengan cara agak-agak sahaja. (Surah al-Dhariyat 51: 10).

Firman Allah SWT;Terjemahan: Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya berkenaan apa yang dilakukannya. (Surah al-Isra’ 17: 36).

Larangan berkenaan merupakan undang-undang hidup yang telah ditetapkan oleh Allah SWT, iaitu tidak dibenarkan memperkatakan sesuatu yang tidak diketahuinya. Begitulah juga tidak boleh mengakui sesuatu perkara sebelum melihat, mendengar atau mendapati dalil-dalil yang nyata.

Oleh itu sebagai pelayan tetamu, hendaklah mempunyai maklumat yang terkini dan lengkap supaya penjelasan yang bakal diberikan kepada tetamu itu menepati keadaan yang sebenarnya.

4.2.15 Berdusta

Dalam al-Qur’an dan al-Hadith banyak menyebut larangan berdusta. Terdapat pengusaha-pengusaha industri hospitaliti sering berdusta kerana semata-mata untuk mencapai objektif operasi mereka tanpa memikirkan larangan Allah SWT.

Tidak kurang pula premis-premis perniagaan makanan yang bertanda “halal” dan penyediaan makanan di restoran-restoran yang tidak menepati piawaian syara‘ dari segi halal atau haram untuk umat Islam. Firman Allah SWT;

Terjemahan: Dan janganlah kamu berdusta dengan sebab apa yang disifatkan oleh lidah kamu: “Ini halal dan ini haram”. Untuk mengada-adakan sesuatu yang dusta terhadap Allah, sesungguhnya orang-orang yang berdusta terhadap Allah, tidak akan berjaya. (Surah al-Nahl 16: 116).

Terjemahan: Sebenarnya yang tergamak berdusta itu hanyalah orang-orang yang tidak beriman kepada ayat-ayat Allah, dan mereka itu ialah orang-orang yang bertabiat berdusta. (Surah al-Nahl 16: 105).

Namun begitu ada tempat-tempat yang dibolehkan berdusta seperti bertujuan mendamaikan dua pihak yang bermusuhan, seperti sebuah hadith menyebut;

Terjemahan: Bukanlah termasuk pendusta orang yang mendamaikan di antara manusia. Dia berkata yang baik dan menyampaikan yang baik pula. (Hadith diriwayatkan oleh al Bukhari dan Muslim).

Terjemahan: Diriwayatkan daripada Abu Hurairah (RA) katanya: Rasulullah SAW bersabda: Allah Tidak Akan Berkata-kata Kepada Tiga Golongan Manusia pada Hari Kiamat, tidak membersihkan mereka dari dosa dan mereka akan diazab dengan azab siksa yang pedih. Mereka itu ialah seseorang yang mempunyai lebihan air di Padang Sahara tetapi dia enggan memberikan air tersebut kepada musafir yang memerlukan. Seseorang yang menjual barang dagangan selepas waktu asar dan dia bersumpah dengan nama Allah iaitu sumpah bohong bahawa dia membeli barang tersebut dengan harga sekian, sekian menyebabkan pembeli mempercayainya sedangkan dia membelinya bukan dengan harga tersebut. Seseorang yang berikrar setia kepada seorang pemimpin kerana tujuan keduniaan, sekiranya pemimpin berkenaan memenuhi permintaannya dia tetap setia dan jika tidak dia berpaling tadah. (Hadith diriwayatkan oleh al Bukhari dan Muslim).

4.3 Kesimpulan

Nilai-nilai etika Islam yang telah dibincangkan itu merupakan sebuah rumusan etika Islam yang terdapat dalam diri Rasulullah SAW ketika baginda berhadapan dengan tetamunya.

Melalui etika berkenaan, terpancar pula etiket Islam. Nilai etika Islam dan etiket Islam tidak dapat dipisahkan di dalam melayani tetamu. Jika seseorang itu hanya memiliki etiket pelayanan semata-mata dalam melayani tetamu, tanpa ada nilai etika, maka pelayanannya akan merupakan satu kepura-puraan (hypocrite).

Sebaliknya, dengan hanya memiliki nilai etika semata-mata ketika berhadapan dengan tetamu, tanpa ada etiket dalam melayani mereka, maka tidak wujud apa-apa pelayanan sebenarnya.

Berikut di dalam bab lima akan dihuraikan pula berkenaan etiket Islam dengan berpandukan kepada etiket Rasulullah SAW terhadap tetamunya, yang merupakan huraian lanjut daripada bab tiga.

ETIKET ISLAM DALAM HOSPITALITI


5.0 Pendahuluan

Dari segi bahasa etiket Islam ialah adab atau peraturan berkenaan kesopanan Islam (terutamanya dalam kehidupan sosial atau dalam profesional tertentu).

Etiket hospitaliti Islam merupakan peraturan berkenaan kesopanan melayani tetamu yang yang dilakukan menurut hukum syara‘.

Dalam sistem sosial Islam, terdapat istiadat-istiadat tertentu dalam hubungan sesama mereka. Terdapat perbezaan yang banyak antara budaya Islam dengan budaya yang bukan Islam dari sudut etiket hubungan sosial. Begitulah juga kebudayaan kebangsaan antara satu bangsa dengan bangsa lain juga tidak sama.

Maka Islam memiliki budaya etiket yang tersendiri. Islam telah menetapkan etiket tertentu dalam pergaulan antara anak dengan ibu bapa, antara murid dengan guru, antara isteri dengan suami, antara rakyat dengan pemimpin dan sebagainya.

Di dalam bab ini akan dikhususkan tetang cara etiket yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW ketika melayani tetamunya. Dengan mengeluarkan beberapa adab seperti yang dimuatkan di dalam bab tiga yang lalu.

Kedua-dua unsur etika (akhlak) dan unsur etiket (adab) memainkan peranan yang penting dalam menentukan kejayaan seseorang itu dalam menyambut dan melayani tetamu.

Apabila etiket Islam dapat dilakukan dengan baik terhadap tetamu berdasarkan etika Islam yang terdapat dalam dirinya maka berjayalah tuan rumah (hos) itu dalam melaksanakan hospitaliti Islam.

Antara etiket yang dapat dihuraikan berdasarkan yang dipraktikkan baginda Rasulullah SAW di hadapan sahabat adalah seperti berikut;

5.1 ETIKET SAMBUTAN

Adab mengucapkan selamat datang: Hos atau pelayan yang terbaik adalah yang sentiasa bersifat sedia menyambut kedatangan tetamu. Kesediaan menyambut kedatangan tetamu akan menjadikan tetamu yang berkunjung merasa selesa kerana kehadiran mereka sentiasa diharap-harapkan.

Dengan sebab itulah Rasulullah SAW sentiasa didatangi oleh tetamunya tanpa mengira masa, tempat dan keadaan. Berbeza daripada orang-orang kenamaan yang lain, yang mempunyai jadual pertemuan dengan tetamunya serta memilih-milih tetamu yang sudi dilayaninya. Kesediaan Rasulullah SAW dalam menyambut kedatangan tetamunya tergambar dalam sebuah hadith;

Terjemahan: Dari Abu al-Nadr, sesungguhnya Abu Murrah hamba kepada Ummi Hani binti Abu Talib memberi tahu kepadanya, dia mendengar bahawa Ummi Hani berkata: “Saya pergi kepada Rasulullah SAW pada tahun pembukaan Mekah, saya dapati Rasulullah sedang mandi dan Fatimah menutupinya dengan kain, saya pun memberi salam, maka Rasulullah bertanya: “Siapa itu?”. Saya menjawab: “Ummi Hani.” Rasulullah bersabda: “Selamat datang hai Ummi Hani.” (Hadith diriwayatkan oleh al Bukhari dan Muslim).

Ucapan selamat datang “ah lan wa sah lan” merupakan cetusan rasa kegembiraan pihak penyambut tetamu terhadap kehadiran tetamu.

Penyambut tetamu sewajarnya menangguhkan segala kerjanya buat seketika, dan lebih mengutamakan menyambut kehadiran tetamu dengan ucapan selamat datang sebagai tanda mengalu-ngalukan ketibaan mereka.

Daripada hadith di atas telah memaparkan praktik Rasulullah SWT mengucapkan selamat datang kepada tetamunya, pada hal baginda sedang berada dalam keadaan yang tidak bersedia. Hal ini menunjukkan berkenaan kesungguhna Rasulullah SWT mengalu-ngalukan kedatangan tetamu.

5.1.0 Adab mengucapkan salam

Sebagai seorang penyambut tetamu atau tuan rumah, salam merupakan perkara utama yang patut diberi perhatian. Ia dapat membezakan agama dan dapat melahirkan kasih sayang sesama Muslim serta dapat menyesuaikan bentuk layanan. Salam juga dapat menghilangkan perasaan sombong. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud;

Terjemahan: Sebarkan salam, nescaya kamu akan selamat". (Hadith diriwayatkan oleh al-Bukhari di dalam adab, Abi Ya‘la di dalam Musnadnya, Ibn Hibban di dalam sahihnya dan al-Baihaqi di dalam Syu‘ab al-iman dari al-Barra’. Hadith ini adalah sahih).

Terjemahan: Sebarkanlah salam di antara kamu, nescaya kamu akan berkasih sayang". (Hadith diriwayatkan oleh al-Hakim di dalam Mustadraknya dari Abu Musa. Hadith ini adalah sahih).

Terjemahan: Sebarkanlah salam, jamukanlah makanan, dan jadilah kamu bersaudara seperti yang diperintahkan oleh Allah SWT. (Hadith diriwayatkan oleh Ibn Majah dari Ibn ‘Umar).

Terjemahan: Yang memulakan dengan salam, nescaya bebas dari sombong. (Hadith diriwayatkan oleh al-Baihaqi di dalam al-Adab).

Islam menggalakkan supaya menyebarkan salam kepada sesiapa sahaja daripada kalangan umat Islam, sama ada mereka sudah mengenali antara satu sama lain atau tidak, seperti yang terdapat dalam satu hadith yang bermaksud:

Terjemahan: Dari Abdullah bin ‘Amr bin al-‘A.s (R.Anhuma), Seorang lelaki telah bertanya Rasulullah SAW: Apakah yang terbaik di dalam ajaran Islam?. Jawab baginda: Jamukanlah makan, dan sebarkanlah salam kepada orang yang kamu kenali dan yang kamu tidak kenali". (Hadith diriwayatkan oleh al-Bukhari).

Berkenaan tertib orang yang lebih afdal memulakan salam itu telah diterangkan oleh Rasulullah SAW iaitu seperti yang terdapat di dalam hadithnya;

Terjemahan: Yang muda memberi salam kepada yang tua, yang berjalan memberi salam kepada yang duduk, yang sedikit memberi salam kepada yang ramai. (Hadith diriwayatkan oleh Abu Daud).

Di dalam hadith yang lain ada menyebutkan;

Terjemahan: Dari Fadlah bin ‘Ubaid berkata : Rasulullah SAW bersabda “Yang berkenderaan memberi salam kepada yang berjalan kaki, yang berjalan memberi salam kepada yang duduk, yang sedikit memberi salam kepada yang ramai.” (Hadith diriwayatkan oleh al-Darimi).

Walau bagaimanapun, mereka yang dianggap terbaik ialah sesiapa yang memulakan salam terlebih dahulu, seperti sabda Rasulullah SAW;

Terjemahan: Sesungguhnya manusia yang terbaik di sisi Allah SWT ialah sesiapa dari kalangan mereka yang lebih dahulu memulakan dengan ucapan salam. (Hadith diriwayatkan oleh Abu Daud).

Rasulullah SAW sendiri apabila bertemu dengan kanak-kanak baginda SAW memulakan dengan salam, demikianlah kata Anas bin Malik (RA);

Terjemahan: Sesungguhnya Rasulullah SAW berjalan melalui kanak-kanak, maka baginda SAW memberi salam ke atas mereka. (Hadith diriwayatkan oleh al-Darimi).

Terdapat juga hadith yang menyebut peraturan mengucapkan salam antara lelaki dengan perempuan yang ajnabi. Lelaki dibenarkan mengucapkan salam kepada perempuan dan perempuan tidak dibenarkan mengucapkan salam kepada lelaki;

Terjemahan: Lelaki mengucapkan salam ke atas perempuan, dan perempuan tidaklah (wajar) mengucapkan salam ke atas lelaki. (Hadith diriwayatkan oleh al-Dinawari).

Berkenaan kekerapan memberi salam tidaklah dihadkan bilangannya. Namun begitu Islam menggalakkan umatnya menyebarkan salam tatkala setiap kali mereka bertemu. Jika setelah memberi salam antara satu dengan lain, tiba-tiba mereka berpisah, kemudian bertemu lagi, maka digalakkan mereka menyebarkan salam sekali lagi, begitulah seterusnya. Rasulullah SAW bersabda;

Terjemahan: Jika seseorang kamu bertemu dengan saudaranya, maka hendaklah memberi salam ke atasnya, maka jika (selepas itu) dihalang antara mereka dengna pokok atau dinding atau batu, kemudian bertemu lagi, maka berilah salam ke atasnya lagi. (Hadith diriwayatkan oleh Abu Daud, Ibn Majah dan al-Baihaqi di dalam Syu‘ab al-iman dari Abu Hurairah. Hadith ini adalah hasan).

Apabila diucapkan salam maka tanggungjawab pihak yang lain ialah menjawabnya dengan sebaik-baik mungkin, seperti firman Allah SWT di dalam al-Qur’an;

Terjemahan: Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung akan tiap-tiap sesuatu". (Surah Al-Nisa’ 4: 86).

Oleh itu tidaklah wajar salam yang diucapkan dipersia-siakan. Berkenaan pentingnya memberi perhatian terhadap salam yang diucapakan itu telah ditegaskan dengan beberapa hadith Rasulullah SAW seperti berikut, yang bermaksud:

Terjemahan: Jawablah salam, tunduklah pandangan (kepada yang bukan mahram) dan perbaikilah perkataan. (Hadith diriwayatkan oleh Ibn Qani‘ dari Abu Talhah).

Terjemahan: Terdapat lima hak Muslim, membalas penghormatan (jawab salam), mendatangi undangan, menghadiri jenazah, ziarah orang sakit, menjawab bersin jika mereka menyebut al-HamdulilLah. (Hadith diriwayatkan oleh Ibn Majah dari Abu Hurairah. Hadith ini adalah sahih).

Kesimpulannya bahawa ucapan salam adalah suatu yang telah disyari‘atkan oleh Islam kepada umatnya. Ucapan salam adalah sebagai penghormataan antara satu sama lain, atau sebagai tanda persaudaraan dalam Islam. Mereka digalakkan berlumba-lumba mendahului mengucapkan salam.

5.1.1 Adab cepat bertindak

Cepat bertindak bererti memberikan layanan kepada tetamu dengan segera tanpa berlengah-lengah serta dengan waspada. Segera menyambut kedatangan mereka dan melayani keperluan mereka serta segera menyelesaikan segala permasalahan mereka. Selain itu bersegera mengambil tindakan terhadap aduan-aduan mereka, sehingga mereka merasai benar-benar bahawa mereka dilayan.

Diceritakan di dalam al-Qur’an berkenaan tetamu Nabi Ibrahim (AS) yang datang ke rumahnya. Kedatangan tetamu itu disambut dengan segera. Setelah mereka dipersilakan, Nabi Ibrahim (AS) pergi berjumpa dengan keluarganya dan menceritakan tetamu telah datang. Maka dengan segera seisi keluarga memilih anak lembu yang gemuk untuk disembelih. Setelah disembih serta dipanggang, makanan itu dibawa untuk jamuan kepada tetamunya itu dengan pantas. Demikianlah firman Allah SWT;

Terjemahannya: Sudahkah sampai kepadamu (wahai Muhammad) perihal tetamu Nabi Ibrahim yang dimuliakan. Tatkala mereka masuk mendapatkannya lalu memberi salam dengan berkata: "selamat sejahtera kepadamu!". Ia menjawab: "selamat sejahtera kepada kamu!". (Sambil berkata kepada dirinya): mereka ini orang-orang yang tidak dikenali. Kemudian ia masuk kepada ahli rumahnya serta dibawanya keluar seekor anak lembu gemuk (yang dipanggang). Lalu dihidangkannya kepada mereka sambil berkata: "silalah makan". (Surah al-Dhariyat 51: 24-27).

Di dalam surah yang lain, al-Qur’an telah menjelaskan berkenaan Nabi Ibrahim (AS) telah bersegera melayani tetamunya itu dengan menyediakan makanan yang berupa anak lembu panggang.

Terjemahan: Dan sesungguhnya telah datang malaikat utusan-utusan Kami kepada Nabi Ibrahim, dengan membawa berita yang menggembirakan. Lalu mereka memberi salam dengan berkata “Selamat sejahtera kepadamu”. Nabi Ibrahim menjawab: “Salam sejahtera kepada kamu”. Maka tidak berapa lama selepas itu, ia membawa jamuan untuk mereka; seekor anak lembu yang dipanggang. (Surah Hud 11: 69).

Perkataan “tidak berapa lama selepas itu” menunjukkan tidak lama menunggu, iaitu persiapan untuk menyediakan makanan itu tidaklah mengambil masa yang lama untuk menyediakan makanan untuk tetamu. Dalam hal ini bermakna Nabi Ibarahim (AS) berserta keluarganya dengan pantas menyediakan hidangan untuk tetamu.

Demikian juga anjuran bersegera melaksanakan kebaikan seperti firman Allah SWT:

Terjemahan: Berlumba-lumbalah kamu membuat kebaikan. (Surah Al-Maidah 5: 48).

Daripada kenyataan di atas dapatlah dirumuskan bahawa cepat bertindak melayani tetamu merupakan salah satu cara memuliakan tetamu. Sudah menjadi fitrah (nature) manusia suka kepada segera.

Oleh itu bersegera dalam melayani mereka dianggap sebagai salah satu amal kebaikan yang patut diberi perhatian utama oleh setiap Muslim.

5.1.2 Tiada masalah

Pada umumnya semua manusia mempunyai masalah hidup yang tersendiri sama ada masalah yang berpunca daripada dalam dirinya sendiri atau daripada pengaruh luar. Namun begitu, apabila berhadapan dengan tetamu, sewajarnya masalah-masalah itu diketepikan buat seketika.

Apabila Rasulullah SAW didatangi oleh sahabat, baginda tidak pernah keberatan untuk menerima tetamunya itu, walaupun baginda sedang menghadapi masalah dan kesulitan, namun begitu tetamu yang datang diutamakan terlebih dahulu. Jika kekurangan tempat, maka dicari-cari tempat, sehingga masih tidak ada tempat, maka dibentangkan serbannya untuk memuliakan tetamunya.

Bagi Rasulullah SAW tidak ada masalah dalam melayani tetamu. Walaupun baginda hidup dalam serba kekurangan, tetapi jika ada tetamu datang, disambut dengan riang gembira dan melayani mereka dengan sebaik-baiknya tanpa ada masalah.

Rasulullah SAW tidak sekali-kali mengadu kepada tetamunya atau kepada orang lain bahawa baginda susah, kekurangan makanan atau sebagainya.

Demikianlah pendidikan ini diterapkan kepada sahabat-sahabat baginda, sehingga tidak dapat dibezakan antara sahabat-sahabat yang bermasalah dengan yang tidak bermasalah. Bagi mereka yang tidak mengenali dari dekat, mereka tidak akan dapat mengenali penderitaan antara satu sama lain.

Hal ini kerana walaupun mereka hidup dalam keadaan bermasalah, kesempitan dan keadaan kewangan yang mendesak, mereka tidak meminta-minta dan tidak pula mendesak orang lain memberi dan membantunya. Seimbas lalu mereka tidak ada masalah dalam hidup, dan sentiasa boleh melayani orang lain yang memerlukan. Demikianlah sifat-sifat orang yang beriman. Hal ini digambarkan dalam al-Qur’an;

Terjemahan: Mereka itu disangka kaya oleh orang yang tidak mengetahui halnya, kerana mereka menahan diri daripada meminta-minta. Engkau kenal mereka dengan (melihat) sifat-sifat dan keadaan masing-masing. (Surah al-Baqarah 2: 273).

Ayat di atas menjelaskan bahawa sifat orang yang beriman ialah menyembunyikan segala kekurangan dan masalah peribadi, sehingga tidak diketahui oleh sesiapa pun. Hanya orang yang tertentu sahaja yang mengenali mereka. Sifat ini adalah menjadi budaya bagi mereka yang beriman kepada Allah SWT. Sifat begini amat memberi kesan yang baik kepada tetamu.

Tetamu akan merasa senang apabila bertemu dengan orang yang tidak bermasalah, kerana tetamu inginkan masalah mereka dilayan segera.

Sikap bersedia menjalankan tugas merupakan salah satu adab dalam masyarakat Islam. Demikianlah pula adab bersama tetamu, mereka dikehendaki sentiasa bersedia melayani tetamu dengan mengenepikan semua halangan, kerana melayani tetamu merupakan salah satu syariat Islam yang patut diutamakan.

5.1.3 Adab berjabat tangan

Kebiasaannya apabila dua orang bertemu mereka akan saling menyebarkan salam. Untuk melengkapkan lagi penghormatan antara mereka, maka dihulurkan tangan untuk berjabat tangan. Dalam hal ini Rasulullah SAW bersabda;

Terjemahan: Sempurnanya penghormatan di antara kamu adalah berjabat tangan. (Hadith diriwayatkan oleh Ahmad dan Al-Tirmidhi, dari Ibn Mas‘ud, hadith ini adalah gharib).

Amalan berjabat tangan ini suatu yang baik, walaupun ia daripada budaya asing iaitu dari Yaman, tetapi Rasulullah SAW membenarkan atau mengesahkan bahawa amalan itu mulia, maka ia diterima sebagai amalan dalam Islam, seperti Rasulullah SAW bersabda;

Terjemahan: Dari Anas (RA) berkata : Tatkala datanglah orang-orang Yaman, Rasulullah SAW bersabda : Sesungguhnya telah datang kepada kamu orang-orang Yaman, dan mereka adalah orang yang awal-awal berjabat tangan. (Hadith diriwayatkan oleh Abu Daud dengan sanad sahih).

Islam telah mensyariatkan penganutnya supaya sentiasa berjabat tangan apabila mereka bertemu. Amalan yang mulia ini diteruskan oleh para sahabat. Berkenaan dengan itu satu soalan yang ditujukan oleh Qatadah kepada Anas bin Malik (R.Anhuma) katanya;

Terjemahan: Aku bertanya kepada Anas bin Malik, apakah berjabat tangan itu berlaku pada para sahabat Rasulullah SAW?. Dia menjawab: Ya. (Hadith diriwayatkan oleh al-Tirmidhi dari Qatadah, hadith ini adalah hasan sahih).

Islam amat menggalakkan supaya umatnya saling berjabat tangan sebagai tanda wujudnya kasih sayang dan kemesraan sesama mereka. Melalui berjabat tangan juga akan mengikis perasaan yang kurang baik antara mereka. Keutamaan berjabat tangan ini telah diungkapkan di dalam sebuah hadith;

Terjemahan: Dari al-Bara’ bin ‘A.zib, berkata: Rasulullah SAW bersabda: Tidaklah dua orang Muslim bertemu maka mereka berjabat tangan, kecuali Allah mengampuni dosa mereka sebelum mereka berpisah. (Hadith diriwayatkan oleh Al-Tirmidhi).

Apabila Rasulullah SAW berjabat tangan, dilakukan secara bersungguh-sungguh dengan penuh keikhlasan dan kasih sayang. Tangan yang dipegang seolah-oleh tidak mahu dilepaskan, sehinggalah sahabatnya yang lebih dahulu menariknya, seperti dalam sebuah hadith menyebut;

Terjemahan: Dari Anas bin Malik berkata : Rasulullah SAW apabila ada seseorang mengadap kepada baginda maka baginda berjabat tangan dengannya dan baginda tidak mencabut tangan dari tangannya sehingga orang itu mencabut (Hadith diriwayatkan oleh al-Tirmidhi).

Terjemahan: Apabila baginda SAW berjabat tangan, baginda tidak akan menarik tangannya. (Hadith diriwayatkan oleh Ibn Majah).

Walau bagaimanapun dalam menghormati tetamu ini terdapat beberapa perkara yang patut diberi perhatian dari segi teknik penghormatan yang dibolehkan dan yang ditegah. Antara cara penghormatan yang ditegah seperti membongkok, memeluk dan mencium dan sebagainya, seperti dalam sebuah hadith;

Terjemahan: Dari Anas bin Malik berkata: Seorang lelaki berkata “Wahai Rasulullah, seorang lelaki dari kami bertemu saudaranya atau sahabatnya, adakah ia membongkok kepadanya”. Rasulullah bersabda: “Tidak”. Dia bertanya lagi: “Dia memeluk dan menciumnya. Rasulullah bersabda: “Tidak”. Dia bertanya lagi: “Dia mengambil tangannya dan berjabat tangan dengannya”. Rasulullah bersabda: “Ya”. (Hadith diriwayatkan oleh Ahmad ibn Hanbal).

Walau bagaimanapun, memeluk dan mencium dibolehkan jika menyambut tetamu yang datang dari jauh, lama tidak berjumpa atau baru balik daripada mengerjakan sesuatu pekerjaan yang mulia seperti balik daripada mengerjakan haji, menuntut ilmu dan sebagainya, keadaan ini telah dilakukan oleh baginda Rasulullah SAW terhadap Zaid bin Harithah;

Terjemahan: Dari Aisyah berkata: Zaid bin Harithah datang di Madinah dan Rasulullah SAW sedang berada di rumahku, kemudian dia mengetuk pintu, maka Rasulullah SAW berdiri dan menyambutnya dalam keadaan telanjang (tertutup antara pusat dan lutut sahaja) kemudian menarik bajunya. Demi Allah aku tidak pernah melihat beliau dalam keadaan telanjang sesbelum ini dan sesudahnya, kemudia ia memeluk zaid dan menciumnya. (Hadith diriwayatkan oleh al-Tirmidhi, hadith ini adalah hasan).

Daripada keterangan di atas dapatlah disimpulkan bahawa berjabat tangan merupakan salah satu ajaran Islam yang disyaiatkan oleh Allah SWT terhadap umat Islam. Sebagai penyambut tetamu, sewajarnya menyambut tetamu dengan menghulurkan tangan sebagai tanda mengalu-ngalukan kedatangan mereka, dengan rasa kasih sayang dan kemesraan. Walaupun menghulurkan tangan itu kecil pengertiannya bagai sesetengah kalangan, tetapi ia amat besar faedahnya di sisi Allah SWT.

Walau bagaimanapun menurut syri‘at Islam berjabata tangan antara lelaki dengan perempuan ajanabiyyah adalah dilarang seperti sabda Rasulullah SAW;

Terjemahan: Sesungguhnya aku tidak berjabat tangan dengan wanita. (Hadith diriwayatkan oleh al-Nasa’i. Hadith ini adalah sahih).

Terjemahan: Dari Abdullah bin ‘Amr bahawa Rasulullah SAW adalah tidak berjabat tangan dengan wanita semasa baiah (taat setia). (Hadith diriwayatkan oleh Ahmad).

Rasulullah SAW sentiasa menjaga adab dalam pergaulan antara lelaki yang ajnabi dengan wanita yang ajnabiyyah iaitu baginda tidak berjabat tangan dengan mereka sebagai menghormati kesucian wanita Islam. Mengikut ajaran Islam menyentuh antara kulit lelaki dan wanita berkenaan hukumnya berdosa.

Selain itu dalam menyambut kedatangan tetamu, Islam menegah daripada bersikap yang tidak sopan terhadap tetamu seperti berjabat tangan dengan memegang terlalu keras, bermain-main seperti menggeletek telapak tangan, menghulurkan hujung jari dan sebagainya. Mengikut pemerhatian pengkaji, melalui berjabat tangan dapat diketahui reaksi seseorang itu dari segi keikhlasan dan kesungguhan mereka dalam hubungan persahabatan.

5.1.4 Adab memperkenalkan diri

Apabila seseorang itu datang, pada kebiasaanya baginda Rasulullah SAW akan bertanya siapakah gerangan yang hadir. Para tetamu baginda akan memberi tahu nama mereka. Namun begitu terdapat juga beberapa peristiwa mereka yang tidak mahu memperkenalkan diri, seperti dalam hadith berikut yang menjelaskan berkenaan sikap baginda Rasulullah SAW yang tidak gemar atau tidak menyenangi mereka yang tidak mahu memperkenalkan diri secara jelas;

Terjemahan: Diriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah (RA) katanya: Aku datang kepada Nabi SAW lalu memanggil baginda. Nabi SAW bertanya: Siapa ini? Aku menjawab: Aku. Maka Nabi SAW pun keluar seraya berucap: Aku, aku. (Hadith diriwayatkan oleh Ahmad).

Rasulullah SAW pernah menyambut kedatangan Jarir (RA) dengan memperkenalkannya terhadap hadirin, seperti dalam sebuah hadith;

Terjemahan: Dari Jarir bin Abdullah al-Bajalli (RA). bahawa beliau telah datang menemui Nabi SAW yang berada di rumahnya. Ketika itu terdapat satu perhimpunan yang besar di sana. Beliau pun berdiri di pintu. Nabi SAW telah melihat akan kedatangannya itu. Baginda SAW telah melihat kiri dan kanan tetapi baginda SAW tidak mendapati tempat yang luas untuk diduduki oleh Jarir, Rasulullah SAW pun mengambil rida’nya, kemudian melipatnya lalu mencampakkannya kepada Jarir bin Abdullah (RA). seraya berkata kepadanya: "Duduklah di atasnya". Jarir pun mengambil kain tersebut lalu mengulungnya kemudian menciumnya, dan mencampakkannya kembali kepada Rasulullah SAW sambil berkata: "Allah memuliakan kamu ya Rasulullah sebagaimana kamu memuliakanku." Rasulullah SAW pun bersabda: "Sekiranya orang yang mulia di dalam satu kaum datang menemuimu maka hendaklah kamu memuliakannya." (Hadith diriwayatkan oleh Ibn Majah).

Banyak daripada hadith yang menyebut berkenaan Rasulullah SAW telah memperkenalkan dirinya di hadapan manusia. Antaranya baginda memperkenalkan dirinya sebagai Rasulullah (Utusan Allah) dan Muhammad bin Abdullah terhadap orang Quraisy yang tidak mengakuinya sebagai Utusan Allah. Baginda memperkenalkan dirinya sebagai Khalifah Rasulullah SAW, setelah Abu Bakar (RA) memanggilnya Khalifah Allah. Baginda memperkenalkan dirinya sebagai ketua anak-anak Adam pada hari akhirat, orang yang mula-mula bangkit pada hari akhirat, orang yang mula-mula memberi syafa‘at pada hari akhirat. Di atas keterangan itu bukan kerana bangga, tetapi di atas tujuan memperkenalkan dirinya.

Dalam rangka memperkenalkan diri, Rasulullah SAW sendiri menegah daripada kalangan sahabatnya menamakan anak-anak mereka atau diri mereka dengan nama Abu Qasim, kerana nama Abu Qasim itu khusus untuk menggelarkan Nabi Muhammad SAW, bagi mereka yang berbuat demikian boleh mengelirukan, walau bagaimanapun selepas kewafatan baginda adalah dibenarkan untuk berbuat demikian seperti dalam sebuah hadith;

Terjemahan: Dari Muhammad bin al-Hanafiyah berkata : ‘Ali (KW) berkata. Aku berkata : Ya Rasulullah, jika dikurniakan anak kepadaku selepas pemergianmu, lalu aku namakan dia dengan namamu dan menggelarkan dia dengan gelaranmu adakah boleh?. Baginda bersabda: Boleh. (Hadith diriwayatkan oleh Abu Daud).

Di dalam al-Qur’an juga menjelaskan menerangkan kelebihan yang ada pada diri sendiri dibolehkan, bukan kerana kesombongan tetapi adalah kerana menyatakan sesuatu kebenaran, seperti yang dikatakan oleh Nabi Yusuf (AS) seperti yang dirakamkan di dalam al-Qur’an;

Terjemahan: Yusuf berkata: Jadikanlah aku pengurus perbendaharaan hasil bumi (Mesir); sesungguhnya aku sedia menjaganya dengan sebaik-baiknya, lagi mengetahui cara mentadbirkannya. (Surah Yusuf 12: 55).

Dari itu dapat diambil iktibar bahawa memperkenalkan diri sendiri kepada tetamu dengan cara tertentu amat penting. Seorang penyambut tetamu wajar menerangkan namanya, jawatannya dan sebagainya kepada tetamu sekadar memudahkan urusan.

Termasuk juga dalam erti kata memperkenalkan diri dengan berpakaian dan menampilkan rupa diri sesuai dengan budaya tempatan dari segi perbezaan jantina, kerana mengelirukan cara berpakaian dan rupa diri termasuk dalam larangan Islam. Rasulullah SAW telah menegaskan dalam soal ini dalam sebuah hadith menerangkan;

Terjemahan: Dari Ibn ‘Abbas ia berkata: Rasulullah SAW melaknat orang-orang perempuan yang menyerupai lelaki dan orang-orang lelaki yang menyerupai perempuan. (Hadith diriwayatkan oleh al-Bukhari).

5.1.5 Adab mengiringi tetamu pulang

Seperti menyambut kedatangan mereka, begitulah juga adab dalam mengiringi mereka pada waktu keberangkatan pulang. Rasulullah SAW bersabda;

Terjemahan: Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya termasuklah dari sunnah, bahawa seorang lelaki keluar bersama-sama tetamunya ke muka pintu. (Hadith diriwayatkan oleh Ibn Majahdari Abu Hurairah, hadith ini adalah da‘if).

Di dalam hadith yang lain menyebut Rasulullah SAW bangun mengiringi kepulangan tetamu, iaitu isterinya sendiri pernah menjadi tetamu Rasulullah SAW yang sedang Itikaf di dalam masjid;

Terjemahan: Diriwayatkan daripada Sofiah binti Huyai (RA)katanya: Pada suatu malam ketika Nabi SAW sedang beriktikaf aku datang menziarahi baginda. Setelah puas berbual-bual dengan baginda, akupun berdiri untuk pulang. Rasulullah SAW ikut berdiri untuk menghantarku. Manakala tempat tinggal Sofiah adalah di rumah Usamah bin Zaid. Tiba-tiba datang dua orang Ansar. Apabila mereka melihat Nabi SAW mereka mempercepatkan langkah mereka. Lalu Nabi SAW bersabda: Perlahankanlah langkah kamu. Sesungguhnya ini adalah Sofiah binti Huyai. Maha suci Allah, wahai Rasulullah. Lalu Rasulullah SAW bersabda Sesungguhnya syaitan itu berjalan pada aliran darah manusia. Sebenarnya aku risau ada tuduhan buruk atau yang tidak baik dalam hati kamu berdua. (Hadith diriwayatkan oleh Muslim).

Hadith di atas menjelaskan bahawa, walaupun tetamunya merupakan isterinya, maka Rasulullah SAW melayaninya, hinggalah layanan itu sampai di muka pintu.

Ianya merupakan satu tanda ucapan terima kasih kepada tetamu. Kedatang mereka yang membawa rahmat dan rezeki kepada tuan rumah itu patut diucapkan penghargaan kepada mereka;

Terjemahan: Dari Abu Sa‘id al-Khudri berkata: Rasulullah SAW telah bersabda: Barang siapa yang tidak berterima kasih kepada manusia, dia tidak berterima kasih kepada Allah SWT. (Hadith diriwayatkan oleh Abu Daud).

Semasa kepulangan tetamu amat baik disertakan sedikit hadiah sebagai kenangan-kenangan. Hadiah yang terbaik ialah minyak wangi;

Terjemahan: Anas berkata: Sesungguhnya Nabi SAW tidak pernah menolak pemberian minyak wangi. (Hadith diriwayatkan oleh al-Bukhari).

Kesimpulannya, mengiringi kepulangan tetamu amat penting dan merupakan satu etiket yang baik. Semasa mereka bersedia untuk pulang, digalakkan supaya disertakan hadiah-hadiah sebagai kenang-kenangan kepada mereka untuk menjadi memori pada masa-masa akan datang. Apabila mereka bangun, hendaklah bangun bersama dan mengiringi ke pintu, seterusnya berjabat tangan dan mendoakan kesejahteraan untuk mereka dalam perjalanan. Akhirnya, ucapkanlah salam.

5.2 ETIKET DALAM BERPAKAIAN

Mengenakan pakaian merupakan suatu yang peting dan menjadi asas untuk melindungi diri daripada kesan iklim sama ada panas atau sejuk. Firman Allah SWT;

Terjemahan: Dan Allah menjadikan bagi kamu sebahagian dari yang diciptakanNya: benda-benda untuk berteduh, dan Ia menjadikan bagi kamu sebahagian dari gunung-ganang tempat-tempat berlindung; dan Ia juga menjadikan bagi kamu pakaian-pakaian yang memelihara kamu dari panas dan sejuk, juga pakaian-pakaian yang memelihara kamu semasa berjuang. Demikianlah, Ia menyempurnakan nikmatNya kepada kamu, supaya kamu berserah diri kepadaNya dan mematuhi perintahNya. (Surah Al-Nahl 16: 81).

Seorang Muslim hendaklah memakai pakaian yang sesuai mengikut kehendak syara’ dengan menutup ‘aurat dan mengelak daripada memakai pakaian yang bertujuan untuk riya’, sombong dan sebagainya. Firman Allah SAW;

Terjemahan: Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmatNya kepada hamba-hambaNya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur). (Surah al-A‘raf 7: 26).

Islam amat menekankan kepada fesyen pakaian. Semua fesyen adalah diharuskan asalkan tidak mendedahkan ‘aurat dan tidak ada unsur-unsur pembaziran. Firman Allah SWT;

Terjemahan: Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas. (Surah Al-A‘raf 7: 31).

Setiap bangsa mempunyai adab berpakaian yang tersendiri dan mempunyai objektif tertentu. Dalam Islam, pakaian rasmi adalah berpaksikan kepada Akidah dan meninggikan nilai Syariah seperti mengelakkan daripada berpakaian yang mendatangkan kesombongan, mempamerkan aurat, memelihara daripada menyerupai kaum lelaki atau perempuan dan sebagainya.

5.2.0 Merendah diri dalam berpakaian

Adab berpakaian dalam Islam ialah mengenakan pakaian yang melambangkan kerendahan diri. Islam mewajibkan umatnya supaya sentiasa merendahkan diri dalam semua hal.

Ketika Rasulullah SAW mengenakan pakaian, baginda sentiasa memilih pakaian yang tidak memperlihatkan kesombongan. Biasanya baginda memakai pakaian yang diperbuat daripada benang;

Terjemahan: Hadith Anas bin Malik (RA) katanya: Aku bertanya kepada Anas bin Malik: Pakaian apakah yang paling disukai oleh Rasulullah SAW atau digemari oleh Rasulullah SAW? Beliau menjawab: Hibarah iaitu sejenis pakaian yang diperbuat daripada kapas dan dihias. (Hadith diriwayatkan oleh al Bukhari dan Muslim).

Sementara pakaian yang melambangkan kesombongan ialah pakaian yang diperbuat daripada sutera, seperti sabda Rasul SAW;

Terjemahan: Diriwayatkan daripada Hudhaifah (RA) katanya: Rasulullah SAW telah bersabda: Janganlah kamu sekalian minum dalam bekas minuman emas dan perak. Jangan memakai pakaian dari sutera kerana pakaian sutera itu untuk mereka iaitu orang-orang kafir di dunia dan untuk kamu sekalian di akhirat pada Hari Kiamat kelak. (Hadith diriwayatkan oleh al-Bukhari).

Demikian lagi dalam hadith yang lain menyebut berkenaan tidak sesuainya pakaian yang diperbuat dari sutera untuk digunakan oleh kaum lelaki, kerana ia boleh mengurangkan ketakwaan. Seperti dalam sebuah hadith;

Terjemahan: Diriwayatkan daripada ‘Uqbah bin ‘A.mir (RA) katanya: Rasulullah SAW telah dihadiahkan dengan sejenis pakaian luar yang dibuat dari sutera. Baginda memakainya untuk menunaikan sembahynag. Apabila selesai sembahyang, baginda segera menanggalkannya dengan cepat seperti tidak menyukainya. Kemudian baginda bersabda: Pakaian ini bukan untuk orang-orang yang bertaqwa. (Hadith diriwayatkan oleh Ahmad).

Selain tidak dibenarkan memakai pakaian sutera, dilarang juga daripada melabuh-labuhkan pakaian kerana kesombongan. Mengenai itu Rasulullah SAW bersabda;

Terjemahan: Diriwayatkan daripada Ibnu ‘Umar (RA) katanya: Rasulullah SAW bersabda: Allah tidak akan memandang orang yang melabuhkan pakaiannya kerana sombong. (Hadith diriwayatkan oleh al Bukhari dan Muslim).

Terjemahan: Diriwayatkan daripada Abu Hurairah (RA) katanya: Aku melihat seorang lelaki melabuhkan kainnya, beliau menghentakkan kakinya ke bumi. Lelaki itu ialah pembesar Bahrain. Beliau mengucapkan: Pembesar datang, pembesar datang. Sementara itu, aku mendengar Abu Hurairah berkata: Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya Allah tidak akan memandang orang yang melabuhkan kainnya dengan perasaan bongkak. (Hadith diriwayatkan oleh al-Bukhari).

Daripada beberapa keterangan di atas menjelaskan bahawa Islam tidak melarang umatnya mengekanakan apa-apa jenis pakaian, asalkan tidak mendatangkan kesombongan. Diharamkan memakai sutera kepada kaum lelaki kerana mereka yang memakainya pasti lahir daripada diri mereka perasaan kesombongan. Sementara melabuh-labuhkan pakaian dengan tujuan membangga diri juga dilarang.

Pakaian menurut Islam adalah pakaian yang melambangkan ketakwaan kepada Allah SWT.

Dalam menyambut tetamu, pakaian yang patut dipakai oleh mereka hanyalah yang sederhana. Jika mereka mengenakan pakaian yang boleh melahirkan perasaan sombong antara satu sama lain, ia bukan sahaja menjadi kemurkaan Allah SAW malah akan wujud jurang perbezaan antara satu sama lain.

Dalam memilih warna pakaian, tidak ada warna tertentu yang ditetapkan oleh Rasulullah SAW asalkan tidak melahirkan perasaan sombong. Kebiasaannya baginda memakai pakaian yang berwarna putih, merah, hijau dan hitam. Walau bagaimanapun baginda lebih suka memilih pakaian yang berwarna putih, selain dari menunjukkan kebersihan, pakaian putih amat sesuai di negeri yang iklimnya panas. Mengenai anjuran memakai pakaian yang berwarna putih ini telah diungkapkan dalam sebuah hadith;

Terjemahan: Daripada Ibn ‘Abbas, berkata : Rasulullah SAW telah bersabda, pakailah pakaian kamu yang berwarna putih, maka sesungguhnya ia sebaik-baik pakaian untuk kamu. (Hadith diriwayatkan oleh Abu Daud).

5.2.1 Memelihara aurat

Aurat ertinya anggota yang dimalui membukanya. Aurat wajib ditutup. Aurat wanita ialah seluruh badan. Aurat lelaki ialah antara pusat dengan lutut. Persoalan aurat wajib diberi perhatian khusus, kerana dengan mempersendakannya boleh menjatuhkan maruah diri sendiri juga orang lain.

Rasulullah SAW telah menjelaskan berkenaan kewajipan supaya menjaga aurat seperti di dalam hadithnya;

Terjemahan: Bahz bin Hakim memberitahukan kepada kami, diceritakan kepadaku oleh bapaku dari datukku berkata: Saya berkata wahai Rasulullah, auratku mana yang saya boleh mengerjakan dan mana yang saya harus meninggalkan?. Rasulullah bersabda: jagalah auratmu, kecuali terhadap isterimu atau hamba yang telah kamu miliki. (Hadith diriwayatkan oleh Abu Daud, hadith ini adalah hasan).

Dalam hal ini menjaga aurat perempuan lebih diutamakan, sebagaimana sebuah hadith menyebut;

Terjemahan: Dari Ibn Syihab dari Tabhan sahaya Ummi Salamah (isteri Rasulullah): Sesungguhnya Tabhan menceritakan bahawa Ummi Salamah menceritakan kepadanya, sesungguhnya dia dan Maimunah (isteri Rasulullah) di samping Rasulullah SAW dia berkata: Tatkala kami di samping Rasulullah, datanglah Ibnu Ummi Maktum kepada Rasulullah, peristiwa itu tatkala kami sudah diperintahkan menutup aurat, maka Rasulullah SAW bersabda: Tutupilah (aurat) kamu berdua dari dia. Saya berkata: Hai Rasulullah bukankah dia buta dan tak boleh melihat kita?. Maka sabda Rasululah SAW: Apakah kamu berdua buta, bukankah kamu berdua melihatnya. (Hadith diriwayatkan oleh Abu Daud, hadith ini adalah hasan sahih).

Kesimpulannya aurat semua pihak hendaklah dijaga demi melaksanakan syari‘at Allah SWT dan mengekalkan adab sesama umat Islam. Dengan memelihara aurat juga benteng maruah sesama mereka akan terjamin.

5.2.2 Memelihara pandangan

Menundukkan pandangan ertinya memelihara pandangan daripada menatapi lelaki ajnabi (bukan mahram) dan perempuan yang ajnabiyyah, yang kerananya boleh membuka jalan ke arah maksiat.

Selain itu dengan memelihara pandangan juga boleh menjaga maruah semua pihak, sama ada diri atau orang lain. Kadang kala pandangan mata yang tidak terurus menjadikan orang lain serba salah atau tersinggung.

Menyentuh Syari‘at supaya menundukkan pandangan mata ini telah disebut di dalam al-Qur’an;

Terjemahan: Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuanNya berkenaan apa yang mereka kerjakan. (Surah al-Nur 24: 30).

Ayat di atas menegaskan kepada orang Islam yang lelaki supaya mengawal mata mereka daripada melihat perkara yang dilarang yang boleh merangsang syahwat sama ada memandang wanita, lelaki, objek lucah atau sebagainya. Melalui kawalan ini ia dapat menjaga kehormatan mereka daripada terdorong kepada terjebak ke dalam kancah maksiat.

Demikianlah juga Syari‘at Islam amat mengambil berat kepada golongan wanita supaya bukan sahaja menundukkan pandangan mata mereka malah menggesa mereka supaya memberi perhatian serius dalam memelihara aurat. Dengan cara ini mereka lebih suci dan dengannya dapat menutup jalan-jalan maksiat. Firman Allah SWT;

Terjemahan: Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka. (Surah al-Nur 24: 31).

Bagi kaum wanita, dalam Syari‘at Islam, bukan sahaja diperintahkan menundukkan pandangan mata mereka terhadap lelaki ajnabi, malah mereka diperintahkan supaya menjaga kehormatan mereka dengan menutup aurat, kecuali bahagian tertentu seperti muka dan kedua tapak tangan.

Rasulullah SAW juga bersabda;

Terjemahan: Jawablah salam, tunduklah pandangan, perelokkanlah perkataan. (Hadith diriwayatkan oleh Ibn Qani‘ dari Abu Talhah).

Daripada sepotong hadith yang ringkas di atas dapat diambil manfaatnya untuk menjadi panduan kepada para penyambut tetamu iaitu; apabila seorang tetamu sampai maka mereka akan memberi salam, maka apa yang harus dilakukan oleh penyambut tetamu?. Tiga langkah seperti berikut;

1) Menjawab salam dengan sebaik-baiknya.
2) Memelihara pandangan mata terhadap tetamu.
3) Bercakaplah dengan sopan santun dari segi nada dan istilah yang baik.

Seriusnya Islam dalam menekankan soal menundukkan pandangan ini tergambar dalam sebuah hadith;

Terjemahan: Dari Jarir bin Abdullah berkata: Saya bertanya Rasulullah SAW mengenai pandangan spontan (pada perempuan), maka Rasulullah SAW memerintahkan aku menghindarkan pandanganku. (Hadith diriwayatkan oleh al-Tirmidhi).

Namun begitu tidaklah bererti wanita tidak dapat berkomunikasi dengan orang lelaki secara mutlak. Penjelasan di atas adalah perintah menundukkan pandangan atau memelihara mata daripada melihat kepada lelaki atau wanita yang mendatangkan syahwat. Jika bertujuan berjual beli atau tujuan melayani para tetamu yang hadir, tidaklah menjadi kesalahan, asalkan mereka tetap menjaga adab pergaulan menurut Islam. Berkenaan bolehnya wanita melayani lelaki yang bukan mahram tersirat di dalam sebuah hadith;

Terjemahan: Diriwayatkan daripada Sahl bin Sa‘ad (RA) katanya: Abu Usaid al-Saa‘idi telah mengundang Rasulullah SAW untuk menghadiri majlis perkahwinannya. Pada hari itu isterinya sendiri, iaitu pengantin perempuan melayani para tamu. Selepas itu Sahl berkata: Tahukah kamu apa yang telah diberikan oleh isteriku kepada Rasulullah SAW sebagai minuman? Dia (isteriku) telah merendam beberapa biji kurma pada malamnya dalam mangkuk. Ketika Rasulullah SAW makan dia memberikan kurma yang direndam itu sebagai minuman baginda SAW. (Hadith diriwayatkan oleh al-Bukhari).

Secara kesimpulannya, dalam pergaulan antara pelayan tetamu dengan tetamu mereka, hendaklah mengikut peraturan Islam, supaya tidak memandang antara satu sama lain dengan pandangan yang haram. Seorang wanita boleh berurusan dengan tetamu lelaki ajnabi atau sebaliknya jika mereka benar-benar berpegang teguh kepada syariat Islam, iaitu dengan berdasarkan hadith Sahl bin Sa‘ad (RA) yang lalu.

5.3 ETIKET DALAM BERKOMUNIKASI

Berkomunikasi merupakan bahagian yang paling penting dalam melayani tetamu. Layanan yang dianggap baik bergantung kepada kejayaan komunikasi pelayan terhadap tetamunya. Komunikasi adalah lebih menumpukan kepada perpindahan maklumat antara pelayan dengan tetamunya.

Berkomunikasi ertinya berhubung secara langsung melalui percakapan, surat, radio, telefon, internet, sms dan sebagainya. Iaitu mengadakan perhubungan secara bercakap, berbincang, bertukar-tukar pendapat dan lain-lain.

Islam telah memperkenalkan adab dalam berkomunikasi. Berikut beberapa etiket berkomunikasi yang telah diperkenalkan oleh Rasulullah SAW sepanjang pelayanan baginda SAW terhadap tetamu.

5.3.0 Adab dalam penggunaan kata-kata

Tajuk-tajuk yang sesuai dalam perbualan sosial seperti mengenai makanan, perjalanan, berita terkini, kegemaran, pakaian, bercucuk tanam, kesenian dan sebagainya.

Kejayaan perbualan bergantung kepada kesesuaian tempat dan mempunyai minat mengenai apa yang dibualkan itu. Antara perbualan sosial yang berkesan antaranya mendengar perbualan dengan teliti. Mengarahkan pandangan mata kepada orang yang bercakap. Bercakap dengan nada yang sederhana.

Elakkan daripada bercakap terlalu lama, kerana boleh membosankan pendengar. Berbual dengan bersahaja, iaitu tidak serius. Ealakkan daripada menggunakan tangan dan kaki. Elakkan dari mengumpat. Elakkan daripada berjenaka yang berlebihan. Elakkan daripada percakapan yang bercorak lucah. Berbual dengan seberapa ramai yang boleh. Elakkan daripada berbisik-bisik. Elakkanlah daripada memotong cakap orang lain.

Mengucapkan dengan kata-kata yang baik-baik merupakan salah satu syariat Allah SWT. Firman Allah SWT;

Terjemahannya: Dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, serta orang-orang miskin, dan katakanlah kepada sesama manusia (dengan) perkataan-perkataan yang baik; dan dirikanlah sembahyang serta keluarkanlah zakat". (Surah al-Baqarah 2: 83).

Daripada ayat di atas menjelaskan perintah Allah SWT antara lain supaya mengucapkan dengan kata-kata yang baik-baik apabila berbicara sesama manusia. Diceritakan oleh Aisyah (R.Anha) seperti dalam bab empat yang lalu berkenaan sikap orang-orang Yahudi yang sukakan ucapan-ucapan yang buruk;

Terjemahan: Sekumpulan puak Yahudi datang kepada Rasulullah SAW, lalu mereka berkata: “al-samu alaika” (Mudah-mudahan kematian menimpamu). Aisyah berkata: Maka aku faham apa yang mereka kata, lalu aku menjawab: ‘Alaika al-sam wa al-la‘nat (Mudah-mudahan kematian menimpamu dan terkutuk)”. Aisyah berkata: Maka Rasulullah SAW bersabda: "Pelahan-lahanlah wahai Aisyah, maka sesungguhnya Allah SWT menyukai lemah lembut di dalam semua urusan". Aku berkata, Ya Rasulullah, adakah tidak anda dengar apa yang mereka katakan?. Aisyah berkata: Rasulullah SAW bersabda: "katalah, ke atas kamu ". (Hadith diriwayatkan oleh al-Bukhari).

Hadith di atas mejelaskan sikap orang-orang Yahudi yang tidak menghormati Rasulullah SAW, mereka sering menghina Rasulullah SAW dengan berbagai-bagai cara. Walau bagaimanapun baginda sentiasa memperlihatkan sikap bersopan santun dan lemah lembut dalam berkomunikasi.

Seterusnya sabda Rasulullah SAW;

Terjemahan: Amalan yang terbaik di sisi Allah ialah menjaga lidah. (Hadith diriwayatkan oleh al-Baihaqi dari Abu Juhaifah, Hadith adalah da‘if).

Terjemahan: Kecantikan kepada seseorang lelaki itu bergantung kepada lidahnya. (Hadith diriwayatkan oleh al-Hakim dari ‘Ali bin al-Husin dengan mursal, Hadith ini adalah sahih)

Oleh itu diseru kepada kepada semua umat Islam supaya sentiasa menjaga lidah daripada melafazkan kata-kata yang tidak sopan.

Sabda Rasulullah SAW;

Terjemahan: Jagalah lidah kamu. (Hadith diriwayatkan oleh Ibn ‘Asakir dari Malik bin Yakhamir.)

Apabila seseorang itu sentiasa mengawal lidahnya daripada mengeluarkan kata-kata yang buruk, dan sentiasa mengawasi lidahnya kepada hal-hal kebenaran sahaja maka dengan sebab itu Allah SWT akan mengasihi mereka. Jika setiap individu Muslim berakhlak demikian maka keharmonian dan keselamatan seluruh umat Islam akan terjamin. Sabda Rasulullah SAW;

Terjemahan: Allah mengasihi seseorang yang memperbaiki lidahnya. (Hadith diriwayatkan oleh Ibn ‘Asakir dari Anas, Hadith ini adalah Hasan).

Terjemahan: Orang-orang Islam yang terbaik ialah yang selamat orang-orang Islam lain dari lidahnya dan tangannya. (Hadith diriwayatkan oleh Muslim dari Ibn Amr, Hadith ini adalah sahih).

Terjemahan: Jawablah salam, tunduklah pandangan dan perbaikilah perkataan. (Hadith diriwayatkan oleh Ibn Qani‘ dari Abu Talhah).

Untuk mencapai tanap supaya sentiasa berlemah lembut di dalam pengucapan dan menjamin akhlak percakapan mereka sentiasa dalam keadaan baik, maka hendaklah sentiasa melatih diri dengan pengucapan-pengucapan yang baik dengan menjadikannya sebagai sebahagian daripada kehidupan. Sabda Rasulullah SAW;

Terjemahan: Lazimkanlah dengan perkataan yang baik-baik dan lazimkanlah dengan memberi jamuan makan. (Hadith diriwayatkan oleh al- Bukhari dan al-Hakim, kedua-duanya dari Hani bin Yazid).

Terjemahan: Hendaklah kamu semua menjamu makanan dan hendaklah kamu semua memperbaiki kata-kata. (Hadith diriwayatkan oleh al-Tabrani di dalam al-Kabir dari al-Hasan bin ‘Ali. Hadith ini adalah hasan).

Jika mereka diuji dengan peminta-peminta sedekah, maka terhadap peminta sedekah itu tidak boleh sekali-kali diherdek. Jika tidak ada peruntukan untuk membantu mereka maka untuk melayani mereka, gunakanlah kata-kata yang lembut dan sopan santun, kerana perkataan yang sopan santun itu lebih baik daripada bersedekah, jika sedekah itu boleh menyakitkan hati penerimanya. Firman Allah SWT;

Terjemahan: Menolak peminta-peminta sedekah) dengan perkataan yang baik dan memaafkan (kesilapan mereka) adalah lebih baik daripada sedekah (pemberian) yang diiringi (dengan perbuatan atau perkataan yang) menyakitkan hati. Dan (ingatlah) Allah maha kaya, lagi maha menyabar". (Surah Al-Baqarah 2:263).

Daripada ayat di atas tenyata kepada kita supaya sentiasa berakhlak mulia dalam berkomunikasi sesama manusia. Pilihlah perkataan-perkataan yang lembut dan tidak menyinggung perasaan tetamu atau peminta berkenaan. Dalam berbicara hendaklah berbicara yang ingin disampaikan dengan jujur dan setepat mungkin seperti firman Allah SWT;

Terjemahan: Wahai orang-orang yang beriman! bertakwalah kepada Allah, dan katalah perkataan yang tepat - benar (dalam segala perkara)". (Surah Al-Ahzab 33:70).

Daripada yang telah dihuraikan di atas dapatlah dibuat kesimpulan bahawa memilih dan menggunakan istilah dan bahasa yang tepat dan betul adalah penting demi menjaga perasaan sesama insan.

Jika orang lain mengeluarkan istilah-istilah yang boleh menyinggung perasaan kita, maka bersabarlah dan balaslah dengan perkataan yang baik-baik, kerana Allah SWT menghendaki kita berlemah lembut dalam semua urusan. Bagi penyambut tetamu, memperhalus bahasa mereka amat penting kerana pelanggan akan menilai semua sistem berdasarkan budi bahasa penyambut tetamu.

5.3.1 Adab dalam penekanan nada suara

Penggunaan suara dalam berbicara sesama manusia adalah mengikut kadar yang sederhana yang sekira-kira dapat didengari dan difahami. Nada suara dapat menggambarkan mesej yang hendak disampaikan, sekali gus dapat mengambarkan akhlak seseorang.

Allah SWT pernah menegur para sahabat Rasulullah SAW yang tidak mengambil berat berkenaan akhlak dalam penekanan nada suara ketika bercakap. Teguran itu ditujukan kepada mereka yang terlalu lantang bercakap di hadapan Rasulullah SAW, seperti firman Allah SWT;

Terjemahan: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengangkat suara cakap kamu melebihi suara cakap nabi, dan janganlah kamu menyaringkan suara semasa menghadapkan cakap kepadanya sebagaimana setengah kamu menyaringkan suaranya semasa menghadapkan cakap kepada setengahnya yang lain. (Larangan yang demikian) supaya amal-amal kamu tidak hapus pahalanya, sedang kamu tidak menyedarinya. Sesungguhnya orang-orang yang merendahkan suaranya (semasa mereka berada) di sisi Rasulullah SAW, merekalah orang-orang yang telah dibersihkan oleh Allah SWT akan hati mereka untuk bertakwa; mereka beroleh keampunan dan pahala yang besar". (Surah Al-Hujurat 49:2-3).

Menggunakan tekanan suara secara sederhana bukanlah bererti bercakap lembut hanya di hadapan Rasulullah SAW sahaja, sedangkan di hadapan orang-orang lain boleh mengangkat suara sesuka hati. Kalaulah di hadapan Rasulullah SAW dilarang berbuat demikian semata-mata memelihara akhlak yang mulia, maka di tempat-tempat lain juga digalakkan berbuat demikian. Demikianlah pesanan Luqman al-Hakim terhadap anaknya seperti yang dirakamkan di dalam al-Qur’an;

Terjemahan: Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah suramu (semasa berkata-kata), sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai". (Surah Luqman 31:19).

Daripada pengajaran ayat di atas dapat diambil kesimpulan dalam melayani pelanggan atau tetamu hendaklah menggunakan tekanan suara secara sederhana sahaja. Suara yang kuat dapat melukakan perasaan orang yang mendengar, walaupun tidak diniatkan untuk memarahinya, tetapi nada itu boleh menggambarkan segala-galanya.

Untuk mengetahui pengaruh nada suara, katakan diambil perkataan "Tidak ada". Sebutkan perkataan itu dengan nada yang terkejut. Ulang lagi perkataan yang sama, tetapi secara bersahaja. Ulangi lagi perkataan berkenaan seoleh-olah rahsia. Kali ini anda senyum lebih dahulu, kemudian sebutlah perkataan berkenaan. Akhir sekali ulangi lagi perkataan itu untuk menggambarkan suatu pernyataan. Lima nada itu menggambarkan lima maksud yang tersebut.

Antara cara-cara untuk melunakkan suara antaranya ialah;

1. Suara itu hendaklah mempunyai kadar biasa.
2. Kekuatan tekanan nada yang berubah-ubah.
3. Pertuturan yang semacam ada lagu dan irama.
4. Pertuturan yang jelas dan terang.
5. Bunyi seperti tersenyum.
6. Menekankan loghat yang betul.
7. Jangan meminjam loghat orang lain.

Untuk mencapai mutu komunikasi yang baik, cubalah mengelakkan daripada beberapa nada berikut:-

1. Bentuk nada suara yang sama seperti robot.
2. Nada terlalu pelahan.
3. Nada terlalu kuat.
4. Nada yang selalu terhenti-henti.
5. Sengau.
6. Bercakap sambil ketawa.
7. Meniru loghat tertentu.

Penggunaan loghat daerah yang tidak betul boleh membawa maksud mempersendakan tetamu. Jika kurang fasih dengan loghat daerah, gunakan sahaja loghat biasa.

5.3.2 Adab ketika gembira

Di antara aksi kegembiraan ialah senyuman. Sebagai seorang penyambut tetamu, senyuman amat penting diukirkan. Mereka yang datang dengan membawa seribu masalah, disambut dengan senyuman, maka betapa gembiranya hati mereka.

Senyuman adalah satu pemberian, hadiah atau sedekah, demikianlah Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud;

Terjemahan: Senyuman kamu terhadap saudara kamu adalah sedekah. (Hadith diriwayatkan oleh Al-Tirmidhi).

Harapan tetamu terhadap tuan rumah atau penyambut tetamu amatlah tinggi. Mereka mengharapkan kehadiran mereka sentiasa dinanti-nantikan. Mereka mengharapkan supaya kedatang mereka disambut dengan senyuman manis tanda gembira dengan kedatangan mereka.

Rasulullah SAW sentiasa senyum manis ketika menyambut tetamu dan dalam semua keadaan ketika berhadapan dengan manusia.

Rasulullah SAW mengingatkan umatnya supaya mengambil berat dan memandang serius terhadap semua kebajikan, walaupun sesetengah kalangan menganggap sesetengah kebajikan itu merupakan perkara yang kecil faedahnya seperti senyuman, bermuka manis dan sebagainya.

Jika umat Islam memandang serius kepada semua kebajikan sama ada yang kecil atau besar, tentulah masyarakat Islam tidak ketinggalan. Peringatan Rasulullah SAW supaya jangan memandang rendah terhadap sesuatu kebaikan, terungkap dalam sebuah hadith;

Terjemahan: Dari Abu Dhar, dia berkata: Nabi SAW pernah bersabda: Janganlah kamu merendahkan masalah kebajikan barang sedikitpun, walaupun dengan cuma memperlihatkan wajah berseri-seri ketika kamu bertemu dengan saudaramu. (Hadith diriwayatkan oleh Muslim).

Jarir (RA) merupakan sahabat baginda SAW yang mengakui sendiri pengalaman beliau ketika bersama Rasulullah SAW seperti tersebut dalam sebuah hadith;

Terjemahan: Dari Jarir bin Abdullah berkata: Rasulullah SAW tidak pernah menghalangiku masuk kepada baginda sejak aku masuk Islam dan baginda tidak melihatku melainkan baginda tersenyum. (Hadith diriwayatkan oleh al Bukhari dan Muslim).

Daripada keterangan di atas maka dapatlah dibuat kesimpulan bahawa apabila menyambut tetamu, hendaklah menyambut mereka dengan senyuman, wajah yang berseri-seri dengan tulus ikhlas daripada hati kerana rasa gembira menyambut kehadiran mereka. Yang dilakukan ini merupakan suatu kebaikan yang tidak dapat dinilai harganya, hanya Allah SWT sahaja yang dapat membalasnya.‎

5.3.3 Tetamu sentiasa benar

Sebagai tuan rumah atau penyambut tetamu hendaklah memberikan penuh kepercayaan kepada tetamu. Mereka dikehendaki lebih banyak mendengar dari bercakap. Mempercayai berkenaan kejujuran tetamu adalah suatu perkara yang dituntut oleh Islam.

Kedatang tetamu pada umumnya membawa suatu tujuan, dan yang patut diberi perhatian adalah tujuan atau maksud mereka itu. Maka segala permasalah mereka dalam mencapai tujuan mereka itu hendaklah diterima, seperti yang digambarkan dalam sebuah hadith;

Terjemahan: Dari Ummi Salamah, ia berkata: Rasulullah SAW bersabda: Orang yang mahu minta pendapat, maka ia dapat dipercayai. (Hadith diriwayatkan oleh Abu Daud).

Semasa mereka dilayan tentu ada perkara-perkara yang tidak memuaskan, mungkin perlakuan kasar sesetengah staf, peralatan tidak memuaskan, keselamatan yang kurang terjamin dan sebagainya, hendaklah diambil serius oleh pihak tuan rumah, tanpa menyalahkan pihak tetamu.

Terjemahan: Diriwayatkan daripada ‘Uqbah bin ‘A.mir (RA) katanya: Wahai Rasulullah! Engkau mengutuskan kami, lalu kami pergi kepada suatu kaum, tetapi mereka tidak melayani kami, apa pendapat mu? Rasulullah SAW menjawab dengan bersabda kepada kami: Sekiranya kamu pergi kepada suatu kaum, lalu mereka melayan kamu sebagaimana yang sepatutnya dilakukan terhadap tetamu, maka terimalah. Sekiranya mereka tidak melakukannya, maka kamu berhak menuntut daripada mereka hak tetamu yang diwajibkan ke atas mereka. (Hadith diriwayatkan oleh al Bukhari dan Muslim).

Hadith di atas telah menjelaskan berkenaan tetamu sentiasa benar, kerana itu mereka diizinkan oleh Rasulullah SAW untuk mengambil hak mereka jika tidak mendapat layanan daripada masyarakat berkenaan. Jika tetamu merupakan golongan yang tidak boleh dipercayai, maka tentulah Rasulullah SAW tidak membenarkan mereka mengambil hak sebagai tetamu daripada penduduk berkenaan. Hadith di atas adalah sekadar untuk menyatakan bahawa tetamu adalah sentiasa benar. Dari segi hukum, hadith di atas telah dimansuhkkan dengan surah al-Nisa’ ayat 29 yang melarang memakan harta di antara sesama mereka dengan cara yang salah (batil).

Oleh itu, pihak tuan rumah hendaklah sentiasa mempercayai keadaan tetamu itu dari segi masalah yang mereka tanggung dengan menyediakan kemudahan yang sesuai untuk tetamu, kerana Rasulullah SAW telah menjamin kejujuran mereka.

5.3.4 Memudahkan urusan

Sebagai seorang tetamu atau pelanggan berada di luar rumahnya akan sentiasa mengikut peraturan-peraturan yang ditentukan ke atasnya.

Oleh itu bagi menentukan peraturan itu terpulanglah kepada pihak pengurus institusi hospitaliti untuk menetapkannya. Mereka sewajarnya menetapkan undang-undang untuk kebaikan kedua-dua belah pihak serta tidak memberatkan pelanggan. Rasulullah SAW amat memberi perhatian dalam hal ini seperti sabdanya;

Terjemahan: Dari Anas (RA) , berkata : Rasulullah SAW bersabda : Permudahkanlah dan jangan menyusahkan dan menenangkan dan jangan menakutkan. (Disepakati oleh al-Bukhari dan Muslim).

Di dalam hadith lain menyebut;

Terjemahan: Dari Abu Musa (RA) , berkata: Adalah Rasulullah SAW apabila mengirimkan sahabatnya untuk sesuatu urusan, baginda bersabda: “Gembirakanlah dan jangan menakutkan, permudahkan dan jangan menyusahkan”. (Hadith diriwayatkan oleh al Bukhari dan Muslim).

Oleh itu sebagai penyambut tetamu atau tuan rumah patut memikirkan semula peraturan-peraturan yang telah mereka tetapkan agar tidak memberatkan tetamunya ketika berurusan. Bagi pengusaha hotel, restoran, klinik, kaunter-kaunter perkhidmatan dan sebagainya patut memikirkan peraturan yang lebih bersifat syar‘i (sesuai dengan kehendak Islam), supaya memudahkan semua pihak. Sesetengah berpendapat berbaris menanti giliran itu menyusahkan, tetapi itu adalah semudah-mudah cara untuk berurusan.

Mengasingkan barisan lelaki daripada barisan wanita dianggap sebagai melampau (fanatic), padahal itu adalah peraturan yang memudahkan mereka berurusan. Pemisahan itu bukanlah berbentuk tidak ada tolak ansur (rigid), bukanlah bermaksud memisahkan ibu daripada anaknya, suami isteri dan sebagainya.

Dalam hal ini tidak ada ayat al-Qur’an atau al-Hadith yang memerintahkan supaya ada pengasingan, tetapi penekanan kepada perintah menundukkan pandangan (surah al-Nur 24:30).

Oleh itu terpulanglah kepada hos atau tuan rumah untuk memikirkan supaya ada satu dorongan kepada mereka ke arah galakan menundukkan pandangan dan memisahkan daripada kumpulan lelaki dan wanita supaya semua pihak berasa selesa serta mereka berasa marwah mereka dihargai.

5.4 ETIKET DALAM PERSAHABATAN

5.4.0 Baik dalam Pergaulan

Rasulullah SAW bersabda; Terjemahan: Dari Abu Dhar berkata: Rasulullah SAW bersabda kepadaku: “Bertakwalah kepada Allah di mana kamu berada, ikutilah keburukan dengan kebaikan niscaya kebaikan itu menghapuskannya, dan pergaulilah sesama manusia dengan perangai yang baik”. (Hadith diriwayatkan oleh Al-Tirmidhi).

Islam menggalakkan umatnya supaya sentiasa bergaul mesra sesama manusia. Dalam sebuah hadith menyebut;

Terjemahan: Dari ‘Ali (RA) katanya: “Saya menghafal hadith dari Rasulullah SAW iaitu sabda baginda: Tidak ada keyatiman apabila telah bermimpi (baligh) dan tidak boleh berdiam (tidak berbicara) sehari semalam”. Diriwayatkan oleh Imam Abu Daud dengan sanad Hasan.

Al-Khattab berkata dalam menafsirkan hadith ini, demikian: Termasuk golongan salah satu di antara cara ibadat di zaman jahiliah ialah berdiam diri (tidak berbicara). Lalu mereka itu dilarang berbuat demikian dalam Islam dan diperintah untuk berzikir serta bercakap-cakap dengan baik-baik.

Hadith di atas telah menjelaskan kaedah pergaulan sesama insan. Di sana terdapat larangan mendiamkan diri di hadapan orang lain tanpa berkata apa-apa pun.

Sebaliknya apabila berada di hadapan tetamu khususnya, hendaklah memulakan pergaulan dengan bercakap-cakap berkenaan apa-apa sahaja, asalkan yang diperkatakan itu baik dan tidak menyinggung perasaan tetamu.

Di samping itu dalam pergaulan bersama-sama tetamu, Rasulullah SAW melarang berbisik-bisik di hadapan orang lain;

Terjemahan: Dari Abdullah ia berkata: Rasulullah SAW bersabda: kalau kamu bertiga, maka yang dua orang janganlah berbisik-bisik meninggalkan temannya. (Hadith diriwayatkan oleh Muslim. Hadith ini adalah hasan sahih).

Ia juga dapat difahami bahawa segala bentuk persahabatan yang menyebabkan orang yang ketiga tidak memahami, maka adalah dilarang, seperti dua orang yang menggunakan bahasa asing, sedangkan seorang lagi tidak mengerti, kecualilah dilantik seseorang sebagai juru bahasa.

Jika terdapat perselisihan faham antara mereka janganlah ditangguh sampai melebih tiga hari tidak bergetur sapa antara mereka, kerana Islam tidak membenarkan mereka membisu terhadap temannya melebihi tiga hari seperti sabda Rasulullah SAW;

Terjemahan: Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya tidak halal bagi seorang Muslim meninggalkan (memulaukan) temannya melebihi (tiga hari) tiga malam. (Hadith diriwayatkan oleh al-Bukhari).

Hadith ini menjelaskan bahawa sebagai tuan rumah, apabila tidak berpuas hati terhadap gelagat tetamunya itu, janganlah menaruh perasaan dendam pada hati yang berpanjangan, sebaliknya hendaklah bertolak ansur dan memaafkan kesalahan tetamunya itu. Oleh itu sesuatu yang terguris di hati atas perbuatan tetamu itu hendaklah segera dikikis daripada pemikiran sebelum sampai tiga hari.

5.4.1 Persaudaraan

Islam mengajar umatnya supaya menjalinkan perhubungan kasih sayang sesama mereka, kerana Allah SWT telah menyatakan bahawa orang yang beriman itu ditetapkan supaya bersaudara;

Terjemahan: Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara. (Surah Al-Hujurat 49: 10).

Allah SWT berfirman; Terjemahan: Kaum mukminin itu merendahkan diri kepada sesama kaum muminin serta brsikap mulia, tegas terhadap kaum kafirin. (Surah Al-Ma’idah 5: 54).

Oleh itu sebagai seorang penyambut tetamu hendaklah menghubungkan kasih sayang dengan tetamunya itu, tidak kira tetamu itu terdiri daripada keluarganya atau orang lain, sama ada Muslim ataupun bukan Muslim.

Layanan terhadap orang yang beriman adalah berbeza daripada orang yang tidak beriman, kerana orang yang beriman sentiasa takut kepada Allah SWT dengan mengikut peraturan Allah SWT.

Oleh itu menunjukkan kasih sayang dan persahabatan terhadap tetamu itu adalah satu sifat yang baik. Sebagai balasan terhadap sikap persahabatan dan kasih sayang, maka Allah SWT telah menjanjikan kepada mereka ganjaran syurga.

Menyentuh persoalan industri hospitaliti yang mengutamakan konsep persaudaraan Islam telah dipelopori oleh Hotel Ansar yang merupakan satu-satunya hotel yang mengamalkan konsep Islam dalam operasi mereka. Mereka cuba menghayati sifat persaudaraan terhadap tetamu seperti yang telah ditunjukkan oleh golongan Ansar Madinah ketika menyambut kedatangan tetamu mereka yang terdiri daripada Rasulullah SAW dan seluruh kaum Muhajirin yang datang dari Makkah al-Mukarramah.

Oleh itu tuan rumah atau penyambut tetamu perlulah peka terhadap keperluan tetamu. Setiap tetamu memerlukan kemudahan mengikut usia mereka. Kanak-kanak berumur sekitar lima tahun memerlukan mainan dan tempat duduk yang sesuai dengannya. Remaja perlukan peralatan sukan dan rekreasi. Sementara warga tua perlukan khidmat rawatan kesihatan.

5.4.2 Adab melayani kerenah tetamu

Dalam memberi layanan, ia memerlukan kesabaran dan sentiasa memberi kemaafan kepada tetamu. Bersabar terhadap kerenah tetamu merupakan salah satu cabaran yang boleh mematangkan fikiran dan meningkatkan mutu perkhidmatan pelayanan.

Allah SWT menganjurkan supaya sentiasalah memberi kemaafan dan sentiasalah bersifat sabar dalam menangani segala masalah. Firman Allah SWT;

Terjemahan: Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah) Allah mengasihani orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik. (Surah A.li ‘Imran 3: 134).

Terjemahan: Sesungguhnya jalan (untuk menyalahkan) hanyalah terhadap orang-orang yang melakukan kezaliman kepada manusia dan bermaharajalela menceroboh di bumi dengan tidak ada sebarang alasan yang benar. Mereka itulah orang-orang yang beroleh azab siksa yang tidak terperi sakitnya. Dalam pada itu (ingatlah), orang yang bersabar dan memaafkan (kesalahan orang terhadapnya) sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki di ambil berat (melakukannya). (Surah Al-Syura 42: 42-43).

Untuk mencapai tingkat kesabaran dalam melayani dan berhadapan dengan kerenah tetamu ini maka hendaklah mereka banyak-banyak berdoa kepada Allah SWT dan sentiasa mendirikan sembahyang, sama ada sembahyang wajib atau sembahyang sunat sebagai penyerahan diri kepada Allah SWT. Manakala sembahyang hajat patut juga didirikan untuk memohon kepada Allah SWT sedikit kekuatan jiwa untuk mengatasi masalah dengan penuh ketabahan hati dan kesabaran. Firman Allah SWT;

Terjemahan: Wahai sekelian orang-orang yang beriman, mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang, kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang bersabar. (Surah al-Baqarah 2: 153).

Mengikut peraturan alam yang telah ditentukan bahawa segala pekerjaan yang mencabar tidak akan berjaya kecuali dengan kesungguhan dan kesabaran dalam melakukan pekerjaan tersebut, serta cekal menghadapi sebarangan cabaran. Oleh itu sesiapa yang tetap sabar dalam melakukan tugas berkenaan, bererti ia telah menurut peraturan alam yang telah ditetapkan oleh Allah dan akhirnya ia akan berjaya.

Melakukan kerja-kerja yang mencabar perlulah memohon pertolongan Allah SWT supaya kerja-kerja dapat dilakukan dengan penuh kesabaran, dan memohon semoga dikurniakan semangat yang teguh untuk menghadapi tugas-tugas yang menyulitkan itu.

Sebagai panduan, kita boleh mencontohi Nabi Muhammad SAW yang sentiasa menyerah diri kepada Allah SWT dengan mendirikan sembahyang apabila mengalami sesuatu kesulitan dan kesusahan. Di sana baginda SAW berdoa kepada Allah SWT untuk memohon restu dan keteguhan hati untuk menghadapinya.

Orang yang sentiasa bersabar terhadap tetamu dalam melayani keperluan-keperluan mereka menandakan ketinggian tahap keimanan mereka kepada Allah SWT, seperti sebuah hadith menyebut;

Terjemahan: Terlebih baik iman ialah sabar dan murah hati. Diriwayatkan oleh al-Bukhari dari ‘Umair al-Laithi, hadith ini adalah sahih).

Di samping Rasulullah SAW bersabar, baginda sering memberi kemaafan kepada sesiapa sahaja yang menyusahkan dan menyakitkan hatinya. Hal ini terungkap dalam sebuah hadith;

Terjemahan: Dari Abu Ishaq berkata: Saya mendengar Abu Abdullah al-Jadali berkata: Saya bertanya kepada Aisyah berkenaan perangai Rasulullah SAW, lalu beliau berkata: Rasulullah SAW Bukanlah orang yang keji, bukan orang sengaja berbuat keji, bukan orang yang suka berteriak-teriak di pasar dan tidak membalas kejahatan dengan kejahatan, tetapi beliau adalah suka memaafkan dan berjabat tangan. (Hadith diriwayatkan oleh al-Bukhari).

Yang dapat dilihat daripada keterangan di atas bahawa sebagai penyambut tetamu atau tuan rumah tentunya menghadapi masalah yang banyak dalam melayani tetamu yang mempunyai berbagai-bagai jenis masalah dan keinginan. Oleh itu bagi menangani masalah itu tuan rumah terpaksa berkorban dengan sentiasa bersabar dalam melayan mereka seterusnya sentiasa memaafkan kesalahan mereka.

Meningkatkan kesabaran dan sentiasa memberi kemaafan dapat dilakukan dengan baik jika sentiasa mendirikan sembahyang dan sentiasa berdoa kepada Allah SWT memohon kekuatan semangat bagi menghadapi cabaran berkenaan.

5.4.3 Adab berjanji.

Berjanji merupakan suatu yang tidak dapat dielakkan oleh pihak pelayan terhadap tetamunya. Terutamanya dalam industri hospitaliti, pihak pengusaha sering menjanjikan sesuatu yang istimewa untuk tetamu atau pelanggannya. Apabila mereka berjanji, ia wajib ditepati. Firman Allah SWT;

Terjemahan: Dan penuhilah janji, kerana sesungguhnya janji itu akan ditanyakan. (Surah al-Isra’ 17: 34).

Oleh sebab menusia lemah dalam menunaikan janji kerana kemampuan manusia adalah terhad, sementara keinginan manusia tidak terbatas, maka segala janji-janji mereka terhadap tetamu hendaklah diiringi dengan menyebut “Insyaallah”. Insyaallah ertinya jika dikehendaki oleh Allah.

Sesuatu perkara yang akan berlaku, tidak diketahui oleh sesiapa pun melainkan Allah SWT jua. Oleh itu mereka yang mengharapkan sesuatu supaya berlaku pada hari akan datang supaya mengatakan “Insyaallah”.

Konsep Insyaallah digunakan untuk menyatakan sesuatu yang sungguh-sungguh akan dilakukanya pada hari yang akan datang dengan bergantung harap kepada Allah SWT semoga ia dapat dilakukan dengan berjayanya. Berkenaan yang demikian Allah SWT berfirman di dalam al-Qur’an;

Terjemahan: Dan janganlah engkau berkata mengenai sesuatu (yang hendak dikerjakan): "Bahawa aku akan lakukan yang demikian itu, kemudian nanti". Melainkan (hendaklah disertakan dengan berkata): “Insyaallah”. Dan ingatlah serta sebutlah akan Tuhanmu jika engkau lupa, dan katakanlah: Mudah-mudahan Tuhanku memimpinku ke jalan pertunjuk yang lebih dekat dan lebih terang dari ini. (Surah al-Kahfi 18:23-24).

Kalau dilihat dari segi asbab al-nuzul atau sebab-sebab diturunkan ayat di atas merupakan perintah Allah supaya mengatakan Insyaallah apabila berjanji, sebagai ekoran satu peristiwa dua orang Quraisy Nadr bin al-Harth dan ‘Uqbah bin Muith yang telah mendapat nasihat daripada pendita Yahudi Madinah berkenaan memastikan Muhammad itu benar-benar rasul atau tidak. Pendita Yahudi meminta mereka supaya bertanyakannya mengenai tiga perkara kepada Muhammad iaitu ashab al-Kahfi, Dhu al-Qarnain dan ruh. Apabila soalan itu diajukan, Rasulullah SWT pun berjanji bahawa esok akan diceritakan tanpa menyebut “Insyaallah”. Malangnya sampai lima belas malam Jibril (AS) tidak kunjung tiba. Hal ini menyebabkan penduduk Mekah mula hilang keyakinan dan Rasulullah SAW merasa sedih hati. Setelah itu, turunlah ayat yang menceritakan ketiga-tiga perkara itu dengan jelas. Di samping itu Allah SWT menegur Rasulullah SAW supaya mengatakan “Insyaallah” jika sesuatu yang akan dibuat pada masa akan datang. Jika terlupa menyebut “Insyaallah” semasa itu, sebutlah semasa ingat. Semoga Allah SWT sentiasa memberi pertolongan menjayakan segala hajat dan cita-cita.

Ayat di atas memahamkan kita berkenaan perintah Allah SWT supaya sering bergantung kepada Allah SWT. Sesuatu keadaan atau perbuatan yang akan datang, hendaklah diiringi dengan “Insyaallah” iaitu penyerahan segala-galanya kepada Allah SWT.

Dalam memperkatakan konsep Insyaallah ini terdapat sekurang-kurangnya lima perkara yang tersirat di dalamnya;

1. Berjanji.
2. Harapan dan doa kepada Allah SWT
3. Kesungguhan memelihara amanah.
4. Tanda-tanda positif bahawa dia dapat dilakukannya.
5. Pergantungan kepada Allah SWT.

Pada kebiasaan penggunaan “Insyaallah” dalam percakapan harian adalah semata-mata untuk menunjukkan perjanjian kesanggupan diri kita untuk melakukan sesuatu cita-cita pada waktu-waktu yang akan datang. Apabila tasawur “Insyaallah” tidak difahami dengan jelas, maka ia bertukar kepada pengertian yang negatif iaitu semata-mata untuk memaniskan percakapan, sedangkan di hati tidak.

Oleh sebab itu terdapat sesetengah kalangan masyarakat Islam yang jahil telah menolak penggunaan “Insyaallah” ini, malah segala janji-janji yang dibuat tidak disandarkan kepada Allah SWT sebaliknya diminta dengan tegas dan pasti pekerjaan itu dapat dilakukan pada masa akan datang. Secara tidak langsung tersirat di sana penolakan terhadap syari‘t berkenaan.

Daripada keterangan di atas dapatlah dibuat kesimpulan berkenaan konsep Insyaallah, wajar digunakan dalam melayani tetamu apabila berjanji sesuatu dengan mereka. Selain tanda keimanan dan pergantungan diri kepada Allah SWT, ia dapat meningkatkan keimanan pada hati, ia jua boleh memberi keyakinan kepada tetamu bahawa yang dijanjikan kepada mereka akan terlaksana kerana janji-janji itu disertai doa kepada Allah SWT. Tetamu sama ada Muslim atau bukan Muslim semuanya percaya bahawa sesuatu yang akan datang itu Tuhan yang menentukan. Oleh itu penggunaan Insyaallah dapat diterima oleh semua, kerana ia merangkumi memohon doa dan restu daripada Tuhan.

Menjamin keselamatan: Sebagai tuan rumah, mereka bertanggungjawab terhadap keselamatan tetamu. Diceritakan Nabi Hud (AS) terlalu mengambil berat berkenaan keselamatan tetamunya itu, seperti disebutkan di dalam al-Qur’an;

Terjemahan: Dan (semasa kedatangan tetamunya) datanglah penduduk bandar itu dengan gembira. Nabi Lut berkata: "Sesungguhnya mereka ini tetamuku, maka janganlah kamu memberi malu kepadaku. "Dan takutlah kamu kepada Allah, serta janganlah kamu menghina aku". (Surah Al-Hijr 15: 67-69).

Dalam Islam, setiap individu mempunyai ruang atau kawasan yang diwajibkan oleh Allah SWT supaya menjaganya. Seorang pemimpin negara, bertanggungjawab terhadap rakyat. Setiap ibu bapa bertanggungjawab terhadap anak-anaknya. Setiap suami, bertanggungjawab terhadap isterinya. Begitulah seorang penyambut tetamu, bertanggungjawab terhadap tetamunya itu.

Oleh itu sebagai penyambut tetamu atau tuan rumah adalah bertanggungjawab terhadap tetamunya supaya tetamunya sentiasa berada dalam keadaan selamat, diri dan maruah, kerana kesemuanya itu akan disoal kelak oleh Allah SWT pada hari akhirat.

Sebagai seorang tetamu, mereka merupakan orang asing, dan amat memerlukan penjagaan rapi terhadap dirinya supaya keselamatannya sentiasa terjamin. Diceritakan Rasulullah SAW amat berhati-hati dalam soal keselamatan, sehingga pernah baginda SAW tidak dapat tidur kerana bimbangkan keselamatannya, maka dia amat-amat mengharapkan ada seseorang datang untuk menjaga keselamatan dirinya, sabda baginda;

Terjemahan: Rasulullah SAW bersabda; semoga ada seorang lelaki yang baik dari kalangan sahabatku datang menjaga keselamatanku pada malam ini. (Hadith diriwayatkan oleh al-Bukhari, tamanna : 4. Muslim, fada’il al-sahabah : 39, 40).

Daripada pengharapan Rasulullah SAW itu tiba-tiba terdengar bunyi pedang. Dalam keadaan gelap gelita itu, Rasulullah SAW bertanya, siapa itu?. Dia menjawab: “Saya Sa‘ad bin Malik (Saad bin Abi Waqqas)”. Rasulullah SAW bertanya: “Apa hal?”. Dia berkata: “Saya datang untuk menjaga keselamatanmu, Ya Rasulullah”. Selepas itu Rasulullah SAW dapat tidur dengan nyenyak. Kata Aisyah, dia terdengar Rasulullah SAW berdengkur.

Oleh itu seorang tetamu yang datang dari jauh yang tidak tahu-menahu peraturan dan suasana tempatan, amat memerlukan dirinya terselamat daripada sebarang gangguan atau ancaman. Mengikut fitrah, semua manusia inginkan keselamatan diri, agama, maruah, harta dan keluarga mereka. Dengan itu setiap tetamu yang datang bersama lima perkara ini, maka menjadi tanggungjawab tuan rumah untuk mengawasinya mengikut kemampuan yang ada. Untuk memastikan keadaan semuanya berada dalam keadaan selamat, bagi tetamu hendaklah melaporkan maklumat-maklumat berkenaan supaya semuanya berada di bawah kawalan.

5.5 ETIKET LAYANAN DALAM MAJLIS

Dalam kehidupana masyarakat, persoalan mengadakan majlis keramaian tidak dapat dipisahkan. Antara majlis yang sering diadakan oleh masyarakat Islam ialah majlis untuk menyambut kelahiran, majlis perkahwinan, majlis ilmu, majlis berzikir dan sebagainya.

Bagi tuan rumah yang ingin mengadakan majlis hendaklah mengikut beberapa adab tertentu, seperti tidak hanya menjemput orang tertentu sahaja menghadiri majlisnya, sebaliknya jemputlah seluruh lapisan masyarakat secara adil. Rasulullah SAW bersabda;

Terjemahan: Diriwayatkan daripada Abu Hurairah (RA) katanya: Rasulullah SAW pernah bersabda: Makanan yang buruk ialah makanan di majlis kenduri yang mana jemputannya ialah orang kaya sahaja dan orang-orang miskin tidak dijemput. Orang yang tidak memenuhi jemputan sesungguhnya dia telah melakukan maksiat kepada Allah dan RasulNya. (Hadith diriwayatkan oleh al Bukhari dan Muslim).

Seterusnya dalam melayani tetamu dalam majlis yang diadakan hendaklah sentiasa sabar dan bersopan santun dengan kerenah tetamu yang berbagai-bagai jenis. Rasulullah SAW pernah mengadakan kenduri kahwin: Baginda sentiasa melayani tetamunya dengan lemah lembut. Walaupun baginda rasa terganggu dengan sikap tetamu yang masih bercakap-cakap serta melambat-lambatkan untuk mengundurkan diri. Namun Rasulullah SAW tidak pernah memerintahkan mereka pulang. Hal ini diceritakan dalam sebuah hadith;

Terjemahan: Diriwayatkan daripada Anas (RA) katanya: Aku telah menghadiri majlis kenduri sempena perkahwinan Zainab. Rasulullah SAW telah menghidang kepada orang ramai, roti dan daging. Rasulullah SAW menyuruh aku menjemput mereka, apabila mereka selesai makan. Rasulullah SAW bangun lalu beredar dan aku mengekori baginda. Ketika itu aku dapati masih ada dua orang lelaki sedang asyik berbual dan masih belum keluar. Ketika Rasulullah SAW mula masuk berjumpa dengan isteri-isterinya, baginda mengucapkan salam kepada setiap seorang dari mereka: Assalamualaikum! Apa khabar kamu semua? Mereka menjawab: Baik! Wahai Rasulullah dan bertanya: Bagaimana isterimu? Rasulullah SAW menjawab: Baik! Setelah selesai, baginda kembali bersamaku. Ketika sampai di pintu didapati dua lelaki itu masih lagi asyik berbual. Apabila keduanya melihat Rasulullah SAW pulang, kedua-duanya bangkit dan keluar dari rumah Rasulullah SAW. Aku tidak pasti mengapa mereka keluar. Adakah aku telah memberi tahunya atau wahyu diturunkan kepada Rasulullah SAW bahawa mereka berdua telah keluar. Ketika baginda meletakkan kaki di ambang pintu setelah pulang bersamaku, baginda melabuhkan tirai antaraku dengan baginda dan ketika itu turunlah firman Allah bermaksud: Jangan kamu memasuki rumah Nabi kecuali setelah mendapat keizinannya. (Hadith diriwayatkan oleh Muslim).

Selain itu pihak tuan rumah digalakkan supaya menjemput tetamu untuk mengadakan majlis zikir, kerana majlis zikir amat diberkati olah Allah SWT, seperti dalam sebuah hadith Rasulullah SAW;

Terjemahan: Diriwayatkan daripada Abu Hurairah (RA) katanya: Nabi SAW bersabda: Sesungguhnya Allah SWT Yang Maha Memberkati lagi Maha Tinggi memiliki para Malaikat yang mempunyai kelebihan yang diberikan oleh Allah SWT. Para Malaikat selalu mengelilingi bumi. Para Malaikat sentiasa memerhati majlis-majlis zikir. Apabila mereka dapati ada satu majlis yang dipenuhi dengan zikir, mereka turut mengikuti majlis tersebut di mana mereka akan melingkunginya dengan sayap-sayap mereka sehinggalah memenuhi ruangan antara orang yang menghadiri majlis zikir tersebut dan langit. Apabila orang ramai yang hadir dalam majlis tersebut beredar, para malikat naik ke langit. Baginda bersabda: Allah SWT bertanya para malaikat sedangkan Allah mengetahui pergerakkan mereka dengan firmanNya: Dari mana kamu datang? Mereka menjawab: Kami datang dari tempat hamba-hambaMu di dunia. Mereka bertasbih, bertakbir, bertahlil, bertahmid serta berdoa memohon dariMu. Allah SWT berfirman: Apakah yang mereka pohonkan? Para Malaikat menjawab: Mereka memohon Syurga dariMu. Allah berfirman: Apakah mereka pernah melihat SyurgaKu? Para Malaikat menjawab: Belum, wahai Tuhan. Allah berfirman: Bagaimanakah akan terjadi seandainya mereka pernah melihat SyurgaKu? Para Malaikat berkata lagi: Mereka juga memohon daripadaMu perlindungan. Allah berfirman: Mereka pohon perlindunganKu dari apa? Para Malaikat menjawab: Dari NerakaMu, wahai tuhan. Allah berfirman: Apakah mereka pernah melihat NerakaKu? Para malaikat menjawab: Belum. Allah berfirman: Bagaimanakah akan terjadi seandainya mereka pernah melihat NerakaKu. Para Malaikat terus berkata lagi: Mereka juga memohon keampunanMu. Allah berfirman: Aku sudah mengampuni mereka. Aku telah kurniakan kepada mereka apa yang mereka pohon dan Aku telah berikan ganjaran pahala kepada mereka sebagaimana yang mereka pohonkan. Para Malaikat berkata lagi: Wahai tuhan kami, di antara mereka terdapat seorang hambaMu. Dia penuh dengan dosa, sebenarnya dia tidak berniat untuk menghadiri majlis tersebut, tetapi setelah dia melaluinya dia terasa ingin menyertainya lalu duduk bersama-sama orang ramai yang berada di majlis itu. Baginda bersabda: Allah berfirman: Aku juga telah mengampuninya. Mereka adalah kaum yang tidak dicelakakan dengan majlis yang mereka adakan. (Hadith diriwayatkan oleh Ahmad ibn Hanbal).

Dalam menyusun sebuah majlis, terdapat beberapa adab atau etiket yang perlu diketahui dan perlu diamalkan oleh pihak tuan rumah atau pelayan, supaya majlis yang dikendalikan oleh mereka berjalan dengan baik, serta mencapai matlamat.

5.5.0 Adab memperkenalkan diri

Berbagai-bagai cara memperkenalkan diri dilakukan, antaranya melekatkan nama pada baju (name tag), meletakkan nama di atas meja, menghulurkan kad niaga dan sebagainya.

Kesemuanya dilakukan adalah semata-mata untuk memperkenalkan diri kepada tetamu mengenai tugas dan jawatan yang disandang, semoga memudahkan dalam berurusan.

Banyak dari hadith-hadith yang menyebut berkenaan Rasulullah SAW telah memperkenalkan dirinya di hadapan khalayak. Antaranya baginda memperkenalkan dirinya sebagai Rasulullah (Utusan Allah) dan Muhammad bin Abdullah terhadap orang-orang Quraisy yang tidak mengakuinya sebagai Utusan Allah.

Baginda memperkenalkan dirinya sebagai ketua anak-anak Adam pada hari akhirat, orang yang mula-mula bangkit pada hari akhirat, orang yang mula-mula memberi syafaat pada hari akhirat. Di atas keterangan itu bukan kerana bangga, tetapi di atas tujuan memperkenalkan dirinya.

Di dalam al-Qur’an juga menjelaskan berkenaan dibolehkan menerangkan kelebihan yang ada pada diri sendiri, bukan kerana kesombongan tetapi kerana menyatakan sesuatu kebenaran, seperti yang dikatakan oleh Nabi Yusuf (AS) seperti yang dirakamkan di dalam al-Qur’an;

Terjemahan: Yusuf berkata: Jadikanlah aku pengurus perbendaharaan hasil bumi (Mesir); sesungguhnya aku sedia menjaganya dengan sebaik-baiknya, lagi mengetahui cara mentadbirkannya. (Surah Yusuf 12 : 55).

Jadi dapat diambil iktibar bahawa menerangkan diri sendiri kepada tetamu dengan cara tertentu amat penting. Seorang penyambut tetamu wajar menerangkan namanya, jawatannya dan sebagainya kepada tetamu sekadar memudahkan urusan.

Banyak urusan menjadi kucar-kacir kerana kurang mengenali antara satu sama lain. Begitulah juga pengenalan diri tetamu juga patut direkodkan sekadar untuk memudahkan urusan, sebagai contoh tetamu yang menginap di hotel, patut memeperkenalkan diri dari segi agama, jantina, status, barang-barang yang dibawa bersama dan sebagainya, supaya mudah disediakan kelengkapan yang sesuai dengan identiti tetamu.

Termasuk juga dalam erti kata memperkenalkan diri dengan berpakaian dan menampilkan rupa diri sesuai dengan budaya tempatan dari segi perbezaan jantina, kerana mengelirukan cara berpakaian dan rupa diri termasuk dalam larangan Islam. Rasulullah SAW telah menegaskan dalam soal ini dalam sebuah hadith;

Terjemahan: Dari Ibn ‘Abbas ia berkata: Rasulullah SAW melaknat orang-orang perempuan yang menyerupai lelaki dan orang-orang lelaki yang menyerupai perempuan. (Hadith diriwayatkan oleh al Bukhari).

Begitulah juga pernah Rasulullah SAW menegah para sahabatnya menamakan anak-anak mereka dengan gelaran Abu Qasim, kerana gelaran itu adalah untuk memperkenalkan baginda Rasul SAW sendiri. Hal ini bertujuan supaya tidak ada kekeliruan antara baginda SAW dengan orang lain, maka dilarangan itu disebut dalam beberapa buah hadith;

Terjemahan: Diriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah (RA) katanya: Salah Seorang di antara kami mempunyai anak. Beliau menamakannya dengan nama Muhammad. Orang ramai berkata kepadanya: Kami tidak akan membiarkanmu menamakannya dengan nama Rasulullah SAW. Lalu orang tersebut membawa anaknya yang diletakkan di atas belakang untuk menemui Rasulullah SAW. Setelah sampai di hadapan Rasulullah SAW beliau berkata: Wahai Rasulullah! Anakku yang lahir ini, aku namakannya dengan nama Muhammad tetapi orang ramai berkata kepadaku: Kami tidak akan membiarkanmu menamakannya dengan nama Rasulullah. Lalu Rasulullah SAW bersabda: Kamu boleh menamakannya dengan namaku, tetapi jangan menggelarkannya seperti dengan gelaranku kerana akulah Qasim, aku membahagikan di antara kamu. (Hadith diriwayatkan oleh Ahmad).

Terjemahan: Diriwayatkan daripada Abu Hurairah (RA) katanya: Abu Qasim iaitu Rasulullah SAW bersabda: Berikanlah nama dengan namaku, tetapi jangan memberikan gelaran dengan gelaranku. (Hadith diriwayatkan oleh Ahmad).

Larangan ini bukanlah merupakan larangan yang mutlak, sebaliknya ia adalah berbentuk sementara selagi Rasulullah SAW masih hidup. Jika baginda telah wafat, gelaran demikian boleh digunakan oleh sesiapa, ini untuk mengelakkan dari berlakukan kekeliruan, seperti mana di jelaskan dalam sebuah hadith yang lain;

Terjemahan: Dari Muhammad bin al-Hanafiyah berkata : ‘Ali (KW) berkata. Aku berkata : Ya Rasulullah, jika dikurniakan anak kepadaku selepas pemergianmu, lalu aku namakan dia dengan namamu dan menggelarkan dia dengan gelaranmu adakah boleh?. Baginda bersabda: Boleh. (Hadith diriwayatkan oleh Abu Daud).

Dari keterangan di atas dapat kita memahami bahawa setiap diri pelayan yang memberi khidmat kepada tetamu hendaklah memperkenalkan diri mereka terlebih dahulu kepada tetamu supaya mudah dalam berurusan. Elakkanlah dari memberi gelaran yang megelirukan semata-mata untuk melicinkan proses layanan.

5.5.1 Menyediakan tempat duduk

Antara adab di dalam majlis, pihak tuan rumah hendaklah menyediakan tempat duduk yang mencukupi kepada tetamu mereka. Rasulullah SAW ketika menyambut kedatang tetamu, sentiasa menyediakan tempat duduk.

Dalam bab tiga yang lalu telah menyentuh berkenaan baginda SAW menyediakan tempat duduk kepada sahabatnya.

Terjemahan: Dari Wathilah bin al-Khattab al-Qursyi (RA) berkata: "Seorang lelaki telah memasuki masjid, dan ketika itu Nabi SAW bersendirian, maka baginda SAW pun bergerak (memberi tempat duduk) untuknya". Lelaki itu berkata: "Ya Rasulullah tempat ini masih luas". Maka Rasulullah SAW Bersabda: "Sesungguhnya orang mukmin itu mempunyai hak, jika dia melihat kedatangan saudaranya, maka hendaklah dia melapangkan tempat duduk untuk saudaranya itu". (Hadith diriwayatkan oleh al-Baihaqi dan Ibn ‘Asakir).

Demikianlah juga Rasulullah SAW berusaha menyediakan tempat kepada tetamu, walaupun tempat kurang mencukupi. Seperti yang terjadi kepada Jarir (RA) baginda SAW berusaha sedaya upaya menyediakan tempat duduk untuknya;

Terjemahan: Dari Jarir bin Abdullah al-Bajalli (RA) . bahawa beliau telah datang menemui Nabi SAW yang berada di rumahnya. Ketika itu terdapat satu perhimpunan yang besar di sana. Beliaupun berdiri di pintu. Nabi SAW telah melihat akan kedatangannya itu. Baginda SAW telah melihat kiri dan kanan tetapi baginda SAW tidak mendapati tempat yang luas untuk diduduki oleh Jarir, Rasulullah SAW pun mengambil ridanya, kemudian melipatnya lalu mencampakkannya kepada Jarir bin Abdullah (RA) . seraya berkata kepadanya: "Duduklah di atasnya". Jarir pun mengambil kain tersebut lalu mengulungnya kemudian menciumnya, dan mencampakkannya kembali kepada Rasulullah SAW sambil berkata: "Allah memuliakan kamu yang Rasulullah sebagaimana kamu memuliakanku." Rasulullah SAW pun bersabda: "Sekiranya orang yang mulia di dalam satu kaum datang menemuimu maka hendaklah kamu memuliakannya." (Hadith diriwayatkan oleh al-Tabrani di dalam al-saghir dan al-ausat).

Rasulullah SAW amat mengambil berat berkenaan hak seseorang mengenai tempat duduk mereka dalam majlis. Baginda melarang keras terhadap tetamunya yang merampas tempat duduk tetamu lain walau dengan apa cara sekalipun;

Terjemahan: Hadith Ibnu ‘Umar (RA): Diriwayatkan daripada Nabi SAW katanya: Jangan sekali-kali seseorang di antara kamu membuatkan orang lain berdiri dari tempat duduknya, kemudian kamu duduk di tempat tersebut. (Hadith diriwayatkan oleh al Bukhari dan Muslim).

5.5.2 Adab memberi layanan

Dalam sebuah hadith ada menyebut berkenaan layanan dalam majlis;

Terjemahan: Diriwayatkan daripada Sahl bin Sa‘ad (RA) katanya: Abu Usaid as-Sa‘idi telah mengundang Rasulullah SAW untuk menghadiri majlis perkahwinannya. Pada hari itu isterinya sendiri, iaitu pengantin perempuan melayani para tamu. Selepas itu Sahl berkata: Tahukah kamu apa yang telah diberikan oleh isteriku kepada Rasulullah SAW sebagai minuman? Dia (isteriku) telah merendam beberapa biji kurma pada malamnya dalam mangkuk. Ketika Rasulullah SAW makan dia memberikan kurma yang direndam itu sebagai minuman baginda SAW. (Ahmad ibn Hanbal).

Hadith telah menjelaskan berkenaan layanan dalam majlis jamuan. Rasulullah SAW tidak menegah seorang wanita memberi layanan kepada tetamu dalam majlis berkenaan. Oleh itu mengambil pengajaran daripada yang terdapat di dalam hadith berkenaan membenarkan pelayan-pelayan itu terdiri daripada lelaki atau perempuan, asalkan tidak menimbulkan maksiat, dan sentiasa menjaga pandangan.

5.5.3 Memastikan keselamatan tetamu

Tetamu yang berada dalam majlis atau mereka yang sedang berurusan dengan tuan ruamh dianggap sebagai orang yang berada di bawah kawalan tuan rumah. Menjadi tanggungjawab pihak tuan rumah memastikan keselamatan mereka berada dalam keadaan terjamin.

Pihak tuan rumah hendaklah memastikan persekitarannya sentiasa berada di dalam keadaan selamat dan menjamin keselamatan tetamunya itu.

Tuan rumah juga selaku pengurus majlis agar memastikan setiap individu tetamu itu tidak menyusahkan individu-individu lain. Untuk menjamin keselamatan semua pihak.

5.6 ETIKET DALAM MAJLIS JAMUAN MAKAN

Pelayan atau pramusaji memainkan peranan yang penting di meja makan. Mereka merupakan perantara antara pihak majikan dengan pelanggan, antara tuan rumah dengan tetamu. Jika mereka bekerja di restoran, kedudukan mereka sebagai orang tengah antara pihak pengusaha restoran dengan pelanggan.

Jika mereka bekerja di hotel, mereka sebagai orang tengah antara pihak hotel dengan pelanggan. Oleh itu imej tuan rumah terletak kepada pramusaji atau pelayan.

Dalam melayani tetamu di meja makan, seseorang pramusaji seharusnya mempunyai personaliti yang baik seperti menampilkan gaya diri yang memuaskan, bersopan santun, pertuturan yang terang dan mudah difahami, cekap dan amanah dalam menjalankan tugas, berminat dengan kerja yang dilakukan dan sentiasa mengambil berat terhadap orang yang memerlukan pertolongan, sentiasa berhati-hati, air muka yang manis disertai dengan senyuman yang lahir dari hati yang ikhlas.

5.6.0 Mayanan Sebelum Makan

Kehadiran tetamu disambut oleh tuan rumah atau oleh pelayan. Mereka akan dipersilakan mengambil tempat duduk, seterusnya mereka akan dihidangkan minuman ringan sementara menanti tetamu-tetamu lain. Pihak tuan rumah akan memperkenalkan tetamu yang baru sampai ini kepada tetamu-tetamu yang lain.

Kadang-kadang tetamu datang beserta kanak-kanak. Yang perlu dilakukan oleh pramusaji ialah menyediakan kerusi khas untuk kanak-kanak, alihkan alat-alat yang tajam seperti pisau dan garpu, hidangkan makanan untuk kanak-kanak terlebih dahulu supaya ibunya dapat melayani anaknya terlebih dahulu, untuk minuman kanak-kanak gunakan gelas kecil yang sesuai, memberi tahu pada ibunya supaya melarang anaknya berlari-lari di dalam restoran berkenaan bahayanya berbuat demikian, pramusaji dilarang bermain-main dengan kanak-kanak, sediakan napkin yang lembap supaya ibunya mengelap makanan yang tumpah terkena baju.

Sebelum menghidangkan makanan, sila pastikan dahulu makanan yang akan disajikan kepada tetamu. Kadang-kadang ada makanan atau minuman yang tidak sesuai dengan tetamu. Memberi tahu jenis-jenis makanan kepada tetamu merupakan suatu adab yang baik. Hal ini telah berlaku pada zaman Rasulullah SAW, iaitu setiap jamuan yang hendak diberikan kepada baginda, terlebih dahulu dikhabarkan jenis-jenisnya;

Terjemahan: Hadith Khalid bin al-Walid (RA): Diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Abbas (RA) katanya: Khalid bin al-Walid bersama Rasulullah SAW masuk ke rumah Maimunah isteri Nabi SAW yang juga emak saudaranya (khalid) dan Ibnu ‘Abbas. Di rumah Maimunah terdapat daging dab yang dipanggang telah disediakan oleh saudaranya bernama Hufaidah binti al-Harith dari Najd. Daging itu kemudian dihulurkan kepada Rasulullah SAW dan jarang sekali dihulurkan makanan kepada baginda tanpa memberitahu terlebih dahulu berkenaannya. Rasulullah SAW lalu menghulurkan tangan pada dab tersebut. Seorang wanita yang juga bertamu di situ berkata: Beritahulah Kepada Rasulullah SAW apa yang kamu berikan kepada baginda itu. Mereka lalu mengatakan: Itu adalah daging dab wahai Rasulullah. Rasulullah SAW menarik kembali tangannya. Kemudian Khalid bin al-Walid bertanya: Haramkah dab itu wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Tidak. Tetapi ia tidak terdapat di bumi kaumku lalu aku merasa jijik. Khalid berkata: Aku mengambil lalu memakannya, Rasulullah SAW melihatnya tetapi tidak melarang kami. (Hadith diriwayatkan oleh al Bukhari dan Muslim).

Setelah itu pramusaji atau tuan rumah akan mula menghidangkan makanan untuk para tetamu. Dalam Islam mereka yang mula-mula berhak mendapat layanan terlebih dahulu ialah orang yang berada di sebelah kanan pramusaji, iaitu arah pergerakan ialah lawan jam.

Sesuai pula dengan hadith Rasulullah SAW yang menjelaskan berkenaan arah pergerakan layanan adalah kepada mereka yang berada di sebelah kanan, kemudian berikutnya;

Terjemahan: Diriwayatkan daripada Anas bin Malik (RA) katanya: Rasulullah SAW telah diberikan susu yang dicampurkan dengan air. Di sebelah kanan Baginda ialah seorang A'rabi (Arab desa), manakala di sebelah kiri Baginda ialah Saidina Abu Bakar. Baginda lalu meminumnya dan kemudian memberikannya kepada A'rabi tersebut sambil bersabda: Ke sebelah kanan dan seterusnya ke kanannya lagi. (Hadith diriwayatkan oleh al Bukhari dan Muslim).

Seterusnya dalam tradisi-tradisi lain ada dibincangkan berkenaan layanan kepada wanita hendaklah didahulukan, tetapi dalam tradisi Islam tidak terdapat perbincangan berkenaan, kerana menurut Islam tidak ada percampuran antara lelaki dan wanita sama ada di majlis-majlis makan atau di restoran kecuali dalam keadaan-keadaan yang tidak dapat dielakkan, kerana umat Islam masih berpegang kepada perintah Islam supaya menundukkan pandangan seperti sabda Rasulullah SAW;

Terjemahan: Jawablah salam, tunduklah pandangan (kepada yang bukan mahram) dan perbaikilah perkataan. (Hadith diriwayatkan oleh Ibn Qani‘ dari Abu Talhah).

5.6.1 Layanan Semasa Makan

Perkara pertama yang diutamakan oleh Rasulullah SAW ketika hendak memulakan makan ialah memulakan dengan basmalah (membaca bismillahir rahmanir rahim) supaya mendapat keberkatan daripada Allah SWT.

Pihak tuan rumah hendaklah mengingatkan tetamunya supaya membaca basmalah dengan membaca sedikit doa makan atau diletakkan di meja makan risalah doa berkenaan.

Dalam kebudayaan Melayu menjemput tetamu makan kebiasaannya mereka berkata “silakan”. Sebuah hadith ada mengingatkan;

Terjemahan: Diriwayatkan daripada ‘Umar bin Abu Salamah (RA) katanya: Aku pernah berada di bawah penjagaan Rasulullah SAW. Ketika waktu makan, tanganku terhulur hendak menjangkau talam, lalu Rasulullah SAW bersabda kepadaku: Wahai anak muda! Bacalah Basmalah, makanlah dengan tangan kanan dan mulakan dengan makanan yang terdekat denganmu. (Hadith diriwayatkan oleh al Bukhari dan Muslim).

Selain membaca doa dan basmalah, Rasulullah SAW sering bermohon kepada Allah SWT supaya memberi keberkatan. Walaupun makanan yang sedikit, dapat dimakan oleh manusia yang ramai. Hal ini dirakamkan dalam satu kisah yang ada kaitan dengannya;

Terjemahan: Diriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah (RA) katanya: Semasa parit Khandak digali, aku melihat keadaan Rasulullah SAW dalam keadaan sangat lapar. Maka akupun segera kembali ke rumahku dan bertanya kepada isteriku, apakah engkau mempunyai sesuatu (makanan)? Kerana aku melihat Rasulullah SAW tersangat lapar. Isteriku mengeluarkan sebuah beg yang berisi satu cupak gandum, dan kami mempunyai seekor anak kambing dan beberapa ekor ayam. Aku lalu menyembelihnya, manakala isteriku menumbuk gandum. Kami sama-sama selesai, kemudian aku memotong-motong anak kambing itu dan memasukkannya ke dalam kuali. Apabila aku hendak pergi memberitahu Rasulullah SAW, isteriku berpesan: Jangan engkau memalukanku kepada Rasulullah SAW dan orang-orang yang bersamanya. Aku kemudiannya menghampiri Rasulullah SAW dan berbisik kepada Baginda: Wahai Rasulullah! Kami telah menyembelih anak kambing kami dan isteriku pula menumbuk satu cupak gandum yang ada pada kami. Kerana itu, kami menjemput baginda dan beberapa orang bersamamu. Tiba-tiba Rasulullah SAW berseru: Wahai ahli Khandak! Jabir telah membuat makanan untuk kamu. Maka kamu semua dipersilakan ke rumahnya. Rasulullah SAW kemudian bersabda kepadaku: Jangan engkau turunkan kualimu dan jangan engkau buat roti adunanmu sebelum aku datang. Aku pun datang bersama Rasulullah s.a.w mendahului orang lain. Aku menemui isteriku. Dia mendapatiku lalu berkata: Ini semua adalah kerana kamu, aku berkata bahawa aku telah lakukan semua pesananmu itu. Isteriku mengeluarkan adunan roti tersebut, Rasulullah SAW meludahinya dan mendoakan keberkatannya. Kemudian Baginda menuju ke kuali kami lalu meludahinya dan mendoakan keberkatannya. Setelah itu Baginda bersabda: Sekarang panggillah pembuat roti untuk membantumu dan cedoklah dari kualimu, tapi jangan engkau turunkannya. Ternyata kaum Muslimin yang datang adalah seramai seribu orang. Aku bersumpah demi Allah, mereka semua dapat memakannya sehingga kenyang dan pulang semuanya. Sementara itu kuali kami masih mendidih seperti sediakala. Demikian juga dengan adunan roti masih tetap seperti asalnya. Sebagaimana kata Al-Dahak: Masih tetap seperti asalnya. (Hadith diriwayatkan oleh al Bukhari dan Muslim).

Semasa jamuan berlangsung, pramusaji dikehendaki sentiasa melayani tetamu seperti menuangkan teh atau kopi untuk setiap tetamu, menambahkan kuih-muih atau susu dan gula yang berkurangan, memastikan semua tetamu mendapat makanan dan minuman, mengangkat piring atau pinggan yang telah kosong dan memberi layanan lain yang berkenaan. Nabi Ibrahim (AS) diceritakan bahawa ketika baginda menerima tetamu, lalu disiapkan makanan seterusnya baginda melayani mereka.

Bagi pramusaji atau tuan rumah hendaklah sentiasa bersabar dalam melayani tetamu. Tidak dapat dinafikan bahawa mungkin pramusaji juga hendakkan dirinya dilayani atau sekurang-kurangnya mereka juga merasai lapar dan dahaga dalam melayani tetamu. Oleh itu mereka hendaklah bersabar dan mengutamakan tetamu terlebih dahulu.

Sebagai tuan rumah, mereka adalah orang yang terakhir untuk makan. Setelah semua tetamu mendapatkan makanan mereka, maka diikuti pula oleh tuan rumah sebagai melayani atau merai mereka makan. Semasa makan, hendaklah tuan rumah sentiasa perhatikan mana-mana tetamu yang kekurangan makanan dan sebagainya. Tuan rumah hendaklah menunggu semua tetamunya menghabiskan makan terlebih dahulu, seterusnya tuan rumah menunggu tetamunya membasuh tangan terlebih dahulu. Setelah tetamu tadi membasuh tangan masing-masing, barulah tuan rumah membasuh tangan. Peraturan ini berdasarkan hadith yang dipaparkan dalam bab tiga yang lalu;

Terjemahan: Dari Abu Qatadah (RA). dari Nabi SAW, sabdanya: "Orang yang memberi minum pada kaum - yakni orang banyak, maka itulah yang terakhir di antara mereka itu," Yakni yang terakhir berkenaan minuman. (Hadith diriwayatkan oleh al Turmidhi).

Terjemahan: Dari Jafar bin Muhammad dari bapanya berkata, adalah Rasulullah SAW apabila makan bersama orang ramai, adalah baginda orang yang terakhir (menghabiskan) makan. (Hadith diriwayatkan oleh al-Baihaqi).

5.6.3 Adab Sesudah Makan

Apabila jamuan makan selesai, bagi pihak tuan rumah hendaklah terus melayani tetamu sehinggalah tetamu mereka meminta keizinan untuk pulang. Namun begitu apabila tetamu memperlihatkan keengganan untuk pulang seperti masih bercakap-cakap dengan teman mereka, janganlah memerintahkan mereka pulang, sebaliknya tunjuklah sikap sopan santun seperti memperlihatkan tanda-tanda majlis telah selesai. Rasulullah SAW pernah mengalami keadaan ini, di mana setelah selesai majlis, masih ada tetamunya yang masih bercakap-cakap. Oleh itu baginda SAW memberi ucapan salam, serta membiarkan dan meninggalkan mereka.

Untuk mendapatkan keberkatan dari Allah SWT, amat baik bagi pihak tuan rumah mengadakan sedikit doa sebagai tanda kesyukuran;

Terjemahan: Segala puji bagi Allah SWT yang memberi kami makan dan minum, dan jadikanlah kami dari kalangan orang yang Muslim. (Hadith diriwayatkan oleh Muslim).

Untuk lebih berseri majlis makan itu, di atas kebijaksanaan tetamu amat baik mengadakan sedikit sembahyang sunat dua rakaat dan doa selamat untuk tuan rumah dan keluarga mereka. Pernah Rasulullah SAW dijemut sebagai tetamu dan menjamu makanan kepadanya. Baginda SAW mendatangi jemputan berkenaan. Setelah baginda SAW makan, baginda SAW bangun dan mendirikan sembahyang, seperti yang terdapat dalam sebuah hadith;

Terjemahan: Diriwayatkan daripada Anas bin Malik (RA) katanya: Bahawa neneknya yang bernama Mulaikah telah mengundang Rasulullah SAW untuk menikmati suatu makanan yang telah disediakan untuk baginda. Lalu Rasulullah SAW memakannya. Kemudian baginda bersabda: Berdirilah kamu aku akan bersembahyang bersama kamu. Anas bin Malik berkata: Dihamparkan kepada kami sebidang tikar yang telah hitam kerana telah lama digunakan, lantas aku merenjiskan air ke atasnya kemudian Rasulullah bangun, manakala aku berdiri dalam satu saf bersama anak yatim di belakang Nabi SAW sementara orang tua berdiri di belakang kami. Kami sembahyang bersama Rasulullah SAW dua rakaat kemudian baginda beredar. (Hadith diriwayatkan oleh Ahmad).

5.7 KESIMPULAN

Setiap individu yang menjadi tuan rumah atau pelayan mereka mempunyai tugas yang amat besar dalam menangani masalah tetamu mereka. Selain mempunyai akhlak yang baik, mereka juga mestilah melengkapkan diri dengan adab atau etiket melayani tetamu. Tetamu tidak akan merasa selesa jika pelayan tidak dapat memperlihatkan adab atau etiket tertentu dalam proses pelayanan mereka.

Oleh itu untuk mencapai tahap keselesaan itu, seseorang pelayani hendaklah melayani tetamunya seperti yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dalam melayani tetamunya, bermula dari menyambut kedatangan mereka dengan salam dan berjabat tangan, mempersilakan mereka mengambil tempat, berkomunikasi dengan bahasa yang mudah difahami serta dengan senyuman yang manis, memperlihatkan rupa diri yang sederhana, menjamu makanan dan menyediakan tempat penginapan jika diperlukan, seterusnya membekalkan hadiah-hadiah kepada tetamunya untuk dibawa pulang.

Seimbas lalu, adab atau etiket pelayanan terhadap tetamu yang dilakukan oleh Rasulullah SAW itu begitu mudah dan seolah-olah boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja. Sebenarnya etiket pelayanan yang dipaparkan dalam bab lima ini tidak akan tercapai jika tidak mempunyai kekuatan akhlak atau etik Islam seperti yang dihuraikan dalam bab empat yang lalu.

Di dalam hospitaliti Islam, apabila seorang pelayan memberi perkhidmatakan kepada tetamunya adalah semata-mata cetusan yang ikhlas daripada hatinya, bukanlah datang dari sikap pura-pura. Oleh itu tidak hairanlah bagi mereka yang tidak mengamalkan Islam sebagai cara hidup, tidak dapat menghayati hospitaliti Islam secara menyeluruh dan mendalam.

Mereka yang cuba berpura-pura dalam melayani tetamu akan menjadikan jiwa mereka tertekan, kerana di sana tidak ada kekuatan akhlak Islam. Dengan itu apabila mereka kembali kepada ajaran Islam sebenar, mereka akan dapat melarutkan hospitaliti Islam dengan baik ke dalam diri mereka tanpa sebarang paksaan atau kepura-puraan.

Pendidikan hospitaliti Islam yang telah dibawa oleh Rasulullah SAW telah dapat diamalkan oleh para sahabat dengan baik seterusnya berkembang terus dalam kalangan tabi‘in, hinggalah kesannya dapat kita rasai hingga kini. Pada keseluruhannya hospitaliti Islam yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW dapat disimpulkan kepada tiga bahagian pelayanan, iaitu layanan di pintu masuk, layanan dalam perkhidmatan dan layanan di pintu keluar. Dalam bab berikut iaitu bab enam akan membincangkan pelaksanaannya secara sistematik berdasarkan tiga bentuk pelayanan tersebut.


PELAKSANAAN HOSPITALITI ISLAM


6.0 PENDAHULUAN

Dalam bab ini saya akan merumuskan secara lebih lengkap dan menyeluruh layanan yang diberikan secara praktikal kepada tetamu menurut pandangan Islam dengan berpandukan praktik Rasulullah SAW, sahabat dan orang-orang yang salih daripada kalangan tabi‘in serta mengambil idea-idea baru dalam memberikan layanan, selagi tidak bercanggah dengan ajaran Islam.

Bab Enam ini merupakan rumusan bab empat dan bab lima yang disusun secara sistematik berkenaan pelayanan Rasulullah SAW terhadap tetamunya.

Rumusan bab empat yang menghuraikan etika terhadap tetamu, dan bab lima yang menghuraikan etiket pelayanan terhadap tetamu, menjadikan hospitaliti Islam begitu mantap dan praktikal, kerana etiket pelayanan Islam bukanlah suatu yang terapung, malah ia ditunjangi oleh etika pelayanan Islam, seperti dalam gambar rajah yang lalu. Kesemuanya berpaksikan Akidah dan Syariah Islam sebagai asas kekuatan secara umumnya.

Berdasarkan bukti-bukti daripada al-Qur’an dan hadith Rasulullah SAW kita dapat melihat bahawa bentuk pelayanan yang diketengahkan adalah dalam bentuk pemberian makanan, minuman dan tempat tinggal untuk para tetamu.

Namun begitu buku ini hanyalah menumpukan aspek peringkat baginda melayani tetamu, untuk diteladani oleh para pelayan tetamu dalam kerjaya mereka.

Hasil perbincangan yang lalu, khususnya di dalam bab tiga telah menjelaskan berkenaan jenis-jenis tetamu yang berkunjung menemui Rasulullah SAW. Mereka terdiri daripada keluarga, para sahabat, Muslim (lelaki), Muslimah (perempuan), kanak-kanak, pengembara, utusan dari luar, ahli kitab (Yahudi dan Nasrani), kaum musyrikin dan sebagainya.

Kehadiran tetamu berkenaan menemui Rasulullah SAW mempunyai berbagai-bagai tujuan, dan semua tujuan mereka cuba diatasi oleh Rasulullah SAW sebaik mungkin. Antara layanan atau perkhidmatan yang diperlukan oleh tetamu baginda Rasulullah SAW boleh dirumuskan seperti berikut, iaitu bertujuan;

1. Menganut agama Islam.
2. Bertanyakan masalah agama.
3. Meminta khidmat pengadilan.
4. Mempelajari ilmu-ilmu agama.
5. Memohon didoakan untuk kebaikan mereka.
6. Memohon bantuan makanan, perubatan dan kewangan.
7. Menghadiri majlis jamuan atau kenduri.
8. Menziarahi kerana hubungan keluarga.
9. Menziarahi sahabat, kerana sakit atau kematian.
10. Urusan berjual beli.
11. Urusan pentadbiran negara, dan lain-lain.

Rasulullah SAW sebagai hos atau tuan rumah telah mempraktikkan hospitaliti dengan sebaik-baiknya sejak ketibaan tetamu dengan menyambut kedatangan mereka, memberi perkhidmatan layanan dengan cara yang sopan santun dan hinggalah kepada saat-saat kepulangan mereka.

Oleh itu bagi memudahkan kefahaman, maka hospitaliti Rasulullah SAW dibahagi kepada empat peringkat. Huraiannya adalah seperti berikut;

6.1 Peringkat Persediaan

Sebelum kedatangan tetamu, pihak tuan rumah sewajarnya membuat persediaan tertentu dalam menyambut kedatangan mereka. Walaupun Rasulullah SAW tidak menentukan peralatan atau bentuk-bentuk persediaan bagi menyambut tetamu, namun begitu Rasulullah SAW sentiasa bersedia menyambut kedatangan tetamu.

Antara persediaan baginda ialah menyediakan persekitaran yang bersih, menyediakan tempat duduk, menyediakan makanan dan minuman serta tempat penginapan. Walaupun persediaan itu tidak seberapa tetapi sudah cukup membuktikan bahawa perlu ada persediaan bagi menyambut kedatangan mereka.

Rasulullah SAW menjadikan masjid dan kediamannya sebagai tempat menyambut kedatangan tetamu atau pelanggan. Masjid dan rumah baginda merupakan kaunter perkhidmatan. Pengunjung datang membawa berbagai-bagai masalah untuk diselesaikan oleh baginda.

Sebagai langkah persediaan, baginda telah menyediakan juru tulis, cop mohor, tempat duduk, hadiah, makanan dan minuman dan sebagainya.

Dalam dunia kini khidmat kaunter telah memperkemas lagi dengan lampu, mesin kira, pembesar suara, borang, cop jabatan, resit, wang tukar, persekitaran yang bersih dan teratur, tempat menunggu dan tempat buang sampah, papan tanda, papan maklumat, jadual perkhidmatan kaunter, makluman berkenaan staf yang tidak hadir dan sebagainya. Kesemua persediaan ini semata-mata untuk menjamin perkhidmatan kaunter berjalan dengan lancar.

Dalam pada itu Rasulullah SAW sentiasa menasihati supaya bersederhana dalam segala perkara. Dalam menyediakan peralatan dan kemudahan untuk tetamu hendaklah dilakukan secara sederhana.

Elakkanlah daripada memberat-beratkan diri semasa melayani tetamu, kerana memberat-beratkan diri dalam melayani tetamu itu boleh mendatangkan kesan negatif terhadap tuan rumah. Menyusahkan diri kerana melayani tetamu boleh menyebabkan timbul kemarahan daripada pihak tuan rumah terhadap tetamu.

6.2 Peringkat sambutan

Kebiasaannya tetamu akan mengucapkan salam kepada tuan rumah terlebih dahulu. Jika ucapan salam itu sampai tiga kali, namun tidak ada apa-apa jawapan, maka tetamu itu dikehendaki pulang. Sebaliknya jika salam itu dijawab dan mendapat keizinan untuk masuk, barulah tetamu berkenaan masuk.

Tuan rumah akan membuka pintu sebagai membenarkan tetamu untuk masuk. Jika di tempat-tempat umum seperti di masjid, pasar dan sebagainya sudah termaklum berkenaan keizinan untuk masuk. Walaupun ia merupakan tempat umum, bagi pihak berkenaan adalah dianggapkan bersopan jika kedatangan tetamu itu disambut oleh mereka.

Rasulullah SAW menyambut kedatangan sahabatnya ketika baginda SAW sedang berada di tempat awam iaitu di masjid dengan melapangkan tempat duduk untuk tetamunya itu, walaupun tempat lain masih luas, sebagaimana yang dijelaskan di dalam bab lima yang lalu.

Tuan rumah hendaklah bangun melangkah ke pintu untuk mendapatkan tetamu berkenaan sekiranya tetamu menghampiri pintu kediaman.

Bangun di sini bukanlah bererti berdiri sebagai menghormati ketibaan orang kenamaan seperti yang berlaku dalam masyarakat hari ini, tetapi bangun yang dimaksudkan di sini ialah semata-mata untuk pergi ke arah tetamu untuk menjemput kehadiran mereka. Jika seseorang itu berdiri sebagai menghormati kedatang tetamu, maka hal ini adalah dilarang oleh Rasulullah SAW sebagaimana yang telah disebutkan di dalam hadith yang lalu.

Semasa berjalan menuju ke arah mereka, tuan rumah selaku penyambut tetamu dikehendaki supaya mengukirkan senyuman yang manis tulus ikhlas dari hati.

Senyuman pada lazimnya ialah menampakkan gigi dan kelihatan meninggi daging atau tulang pipi kiri dan kanan sambil memandang ke arah tetamu. Terukirnya senyuman berkenaan adalah semata-mata melahirkan rasa kegembiraan kerana ketibaan mereka.

Apabila mereka berhadapan dan berberkenaan mata, pihak tetamu akan mengucapkan salam dengan ucapan salam.

Salam itu di jawab oleh tuan rumah dengan ucapan salam iaitu jawapan yang sama dengannya atau yang lebih baik dari itu atau yang lebih baik dari itu. Walau bagaimanapun dalam Islam digalakkan berlumba-lumba memberi ucapan salam. Oleh itu pihak tuan rumah hendaklah mendahului memberi ucapan salam sebagai tanda rasa gembira dan mengalu-alukan kedatangan tetamu.

Jika tetamu itu wanita, sedangkan penyambut tetamu itu seorang lelaki, maka lelaki itu digalakkan mengucapkan salam, tetapi tidak dibenarkan berjabat tangan. Sebaliknya, jika penyambut tetamu itu seorang wanita, tetamu itu seorang lelaki, maka wanita berkenaan tidak dibenarkan memberi salam.

Peraturan-peraturan yang telah digariskan oleh Rasulullah SAW adalah semata-mata untuk menjaga keselamatan bersama.

Setelah ucapan salam bersambut, maka pihak tuan rumah akan menyambut pula kehadiran mereka itu dengan menghulurkan tangan untuk berjabat tangan. Seperti yang dinyatakan bahawa berjabat tangan hanya dibenarkan antara mereka yang sesama jenis sahaja atau dengan mahramnya.

Menyentuh tubuh badan tetamu (body contact) yang dibenarkan oleh Islam adalah dalam bentuk berjabat tangan sahaja, manakala dalam bentuk lain seperti memeluk atau mencium adalah dilarang. Kecuali memeluk dan mencium mereka sudah lama tidak bertemu atau yang datang dari tempat yang jauh seperti baru kembali daripada mengerjakan ibadah haji, baru balik daripada menuntut ilmu pengetahuan dan sebagainya.

Perbuatan memeluk dan mencium tetamu yang terdiri dari ibu bapa atau anak sendiri. Kelakuan ini dilakukan oleh Rasulullah SAW terhadap anaknya Fatimah (R.anha).

Sebelum menyambut kedatangan tetamu, sebagai tuan rumah perlu memastikan rupa diri mereka sesuai sebagai tuan rumah atau sesuai sebagai pelayan dalam berpakaian. Mereka dikehendaki memakai pakaian yang bersih dan sederhana yang tidak melambangkan ciri-ciri kesombongan atau riya’.

Di samping itu dalam berpakaian, tuan rumah hendaklah sentiasa memelihara aurat mereka. Mereka juga dilarang memandang tetamu secara pandangan yang menimbulkan rangsangan nafsu syahwat, kerana Islam sentiasa mengingatkan umatnya supaya menundukkan pandangan terhadap perkara ini. Sabda Rasulullah SAW;

Terjemahan: Diriwayatkan daripada Abu Hurairah (RA) katanya: Nabi SAW bersabda: Allah SWT telah mencatit bahawa anak Adam cenderung terhadap perbuatan zina. Keinginan tersebut tidak dapat dielakkan lagi, di mana dia akan melakukan zina mata dalam bentuk pandangan, zina mulut dalam bentuk pertuturan, zina perasaan iaitu bercita-cita dan berkeinginan mendapatkannya manakala kemaluanlah yang menentukannya berlaku atau tidak. (Hadith diriwayatkan oleh al Bukhari dan Muslim).

Untuk menjadikan pelayan yang benar-benar berkualiti, mereka dikehendaki supaya sentiasa mendapatkan maklumat terbaru dan juga memiliki maklumat yang mencukupi berkenaan dengan persekitarannya.

Kesemua maklumat ini penting sebagai jawapan kepada soalan-soalan yang diajukan oleh tetamu. Dalam melayani tetamu banyak maklumat baru yang diinginkan oleh tetamu. Oleh itu segala jawapan yang diberikan oleh pelayan hendaklah sentiasa menepati keadaan yang sebenarnya. Islam melarang menyatakan sesuatu itu secara rambang, sebaliknya hendaklah memberi maklumat itu berdasarkan jawapan betul dan tepat. Firman Allah SWT;

Terjemahan: Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya berkenaan apa yang dilakukannya. (Surah al-Isra’ 15: 36).

Menyambut kehadiran tetamu hendaklah dilakukan secara bersopan santun dari segi tutur kata dan tingkah laku. Islam telah memberikan garis panduan kepada masyarakat Islam umumnya dan khususnya kepada tuan rumah atau pelayan supaya menuturkan dengan kata-kata yang jelas dan dapat difahami oleh tetamu.

Penggunaan bahasa asing seperti bahasa Inggeris terhadap tetamu yang datang dari kampung pedalaman, kadang-kadang boleh menjadikan tetamu tidak memahaminya yang kadang-kadang menyebabkan berlakulah salah faham dan kekeliruan antara mereka.

Maka menjadi tanggungjawab tuan rumah atau pelayan supaya memahami keadaan tetamu mereka dari segi penguasaan bahasa, agar tetamunya tidak merasa sedih kerana tidak dapat memahami pertuturan tuan rumah. Rasulullah SAW bersabda;

Terjemahan: Diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas‘ud (RA) katanya: Rasulullah SAW bersabda: Apabila kamu ada tiga orang, maka janganlah dua orang di antara kamu berbisik-bisik tanpa disertai oleh seorang lagi sehingga mereka bergabung dengan orang ramai agar tidak membuatnya sedih. (Hadith diriwayatkan oleh Muslim).

Sebagai seorang pelayan, mereka dikehendaki sentiasa mengutamakan akhlak yang mulia seperti bersifat cekap dan amanah dalam menjalankan tugas melayani tetamu. Dalam menjalankan amanah berkenaan, mereka sewajarnya berhati-hati dan menunjukkan semangat yang tinggi dalam melayani tetamu dan kehadiran tetamu itu disambut dan dilayani tanpa ada sebarang masalah. Walaupun tetamu yang datang membawa masalah yang banyak, tetapi bagi tuan rumah masalah-masalah itu dapat diselesaikan dengan baik.

Pihak tuan rumah atau pelayan jangan sekali-kali memperlihatkan masalah dalaman mereka di hadapan tetamu. Sebaliknya masalah berkenaan itu sewajarnya diselesaikan pada peringkat tuan rumah, bukan mempamerkan masalah itu di hadapan tetamu, yang boleh mencemarkan nama baik tuan rumah pada pandangan mata tetamu. Rasulullah SAW tidak pernah menceritakan permasalahan peribadinya kepada orang lain.

Kehadiran tetamu yang membawa berbagai-bagai jenis masalah seperti masalah agama, masalah keluarga dan sebagainya bersama-sama mereka diharap dapat diselesaikan oleh tuan rumah dengan baik. Kesemua ini dapat dilakukan kerana Islam mengajar umatnya supaya dapat menyesuaikan diri dalam semua keadaan. Perkara ini dapat dibuktikan melalui fakta sejarah yang merakamkan bahawa Rasulullah SAW yang berada di bandar Makkah telah menyesuaikan diri di perkampungan di daerah Yathrib (Madinah).

Faktor perkembangan Islam juga bergantung kepada para pendakwah dapat menyesuaikan diri dengan masyarakat setempat. Menyesuaikan diri bukanlah bermaksud menukar agama mengikut agama penduduk setempat atau mengabaikan tanggungjawab agama semata-mata untuk menyesuaikan diri dengan masyarakat setempat. Yang dimaksudkan di sini ialah menyesuaikan diri dalam bentuk kehidupan harian tanpa menjejaskan pegangan kepada asas Akidah dan Syariah Islam.

Antara faktor yang mempercepat ke arah penyesuaian diri antara tuan rumah dengan tetamu mereka ialah pihak tuan rumah hendaklah memperlihatkan perasaan kasih sayang kepada tetamu. Di samping itu dihubungkan pula antara mereka dengan hubungan persaudaraan berasaskan agama Islam sebagai penyatu umat.

Seterusnya untuk menyesuaikan diri dengan tetamu, maka pihak tuan rumah akan memperkenalkan dirinya kepada tetamu.

Dalam dunia kini, terdapat pelbagai cara mereka memperkenalkan diri seperti menghulurkan kad perniagaan (business card), meletakkan tanda nama pada baju (name tag) dan sebagainya. Mengikut tradisi Islam, tuan rumah akan memberi tahu sendiri namanya dan jawatannya kepada tetamu yang baru tiba supaya memudahkan urusan mereka.

Rasulullah SAW sentiasa memperkenalkan dirinya kepada tetamu yang tidak mengenalinya, seperti memperkenalkan dirinya sebagai Utusan Allah SWT, sebagai hamba Allah SWT, sebagai penyudah nabi-nabi dan rasul-rasul dan sebagainya.

Dengan memperkenalkan diri kepada tetamu, maka segala urusan tetamu dengan pihak tuan rumah dapat dilaksanakan dengan mudah.

Pekeliling Kemajuan Pentadbiran Awam bilangan 1 (1991) telah memberikan beberapa cadangan kepada staf di kaunter perkhidmatan supaya menerima pelanggan dengan mesra serta mengucapkan selamat (salam atau selamat pagi), menanyakan jenis urusan yang diperlukan dengan nada yang lembut dan jelas, mengarahkan pandangan kepada pelanggan apabila bercakap dengan mereka serta memberi perhatian kepada perkara yang dituturkan oleh mereka. Nyatakan dengan tepat kaunter yang dapat memberi perkhidmatan kepada mereka.

6.3 Peringkat prosesan

Pihak tuan rumah juga hendaklah memastikan persekitarannya merupakan suatu tempat yang selamat dan boleh menjamin keselamatan tetamunya supaya sentiasa berada dalam keadaan selamat daripada sebarang bahaya dan gangguan.

Antara persediaan lain, pihak tuan rumah perlu menyediakan tempat duduk untuk tetamunya. Jika tempat duduk tidak mencukupi, maka menjadi tanggung jawab pihak tuan rumah menyediakan tempat duduk berkenaan.

Pihak tuan rumah sewajarnya cepat dan tangkas bertindak apabila melihat kekurangan tempat duduk, sedangkan tetamu masih berpusu-pusu datang. Dalam menjalankan tugas itu, hendaklah dilakukan dengan cermat dan berhati-hati supaya tidak kelihatan kelam-kabut.

Seterusnya bagi menyambut kehadiran tetamu, suasana tempat berurusan hendaklah kemas, teratur dan bersih. Keadaan persekitaran yang bersih, kemas dan tersusun menjadikan tetamu yang berkunjung itu akan berasa selesa dan akan terus berminat dengan perkhidmatan yang disediakan.

Apabila semua berada dalam keadaan yang sempurna, maka tetamu pun dipersilakan mengambil tempat duduk. Semasa mereka berada di tempat duduk sedang menantikan giliran mereka untuk dilayan, pihak penyambut tetamu akan memberikan kerehatan kepada mereka. Mungkin tetamu datang dari tempat yang jauh yang ingin mencari kerehatan buat seketika.

Semasa mereka berada di tempat duduk, pihak tuan rumah akan melayani mereka dengan berbagai-bagai perbualan yang menarik dengan cara yang sopan santun dan sentiasa memenangkan hati mereka.

Pada kebiasaannya Rasulullah SAW amat pintar menimbulkan isu-isu yang menarik minat untuk tetamunya bercerita. Di samping Rasulullah SAW mendengar perbualan itu, baginda SAW kelihatan tersenyum. Apabila suasana menjadi sepi mungkin ketandusan idea, maka Rasulullah SAW akan menimbulkan isu-isu lain yang lebih menarik, sehingga perbualan yang panjang antara tetamu tidak dirasai. Di samping itu untuk memeriahkan lagi suasana, pada ketika inilah juga pihak tuan rumah akan memperkenalkan tetamu yang baru tiba ini kepada tetamu-tetamu yang lain.

Dalam melayani mereka dengan berbagai-bagai perbualan, harus diingatkan kepada pihak tuan rumah atau pelayan supaya janganlah terlalu ramah melebihi tetamu. Sebaliknya berbuallah secara sederhana yang lebih kepada mendengar daripada berbicara serta sentiasalah mengukir senyuman.

Apabila menyentuh kepada isu-isu yang agak melucukan, pihak pelayan atau tuan rumah hanyalah dibenarkan mengukir senyum dari hati yang ikhlas. Hindarkanlah daripada ketawa yang berlebih-lebihan. Jika terdapat tetamu yang suka berjenaka berlebih-lebihan, hendaklah pelayan berada jauh sedikit daripada mereka. Hindarkanlah daripada memberikan syarahan kepada mereka.

Setelah sampai giliran mereka yang patut diberi layanan khusus, maka lakukan layanan dengan cara yang sopan santun, cepat dan pantas serta hindarkanlah daripada sikap terburu-buru. Jika dalam majlis kenduri, persilakanlah mereka untuk makan dan janganlah mendesak mereka supaya menghabiskan makanan.

Rasulullah SAW tidak pernah mendesak tetamunya menghabiskan makanan, sebaliknya baginda menyediakan makan yang sederhana untuk tetamunya, jika tetamu masih memerlukan ditambahnya lagi. Kesemua layanan yang diberikan hendaklah dengan sopan santun seperti dalam hadith;

Terjemahan: Diriwayatkan daripada Aisyah (RA) isteri Nabi SAW katanya: Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: Wahai Aisyah! Sesungguhnya Allah itu Maha Lembut, Dia suka akan kelembutan. Allah akan memberikan balasan dari kelembutan yang tidak diberikan ke atas sikap keras dan kasar serta selainnya. (Hadith diriwayatkan oleh al Bukhari dan Muslim).

Dalam majlis ilmu pula, janganlah menjadikan mereka serba salah seperti bertanya-tanya soalan sehingga menyebabkan tetamu berasa tersinggung seterusnya menampakkan kelemahan mereka di hadapan tetamu lain. Oleh itu berilah pengajaran yang sedikit atau tugasan yang sedikit semoga ilmu yang dicurahkan itu dapat dimanfaatkan. Rasulullah SAW memberikan pengajaran kepada tetamunya hanyalah sedikit, sehingga pengajaran yang sedikit itu dapat dihayati dengan baik.

Antara peringkat lain yang diperkenalkan oleh Rasulullah SAW dalam melayani tetamu ialah sentiasalah menghargai tetamunya dari segi kelebihan yang ada pada diri mereka, keturunan mereka, jawatan mereka dan sumbangan mereka dalam masyarakat. Walau bagaimanapun memberi pujian yang berlebih-lebihan adalah dilarang, kerana dalam sebuah hadith Rasulullah SAW pernah menyentuh soal ini;

Terjemahan: Diriwayatkan daripada Abu Musa (RA) katanya: Rasulullah SAW telah mendengar seorang lelaki sedang memuji seorang lelaki secara berlebih-lebihan, lalu Rasulullah SAW segera bersabda: Sesungguhnya kamu telah menghancur atau memotong belakang seorang lelaki. (Hadith diriwayatkan oleh al Bukhari dan Muslim).

Walau bagaimanapun baginda Rasulullah SAW pernah mengajar para sahabat baginda teknik memuji manusia dengan cara yang betul, iaitu kebaikan yang ada pada diri orang yang dipuji itu hendaklah diserahkan kepada Allah SWT, kerana Allah SWT sahaja yang lebih mengetahui dan layak mendapat pujian. Hal ini boleh diambil pengajaran daripada hadith berikut;

Terjemahan: Diriwayatkan daripada Abu Bakrah (RA) katanya: Seorang lelaki telah memuji seorang lelaki di hadapan Nabi SAW, lalu Rasulullah SAW bersabda: Celaka kamu! Kamu telah memenggal leher temanmu. Kamu telah memenggal leher temanmu. Rasulullah SAW mengulangi ucapan tersebut beberapa kali. Sekiranya seseorang di antara kamu mesti memuji sahabatnya maka hendaklah dia berkata aku kira si anu itu begini-begini, AllahSWTlah yang lebih mengetahui berkenaan dirinya. Aku tidak memuji sesiapa pun di hadapan Allah SWT. Aku menghitungnya (memujinya) begitu dan begini sekiranya dia memang mengetahui hal itu. (Hadith diriwayatkan oleh Muslim).

Rasulullah SAW pernah memberikan penghargaan kepada Abu Sufian bin Harab yang merupakan ketua kaum Quraisy dalam peristiwa pembukaan Kota Makkah. Abu Sufian merupakan ketua musyrik Makkah yang inginkan kuasa dan sanjungan, maka dari psikologinya Abu Sufian dapat ditawan dengan memberikan penghargaan kepadanya. Dalam peristiwa Pembukaan Makkah, baginda telah mengumumkan kepada semua penduduk musyrik Makkah yang inginkan keselamatan supaya sentiasa berada di dalam masjid atau di dalam rumah sendiri atau berada di dalam rumah Abu Sufian. Pada hal rumah sendiri dengan rumah Abu Sufian tidak ada bezanya, tetapi pendekatan Rasulullah SAW itu telah menarik minat Abu Sufian kepada agama Islam. Seperti dalam sabda baginda SAW;

Terjemahan: Barang siapa datang ke rumah Abu Sufyan, orang itu selamat, barang siapa menutup pintu rumahnay orang itu selamat dan barang siapa masuk ke dalam masjid orang itu juga selamat. (Hadith diriwayatkan oleh Muslim).

Seterusnya sentiasalah memberikan ucapan terima kasih dengan kehadiran tetamu dan sokongan yang diberikan oleh tetamu kepada program yang diadakan oleh pihak tuan rumah. Apabila kehadiran mereka disusuli dengan ucapan terima kasih maka menjadikan tetamu merasa bangga dan berbesar hati kerana kehadirannya merupakan sesuatu yang dinanti-nantikan oleh tuan rumah. Dengan itu juga tetamu tidak akan berasa terasing apabila berada dalam majlis yang diadakan itu, kerana kehadirannya itu mendapat penghargaan.

Sesuatu yang kurang memuaskan daripada pihak tetamu berkenaan bahasa pertuturan dan juga perangai mereka mungkin menjadikan pihak tuan rumah tidak berpuas hati. Untuk menjaga ketenteraman dan keselesaan semua pihak, pelayan atau tuan rumah dinasihatkan agar sentiasa bersabar dengan kerenah mereka serta berikanlah kemaafan terhadap kesilapan yang mereka lakukan itu.

Tetamu yang melakukan kesalahan atau kesilapan sama ada sengaja atau tidak disengajakan, hendaklah diterima sebagai satu cabaran atau ujian kepada pelayan atau tuan rumah dalam meningkatkan kualiti hospitaliti. Elakkanlah daripada berlaku pertengkaran atau bertikam lidah dengan mereka, sebaliknya sentiasalah mendengar perkara yang mereka ucapkan, mungkin segala teguran yang dilontarkan oleh tetamu kepada tuan rumah atau aksi mereka yang kurang menyenangkan itu mengandungi pengajaran kepada tuan rumah dalam usaha meningkatkan lagi kualiti layanan mereka.

Jika berlaku pergaduhan antara sesama tetamu yang hadir, maka pihak tuan rumah hendaklah mententeramkan mereka. Cuba alihkan pandangan dan tumpuan mereka itu kepada sudut lain. Sering kali berlaku pergaduhan sesama tetamu apabila mereka membincangkan soal-soal yang sensitif seperti persoalan bangsa, keturunan, parti politik dan mengungkit perkara-perkara yang lepas. Maka menjadi tanggungjawab pihak tuan rumah untuk mententeramkan keadaan mereka.

Rasulullah SAW mententeramkan mereka dengan mengalihkan tajuk pertengkaran mereka kepada sudut lain, tanpa mencampuri isi kandungan pertengkaran itu, seperti menjelaskan berkenaan besarnya pengaruh syaitan dalam menwujudkan pergaduhan antara sesama manusia, seperti dalam sebuah hadith;

Terjemahan: Diriwayatkan daripada Sulaiman bin Surad (RA) katanya: Dua orang lelaki sedang bercaci maki di hadapan Rasulullah SAW. Salah seorang daripada mereka matanya menjadi merah dan urat darah di lehernya timbul. Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya aku tahu suatu kalimat yang apabila ianya diucapkan maka apa yang beliau derita itu menjadi hilang, iaitu “a ‘u zu bil la hi mi nasy syai ta nir ra jim” bermaksud: Aku berlindung dengan Allah dari godaan syaitan yang terkutuk. Lelaki itu berkata: Apakah engkau (baginda) melihat aku gila?. (Hadith diriwayatkan oleh al Bukhari).

Selain itu dalam usaha memberikan layanan kepada tetamu, perkara pokok yang perlu diutamakan ialah menyediakan keperluan asas yang mencukupi kepada tetamu. Dalam majlis jamuan umpamanya, hendaklah menyediakan makanan yang mencukupi serta peralatan yang berkaitan. Jika makanan yang kurang mencukupi atau peralatan yang tidak sesuai maka keadaan ini boleh memalukan pihak tuan rumah.

Dalam Islam peralatan yang disediakan oleh Rasulullah SAW untuk kegunaan tetamunya adalah secara sederhana mengikut kemampuan yang ada, seperti menyediakan tempat duduk untuk tetamunya, menjamu minuman dari susu dan roti untuk mereka.

Dari segi penginapan pula baginda Rasulullah SAW telah menjadikan masjid sebagai tempat tetamunya berehat dan melelapkan mata.

Jika layanan itu dalam majlis-majlis jamuan, pertama sekali setelah tetamu mengambil tempat, pihak tuan rumah atau pelayan akan menghampiri tetamu dengan ucapan salam serta mengukirkan senyuman. Seterusnya dihulurkan segelas air sejuk dengan segera sementara menantikan ketibaan tetamu-tetamu lain atau sementara menantikan makanan lain dihidangkan.

Giliran layanan yang dilakukan oleh Rasulullah SAW terhadap tetamunya adalah mengikut kaedah lawan jam iaitu memberi layanan kepada mereka yang berada di sebelah kanannya, kemudian kanan lagi dan seterusnya.

Apabila tetamu sudah tiba kesemuanya atau tepat pada masanya, maka sajian dihidangkan. Layanan daripada tuan rumah yang sempurna untuk tetamu ialah menyediakan makanan yang terbaik kepada tetamu. Oleh itu jamuan yang dihidangkan biarlah berkualiti dan menyenangkan semua pihak untuk menjamahnya, dengan ini terlaksanalah hospitaliti Islam dalam diri tuan rumah.

Setelah makanan dihidangkan maka layanan yang seterusnya disusuli pula dengan membantu tetamu untuk membasuh tangan mereka.

Janganlah membiarkan mereka bersusah payah untuk membasuh tangan. Seterusnya makanan yang telah berkurangan hendaklah ditambah lagi sehingga tetamu benar-benar merasa kenyang dengan jamuan itu. Tuan rumah sewajarnya memberikan laluan kepada semua tetamu untuk menikmati jamuan dengan sempurna sebelum menjamu untuk diri sendiri. Rasulullah SAW sering kali mengutamakan tetamu dahulu sehingga kesemuanya berasa kenyang barulah baginda mendapatkan makanan itu untuk dirinya.

Jika tuan rumah makan bersama dengan tetamunya biarlah makan itu semata-mata untuk menemani mereka, mungkin tetamu malu untuk makan bersendirian. Sambil makan, tuan rumah digalakkan berbual-bual dengan perbualan yang ringan, sambil melihat perkembangan juadah di hadapan. Tambahlah jika makanan telah berkurangan.

Seandainya tuan rumah sudah rasa kenyang, janganlah membasuh tangan, sebaliknya tunggulah dahulu sehingga tetamu selesai makan. Setelah tetamu selesai makan, bantulah mereka dengan menyediakan air basuh tangan, diakhiri dengan tuan rumah membasuh tangan sendiri.

Jika tetamu datang dengan tujuan mempelajari ilmu pengetahuan atau sebagainya yang terpaksa memakan masa yang panjang, maka pihak tuan rumah digalakkan bersedekah kepada mereka dengan menyediakan keperluan asas seperti makanan dan minuman serta tempat penginapan.

Rasulullah SAW sering menerima tetamu dari dalam dan luar negeri untuk mempelajari ilmu-ilmu agama. Baginda Rasulullah SAW telah menyediakan tempat tinggal dan keperluan makanan dan minuman selagi mereka berada di sana. Jika Rasulullah SAW tidak berkemampuan untuk menanggung kos perbelajaan sara hidup mereka, baginda SAW akan memohon bantuan daripada sahabat-sahabat yang sudi untuk melayani tetamu berkenaan.

Kehidupan zaman ini telah banyak berubah, tetamu tidak lagi memerlukan kemudahan asas secara percuma daripada tuan rumah, sebaliknya segala perbelanjaan atau kos sara hidup dari segi penyediaan makanan, minuman dan penginapan dibiayai oleh tetamu sendiri. Yang masih diperlukan dalam situasi hari ini ialah hospitaliti daripada pihak institusi berkenaan. Pihak institusi hendaklah memastikan makanan dan minuman yang disediakan itu benar-benar bersih sesuai dengan tuntutan syari‘at Islam, manakala tempat penginapan yang disediakan itu hendaklah selamat digunakan dan mendapat penjagaan rapi daripada pihak institusi berkenaan. Rasulullah SAW sentiasa melawat tetamunya pada waktu malam, sambil mengucapkan salam kepada mereka yang belum melelapkan mata, tetapi ucapan salam baginda itu tidak menyebabkan terjaga orang yang sedang tidur. Setelah itu Rasulullah SAW terus pergi ke masjid untuk menunaikan sembahyang malam.

Kini dalam pengendalian khidmat kaunter dengan lebih berkualiti, Jabatan Perdana Menteri Malaysia (1991) telah menggariskan beberapa langkah untuk dilaksanakan oleh staf seperti sentiasa memastikan keadaan persekitaran berada dalam keadaan yang sentiasa bersih.

Begitulah juga pakaian pelayan juga kelihatan sentiasa bersih dan kemas, memberikan perkhidmatan yang cekap dan tepat, menggunakan perkataan yang bersopan semasa bercakap, melayani pelanggan mengikut giliran, memberi layanan yang adil tanpa membeza-bezakan pelanggan, bersabar serta bersedia menerima cadangan dan teguran, memberitahu dengan cara yang baik kepada pelanggan yang telah melakukan kesilapan dan berikan sebab-sebab yang munasabah kepada pelanggan terhadap sebarang kelewatan.

Selain itu hindarkanlah dari membiarkan pelanggan menunggu tanpa sebab-sebab yang munasabah. Hindarkanlah dari melayani pelanggan secara acuh tak acuh, membeza-bezakan pelanggan, memberi maklumat yang tidak tepat, bertengkar dengan pelanggan. Membuang masa dengan berbual-bual di dalam telefon. Memakai perhiasan yang berlebihan. Melakukan pekerjaan yang tidak senonoh semasa bertugas seperti merokok, bersiul, bergelak ketawa dan sebagainya.

6.4 Peringkat akhir perkhidmatan

Setelah tetamu menyelesaikan segala kehendak mereka, maka tibalah pula saat perpisahan. Sebelum mereka berpisah, pihak tuan rumah hendaklah menyediakan sedikit hadiah kepada mereka untuk dibawa pulang sebagai buah tangan untuk menemui keluarga mereka.

Terdapat kalangan tetamu itu yang datang dari jauh dan ada pula dari dekat. Jika tetamu berkenaan terpaksa menempuhi perjalanan yang jauh, maka eloklah dibekalkan kepada mereka hadiah yang berupa makanan sebagai bekalan dalam perjalanan.

Kebiasaannya Rasulullah SAW akan menyediakan hadiah yang berupaka makanan, pakaian, wang emas atau perak dan sebagainya. Hadiah ini merupakan suatu pemberian yang amat penting dari segi psikologi. Ia merupakan sebagai salah satu hikmah dakwah Rasulullah SAW terhadap manusia pada masa itu. Melalui hadiah ini ia juga berfungsi sebagai kenang-kenangan kepada tetamu berkenaan supaya sentiasa mengingati baginda, seterusnya menguatkan pegangan mereka terhadap Islam.

Antara hadiah-hadiah yang digemari oleh Rasulullah SAW berbentuk minyak wangi. Minyak wangi merupakan satu hadiah yang mudah dibawa dan murah harganya, tetapi nilai di sisi tetamu amatlah tinggi. Ingatan mereka terhadap pemberi hadiah itu akan berkekalan selama-lamanya.

Setelah hadiah dibekalkan kepada tetamu, maka sampailah pula kepada agenda terakhir iaitu keberangkatan pulang. Kebiasaan Rasulullah SAW akan bangun mengiringi tetamunya sehingga ke muka pintu, serta tolong membuka pintu untuk tetamunya itu.

Maka pertemuan itu diakhiri dengan berjabat tangan dan mengucapkan salam. Jika tetamu itu ingin berjalan jauh, tuan rumah dibenarkan memeluknya dan mengucup pada dahinya sebagai hadiah yang terakhir untuk mereka berjalan pulang. Begitulah jika tetamu itu terdiri daripada ibu bapa atau anak sendiri, sebagai tanda kasih sayang terhadap mereka digalakkan memeluk dan mengucup sebagai tanda perpisahan.

Akhirnya pihak tuan rumah akan mendoakan kepada Allah SWT untuk tetamunya supaya Allah SWT selamatkan mereka dalam perjalanan. Dengan itu berakhirlah suatu kunjungan seorang tetamu dari mula pertemuan, hinggalah saat-saat perpisahan.

6.5 KESIMPULAN

Pelaksanaan Rasulullah SAW dalam menyambut, melayani dan mengiringi kepulangan tetamu mempunyai satu teknik yang dinamakan teknik kasih sayang.

Berdasarkan sifat baginda yang mendalam berkenaan kasih sayang dan pemurah itu, baginda dapat melayani sesiapa sahaja yang mengunjunignya.

Dengan bersenjatakan senyuman manis ketika bertemu tetamunya, membuatkan tetamunya terikat dan terpesona dengan wajah baginda SAW. Ada daripada kalangan mereka yang tidak sanggup lagi berpisah dengan Rasulullah SAW setelah bertemu dengan baginda. Hal ini kerana kualiti hospitaliti Rasulullah SAW terhadap tetamunya amat hebat.

Berdasarkan praktik Rasulullah SAW dalam hospitaliti seperti yang telah dibincangkan di atas, maka seluruh umat Islam kini berpeluang mengambil manfaat atau pelajaran untuk dilaksanakan dalam kerjaya mereka.

Di samping itu Rasulullah SAW mengingatkan kepada umat Islam, khususnya untuk para pengamal hospitaliti ini dalam aktiviti mereka supaya berhati-hati iaitu melakukan segala kebaikan hendaklah didorong semata-mata kerana perintah Allah SWT dan mencari keredaanNya. Perkara ini telah ditegaskan di dalam sebuah hadith;

Terjemahan: Diriwayatkan daripada Jundub al-‘Alaqiy (RA) katanya: Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa yang (melakukan satu amalan) supaya orang menghormatinya, Allah akan menunjukkan aibnya dan sesiapa yang (melakukan suatu amalan kerana) ingin menunjuk-nunjuk kepada manusia, Allah akan memperlihatkan kecacatannya. (Hadith diriwayatkan oleh Ahmad).

Hadith di atas juga menjelaskan bahawa dalam melaksanakan hubungan sesama insan, dalam masa yang sama mereka juga diwajibkan melaksanakan hubungan dengan Allah SWT. Dalam erti kata yang lain, hubungan sesama manusia hendaklah didasarkan hubungan dengan Allah SWT.