KESIMPULAN HOSPITALITI ISLAM

Secara keseluruhannya terdapat tiga pokok persoalan yang menjadi sasaran dalam buku ini yang telah dibahaskan dalam tujuh bab lalu iaitu seperti berikut:-

a. Apakah yang dimaksudkan dengan konsep hospitaliti Islam?.

b. Bagaimanakah penerapannya secara amali yang dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW dan sahabat-sahabatnya?.

c. Apakah perbezaan antara Islam dengan konvensional dari sudut konsep, prinsip dan amalan hospitaliti pada zaman ini?.

Sebagai huraian yang telah lalu maka berikut ini akan dipaparkan rumusannya.

8.0 Konsep hospitaliti Islam

Di sini dapatlah dirumuskan bahawa hospitaliti Islam membawa maksud: Mengutamakan etika dan etiket Islam dalam menyambut dan melayani tetamu dengan sifat-sifat terpuji dan menghindarkan diri daripada sifat-sifat tercela yang dilakukan semata-mata kerana kesedaran iman kepada Allah SWT.

Kesedaran etika dan etiket Islam adalah berteraskan al-Qur’an dan al-Hadith yang mengajak manusia supaya menghubungkan tali persaudaraan sesama Muslim khususnya dan umumnya kepada semua manusia, kerana perhubungan itu amat penting demi kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat.

Di dalam al-Qur’an dan al-Hadith banyak menyentuh berkenaan etika dan etiket dalam melayani tetamu. Walaupun ayat-ayat al-Qur’an dan al-Hadith yang menjelaskan berkenaan hospitaliti secara umum, tetapi sudah mencukupi dijadikan asas dan sumber kepada disiplin hospitaliti ini.

Di dalam al-Qur’an dan al-Hadith juga telah menjelaskan bahawa asas Akidah dan Syariah merupakan unsur utama dalam menentukan kesempurnaan Akhlak seterusnya membantu meningkatkan kualiti etiket hos dalam melayani pelanggan atau tetamu mereka.

Oleh yang demikian seseorang Muslim dapat meningkatkan nilai keimanan dan ketakwaan mereka kepada Allah SWT sebagai hasil peningkatan kualiti hospitalitinya dalam melayani tetamu atau pelanggan mereka.

Segala permasalahan mereka yang berkait dengan hospitaliti dapat diselesaikan dengan merujuk kepada dua sumber asas pegangan umat Islam iaitu al-Qur’an dan al-Hadith Rasulullah SAW.

Walaupun menurut pandangan konvensional, akal dan kajian sains sudah mencukupi, namun begitu pada hakikatnya akal dan kajian sains itu tidaklah bersifat sempurna. Hanya sistem Allah SWT sahaja yang sempurna untuk dijadikan rujukan dan panduan. Namun terdapat ruang yang cukup luas di dalam Syari‘at Islam dalam menggunakan akal fikiran dan pengalaman insan selagi tidak bercanggah dengan wahyu ilahi.

Seterusnya dalam buku ini telah dirumuskan pengertian “tetamu” atau “pelanggan” itu mencakupi semua pengunjung yang terdiri daripada keluarga sendiri seperti ibu bapa, suami, isteri, anak, cucu dan sebagainya, termasuklah jiran, anak yatim, fakir, miskin, kanak-kanak dan seterusnya seluruh masyarakat sama ada Muslim atau pun bukan Muslim. Mereka semua berhak mendapat layanan sebagai seorang tetamu atau pelanggan.

Dalam melayani tetamu atau pelanggan terdapat beberapa peringkat layanan yang telah dikenal pasti iaitu menyambut kehadiran mereka, mengucapkan salam, dipersilakan masuk dan mengambil tempat duduk, diberi peluang berehat sebelum berurusan, memberi layanan terbaik dalam perkhidmatan (prosesan) sebagai mana yang diperlukan, disediakan makanan dan minuman, memberi layanan di meja makan serta mengakhiri kunjungan itu dengan mengiringi kepulangan mereka dengan hadiah.


8.1 Amalan Nabi SAW dalam hospitaliti

Mengikut tradisi amalan Rasulullah SAW sering kali menyambut tetamu dengan ucapan salam. Jika tetamu atau pelanggan memulakan salam, baginda mengajarkan supaya menjawab salam itu biarlah dengan cara yang paling baik atau jawapan yang sama dengannnya.

Seterusnya digalakkan menyambut tetamu dengan berjabat tangan. Dalam berjabat tangan hendaklah dilakukan bersungguh-sungguh tanda kemesraan dan keikhlasan. Demikianlah yang telah dilakukan oleh Rasulullah SAW. Kesungguhan atau tidak dalam berjabat tangan itu menggambarkan segala-galanya berkenaan perhubungan mereka. Walau bagaimanapun berjabat tangan antara lelaki dengan perempuan adalah dilarang menurut hukum syari‘, kecuali muhrim.

Jika tetamu itu berkunjung ke rumah kediaman maka sering kali baginda Rasulullah SAW menjamu mereka dengan makanan dan minuman secara percuma, serta melayani mereka di tempat makan. Jika tetamu memerlukan tempat penginapan maka baginda akan menyediakan tempat penginapan. Mengikut ajaran Islam menjadi tanggungjawab tuan rumah memelihara keselamatan diri tetamu selagi mereka berada di sana.

Pada akhir pertemuan Rasulullah SAW sentiasa berusaha menyediakan hadiah yang sama ada berupa wang emas, wang perak, pakaian, makanan atau sebagainya untuk tetamunya sewaktu berpisah. Perbuatan ini adalah salah satu sunnah Rasulullah SAW yang sering dilakukan oleh baginda. Hadiah berfungsi menjadikan tetamu atau pelanggan sentiasa mengingati dan menjadi kenang-kenangan pada hari-hari yang akan datang.

Semasa Rasulullah SAW melayani tetamu baginda sentiasa mengutamakan dengan sifat-sifat yang mulia seperti mengukirkan senyuman, cepat bertindak menyelesaikan masalah tetamunya, pemurah, kasih sayang, belas kasihan, adil, amanah, sabar, syukur, tawakkal, pemaaf, bersopan santun dalam berbahasa dan sebagainya.

Rasulullah SAW sentiasa menghindarkan diri daripada bersikap negatif terhadap tetamunya seperti menghindarkan diri daripada bermasam muka, berpaling muka, lambat memberi layanan, bakhil, khianat, dengki, pemarah, membazir, bosan, berperangai kasar, membebankan diri dalam melayani tetamu, terburu-buru, buruk sangka, buruk bicara, materialistik, bermuka-muka, tidak peka dengan soal-soal semasa, sombong dan sebagainya.

Rasulullah SAW menyambut kedatangan tetamu dengan pantas tanpa berlengah-lengah, serta mengucapkan salam. Apabila baginda berjabat tangan, dilakukan dengan bersungguh-sungguh tanda kemesraan. Baginda tidak menarik tangan sebelum tatamunya menarik terlebih dahulu. Jika tetamu itu datang dari jauh dan lama tidak berjumpa baginda akan berpelukan. Manakala terhadap tetamu wanita baginda hanya mengucapkan salam sahaja, tanpa berjabat tangan.

Rasulullah SAW sentiasa memperkenalkan diri kepada tetamunya dan meminta tetamunya memperkenalkan diri jika masing-masing tidak mengenali. Keadaan ini mendorong kepada saling berkenal-kenalan antara satu sama lain.

Dalam pergaulan dengan tetamu, Rasulullah SAW sentiasa menjaga aurat dan sentiasa menundukkan pandangan terhadap tetamunya yang wanita. Penekanan adalah lebih menumpukan kepada menutupkan aurat bagi kaum wanita dan menundukkan pandangan bagi kaum lelaki.

Dalam pergaulan dengan tetamu, Rasulullah SAW lebih banyak tersenyum dan sentiasa mendengar tetamunya berbicara. Apabila berkata-kata, baginda sering menggunakan perkataan yang baik dan lemah lembut tetapi tegas.

Rasulullah SAW sentiasa memudahkan semua urusan. Dalam erti kata yang lain, baginda tidak pernah menyulitkan semasa berurusan dengan tetamunya.

Semasa melayani tetamu, Rasulullah SAW lebih mengutamakan hubungan persaudaraan sesama Muslim dan berbaik-baik dengan mereka yang bukan Muslim.

Apabila memberi layanan, Rasulullah SAW lebih mengutamakan tetamunya daripada dirinya sendiri, terutamanya dalam soal memberikan jamuan makan dan minum. Mengutamakan orang lain daripada diri sendiri adalah merupakan salah satu sunnah nabi SAW

Etiket layanan Rasulullah SAW terhadap tetamunya adalah sebagai kesan kebaikan, keagungan dan kesempurnaan akhlak yang terdapat dalam diri baginda. Dalam erti kata yang lain, kejayaan layanan terhadap tetamu adalah bergantung kepada kesempurnaan akhlak yang terdapat dalam diri baginda sendiri. Allah SWT telah mengakui kesempurnaan akhlak baginda Rasulullah SAW dan boleh dijadikan contoh teladan kepada seluruh umat manusia sebagai mana dalam firmanNya;

Terjemahan: Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang amat mulia. (Surah al-Qalam 68: 4).

Terjemahan: Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang). (Surah al-Ahzab 33: 21).

Kesan dari pendidikan hospitaliti yang telah diperkenalkan oleh Rasulullah SAW dalam kalangan sahabat telah melahirkan satu generasi yang benar-benar dapat melaksanakan hospitaliti Islam, aktif melayani tetamu secara efektif, bukan sahaja terhadap sesama Muslim malah termasuk juga mereka yang tidak Muslim.

Apabila ajaran Islam berkembang pesat, idea hospitaliti ini terus berkembang dalam masyarakat dunia sama ada di timur atau barat. Seiringan dengan itu hospitaliti Islam telah tersebar ke seluruh Nusantara bersama-sama ajaran Islam yang dikembangkan oleh para mubaligh hingga membentuk masyarakat Melayu yang kaya dengan adab dan sopan santun, khususnya dalam menyambut dan melayani tetamu.

8.2 Perbezaan Hospitaliti Islam Hospitaliti kini

Mengikut pandangan Islam, konsep hospitaliti Islam adalah berdasarkan kepada keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT.

Akibat dari rasa kesyukuran kepada Allah SWT yang mencipta dan memelihara mereka maka sedikit pengorbanan diberikan kepada tetamu yang memerlukan bantuan dan pertolongan.

Walaupun pengorbanan yang dicurahkan itu tidak mendapat bayaran yang setimpal dari tetamu, mereka dijanjikan ganjaran di hari akhirat.

Berbeza konsep hospitaliti konvensional yang melayani tetamu berdasarkan kepada kemesraan sesama insan. Sesuatu pengorbanan yang dilakukan kepada tetamu adalah semata-mata rasa perikemanusiaan untuk kehidupan di dunia semata-mata dan tidak ada kaitan dengan hari akhirat.

Apabila ditinjau dari sudut sumber ilmu pengetahuan dalam hospitaliti ini, bagi pandangan Islam ia merujuk kepada al-Qur’an dan al-Hadith. Walaupun al-Qur’an dan al-Hadith tidak menyebut secara khusus mengenai hospitaliti ini, tetapi asasnya cukup kuat dan mencukupi dalam menangani permasalahan yang timbul dalam disiplin hospitaliti.

Sementara konsep hospitaliti kovensional adalah berdasarkan kepada epistemologi dan aksiologi sekular yang tidak berdasarkan kepada wahyu. Sebaliknya sumber pengetahuan dan nilai berkenaan hospitaliti adalah berdasarkan kepada fikiran, kajian sains, pengalaman dan warisan etika yang telah ada dalam dunia Barat.

Dari segi objektif hospitaliti Islam adalah bertitik tolak dari tujuan manusia dilahirkan di muka bumi iaitu beribadat kepada Allah SWT serta memakmurkan muka bumi dengan berpandukan kepada peraturan yang telah ditetapkanNya. Dalam erti kata yang lain kehidupan manusia di muka bumi ini adalah semata-mata melaksanakan amanah Allah SWT yang telah melantik manusia sebagai khalifah di muka bumi.

Kejayaan atau kegagalan manusia dalam melaksanakan amanah Allah SWT itu bergantung kepada sejauh mana mereka dapat melaksanakan Syariah yang telah ditetapkan itu. Oleh kerana tetamu merupakan amanah dari Allah SWT, maka wajar dilayan sebaik mungkin demi memastikan kebajikan, kesejahteraan dan keselamatan mereka terjamin.

Berbeza dengan hospitaliti konvensional yang mempunyai berbagai-bagai objektif seperti bertujuan untuk memaksimumkan keuntungan atau didorong oleh keinginan memberi sumbangan kepada masyarakat.

Mereka yang menganut fahaman humanisme akan menjadikan sumbangan masyarakat sebagai objektif sementara mereka yang berkonsepkan utiliti pula menjadikan keuntungan dan kekayaan sebagai objektif hospitaliti tanpa mengambil kira hukum dan keselamatan tetamu.

Menyentuh persoalan Syariah, hospitaliti Islam dibekalkan dengan peraturan-peraturan tertentu demi keselamatan (maslahah) semua pihak sama ada tuan rumah, tetamu atau orang awam. Oleh itu hospitaliti Islam telah menggariskan berkenaan berbagai-bagai peraturan seperti peraturan bertutur, berpakaian, pergaulan, protokol, etiket, makanan, minuman, kawalan keselamatan dan sebagainya. Semua unsur ini telah disampaikan oleh Rasulullah SAW dari sudut hukum wajib, sunat, haram, makruh dan harus.

Seterusnya, hospitaliti Islam didasarkan kepada nilai akhlak yang kukuh berpandukan kepada al-Qur’an dan al-Hadith. Allah SWT telah menanamkan dan menghiasi baginda Rasulullah SAW dengan akhlak yang mulia. Dengan kesempurnaan akhlak itu, baginda SAW telah mendidik para sahabat sehingga membentuk satu generasi yang berakhlak mulia keseluruhannya. Sistem akhlak yang telah disemai di dalam diri setiap sahabat itu telah memperlihatkan suatu kesatuan akhlak.

Dalam erti kata yang lain, sistem akhlak Islam adalah tetap, sempurna dan tidak berubah-ubah. Oleh itu layanan yang ditunjukkan oleh para sahabat kepada tetamu mereka adalah suatu layanan yang sama dan tidak ada percanggahan di antara satu sama lain.

Bebeza sistem etika Aristotle dan humanisme yang sentiasa terdapat percanggahan terutamanya menyentuh persoalan nilai. Sumber niliai etika hanyalah berpandukan kepada fikiran, pengalaman manusia yang tidak berpandukan kepada wahyu. Sementara dalam praktik masyarakat jarang mengikut sistem etika berkenaan, tetapi kebanyakannya mewarisi etika yang diamalkan oleh ibu bapa mereka. Apabila memperkatakan berkenaan ganjaran, apa yang diharapkan hanyalah ganjaran yang berbentuk hadiah-hadiah dan pujian daripada majikan. Maka keadaan ini tidak akan ada kekuatan untuk mengajak mereka beretika mulia secara menyeluruh.