PELAKSANAAN HOSPITALITI ISLAM


6.0 PENDAHULUAN

Dalam bab ini saya akan merumuskan secara lebih lengkap dan menyeluruh layanan yang diberikan secara praktikal kepada tetamu menurut pandangan Islam dengan berpandukan praktik Rasulullah SAW, sahabat dan orang-orang yang salih daripada kalangan tabi‘in serta mengambil idea-idea baru dalam memberikan layanan, selagi tidak bercanggah dengan ajaran Islam.

Bab Enam ini merupakan rumusan bab empat dan bab lima yang disusun secara sistematik berkenaan pelayanan Rasulullah SAW terhadap tetamunya.

Rumusan bab empat yang menghuraikan etika terhadap tetamu, dan bab lima yang menghuraikan etiket pelayanan terhadap tetamu, menjadikan hospitaliti Islam begitu mantap dan praktikal, kerana etiket pelayanan Islam bukanlah suatu yang terapung, malah ia ditunjangi oleh etika pelayanan Islam, seperti dalam gambar rajah yang lalu. Kesemuanya berpaksikan Akidah dan Syariah Islam sebagai asas kekuatan secara umumnya.

Berdasarkan bukti-bukti daripada al-Qur’an dan hadith Rasulullah SAW kita dapat melihat bahawa bentuk pelayanan yang diketengahkan adalah dalam bentuk pemberian makanan, minuman dan tempat tinggal untuk para tetamu.

Namun begitu buku ini hanyalah menumpukan aspek peringkat baginda melayani tetamu, untuk diteladani oleh para pelayan tetamu dalam kerjaya mereka.

Hasil perbincangan yang lalu, khususnya di dalam bab tiga telah menjelaskan berkenaan jenis-jenis tetamu yang berkunjung menemui Rasulullah SAW. Mereka terdiri daripada keluarga, para sahabat, Muslim (lelaki), Muslimah (perempuan), kanak-kanak, pengembara, utusan dari luar, ahli kitab (Yahudi dan Nasrani), kaum musyrikin dan sebagainya.

Kehadiran tetamu berkenaan menemui Rasulullah SAW mempunyai berbagai-bagai tujuan, dan semua tujuan mereka cuba diatasi oleh Rasulullah SAW sebaik mungkin. Antara layanan atau perkhidmatan yang diperlukan oleh tetamu baginda Rasulullah SAW boleh dirumuskan seperti berikut, iaitu bertujuan;

1. Menganut agama Islam.
2. Bertanyakan masalah agama.
3. Meminta khidmat pengadilan.
4. Mempelajari ilmu-ilmu agama.
5. Memohon didoakan untuk kebaikan mereka.
6. Memohon bantuan makanan, perubatan dan kewangan.
7. Menghadiri majlis jamuan atau kenduri.
8. Menziarahi kerana hubungan keluarga.
9. Menziarahi sahabat, kerana sakit atau kematian.
10. Urusan berjual beli.
11. Urusan pentadbiran negara, dan lain-lain.

Rasulullah SAW sebagai hos atau tuan rumah telah mempraktikkan hospitaliti dengan sebaik-baiknya sejak ketibaan tetamu dengan menyambut kedatangan mereka, memberi perkhidmatan layanan dengan cara yang sopan santun dan hinggalah kepada saat-saat kepulangan mereka.

Oleh itu bagi memudahkan kefahaman, maka hospitaliti Rasulullah SAW dibahagi kepada empat peringkat. Huraiannya adalah seperti berikut;

6.1 Peringkat Persediaan

Sebelum kedatangan tetamu, pihak tuan rumah sewajarnya membuat persediaan tertentu dalam menyambut kedatangan mereka. Walaupun Rasulullah SAW tidak menentukan peralatan atau bentuk-bentuk persediaan bagi menyambut tetamu, namun begitu Rasulullah SAW sentiasa bersedia menyambut kedatangan tetamu.

Antara persediaan baginda ialah menyediakan persekitaran yang bersih, menyediakan tempat duduk, menyediakan makanan dan minuman serta tempat penginapan. Walaupun persediaan itu tidak seberapa tetapi sudah cukup membuktikan bahawa perlu ada persediaan bagi menyambut kedatangan mereka.

Rasulullah SAW menjadikan masjid dan kediamannya sebagai tempat menyambut kedatangan tetamu atau pelanggan. Masjid dan rumah baginda merupakan kaunter perkhidmatan. Pengunjung datang membawa berbagai-bagai masalah untuk diselesaikan oleh baginda.

Sebagai langkah persediaan, baginda telah menyediakan juru tulis, cop mohor, tempat duduk, hadiah, makanan dan minuman dan sebagainya.

Dalam dunia kini khidmat kaunter telah memperkemas lagi dengan lampu, mesin kira, pembesar suara, borang, cop jabatan, resit, wang tukar, persekitaran yang bersih dan teratur, tempat menunggu dan tempat buang sampah, papan tanda, papan maklumat, jadual perkhidmatan kaunter, makluman berkenaan staf yang tidak hadir dan sebagainya. Kesemua persediaan ini semata-mata untuk menjamin perkhidmatan kaunter berjalan dengan lancar.

Dalam pada itu Rasulullah SAW sentiasa menasihati supaya bersederhana dalam segala perkara. Dalam menyediakan peralatan dan kemudahan untuk tetamu hendaklah dilakukan secara sederhana.

Elakkanlah daripada memberat-beratkan diri semasa melayani tetamu, kerana memberat-beratkan diri dalam melayani tetamu itu boleh mendatangkan kesan negatif terhadap tuan rumah. Menyusahkan diri kerana melayani tetamu boleh menyebabkan timbul kemarahan daripada pihak tuan rumah terhadap tetamu.

6.2 Peringkat sambutan

Kebiasaannya tetamu akan mengucapkan salam kepada tuan rumah terlebih dahulu. Jika ucapan salam itu sampai tiga kali, namun tidak ada apa-apa jawapan, maka tetamu itu dikehendaki pulang. Sebaliknya jika salam itu dijawab dan mendapat keizinan untuk masuk, barulah tetamu berkenaan masuk.

Tuan rumah akan membuka pintu sebagai membenarkan tetamu untuk masuk. Jika di tempat-tempat umum seperti di masjid, pasar dan sebagainya sudah termaklum berkenaan keizinan untuk masuk. Walaupun ia merupakan tempat umum, bagi pihak berkenaan adalah dianggapkan bersopan jika kedatangan tetamu itu disambut oleh mereka.

Rasulullah SAW menyambut kedatangan sahabatnya ketika baginda SAW sedang berada di tempat awam iaitu di masjid dengan melapangkan tempat duduk untuk tetamunya itu, walaupun tempat lain masih luas, sebagaimana yang dijelaskan di dalam bab lima yang lalu.

Tuan rumah hendaklah bangun melangkah ke pintu untuk mendapatkan tetamu berkenaan sekiranya tetamu menghampiri pintu kediaman.

Bangun di sini bukanlah bererti berdiri sebagai menghormati ketibaan orang kenamaan seperti yang berlaku dalam masyarakat hari ini, tetapi bangun yang dimaksudkan di sini ialah semata-mata untuk pergi ke arah tetamu untuk menjemput kehadiran mereka. Jika seseorang itu berdiri sebagai menghormati kedatang tetamu, maka hal ini adalah dilarang oleh Rasulullah SAW sebagaimana yang telah disebutkan di dalam hadith yang lalu.

Semasa berjalan menuju ke arah mereka, tuan rumah selaku penyambut tetamu dikehendaki supaya mengukirkan senyuman yang manis tulus ikhlas dari hati.

Senyuman pada lazimnya ialah menampakkan gigi dan kelihatan meninggi daging atau tulang pipi kiri dan kanan sambil memandang ke arah tetamu. Terukirnya senyuman berkenaan adalah semata-mata melahirkan rasa kegembiraan kerana ketibaan mereka.

Apabila mereka berhadapan dan berberkenaan mata, pihak tetamu akan mengucapkan salam dengan ucapan salam.

Salam itu di jawab oleh tuan rumah dengan ucapan salam iaitu jawapan yang sama dengannya atau yang lebih baik dari itu atau yang lebih baik dari itu. Walau bagaimanapun dalam Islam digalakkan berlumba-lumba memberi ucapan salam. Oleh itu pihak tuan rumah hendaklah mendahului memberi ucapan salam sebagai tanda rasa gembira dan mengalu-alukan kedatangan tetamu.

Jika tetamu itu wanita, sedangkan penyambut tetamu itu seorang lelaki, maka lelaki itu digalakkan mengucapkan salam, tetapi tidak dibenarkan berjabat tangan. Sebaliknya, jika penyambut tetamu itu seorang wanita, tetamu itu seorang lelaki, maka wanita berkenaan tidak dibenarkan memberi salam.

Peraturan-peraturan yang telah digariskan oleh Rasulullah SAW adalah semata-mata untuk menjaga keselamatan bersama.

Setelah ucapan salam bersambut, maka pihak tuan rumah akan menyambut pula kehadiran mereka itu dengan menghulurkan tangan untuk berjabat tangan. Seperti yang dinyatakan bahawa berjabat tangan hanya dibenarkan antara mereka yang sesama jenis sahaja atau dengan mahramnya.

Menyentuh tubuh badan tetamu (body contact) yang dibenarkan oleh Islam adalah dalam bentuk berjabat tangan sahaja, manakala dalam bentuk lain seperti memeluk atau mencium adalah dilarang. Kecuali memeluk dan mencium mereka sudah lama tidak bertemu atau yang datang dari tempat yang jauh seperti baru kembali daripada mengerjakan ibadah haji, baru balik daripada menuntut ilmu pengetahuan dan sebagainya.

Perbuatan memeluk dan mencium tetamu yang terdiri dari ibu bapa atau anak sendiri. Kelakuan ini dilakukan oleh Rasulullah SAW terhadap anaknya Fatimah (R.anha).

Sebelum menyambut kedatangan tetamu, sebagai tuan rumah perlu memastikan rupa diri mereka sesuai sebagai tuan rumah atau sesuai sebagai pelayan dalam berpakaian. Mereka dikehendaki memakai pakaian yang bersih dan sederhana yang tidak melambangkan ciri-ciri kesombongan atau riya’.

Di samping itu dalam berpakaian, tuan rumah hendaklah sentiasa memelihara aurat mereka. Mereka juga dilarang memandang tetamu secara pandangan yang menimbulkan rangsangan nafsu syahwat, kerana Islam sentiasa mengingatkan umatnya supaya menundukkan pandangan terhadap perkara ini. Sabda Rasulullah SAW;

Terjemahan: Diriwayatkan daripada Abu Hurairah (RA) katanya: Nabi SAW bersabda: Allah SWT telah mencatit bahawa anak Adam cenderung terhadap perbuatan zina. Keinginan tersebut tidak dapat dielakkan lagi, di mana dia akan melakukan zina mata dalam bentuk pandangan, zina mulut dalam bentuk pertuturan, zina perasaan iaitu bercita-cita dan berkeinginan mendapatkannya manakala kemaluanlah yang menentukannya berlaku atau tidak. (Hadith diriwayatkan oleh al Bukhari dan Muslim).

Untuk menjadikan pelayan yang benar-benar berkualiti, mereka dikehendaki supaya sentiasa mendapatkan maklumat terbaru dan juga memiliki maklumat yang mencukupi berkenaan dengan persekitarannya.

Kesemua maklumat ini penting sebagai jawapan kepada soalan-soalan yang diajukan oleh tetamu. Dalam melayani tetamu banyak maklumat baru yang diinginkan oleh tetamu. Oleh itu segala jawapan yang diberikan oleh pelayan hendaklah sentiasa menepati keadaan yang sebenarnya. Islam melarang menyatakan sesuatu itu secara rambang, sebaliknya hendaklah memberi maklumat itu berdasarkan jawapan betul dan tepat. Firman Allah SWT;

Terjemahan: Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya berkenaan apa yang dilakukannya. (Surah al-Isra’ 15: 36).

Menyambut kehadiran tetamu hendaklah dilakukan secara bersopan santun dari segi tutur kata dan tingkah laku. Islam telah memberikan garis panduan kepada masyarakat Islam umumnya dan khususnya kepada tuan rumah atau pelayan supaya menuturkan dengan kata-kata yang jelas dan dapat difahami oleh tetamu.

Penggunaan bahasa asing seperti bahasa Inggeris terhadap tetamu yang datang dari kampung pedalaman, kadang-kadang boleh menjadikan tetamu tidak memahaminya yang kadang-kadang menyebabkan berlakulah salah faham dan kekeliruan antara mereka.

Maka menjadi tanggungjawab tuan rumah atau pelayan supaya memahami keadaan tetamu mereka dari segi penguasaan bahasa, agar tetamunya tidak merasa sedih kerana tidak dapat memahami pertuturan tuan rumah. Rasulullah SAW bersabda;

Terjemahan: Diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas‘ud (RA) katanya: Rasulullah SAW bersabda: Apabila kamu ada tiga orang, maka janganlah dua orang di antara kamu berbisik-bisik tanpa disertai oleh seorang lagi sehingga mereka bergabung dengan orang ramai agar tidak membuatnya sedih. (Hadith diriwayatkan oleh Muslim).

Sebagai seorang pelayan, mereka dikehendaki sentiasa mengutamakan akhlak yang mulia seperti bersifat cekap dan amanah dalam menjalankan tugas melayani tetamu. Dalam menjalankan amanah berkenaan, mereka sewajarnya berhati-hati dan menunjukkan semangat yang tinggi dalam melayani tetamu dan kehadiran tetamu itu disambut dan dilayani tanpa ada sebarang masalah. Walaupun tetamu yang datang membawa masalah yang banyak, tetapi bagi tuan rumah masalah-masalah itu dapat diselesaikan dengan baik.

Pihak tuan rumah atau pelayan jangan sekali-kali memperlihatkan masalah dalaman mereka di hadapan tetamu. Sebaliknya masalah berkenaan itu sewajarnya diselesaikan pada peringkat tuan rumah, bukan mempamerkan masalah itu di hadapan tetamu, yang boleh mencemarkan nama baik tuan rumah pada pandangan mata tetamu. Rasulullah SAW tidak pernah menceritakan permasalahan peribadinya kepada orang lain.

Kehadiran tetamu yang membawa berbagai-bagai jenis masalah seperti masalah agama, masalah keluarga dan sebagainya bersama-sama mereka diharap dapat diselesaikan oleh tuan rumah dengan baik. Kesemua ini dapat dilakukan kerana Islam mengajar umatnya supaya dapat menyesuaikan diri dalam semua keadaan. Perkara ini dapat dibuktikan melalui fakta sejarah yang merakamkan bahawa Rasulullah SAW yang berada di bandar Makkah telah menyesuaikan diri di perkampungan di daerah Yathrib (Madinah).

Faktor perkembangan Islam juga bergantung kepada para pendakwah dapat menyesuaikan diri dengan masyarakat setempat. Menyesuaikan diri bukanlah bermaksud menukar agama mengikut agama penduduk setempat atau mengabaikan tanggungjawab agama semata-mata untuk menyesuaikan diri dengan masyarakat setempat. Yang dimaksudkan di sini ialah menyesuaikan diri dalam bentuk kehidupan harian tanpa menjejaskan pegangan kepada asas Akidah dan Syariah Islam.

Antara faktor yang mempercepat ke arah penyesuaian diri antara tuan rumah dengan tetamu mereka ialah pihak tuan rumah hendaklah memperlihatkan perasaan kasih sayang kepada tetamu. Di samping itu dihubungkan pula antara mereka dengan hubungan persaudaraan berasaskan agama Islam sebagai penyatu umat.

Seterusnya untuk menyesuaikan diri dengan tetamu, maka pihak tuan rumah akan memperkenalkan dirinya kepada tetamu.

Dalam dunia kini, terdapat pelbagai cara mereka memperkenalkan diri seperti menghulurkan kad perniagaan (business card), meletakkan tanda nama pada baju (name tag) dan sebagainya. Mengikut tradisi Islam, tuan rumah akan memberi tahu sendiri namanya dan jawatannya kepada tetamu yang baru tiba supaya memudahkan urusan mereka.

Rasulullah SAW sentiasa memperkenalkan dirinya kepada tetamu yang tidak mengenalinya, seperti memperkenalkan dirinya sebagai Utusan Allah SWT, sebagai hamba Allah SWT, sebagai penyudah nabi-nabi dan rasul-rasul dan sebagainya.

Dengan memperkenalkan diri kepada tetamu, maka segala urusan tetamu dengan pihak tuan rumah dapat dilaksanakan dengan mudah.

Pekeliling Kemajuan Pentadbiran Awam bilangan 1 (1991) telah memberikan beberapa cadangan kepada staf di kaunter perkhidmatan supaya menerima pelanggan dengan mesra serta mengucapkan selamat (salam atau selamat pagi), menanyakan jenis urusan yang diperlukan dengan nada yang lembut dan jelas, mengarahkan pandangan kepada pelanggan apabila bercakap dengan mereka serta memberi perhatian kepada perkara yang dituturkan oleh mereka. Nyatakan dengan tepat kaunter yang dapat memberi perkhidmatan kepada mereka.

6.3 Peringkat prosesan

Pihak tuan rumah juga hendaklah memastikan persekitarannya merupakan suatu tempat yang selamat dan boleh menjamin keselamatan tetamunya supaya sentiasa berada dalam keadaan selamat daripada sebarang bahaya dan gangguan.

Antara persediaan lain, pihak tuan rumah perlu menyediakan tempat duduk untuk tetamunya. Jika tempat duduk tidak mencukupi, maka menjadi tanggung jawab pihak tuan rumah menyediakan tempat duduk berkenaan.

Pihak tuan rumah sewajarnya cepat dan tangkas bertindak apabila melihat kekurangan tempat duduk, sedangkan tetamu masih berpusu-pusu datang. Dalam menjalankan tugas itu, hendaklah dilakukan dengan cermat dan berhati-hati supaya tidak kelihatan kelam-kabut.

Seterusnya bagi menyambut kehadiran tetamu, suasana tempat berurusan hendaklah kemas, teratur dan bersih. Keadaan persekitaran yang bersih, kemas dan tersusun menjadikan tetamu yang berkunjung itu akan berasa selesa dan akan terus berminat dengan perkhidmatan yang disediakan.

Apabila semua berada dalam keadaan yang sempurna, maka tetamu pun dipersilakan mengambil tempat duduk. Semasa mereka berada di tempat duduk sedang menantikan giliran mereka untuk dilayan, pihak penyambut tetamu akan memberikan kerehatan kepada mereka. Mungkin tetamu datang dari tempat yang jauh yang ingin mencari kerehatan buat seketika.

Semasa mereka berada di tempat duduk, pihak tuan rumah akan melayani mereka dengan berbagai-bagai perbualan yang menarik dengan cara yang sopan santun dan sentiasa memenangkan hati mereka.

Pada kebiasaannya Rasulullah SAW amat pintar menimbulkan isu-isu yang menarik minat untuk tetamunya bercerita. Di samping Rasulullah SAW mendengar perbualan itu, baginda SAW kelihatan tersenyum. Apabila suasana menjadi sepi mungkin ketandusan idea, maka Rasulullah SAW akan menimbulkan isu-isu lain yang lebih menarik, sehingga perbualan yang panjang antara tetamu tidak dirasai. Di samping itu untuk memeriahkan lagi suasana, pada ketika inilah juga pihak tuan rumah akan memperkenalkan tetamu yang baru tiba ini kepada tetamu-tetamu yang lain.

Dalam melayani mereka dengan berbagai-bagai perbualan, harus diingatkan kepada pihak tuan rumah atau pelayan supaya janganlah terlalu ramah melebihi tetamu. Sebaliknya berbuallah secara sederhana yang lebih kepada mendengar daripada berbicara serta sentiasalah mengukir senyuman.

Apabila menyentuh kepada isu-isu yang agak melucukan, pihak pelayan atau tuan rumah hanyalah dibenarkan mengukir senyum dari hati yang ikhlas. Hindarkanlah daripada ketawa yang berlebih-lebihan. Jika terdapat tetamu yang suka berjenaka berlebih-lebihan, hendaklah pelayan berada jauh sedikit daripada mereka. Hindarkanlah daripada memberikan syarahan kepada mereka.

Setelah sampai giliran mereka yang patut diberi layanan khusus, maka lakukan layanan dengan cara yang sopan santun, cepat dan pantas serta hindarkanlah daripada sikap terburu-buru. Jika dalam majlis kenduri, persilakanlah mereka untuk makan dan janganlah mendesak mereka supaya menghabiskan makanan.

Rasulullah SAW tidak pernah mendesak tetamunya menghabiskan makanan, sebaliknya baginda menyediakan makan yang sederhana untuk tetamunya, jika tetamu masih memerlukan ditambahnya lagi. Kesemua layanan yang diberikan hendaklah dengan sopan santun seperti dalam hadith;

Terjemahan: Diriwayatkan daripada Aisyah (RA) isteri Nabi SAW katanya: Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: Wahai Aisyah! Sesungguhnya Allah itu Maha Lembut, Dia suka akan kelembutan. Allah akan memberikan balasan dari kelembutan yang tidak diberikan ke atas sikap keras dan kasar serta selainnya. (Hadith diriwayatkan oleh al Bukhari dan Muslim).

Dalam majlis ilmu pula, janganlah menjadikan mereka serba salah seperti bertanya-tanya soalan sehingga menyebabkan tetamu berasa tersinggung seterusnya menampakkan kelemahan mereka di hadapan tetamu lain. Oleh itu berilah pengajaran yang sedikit atau tugasan yang sedikit semoga ilmu yang dicurahkan itu dapat dimanfaatkan. Rasulullah SAW memberikan pengajaran kepada tetamunya hanyalah sedikit, sehingga pengajaran yang sedikit itu dapat dihayati dengan baik.

Antara peringkat lain yang diperkenalkan oleh Rasulullah SAW dalam melayani tetamu ialah sentiasalah menghargai tetamunya dari segi kelebihan yang ada pada diri mereka, keturunan mereka, jawatan mereka dan sumbangan mereka dalam masyarakat. Walau bagaimanapun memberi pujian yang berlebih-lebihan adalah dilarang, kerana dalam sebuah hadith Rasulullah SAW pernah menyentuh soal ini;

Terjemahan: Diriwayatkan daripada Abu Musa (RA) katanya: Rasulullah SAW telah mendengar seorang lelaki sedang memuji seorang lelaki secara berlebih-lebihan, lalu Rasulullah SAW segera bersabda: Sesungguhnya kamu telah menghancur atau memotong belakang seorang lelaki. (Hadith diriwayatkan oleh al Bukhari dan Muslim).

Walau bagaimanapun baginda Rasulullah SAW pernah mengajar para sahabat baginda teknik memuji manusia dengan cara yang betul, iaitu kebaikan yang ada pada diri orang yang dipuji itu hendaklah diserahkan kepada Allah SWT, kerana Allah SWT sahaja yang lebih mengetahui dan layak mendapat pujian. Hal ini boleh diambil pengajaran daripada hadith berikut;

Terjemahan: Diriwayatkan daripada Abu Bakrah (RA) katanya: Seorang lelaki telah memuji seorang lelaki di hadapan Nabi SAW, lalu Rasulullah SAW bersabda: Celaka kamu! Kamu telah memenggal leher temanmu. Kamu telah memenggal leher temanmu. Rasulullah SAW mengulangi ucapan tersebut beberapa kali. Sekiranya seseorang di antara kamu mesti memuji sahabatnya maka hendaklah dia berkata aku kira si anu itu begini-begini, AllahSWTlah yang lebih mengetahui berkenaan dirinya. Aku tidak memuji sesiapa pun di hadapan Allah SWT. Aku menghitungnya (memujinya) begitu dan begini sekiranya dia memang mengetahui hal itu. (Hadith diriwayatkan oleh Muslim).

Rasulullah SAW pernah memberikan penghargaan kepada Abu Sufian bin Harab yang merupakan ketua kaum Quraisy dalam peristiwa pembukaan Kota Makkah. Abu Sufian merupakan ketua musyrik Makkah yang inginkan kuasa dan sanjungan, maka dari psikologinya Abu Sufian dapat ditawan dengan memberikan penghargaan kepadanya. Dalam peristiwa Pembukaan Makkah, baginda telah mengumumkan kepada semua penduduk musyrik Makkah yang inginkan keselamatan supaya sentiasa berada di dalam masjid atau di dalam rumah sendiri atau berada di dalam rumah Abu Sufian. Pada hal rumah sendiri dengan rumah Abu Sufian tidak ada bezanya, tetapi pendekatan Rasulullah SAW itu telah menarik minat Abu Sufian kepada agama Islam. Seperti dalam sabda baginda SAW;

Terjemahan: Barang siapa datang ke rumah Abu Sufyan, orang itu selamat, barang siapa menutup pintu rumahnay orang itu selamat dan barang siapa masuk ke dalam masjid orang itu juga selamat. (Hadith diriwayatkan oleh Muslim).

Seterusnya sentiasalah memberikan ucapan terima kasih dengan kehadiran tetamu dan sokongan yang diberikan oleh tetamu kepada program yang diadakan oleh pihak tuan rumah. Apabila kehadiran mereka disusuli dengan ucapan terima kasih maka menjadikan tetamu merasa bangga dan berbesar hati kerana kehadirannya merupakan sesuatu yang dinanti-nantikan oleh tuan rumah. Dengan itu juga tetamu tidak akan berasa terasing apabila berada dalam majlis yang diadakan itu, kerana kehadirannya itu mendapat penghargaan.

Sesuatu yang kurang memuaskan daripada pihak tetamu berkenaan bahasa pertuturan dan juga perangai mereka mungkin menjadikan pihak tuan rumah tidak berpuas hati. Untuk menjaga ketenteraman dan keselesaan semua pihak, pelayan atau tuan rumah dinasihatkan agar sentiasa bersabar dengan kerenah mereka serta berikanlah kemaafan terhadap kesilapan yang mereka lakukan itu.

Tetamu yang melakukan kesalahan atau kesilapan sama ada sengaja atau tidak disengajakan, hendaklah diterima sebagai satu cabaran atau ujian kepada pelayan atau tuan rumah dalam meningkatkan kualiti hospitaliti. Elakkanlah daripada berlaku pertengkaran atau bertikam lidah dengan mereka, sebaliknya sentiasalah mendengar perkara yang mereka ucapkan, mungkin segala teguran yang dilontarkan oleh tetamu kepada tuan rumah atau aksi mereka yang kurang menyenangkan itu mengandungi pengajaran kepada tuan rumah dalam usaha meningkatkan lagi kualiti layanan mereka.

Jika berlaku pergaduhan antara sesama tetamu yang hadir, maka pihak tuan rumah hendaklah mententeramkan mereka. Cuba alihkan pandangan dan tumpuan mereka itu kepada sudut lain. Sering kali berlaku pergaduhan sesama tetamu apabila mereka membincangkan soal-soal yang sensitif seperti persoalan bangsa, keturunan, parti politik dan mengungkit perkara-perkara yang lepas. Maka menjadi tanggungjawab pihak tuan rumah untuk mententeramkan keadaan mereka.

Rasulullah SAW mententeramkan mereka dengan mengalihkan tajuk pertengkaran mereka kepada sudut lain, tanpa mencampuri isi kandungan pertengkaran itu, seperti menjelaskan berkenaan besarnya pengaruh syaitan dalam menwujudkan pergaduhan antara sesama manusia, seperti dalam sebuah hadith;

Terjemahan: Diriwayatkan daripada Sulaiman bin Surad (RA) katanya: Dua orang lelaki sedang bercaci maki di hadapan Rasulullah SAW. Salah seorang daripada mereka matanya menjadi merah dan urat darah di lehernya timbul. Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya aku tahu suatu kalimat yang apabila ianya diucapkan maka apa yang beliau derita itu menjadi hilang, iaitu “a ‘u zu bil la hi mi nasy syai ta nir ra jim” bermaksud: Aku berlindung dengan Allah dari godaan syaitan yang terkutuk. Lelaki itu berkata: Apakah engkau (baginda) melihat aku gila?. (Hadith diriwayatkan oleh al Bukhari).

Selain itu dalam usaha memberikan layanan kepada tetamu, perkara pokok yang perlu diutamakan ialah menyediakan keperluan asas yang mencukupi kepada tetamu. Dalam majlis jamuan umpamanya, hendaklah menyediakan makanan yang mencukupi serta peralatan yang berkaitan. Jika makanan yang kurang mencukupi atau peralatan yang tidak sesuai maka keadaan ini boleh memalukan pihak tuan rumah.

Dalam Islam peralatan yang disediakan oleh Rasulullah SAW untuk kegunaan tetamunya adalah secara sederhana mengikut kemampuan yang ada, seperti menyediakan tempat duduk untuk tetamunya, menjamu minuman dari susu dan roti untuk mereka.

Dari segi penginapan pula baginda Rasulullah SAW telah menjadikan masjid sebagai tempat tetamunya berehat dan melelapkan mata.

Jika layanan itu dalam majlis-majlis jamuan, pertama sekali setelah tetamu mengambil tempat, pihak tuan rumah atau pelayan akan menghampiri tetamu dengan ucapan salam serta mengukirkan senyuman. Seterusnya dihulurkan segelas air sejuk dengan segera sementara menantikan ketibaan tetamu-tetamu lain atau sementara menantikan makanan lain dihidangkan.

Giliran layanan yang dilakukan oleh Rasulullah SAW terhadap tetamunya adalah mengikut kaedah lawan jam iaitu memberi layanan kepada mereka yang berada di sebelah kanannya, kemudian kanan lagi dan seterusnya.

Apabila tetamu sudah tiba kesemuanya atau tepat pada masanya, maka sajian dihidangkan. Layanan daripada tuan rumah yang sempurna untuk tetamu ialah menyediakan makanan yang terbaik kepada tetamu. Oleh itu jamuan yang dihidangkan biarlah berkualiti dan menyenangkan semua pihak untuk menjamahnya, dengan ini terlaksanalah hospitaliti Islam dalam diri tuan rumah.

Setelah makanan dihidangkan maka layanan yang seterusnya disusuli pula dengan membantu tetamu untuk membasuh tangan mereka.

Janganlah membiarkan mereka bersusah payah untuk membasuh tangan. Seterusnya makanan yang telah berkurangan hendaklah ditambah lagi sehingga tetamu benar-benar merasa kenyang dengan jamuan itu. Tuan rumah sewajarnya memberikan laluan kepada semua tetamu untuk menikmati jamuan dengan sempurna sebelum menjamu untuk diri sendiri. Rasulullah SAW sering kali mengutamakan tetamu dahulu sehingga kesemuanya berasa kenyang barulah baginda mendapatkan makanan itu untuk dirinya.

Jika tuan rumah makan bersama dengan tetamunya biarlah makan itu semata-mata untuk menemani mereka, mungkin tetamu malu untuk makan bersendirian. Sambil makan, tuan rumah digalakkan berbual-bual dengan perbualan yang ringan, sambil melihat perkembangan juadah di hadapan. Tambahlah jika makanan telah berkurangan.

Seandainya tuan rumah sudah rasa kenyang, janganlah membasuh tangan, sebaliknya tunggulah dahulu sehingga tetamu selesai makan. Setelah tetamu selesai makan, bantulah mereka dengan menyediakan air basuh tangan, diakhiri dengan tuan rumah membasuh tangan sendiri.

Jika tetamu datang dengan tujuan mempelajari ilmu pengetahuan atau sebagainya yang terpaksa memakan masa yang panjang, maka pihak tuan rumah digalakkan bersedekah kepada mereka dengan menyediakan keperluan asas seperti makanan dan minuman serta tempat penginapan.

Rasulullah SAW sering menerima tetamu dari dalam dan luar negeri untuk mempelajari ilmu-ilmu agama. Baginda Rasulullah SAW telah menyediakan tempat tinggal dan keperluan makanan dan minuman selagi mereka berada di sana. Jika Rasulullah SAW tidak berkemampuan untuk menanggung kos perbelajaan sara hidup mereka, baginda SAW akan memohon bantuan daripada sahabat-sahabat yang sudi untuk melayani tetamu berkenaan.

Kehidupan zaman ini telah banyak berubah, tetamu tidak lagi memerlukan kemudahan asas secara percuma daripada tuan rumah, sebaliknya segala perbelanjaan atau kos sara hidup dari segi penyediaan makanan, minuman dan penginapan dibiayai oleh tetamu sendiri. Yang masih diperlukan dalam situasi hari ini ialah hospitaliti daripada pihak institusi berkenaan. Pihak institusi hendaklah memastikan makanan dan minuman yang disediakan itu benar-benar bersih sesuai dengan tuntutan syari‘at Islam, manakala tempat penginapan yang disediakan itu hendaklah selamat digunakan dan mendapat penjagaan rapi daripada pihak institusi berkenaan. Rasulullah SAW sentiasa melawat tetamunya pada waktu malam, sambil mengucapkan salam kepada mereka yang belum melelapkan mata, tetapi ucapan salam baginda itu tidak menyebabkan terjaga orang yang sedang tidur. Setelah itu Rasulullah SAW terus pergi ke masjid untuk menunaikan sembahyang malam.

Kini dalam pengendalian khidmat kaunter dengan lebih berkualiti, Jabatan Perdana Menteri Malaysia (1991) telah menggariskan beberapa langkah untuk dilaksanakan oleh staf seperti sentiasa memastikan keadaan persekitaran berada dalam keadaan yang sentiasa bersih.

Begitulah juga pakaian pelayan juga kelihatan sentiasa bersih dan kemas, memberikan perkhidmatan yang cekap dan tepat, menggunakan perkataan yang bersopan semasa bercakap, melayani pelanggan mengikut giliran, memberi layanan yang adil tanpa membeza-bezakan pelanggan, bersabar serta bersedia menerima cadangan dan teguran, memberitahu dengan cara yang baik kepada pelanggan yang telah melakukan kesilapan dan berikan sebab-sebab yang munasabah kepada pelanggan terhadap sebarang kelewatan.

Selain itu hindarkanlah dari membiarkan pelanggan menunggu tanpa sebab-sebab yang munasabah. Hindarkanlah dari melayani pelanggan secara acuh tak acuh, membeza-bezakan pelanggan, memberi maklumat yang tidak tepat, bertengkar dengan pelanggan. Membuang masa dengan berbual-bual di dalam telefon. Memakai perhiasan yang berlebihan. Melakukan pekerjaan yang tidak senonoh semasa bertugas seperti merokok, bersiul, bergelak ketawa dan sebagainya.

6.4 Peringkat akhir perkhidmatan

Setelah tetamu menyelesaikan segala kehendak mereka, maka tibalah pula saat perpisahan. Sebelum mereka berpisah, pihak tuan rumah hendaklah menyediakan sedikit hadiah kepada mereka untuk dibawa pulang sebagai buah tangan untuk menemui keluarga mereka.

Terdapat kalangan tetamu itu yang datang dari jauh dan ada pula dari dekat. Jika tetamu berkenaan terpaksa menempuhi perjalanan yang jauh, maka eloklah dibekalkan kepada mereka hadiah yang berupa makanan sebagai bekalan dalam perjalanan.

Kebiasaannya Rasulullah SAW akan menyediakan hadiah yang berupaka makanan, pakaian, wang emas atau perak dan sebagainya. Hadiah ini merupakan suatu pemberian yang amat penting dari segi psikologi. Ia merupakan sebagai salah satu hikmah dakwah Rasulullah SAW terhadap manusia pada masa itu. Melalui hadiah ini ia juga berfungsi sebagai kenang-kenangan kepada tetamu berkenaan supaya sentiasa mengingati baginda, seterusnya menguatkan pegangan mereka terhadap Islam.

Antara hadiah-hadiah yang digemari oleh Rasulullah SAW berbentuk minyak wangi. Minyak wangi merupakan satu hadiah yang mudah dibawa dan murah harganya, tetapi nilai di sisi tetamu amatlah tinggi. Ingatan mereka terhadap pemberi hadiah itu akan berkekalan selama-lamanya.

Setelah hadiah dibekalkan kepada tetamu, maka sampailah pula kepada agenda terakhir iaitu keberangkatan pulang. Kebiasaan Rasulullah SAW akan bangun mengiringi tetamunya sehingga ke muka pintu, serta tolong membuka pintu untuk tetamunya itu.

Maka pertemuan itu diakhiri dengan berjabat tangan dan mengucapkan salam. Jika tetamu itu ingin berjalan jauh, tuan rumah dibenarkan memeluknya dan mengucup pada dahinya sebagai hadiah yang terakhir untuk mereka berjalan pulang. Begitulah jika tetamu itu terdiri daripada ibu bapa atau anak sendiri, sebagai tanda kasih sayang terhadap mereka digalakkan memeluk dan mengucup sebagai tanda perpisahan.

Akhirnya pihak tuan rumah akan mendoakan kepada Allah SWT untuk tetamunya supaya Allah SWT selamatkan mereka dalam perjalanan. Dengan itu berakhirlah suatu kunjungan seorang tetamu dari mula pertemuan, hinggalah saat-saat perpisahan.

6.5 KESIMPULAN

Pelaksanaan Rasulullah SAW dalam menyambut, melayani dan mengiringi kepulangan tetamu mempunyai satu teknik yang dinamakan teknik kasih sayang.

Berdasarkan sifat baginda yang mendalam berkenaan kasih sayang dan pemurah itu, baginda dapat melayani sesiapa sahaja yang mengunjunignya.

Dengan bersenjatakan senyuman manis ketika bertemu tetamunya, membuatkan tetamunya terikat dan terpesona dengan wajah baginda SAW. Ada daripada kalangan mereka yang tidak sanggup lagi berpisah dengan Rasulullah SAW setelah bertemu dengan baginda. Hal ini kerana kualiti hospitaliti Rasulullah SAW terhadap tetamunya amat hebat.

Berdasarkan praktik Rasulullah SAW dalam hospitaliti seperti yang telah dibincangkan di atas, maka seluruh umat Islam kini berpeluang mengambil manfaat atau pelajaran untuk dilaksanakan dalam kerjaya mereka.

Di samping itu Rasulullah SAW mengingatkan kepada umat Islam, khususnya untuk para pengamal hospitaliti ini dalam aktiviti mereka supaya berhati-hati iaitu melakukan segala kebaikan hendaklah didorong semata-mata kerana perintah Allah SWT dan mencari keredaanNya. Perkara ini telah ditegaskan di dalam sebuah hadith;

Terjemahan: Diriwayatkan daripada Jundub al-‘Alaqiy (RA) katanya: Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa yang (melakukan satu amalan) supaya orang menghormatinya, Allah akan menunjukkan aibnya dan sesiapa yang (melakukan suatu amalan kerana) ingin menunjuk-nunjuk kepada manusia, Allah akan memperlihatkan kecacatannya. (Hadith diriwayatkan oleh Ahmad).

Hadith di atas juga menjelaskan bahawa dalam melaksanakan hubungan sesama insan, dalam masa yang sama mereka juga diwajibkan melaksanakan hubungan dengan Allah SWT. Dalam erti kata yang lain, hubungan sesama manusia hendaklah didasarkan hubungan dengan Allah SWT.